Home Novel Fantasi Meneroka Alam Bunian
Meneroka Alam Bunian
Fazella Nazeera
17/8/2018 22:40:37
25,139
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 7


  Jam tangan copy ori berjenama polo berwarna keemasan yang dihiasi dengan berlian kecil dijeling sekilas. Husna mendengus dengan segugus nafas kasar apabila dia terlewat bertemu Reza di perpustakaan. Apa tidaknya, waktu kian merangkak ke angka 10.00 pagi. Pagi tadi Reza sempat mengirim pesanan ringkas kepadanya untuk bertemu di perpustakaan. Dalam benaknya sentiasa berlayar reaksi Reza nanti apabila terlalu lama menunggunya di sana. Pasti dia terpaksa menadah telinga mendengar leteran Reza. Mujur sahaja kesesakan lalu lintas semakin reda, jika tidak dia sendiri tidak pasti berapa lama lagi dia perlu menghadapi situasi itu di tengah lebuh raya yang penuh dengan kenderaan.

  Sampainya di luar bangunan perpustakaan, perlahan-lahan Husna menghentikan kereta disisi pondok keselamatan. Dia menanti dengan penuh sabar di tengah laluan masuk ke bangunan perpustakaan yang terhalang oleh palang berwarna kuning berjalur hitam. Dia menurunkan cermin kereta sambil memberi senyuman nipis kepada pengawal keselamatan yang sedang bertugas. Setelah mendapat keizinan dari pengawal keselamatan, dia tanpa teragak-agak meneruskan pemanduan masuk ke dalam kawasan bangunan itu dan melontarkan pandangan ke luar cermin mencari-cari petak yang masih kosong.

  Cermin mata hitam yang berada di atas kepala segera ditarik dan disangkut di juntaian kalimah Allah yang menjadi perhiasan keretanya. Beruntung dia waktu itu, tidak banyak kereta yang berada di tempat letak kereta. Barangkali, tidak ramai yang bertandang ke perpustakaan pada waktu sebegini kerana keadaan di kawasan itu masih lagi lenggang seperti tiada pelawat yang sudi bertandang ke sana. Sempat juga dia menyerotkan pandangan meneliti satu per satu kereta-kereta yang ada disitu mencari tahu kedudukan kereta Reza berada dimana.

    “Piwit. Seorang aje ke cik adik manis?” tegur seorang lelaki dengan nada yang agak miang rebung. Husna menyedari dari pandangan sisi bahawa lelaki itu melirik ke arahnya dengan lirikan berjenaka.

  Husna mengangkat wajahnya sedikit. Matanya segera memandang ke arah lelaki itu tadi. Senyuman mesra disedekahkan ke arah lelaki itu.

  “Eh, kau pulak Faiq. Kau buat apa kat sini? Nak buat assignment ke?” soal Husna sambil menutup pintu keretanya.

  “Takdelah. Aku nak pergi pejabat jpn kat sana tu. Nak minta pengesahan mykad ni” tunjuk Faiq menggunakan muncung mulutnya ke arah bangunan kecil jpn yang bersebelahan dengan bangunan perpustakaan. Jaraknya tidak jauh sangat, hanya anak-anak pokok yang memisahkan antara bangunan itu.

  “Kau tak nak join kitaorang ke? Aku nak jumpa Reza kat atas. Entah apa penting sangat. Aku rasa dia nak bincang pasal kerja kumpulan tu. Kau sendiri aje? Azra mana?”

  “Takpelah, aku ada urusan lain. Azra mungkin ada kelas. Kat rumah dia, takde pulak batang hidung dia”

  “Oh....”gumam Husna. Dia mengangguk sedikit sebelum menghentikan perkataan o yang panjang.

  Faiq mengatur langkah  ke arah Husna. Kunci kereta di pusing-pusing ke udara di celah jari jemari kasar itu. Baju kemeja biru laut yang butang atasnya tidak dikatup, memperlihatkan lagi dada bidangnya yang berbulu halus. Tanpa sengaja Husna menjeling sekilas. Ada perasaan aneh bermain dalam dirinya. Dia jadi sedikit gelabah. Laju sahaja dia mengalih pandangan ke arah lain..

  Faiq perasaan akan perbuatan Husna tadi. Dia tersengih-sengih dalam hati. Timbul niat jahat di dalam hati.

  “Biar aku teman kau pergi atas. Sunyi takde orang ni” seloroh Faiq lembut sambil sikunya di letak di atas bumbung kereta Husna. Rambut hadapan yang ditiup angin itu, diraup ke belakang dengan lirikan mata nak menggoda. Gatal.

  “Lawaklah sial! Kalau ada sikat, dah serupa dengan lakonan P Ramlee” Husna terus bantai dan memuntahkan gelak tawanya.

  “Tak, aku serius ni. Kau nak?” bisik Faiq lembut di tepi telinga Husna. Nafas panas itu sudah terasa dan membahang hampir beberapa inci dari wajahnya.

  Husna bungkam. Dia menelan air liur. Tidak selesa dengan cara Faiq. Tanpa menjawab sebarang kata, dia sekadar mengangguk mengiakan permintaan Faiq. Perasaan risau sudah berkocak dalam hati. Wajah yang setenang air tadi berubah jadi cemas.

  “Hehehe. Aku gurau aje lah. Jangan takut. Aku tak makan orang punya, sakat orang aje” gelak Faiq.

  Nafas lega dihela. Akhirnya selamat juga dia daripada menjadi mangsa gangguan seksual. Dalam kata yang tersekat-sekat, dia mengukir senyuman kelat.

“Ok aku gerak dulu. Rasanya dah lewat ni, nanti ramai orang datang pulak. Kalau ada apa-apa update kat whatsapp group eh” ujar Faiq dan terus berlari-lari anak ke arah bangunan jpn tanpa memandang Husna lagi. Hanya lambaian laju yang mengakhiri pertemuan mereka pada pagi itu.

   Husna mengekori Faiq dari belakang. Laluan yang sama dilalui. Kulit yang disimbah cahaya matahari sudah mula menggigit sekujur tubuhnya. Dia tersenyum puas. ‘Nasib dekat aje, kalau jauh, harap aku nak jalan dengan beg yang berat ni lagi’ keluh Husna dalam hati.

******

  Husna mendongak memandang bangunan perpustakaan empat tingkat yang dindingnya direka bentuk dari kaca dan sedikit melengkung seperti bangunan Suria Sabah. Faiq pula sudah jauh meninggalkannya di belakang. Perlahan sahaja langkah diatur masuk ke dalam bangunan perpustakaan sebelum menuju ke pintu lift yang terletak di hujung sudut bangunan tersebut. Dia menekan butang naik sebelum masuk ke dalam perut lift seraya menggalas beg sandang komputer riba di bahu serta membawa segulung kertas kerja di tangan kirinya. Alang-alang pergi ke perpustakaan, kan lebih baik dia mencari bahan untuk menyiapkan tugasannya nanti.

  Sampainya di tingkat atas, Husna keluar dan berdiri di hadapan pintu lift itu sejanak. Keningnya berkerut. Dalam diam, dia memerhati Reza yang begitu ralit memandang pemandangan yang terarah ke arah ruang meletak kereta dari atas bangunan itu di sebalik cermin lutsinar bangunan yang tampak mesra alam. Dia menepuk dahi sendiri. Pasti, Reza nampak dia bersembang mesra dengan Faiq tadi. Sempat dia menjatuhkan pandangannya ke arah kasut yang tersarung di kaki teman baiknya itu. Dia tertawa kecil sebelum datang terhendap-hendap menghampiri Reza yang langsung tidak menyedari kehadirannya saat itu.

  “Fuyoooo... Kasut baru. Pakai kacamata bergaya, nak ke mana cik abang?” jerkah Husna sambil mencuit lengan Reza.

  “Amboi, bermadah pulak cik adik ni!” tegur Reza selamba seperti tidak terkesan pada jerkahan Husna tadi. Tidak pula dia memarahi Husna seperti kebiasaannya. Sebaliknya, hatinya berbunga bahagia tatkala memandang wajah gadis yang sudah lama menjentik perasaannya. Perasaan itu tidak pernah luntur walau sekelumit pun.

   “Jom lah masuk, kau tengok apa lagi kat luar ni?”

  “Tengok-tengok dari atas. Nampak mesra pulak orang tadi tu” sindir Reza. Dia memeluk tubuh lalu memusingkan badan menghadap Husna.

  “ Cemburu ke? Cemburu tanda sayang” sakat Husna.

  “Aku nak cemburu? Kau siapa? Kawan je kot. Lantak kau lah Husna nak bercinta dengan siapa” jeling Reza. Senyuman sinis terserlah di wajahnya.

  “Kejam pulak kau kata macam tu kat aku!”

  “Dah kenyataan” jawab Reza endah tak endah.

  “Kau cemburu! Mengaku aje lah”

  “Kau tak special pun di mata aku. Takde yang menarik. Azra lagi cantik”

  “Sungguh?” Husna cuba menduga. Wajah yang penuh dengan jambang halus baru nak tumbuh itu ditenung seketika.

  “Kalau setakat perempuan macam kau, sikit pun aku tak terliur”
 
   “Sampai hati kau cakap macam tu Reza! Kejam!” Husna menghentak kakinya dengan kuat. Luluh hatinya. Rasa tebal semua kawasan muka. Dia mengalih pandangan ke arah lain dan sudah siap sedia hendak mengatur langkah masuk ke dalam perpustakaan itu. Manik-manik jernih yang terasa berat di kelopak matanya cuba di tahan agar tidak keluar.

  Reza diam. Dia tahu Husna tengah berperang dengan perasaan sendiri. Tidak terdetik niat di hati ingin melukakan hati Husna. Dia tahu kata-katanya tadi agak kejam di pendengaran. Dia tak patut melontar kata-kata yang agak kesat. Lebih-lebih lagi dengan seorang gadis. Pasti dia terasa. Huh tak patut.

  Dengan langkah longlai, Reza terus menerpa dan menarik pergelangan tangan Husna dengan kuat dari terus masuk ke dalam perpustakaan itu. Kata-kata maaf laju meluncur keluar dari bibirnya. Dia jadi serba salah. Untuk melupakan perbualan mereka tadi . Dia terpaksa memberitahu Husna tujuan sebenar dia mengajak Husna ke perpustakaan. Tiada niat di hati hendak berbohong Husna. Tapi hanya tempat itu yang dekat dengan lokasi mereka berdua. Jadi dia membuat keputusan untuk bertemu dengan Husna di sana.

  “Hisy, apa ni tarik-tarik! Sakit tau tak” marah Husna dengan wajah yang sudah berubah menjadi tegang. Lengan disapu-sapu agar kesan merah dari cengkaman tangan Reza tadi semakin mereda.

“Rileks lah. Jangan marah, sorry eh tadi. Aku gurau aje. Sebenarnya ada hal penting sangat ni aku nak bincang dengan kau”

  Husna mempamer muka hairan. Adakah Reza sengaja nak tukar topik supaya dia tak marah. Pandai betul mamat ni!

  “Ha, apa yang penting sangat? Cakaplah?” tambah Husna lagi.

“Sebenarnya.. Sebenarnya....” gumam Reza.

  “Sebenarnya apa? Cakap pun tergagap-gagap” cantas Husna dengan riak yang sudah tidak sabar ingin tahu. Nadanya ada sedikit mendesak. Perasaan sedih, sakit hati masih tersisa.

  “Errr.. Tapi kau janji jangan marah. Ni soal hidup dan mati ni” akui Reza tanpa selindung lagi. Lega rasanya dapat meluahkan beban yang sudah sarat menghantui dirinya. Harap Husna tak marah.

  Husna diam sejenak, wajah Reza ditenung sedalam-dalamnya seakan ingin menilik sesuatu di wajah yang kurang tampan itu. 

  “Hidup dan mati?” soal Husna perlahan.

  Reza hanya mengangguk longlai. Buat riak wajah budak skema yang memakai kacamata besar. Bibir dipaksa melebar, tapi senyuman tidak menjadi.

  “Apa dia? Cakaplah” soal Husna lagi. Kali ini ada sedikit tegas. Dia menyandarkan tubuhnya di dinding sambil memeluk tubuh.

  “Esok pagi kita gerak pergi bangunan tu. Siap sedia semua keperluan” laju sahaja kata-kata itu meluncur keluar dari bibir Reza. Kemudian dia meregang-regangkan sendi di lengannya, menghilangkan perasaan takut yang bergelojak di dalam hati. Takut dengan wajah masam dan jelingan tajam Husna.

  Membutang bola mata Husna tatkala mendengar butir bicara yang keluar dari mulut Reza tadi. Wajah itu ditenung sekali lagi.  Pelik dengan perangai Reza. Beria sangat nak pergi bangunan tu. Apa yang penting sangat sampai boleh kata itu soal hidup dan mati. Selamba kata benda mengarut semata-mata nak pergi ke sana. Apalagi, nak pergi begitu tergesa-gesa. Janji hari lain. Tup-tup esok pulak. Nanti tak pasal-pasal terserempak penunggu bangunan pulak. Bangunan lama pasti ada penunggunya.

  “Boleh ke?” tanya Reza lagi. Wajahnya sudah hampir beberapa inci dengan wajah Husna. Kacamata perhiasan yang agak besar persis budak hipster itu ditolak ke atas agar tidak melurut jatuh ke puncak hidung. Kening dijongket dua tiga kali. Buat riak agar Husna senang nak beri penampar.

  “Tepilah, rimas tau tak!” tepis Husna. Dalam masa yang sama, terdetik sesuatu di kotak fikirannya. Apa sebenarnya yang sedang Reza lakukan? Cuba nak pujuk aku ke?’ getus hatinya.

  “Aku rasa, mesti ada something ni. Ada benda yang kau sorok dari aku ke, Reza? Beritahu aku cepat!” tanya Husna tegas seperti biasa. Dia masih memeluk tubuh sambil menggerakkan hujung kaki seperti sedang mendengar irama lagu rancak. Bibir diketap tanda geram.

  Reza menggaru-garu cuping telinganya. Memang itulah tabiatnya jika cuba berbohong. Sambil itu dia tersengih-sengih buat muka pura-pura tak faham. Tergagap-gagap ingin berkata. Otaknya ligat berfikir dengan deras supaya dapat mencari idea untuk berbohong. Kalau dia beritahu benda betul, pasti Husna gelak besar.

  “See, aku dah agak. Kau jangan nak bohong aku lah Reza. Beritahu cepat. Kalau tak, aku tak nak ikut buat kerja kumpulan tu” ugut Husna lagi.

  “Hisy, janganlah macam tu Husna! Sebenarnya.. Sebenarnya macam ni...”

  “Cakap cepat!” cantas Husna sambil menjerit kecil.

  “Semalam aku ceroboh bangunan tu!” jawab Reza laju dan spontan. Dia tidak dapat mengawal bicara apabila terkejut.

  Husna terbatuk-batuk kecil. Anak mata tajam memandang wajah Reza.

  ‘Adoi, kenapalah aku boleh terlepas cakap!’keluh Reza dalam hati. Risau Husna memekak lagi. Dia menepuk dahi sendiri.

  “Kau ni Reza, otak kau mungkin dah senget sebelah kot. Tak fahamlah aku apa yang kau cuba buat ni. Kalau kau mati kena baham harimau ke apa ke kat sana semalam. Takde siapa tahu. Benda macam ni pun kau tak boleh fikir” ujar Husna lembut. Tidak sekasar tadi. Dari posisi memeluk tubuh berubah bercekak pinggang. Lagaknya seperti seorang ibu memarahi anaknya yang nakal.

  Reza terkedu. Dia faham Husna cuba menyindir. Alang-alang dah terlepas cakap, lebih baik berterus terang. Dengan Husna yang garang macam singa ni, memang tak boleh sorok apa pun. Pasti ketahuan.

  “Alah Husna, jangan lah macam ni. Please” rayu Reza sambil buat tangan minta ampun. Wajah buat semurah boleh. Cuba memujuk.

  “Reza, Reza. Apesal kau beria sangat buat tugasan berkumpulan ni? Tak penting sangat lah. Banyak lagi tugasan lain, yang ini jugak kau excited sangat nak buat. Kenapa kau percaya sangat dengan hutan yang tak wujud tu? Kita pergi hutan lain aje. Hutan yang kau nak pergi tu tak wujud lah. Tak wujud! Kau dengar tak?

  “Hisy, jangan lah jerit kuat sangat. Orang dengar!”

  “Kan kita dah plan pergi selasa depan. Banyak benda lagi belum settle. Jangan sebab kau ketua kumpulan, suka hati kau aje nak buat tarikh sendiri”

  “Cakap jangan sembarangan cakap. Hutan misteri tu betul-betul wujud”
  Husna gelak sinis. Tak tahu macam mana nak cuci otak Reza dari berfikir kolot.

  “Aku dah nampak depan mata. Aku dah jumpa Husna” ujar Reza teruja sambil mengangguk-angguk kepalanya. Cuba meyakinkan Husna.

   Husna tertawa kecil. “Lawaklah sial! Aku bukan budak kecil kau nak reka cerita.

  “Kau tak percaya?”

  Husna angguk malas. Malas hendak membidas panjang lebar.

  “Tanya Amran, dia saksi. Kami pergi semalam”

  “Amran?”

  “Ye, Amran. Budak malas tu”

  “Adoi, Ya Allah. kenapalah aku dapat kumpulan yang semua gila nak mampus ni” raung Husna sambil menadah tangan cuba berdoa.

  “Jangan buat muka macam tu boleh tak? Benci aku” tegur Reza.

  “Sibuk aje kau ni! Kalau kau boleh pulak. Tapi, oh ya muka kau memang muka orang bodoh pun. Tak payah buat muka bodoh pun dah nampak bodoh”

  “Dah, apa-apa aje lah kau nak kata apa. Jangan nak mengada-ngada tak nak ikut. Lebih baik kita balik. Siapkan segala keperluan. Kau dengar tak ni?” sambung Reza seperti mendesak.

  “Macam tu aje? Habis tak nak masuk dalam dulu ke? Buat penat aku aje bawa barang ni” tanya Husna sambil memuncungkan mulut ke arah perpustakaan .

  “Hmm” gumam Reza. Dia tidak melontarkan sebarang kata. Sebaliknya, bola matanya sudah terpanah pada seorang gadis yang baru hendak masuk dan tertunduk-tunduk hendak masuk ke dalam perpustakaan. Pakaiannya serba hitam, wajahnya cuba diselindung seboleh mana. Dalam hatinya, tertanya-tanya. Siapa gadis itu? Macam pernah nampak tapi kat mana? Kenapa dia nak mengelak dari aku? Atau perasaan aku aje kot? Tanya Reza sendiri. Agak lama juga dia memerhati gerak geri gadis itu sehingga Husna perasan akan renungannya yang agak liar.

  “Hoi, menghayal lagi. Dah, jom gerak” ajak Husna mematikan lamunan Reza tadi. Dia kemudiannya menekan-nekan butang lift dengan kasar. Geram dengan lift yang tiba-tiba tidak berfungsi.

  Reza sekadar memandang sekilas wajah Husna. Seketika kemudian, dia menoleh semula mencari kelibat gadis tadi, namun gadis itu sudah hilang dari pandangan. Begitu pantas seperti kilat. ‘Kemana agaknya gadis tadi?’sama pulak macam lelaki tua beberapa hari lalu tu. Siapa mereka sebenarnya’ tanya Reza bertalu-talu.

  “Reza! Turun lah” panggil Husna kasar. Tidak selesa dengan tingkah Reza yang begitu ralit memandang ke arah perpustakaan. Entah apa yang dilihat Reza sebentar tadi. Husna menjenguk ke dalam perpustakaan di sebalik cermin lut sinar itu. Namun tiada sesiapa.

   Reza menghembus nafas kasar. Tanpa menjawab dia terus melangkah membontoti Husna menuruni anak tangga memandangkan lift masih tidak berfungsi. Sekali sekala dia menoleh lagi kerana masih tidak puas hati. Dari jauh, kelihatan gadis itu duduk di sudut meja perpustakaan berhampiran cermin lutsinar  sambil memegang sebuah buku dan melemparkan senyuman kelat kepadanya.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fazella Nazeera