Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 18

Mereka bertolak awal pagi kerana siang amat pendek dan rombongan pedagang tersebut mahu sampai ke shukuba atau hentian seterusnya sebelum malam.

 

Hari tersebut cerah. Laluan Nakasendo yang dilalui pada hari ini tidak lagi dikelilingi gunung-ganang yang tinggi, dan suhunya tidak lagi mencengkam, ditambah dengan cuaca yang baik. Berkurangnya gunung-ganang menandakan mereka sudah menghampiri Tokyo. Pekan nelayan itu mungkin dalam sehari setengah perjalanan lagi dari situ. Tokyo adalah ibu kota baharu Jepun selepas Maharaja berpindah dari Kyoto ke sana pada musim panas yang lalu.

 

Ketika hampir tengahari, mereka ditahan sekumpulan perompak bersenjatakan pedang samurai.

 

“Serahkan barang daganganmu dan kamu akan selamat.” Seorang dari mereka berbadan sedang dan pendek, seperti ketua mereka, bersuara sambil mengacu katananya. Dua orang, barangkali pengikutnya berdiri di kiri dan kanan lelaki itu sambil memeluk tubuh.

 

Kobato hanya melihat, tidak mahu masuk campur urusan mereka. Dia menunggu pengawal-pengawal pedagang yang dua orang itu mengendalikan keadaan, jika tidak untuk apa mereka diupah.

 

“Kami tidak akan menyerah diri.” Salah seorang pengawal melompat turun dari kudanya. “Suzuki, ayuh! Kobato, dan kalian, biar kami yang uruskan.” Pengawal itu yang bernama Katsuzawa meminta rakannya, Suzuki turun dari kuda, dan mengarahkan Kobato dan ahli rombongan beredar dari situ.

 

“Tamatkan riwayat mereka.” Ketua perompak mengarahkan anak buahnya yang dua orang. Kobato dan rombongan berlalu pergi. Bunyi desingan pedang menyusul di belakang mereka.

 

“Nanti, kalian! Mahu ke mana? Aku belum habis berbicara.” Ketua perompak lekas menahan mereka yang bergerak meninggalkan lokasi itu. Kobato tersentak. Pengawal yang dua orang sedang di belakang bertarung. Siapa yang akan menguruskan lelaki ini?

 

Pengendera kereta kuda yang bernama Tokizawa itu memandang Kobato, riak wajahnya mengharapkan Kobato menguruskan ketua perompak itu. Kobato sedikit keberatan, kerana dia benar-benar tidak mahu campur tangan. Akan tetapi melihatkan mereka yang tidak tahu berpedang, membuatkan dia bersimpati. Tambahan mereka telah membantunya meneruskan perjalanan bahkan membayar penginapan dan makanan di onsen jigokudani semalam. Kobato merasakan bahawa dia perlu membalas budi. 

 

Dia mengangguk kepalanya sedikit sambil memandang Tokizawa, dan memaling muka mengadap ketua perompak.

 

“Namaku Kozue Kobato. Siapa namamu?” Kobato bertanya ketua perompak.

 

“Aku Ryuzen. Hanya Ryuzen.”

 

Kobato menarik keluar katananya yang tidak bermata itu. Takasaki yang menempanya. Takasaki tidak membuat pedang bermata untuk anak muridnya, dikhuatiri mereka membunuh sesuka hati jika dikuasai perasaan. Jika mereka mahu pedang bermata, mereka harus menempanya sendiri selepas meninggalkan rumah perlindungan.

 

Mereka berpusingan menanti serangan. Pergerakan Ryuzen pantas, sehingga memaksa Kobato menganjak ke jurus lapan. Ryuzen nampaknya tahu kaminari.

 

Namun Kobato masih dapat menewaskannya. Ryuzen cedera di bahagian rusuk selepas menerima tetakan Kobato tidak lama selepas mula bertarung.

 

“Beredar sekarang!”

 

Ryuzen melarikan diri sambil memegang rusuknya, disusuli dua pengikutnya.

 

“Terima kasih Kobato. Aku pasti akan membalas budimu suatu hari nanti.”

 

Doumo. Betsu ni, Tokizawa-san. Engkau telah membayarkan penginapanku semalam bahkan menunjukkan jalan kepadaku. Terima kasih padamu juga.” Kobato menunduk hormat. Dia kemudian memandang Suzuki dan Katsuzawa, dua pengawal mereka. “Kalian tidak apa-apa?”

 

“Kami baik-baik. Kobato-san, seni apakah itu? Pergerakanmu pantas sekali. Aku tidak pernah melihat kepantasan begitu.” Katsuzawa menyuarakan kekagumannya. Dia merasakan mungkin dia juga akan tewas jika bertarung dengan Kobato.

 

“Sesuatu yang aku pelajari sekian lama. Ayuh, kita tidak punya banyak masa.” Kobato tidak mahu membongkar lanjut. Seni itu tidak seharusnya diketahui ramai. Dibimbangi ia disalahgunakan untuk tujuan jahat sepertimana yang telah dilakukan Ryuzen dan rakan-rakannya itu. Lebih-lebih lagi dalam era yang bergolak ini di mana rakyat dan bekas samurai terumbang-ambing meneruskan hidup. 

 

Mereka meneruskan perjalanan, sehingga sampai di sebuah simpang di Nagano.

 

“Kobato, kita berpisah di sini. Terima kasih sekali lagi padamu. Terimalah ini.” Tokizawa menyuguh sekeping logam berukir dengan corak yang asing kepada Kobato. Ukirannya sungguh halus sehinggakan mustahil dapat ditiru oleh pengukir amatur.

 

“Apakah ini, Tokizawa-san?”

 

“Lencana syarikat dagang kami. Sudilah bekerja dengan kami sebagai pengawal. Kami akan kembali ke sini sebulan dari sekarang. Jika engkau setuju, tunggu kami di sini sebulan dari sekarang.”

 

“Terima kasih Tokizawa-san.”

 

Doumo. Jya, sayonara!” “Sayonara!”

 

Kobato berpisah dengan mereka dan meneruskan perjalanan ke kampungnya di dalam Wilayah Shinagawa.

 

**

 

Kobato mendapati tanah rumah ibu bapanya sudah ditukarmilik, sama seperti apa yang telah berlaku kepada Ryouji dan Chisato. Rumahnya kini didirikan baru oleh seorang pemilik persendirian. Dari jawapannya yang diberikan kepada Kobato, pemilik itu membelinya dari wakil Maharaja. Benarlah apa yang telah diberitahu Shinji berkenaan pemulihan yang dilakukan Maharaja dengan mengambilalih semua tanah-tanah di Jepun.

 

Kobato berlalu pergi dengan perasaan hampa. Burung merpati hitam itu masih mengekorinya, kali ini berjalan di tepinya. Kobato menghulurkan bahunya. Burung itu langsung terbang dan bertenggek di bahunya. Kobato tersenyum seraya mengusap jemala burung itu. Tidak pernah dia bertemu dengan burung merpati yang jinak dan seberani begitu.

 

“Aku namakan engkau Kurobato.” Kobato menyebut spontan nama itu. Ia bermaksud merpati hitam.

 

Dia memandang burung itu dan teringatkan Saki yang menghantarnya. Terima kasih Saki!

 

Dia memandang bendang yang terbentang luas tanpa sebatang padi pun ditanam, kering kontang dilitupi salji yang nipis, tidak seperti di celah-celah pergunungan Hidagawa. Dia sebenarnya telah bercadang untuk tinggal di situ dan mewarisi sawah tersebut, ketika dia berbaring semalam di jigokudani. Kemudian membina kembali rumah peninggalan bapanya yang telah musnah dibakar Hamada. Kemudian berkahwin dan membina sebuah keluarga. Mungkin dengan Chisato.

 

Chisato? Entahlah. Dia menolak cintaku mentah-mentah. Apakah harus aku mencuba lagi? Aku tidak mahu memaksa. Namun pelawaan Saki itu tidak harus kutolak terus. Mungkin aku akan fikirkan perkara ini kembali, pabila perutku sudah kenyang.

 

Perutnya mula berbunyi. Dalam musim sebegini, engkau akan mudah kelaparan. Badanmu membakar tenaga lebih dari biasa bagi memanaskan badan. Dan engkau juga akan cepat kehausan, kerana udaranya kering sekali. Bibirmu akan mengelupas kekeringan, nafasmu berkepul-kepul dengan wasap yang jelas.

 

Dia menyeluk saku, membelek-belek wangnya. Masih cukup untuk sebulan kegunaan. Aku harus berjimat cermat sehingga aku mendapat pekerjaan. Jika tidak, aku perlu tinggal di dalam hutan dan berburu atau menangkap ikan. Aku tiada pilihan. Aku tidak akan kembali lagi ke rumah perlindungan itu. Malu jika aku yang sudah dewasa ini masih menghuni sedangkan tempatku sepatutnya diperuntukkan untuk anak yatim yang lain yang masih belum pandai berdikari.

 

Dia harus berjalan beberapa minit ke kawasan gugusan rumah kedai di perkampungan itu untuk makan. Perkampungan Kobato bernama Shizen, terletak di tengah-tengah Wilayah Shinagawa atau nama barunya Wilayah Gizen, dan Shizen terbahagi dua, satu bahagian kampung itu seperti perkampungan biasa pada zaman itu yang dipenuhi sawah padi dan kandang ternakan dan digelar bahagian kampung atau Shizen-mura, manakala satu bahagian lagi dipenuhi dengan rumah-rumah kedai dan dikunjungi ramai pelawat dari segenap pelusuk negara dan digelar bahagian pekan atau Shizen-machi


Aktiviti masyarakat di Shizen-mura adalah pertanian padi dan penternakan. Sebahagian lagi yang tinggal di Shizen-machi bekerja sebagai pedagang, pembuat kraftangan dan pedang. Pedang yang dihasilkan di Shizen ialah pedang terbaik pada era itu. Maka perkampungan Shizen kerapkali dikunjungi para samurai yang mahukan pedang terbaik untuk kegunaan mereka.

 

Sampai di Shizen-machi, Kobato tertarik melihatkan orang ramai mengerumuni laman sebuah kedai, dengan bunyi ketukan tidak henti-henti kedengaran berselang-seli dengan hingar perbualan kerumunan itu. Dia menyertai mereka. Di hadapan mereka seorang tukang besi sedang sibuk menempa katana. Pembantunya menukul besi yang panas dan merah menyala itu sedang dia melipat-lipatnya. Kobato dapat merasa bahang dari rumah arang di hadapannya itu. Patutlah ramai berkerumun di sini, mereka kesejukan rupanya, getus Kobato. Ya, kesejukan, sambil mencuci mata melihat tukang pedang menempa pedang terbaik di Jepun. Kobato memandang papan tanda di hadapan kedai tersebut bertulis “Pedang terbaik dihasilkan di sini pada harga berpatutan!”.

 

Tukang besi itu kemudian mengalihkan besi tersebut masuk ke dalam bekas berisi air. Ketika dia memusingkan badannya, dia sempat memandang ke arah orang ramai yang sedang mengerumuni kedainya dan matanya terpaku melihat Kobato. Kobato juga terpaku melihat lelaki itu.

 

“Taka!” tukang besi itu melaungkan nama seseorang, sambil meletakkan besinya di atas sebuah sangga. Dia berhenti bekerja sebentar dan berjalan menuju ke arah Kobato.

 

“Engkau Taka bukan?”

 

“Bukan, aku anaknya, Kobato. Engkau Mitsuhide rakannya bukan?” Kobato pernah melihat Mitsuhide ketika kecil, ketika bapanya Taka membawanya bersiar-siar di pekan itu. Mitsuhide ketika itu bekerja di tempat membuat pedang di bahagian lain pekan itu, sebagai pelajar perantis.

 

“Engkau masih ingat aku lagi. Ke mana engkau menghilang Kobato? Mari, ikut aku.” Mitsuhide mempelawa Kobato mengikutnya ke sebuah kedai makan. Dia berkata sesuatu kepada pembantunya, dan pembantunya menganggukkan kepala, sebelum mereka berdua beredar.

 

**

 

Mereka berbual sambil makan tengahari di sebuah kedai makan di pekan itu.

 

“Selepas mendengar berita rumahmu dibakar, aku bergegas ke situ menaiki kuda. Namun yang tinggal hanya rumah yang rentung. Tiada kelibat mayat aku temui.”

 

“Aku diselamatkan seseorang ketika kebakaran berlaku. Jasad ibu bapaku yang rentung telah dibersihkan dari rumah itu, dan sisanya dibakar di tempat lain.” Kobato memaklumkan apa yang telah diberitahu kepadanya oleh Takasaki. Dia masih menyimpan abu mayat ibu dan bapanya di dalam sebiji botol yang diberikan Takasaki.

 

“Maafkan aku memanggilmu dengan nama bapamu. Engkau saling tidak tumpah sepertinya.”

 

Iye, betsu ni.”

 

“Mitsuhide, apa telah terjadi kepada sawah padi di Shizen-mura?”

 

“Selepas kebakaran itu, daimyo Hamada telah mengambil alih sawah padimu. Lama sawah itu dipegangnya. Hanya baru-baru ini, dia terpaksa memulangkan semua sawah-sawah di dalam Wilayah Shinagawa termasuk sawah bapamu kepada Maharaja, dan Maharaja telah memerintahkan agar ia diusahakan pengusaha-pengusaha persendirian yang mahir bagi meningkatkan hasilnya. Ia demi menjamin kecukupan bekalan padi kita. Engkau bukan tidak tahu padi digunakan untuk makanan dan juga pembuatan sake, dan permintaan terhadap padi semakin meningkat sejak Pemulihan yang diterajui Maharaja baru-baru ini.”

 

“Bagaimana mungkin aku boleh mendapatkannya kembali?”

 

“Tidak ada cara lain melainkan engkau perlu membelinya dari pengusaha itu. Mereka juga membelinya dari Maharaja. Apakah engkau berfikiran mahu membelinya?”

 

“Aku tidak pasti. Aku mahu memulakan kehidupan baru di sini dengan bersawah.”

 

“Apakah engkau punya wang untuk membeli sawah di situ? Engkau tahu bersawah?”

 

Kobato menggelengkan kepala seraya menjawab, “Aku hanya tahu sedikit kaedah menanam padi bukit, namun tidak ada wang untuk membelinya.”

 

“Padi huma berlainan, Kobato. Sawah memerlukan kos pengairan dan kaedah yang betul. Jika tidak, engkau tidak akan sempat menuainya sebelum musim luruh tiba.”

 

Kobato mendiamkan diri mendengarkannya. Mitsuhide tahu bezanya kerana dia pernah hidup dan bergaul dalam kalangan pesawah.

 

“Kobato, ke mana engkau menghilang selepas kebakaran itu?” Mitsuhide bertanya memecah diam.

 

“Aku tinggal di rumah penyelamatku di Hidagawa. Ia rumah anak yatim. Aku dibenarkan keluar selepas umurku mencapai lapan belas tahun, iaitu semalam.”

 

“Lama juga engkau tinggal di sana. Apakah engkau belajar kemahiran tertentu di sana untuk meneruskan hidup?”

 

“Pelbagai. Termasuk kemahiran berpedang dan berhuma. Aku juga belajar menempa pedang namun tidaklah semahir rakan-rakanku yang lain.”

 

Mitsuhide tersenyum mendengarkan Kobato telah belajar menempa pedang.

 

“Kobato, jika engkau tidak keberatan, aku kekurangan pembantu di sini. Aku perlukan perantis tambahan, jika engkau sudi menyertaiku. Samurai di serata Jepun datang ke sini menempah katana dan aku tidak menang tangan memenuhinya.”

 

“Benarkah begitu?” Kobato seperti baru melihat cahaya harapan di hujung terowong yang gelap gelita.

 

“Ya, benar. Malah tempat tinggal dan makanan juga disediakan jika engkau bekerja denganku.”

 

Kobato menundukkan kepala sambil berterima kasih kepada Mitsuhide. Dia menerima tawaran kerja itu tanpa banyak soal.


Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov