Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 92

 Seorang lelaki tua termengah-mengah turun dari kudanya, menemui Shizuo di rumahnya, di pinggir Kawamoto.

 

“Shizuo-san, tolong aku! Nezuko dan Seto tidak pulang sejak semalam!”

 

“Noguchi-san, bertenang. Ceritakan satu-persatu padaku.”

 

“Aku keluar mencari di sekitar kawasan di mana mereka selalu berkeliaran. Separuh hari aku mencarinya namun tidak ketemu. Mungkin mereka sesat atau telah diserang binatang buas. Tolong aku Shizuo!”

 

Shizuo tidak menyoal banyak, bergegas menaiki kudanya. Lelaki tua itu, Noguchi Takamine, menurut dengan kudanya. Mereka ke rumah Sonzaemon meminta meminjamkan Goro, hayabusa berderia tajam itu. Mujur Goro tidak digunakan pada hari itu. Sonzaemon masih tiada di rumah, maka mereka mengambilnya sahaja dari penjaga rumah itu. Goro bukanlah hak mutlak Sonzaemon, ia dipinjamkan kepadanya oleh Hagiura.

 

Goro membantu mereka menjejak anak-anak Noguchi yang hilang itu. Setelah hampir seharian mencari, mereka dibawa Goro ke sebuah rumah usang berhampiran Osaka, di tepi sebuah paya.

 

Di luar, kelihatan seorang lelaki sedang berkawal di luar rumah, lengkap dengan katana tersisip di pinggang, barangkali ronin. Terdapat kesan kecederaan yang baru di kakinya, dan pembalutnya masih dicemari darah.

 

“Orang muda, izinkan aku melihat rumah kalian. Lelaki tua ini telah kehilangan anak-anaknya.”

 

“Siapa engkau?”

 

“Aku rakannya. Mohon kalian benarkan kami...”

 

Lelaki itu menghunuskan katananya. Shizuo tidak berlengah. Dia tahu dia di lokasi yang betul, Goro tidak pernah menipu. Dan dia tahu dia perlu bertarung sekarang. Shizuo meminta Noguchi menjauhkan diri sebentar. Mereka bertarung. Shizuo menumpaskan lelaki itu dengan mudah.

 

Shizuo memasuki rumah itu perlahan-lahan. Tidak semena-mena ketika berada di dalam rumah itu seorang lelaki cuba memotong pinggangnya secara serang hendap, namun mudah ditewaskan Shizuo.

 

Shizuo terkesima melihat pemandangan di hadapannya.

 

Seorang remaja perempuan dan budak lelaki yang amat dikenalinya, digantung kedua-dua belah tangan mereka pada siling dengan tali panjang, tanpa seurat benang, dengan badan mereka penuh kesan kelar dan torehan, sedang mereka berdua dalam keadaan separa sedar. Mereka telah dinodai dan diseksa.

 

“Shi-zu-o...san...” Kedengaran suara gadis itu perlahan-lahan memanggil Shizuo. Seto di sisi tercungap-cungap menahan sakit. Shizuo pantas memotong tali yang menggantung mereka dan mengambil pakaian yang tersadai di situ seraya membaluti tubuh mereka. Noguchi tiba kemudian.

 

Nezuko dan Seto sudah nyawa-nyawa ikan.

 

Otou-san, go-men. (Ayah, maafkan aku.)” Nezuko menghembuskan nafas terakhirnya sebaik menghabiskan kata-kata itu.

 

Shizuo tidak dapat menahan sebak. Air matanya mengalir deras. Sudah lama dia tidak menangis begitu. Nezuko, seorang gadis baik yang diperlakukan sedemikian rupa. Nezuko yang telah menyelamatkan aku dari membunuh diriku sendiri ketika di tepi gaung itu.

 

Noguchi meraung menyaksikan keadaan kedua-dua anaknya mati dalam keadaan sekejam itu.

 

Tidak semena-mena seorang lelaki gempal muncul dari persembunyiannya dan membaling tantou ke arah Shizuo. Shizuo pantas mengelak. Sejurus itu, lelaki gempal menyerbu dengan pedang terhunus. Shizuo menangkis serangan itu. Menggunakan kaminari-no-kaze jurus ketujuh, dia menumpaskan lelaki itu dengan mudah.

 

“Siapa engkau?” Shizuo bertanya.

 

“Ta-ku-ya...” Lelaki gempal menyebut nama rakannya dalam keadaan tidak bermaya.

 

Takuya yang sedang nazak masih sempat bangkit mahu menusuk pedangnya ke pinggang Shizuo, namun Shizuo pantas melibas pedangnya membelah perut lelaki kurus itu. Sebaik menyedari lelaki gemuk itu juga bangkit mahu menusuk pedangnya, Shizuo meneruskan libasan sehingga turut memotong lengan lelaki gemuk itu. Kedua-dua penculik itu tidak sedarkan diri.

 

Mereka membawa pulang mayat kedua-dua gadis dan budak yang malang itu ke rumah Noguchi di dalam hutan Hidagawa, dan mengebumikan mereka di sana.

 

Di malam itu...

 

Ojii-san, aku tidak dapat menerima kematian mereka. Apa dosa mereka? Mereka hanyalah budak. Mereka hanyalah BUDAK!”

 

Shizuo-san, mungkin ini karma. Atas dosa yang telah kita lakukan memperdagang anak-anak orang lain.”

 

Benar. Mungkin ini karma. Aku menjual anak-anak gadis sebagai karayuki, namun aku tidak pernah melihat seorangpun dari mereka yang diseksa sebegitu rupa selepas dinodai. Sebinatang-binatang kami pun, kami tidak akan melakukannya. Kami hanya menculik dan menjual untuk hidup. Mereka yang melakukannya, lebih hina dari binatang! Mereka lebih layak dipenggal kepalanya, atau dihukum seppuku!

 

Aku sudah muak dengan semua ini. Aku mahu menamatkan semuanya. Jika Hamada perlu dipenggal, aku sanggup. Aku mahu menghentikan semuanya.

 

“Noguchi-san, aku mahu meninggalkan Hamada. Aku mahu menyertai Kogen. Aku mahu membela mereka yang senasib. Aku tidak dapat menerima kematian mereka!”

 

“Shizuo-san, aku juga. Aku akan menyertai Kogen. Aku akan pastikan golongan sebegini diperangi!”

 

Saat itu, baru Noguchi faham keperitannya apabila anaknya diperlakukan sedemikian rupa, sepertimana karayuki diperlakukan oleh pelanggan-pelanggan mereka. Karayuki yang dimabukkan dengan racun yang diciptanya, yang penawarnya disembunyikan dari pengetahuan Kogen yang sedang bertungkus-lumus menyelamatkan mereka. Noguchi melakukannya tanpa pedulikan gadis-gadis di luar. Dia menyesal melihatkan perlakuan binatang itu menimpa Nezuko. Bahkan, apa yang berlaku kepada Nezuko lebih teruk. Dia diseksa tanpa belas. Noguchi bertekad, dia mahu menamatkan semua ini, dengan membongkarkan penawar racun aotsuyu kepada Kogen.

 

Mereka menggenggam tangan masing-masing berjanji menawarkan nyawa mereka demi membela anak-anak yang senasib, seraya menunggang kuda ke Shirasaka.

 

Shizuo dan Noguchi bertolak ke Furukawa, pekan terdekat, bagi mengumumkan penyerahan diri mereka kepada Kogen, yang pada ketika itu bertindak sebagai proksi Maharaja. Kebetulan Ayame muncul di situ. Dia membuka topi kon yang dipakainya.

 

“Aku Shirasaka Ayame, ketua pengintip Kogen.”  Dia menanggalkan topi kon yang dipakaikan seraya menunjukkan logo Kogen asli yang tidak boleh ditiru, disorok di belakang topi kon tersebut.

 

Shizuo melopong, melihat seorang gadis di hadapannya. Cantik, fikirnya. Apakah dia sudah berpunya?

 

Noguchi menceritakan kisahnya, dan keinginan mereka menyertai Kogen. Ayame menerima pengakuan mereka.

 

“Jika kalian menipuku aku tidak akan teragak-agak untuk menangkap kalian dan kalian akan menerima hukuman yang berat. Seijuro, Takajiro!”

 

Dua orang pemuda keluar dari khalayak ramai yang memerhati mereka di pekan itu. Mereka adalah pengintip Kogen yang akan membantu Ayame membawa dua orang Hamada ini ke Shirasaka.

 

“Noguchi, Shizuo. Perkenalkan rakanku Hosokawa Seijuro dan Hosokawa Takajiro.”

 

Hosokawa bersaudara tunduk hormat mengadap Shizuo dan Noguchi.

 

“Sekali lagi, aku ulangi amaranku. Mereka berdua antara petarung terhandal kami yang mahir jurus kesembilan. Jika kalian cuba melakukan sebarang perkara mencurigakan mereka akan memotong lengan kalian, dan kemudian kaki kalian dan kemudian jika masih berterusan, kepala kalian.” Ayame tidak boleh bergurau dan berkompromi dengan orang-orang Hamada. Namun pada masa yang sama, dia perlu membawa pendirian Kogen yang amat menghargai mana-mana bekas samurai Hamada yang ingin menyerah diri dan menyertai mereka. Disebabkan itu dia bertegas dengan kata-katanya. Disebabkan itu juga, dia tidak menggunakan gelaran –san di hujung nama mereka, kerana dia memandang Shizuo and Noguchi sebagai pesalah yang dikehendaki Kogen, bukannya kerana tidak menghormati mereka. Terutama Noguchi yang bertanggungjawab mencipta racun aotsuyu.

 

“Kalian bergerak di hadapan kami. Sebelum itu, serahkan pedang kalian kepada kami.” Seijuro mengarahkan mereka. Ayame memimpin kumpulan berkuda itu menuju Shirasaka. Seijuro dan Takajiro mengekori di belakang. Noguchi tidak memiliki pedang. Shizuo menyerahkan pedangnya tanpa berfikir panjang, bagi membuktikan dirinya benar-benar ikhlas menyerah diri dan juga demi mendapatkan kepercayaan mereka.

 

**

 

Satu kumpulan berkuda melalui denai di celah-celah kawasan padi huma di Shirasaka-no-kogen, di hadapannya Ayame dan di belakangnya dua orang pengikutnya Seijurou dan Takajiro. Noguchi dan Shizuo yang menyerah diri berada di atas kuda masing-masing di tengah-tengah kumpulan itu.

 

Orang ramai mula berkumpul di tepi laluan denai itu. Mereka berbisik-bisik tentang dua orang tahanan itu.

 

Mereka dibawa ke dewan untuk mengadap Omi.

 

“Seijurou, Takajiro, kalian berjaga di sini. Aku serahkan mereka bawah jagaan kalian sebentar.”

 

Mereka berdua mengangguk. Ayame keluar bertemu Omi.

 

Ayame kembali tidak lama kemudian.

 

“Noguchi, Shizuo, kalian akan dikurung di dalam lokap kami. Ayuh!”

 

“Shirasaka-san, berapa lama kami akan dikurung?” Shizuo memberanikan diri bertanya Ayame.

 

“Aku tidak tahu. Terserah kepada Omi-san.”

 

Setiba mereka di bilik lokap, kedengaran suara bising dari bilik soal siasat di sebelahnya. Tsugaru dan Tetsugi sedang diikat tangannya dan digantung pada sebatang alang di atas mereka. Ryouji menyoal siasat mereka sambil menyeksa dengan besi panas.

 

“Selagi kalian tidak membuka mulut, aku tidak akan berhenti.”

 

“Aku tidak tahu. Engkau boleh seksa aku sehingga mati, aku tidak tahu. Tanyalah Noguchi.” Tsugaru memberi jawapan yang sama. Tetsugi sudah pengsan.

 

“Ryouji, apa kau buat di sini?! Di mana Goryuuin?” teriak Ayame. Goryuuin bertanggungjawab ke atas dua tahanan itu dan Ryouji selaku ahli pasukannya. Disebabkan dia tidak sihat, dia telah memberikan kunci kompleks lokap itu kepada Ryouji.

 

Ryouji tidak menjawab.

 

“Ryouji, hentikan semua ini. Bawa mereka untuk rawatan. Noguchi sudah menyerah diri.”

 

Tsugaru terperanjat mendengarnya. Bagaimana Noguchi tiba-tiba menyerah diri?

 

“Di mana dia, Ayame-san?!”

 

“Dia ada di dalam lokap itu.”

 

Ryouji berjalan dengan pantas ke arah bilik lokap yang menempatkan Shizuo dan Noguchi.

 

“Ryouji, tunggu!” Jerit Ayame.

 

Dia nampak Shizuo, dan sedikit terkejut. Namun orang tua yang duduk di sebelah Shizuo lebih menarik perhatiannya. Lelaki tua di sebelah Shizuo itu sudah pasti Noguchi!

 

“Engkau Noguchi ya! Engkau yang mencipta racun itu dan menyembunyikan penawarnya! Bangsat engkau Noguchi! Keluar dan bertarung denganku!”

 

Ayame pantas meluru ke arah Ryouji bagi mengelakkan perkara lebih buruk.

 

“Ayame, benarkan aku masuk ke dalam. Aku mahu membelasahnya cukup-cukup!”

 

“Bertenang Ryouji. Aku tidak boleh membenarkan engkau masuk ke dalam. Ayuh, kita keluar.”

 

Ryouji tidak berpuas hati. Dia tahu Ayame memegang kunci lokap itu. Pantas dia cuba merampasnya, namun Ayame mengelak dan menetak salah satu mata urat di belakang tengkuk Ryouji. Dia pengsan serta-merta.

 

Ayame keluar dari kompleks lokap dan bertemu Seijurou.

 

“Seijurou, tolong aku angkut budak itu keluar. Dia pengsan di dalam.”

 

Sementara itu di dalam lokap...

 

“Engkau kenal budak itu Shizuo?”

 

“Aku pernah bertarung dengannya di hutan Hidagawa. Dia anak Miura.”

 

“Beberapa hari lepas ketika di Saikawa, aku berjaya menyuntik aotsuyu pada adik perempuannya. Namun adiknya diselamatkan oleh Kogen. Aku fikir mungkin sebab itu dia terlalu marah.”

 

“Jika dia anak Miura bererti dia sama seperti keluarga yang membangunkan tempat ini Shirasaka-no-kogen, dan mereka bertarung pantas seperti hayabusa.”

 

“Benar. Aku telah dikalahkan dalam pertarungan di hutan itu.”

 

“Aku tahu. Nezuko dan Seto menemuimu sedang berdiri di tepi gaung. Engkau malu di atas kekalahan itu dan mahu melakukan seppuku.”

 

Shizuo menahan malu.

 

“Sebetulnya aku tidak benar-benar mengenali Miura sewaktu aku berkhidmat kepada Hamada dahulu.” Noguchi beralih ke topik lain. Dia menyambung, “Dia ditempatkan di sepanjang laluan Nakasendo. Hanya selepas Hamada naik hantu, Miura dipindahkan ke Kawamoto melapor terus kepadanya. Aku lihat wajahnya sering suram tidak seperti sewaktu mula-mula dia berpindah ke Kawamoto.”

 

“Dia tidak gembira meskipun dinaikkan pangkatnya. Dia tidak gembira dengan perbuatan Hamada.”

 

“Bukan dia seorang, Noguchi. Takasaki pun. Aku, dan Saitou dan pengikutnya. Ramai lagi. Tsugiyama juga. Namun Tsugiyama itu sadistik, dia punya masalah mental sama seperti Hamada. Kadangkala dia berbunyi sesal, dan kadangkala dia menyuarakan keseronokan membunuh mangsanya terutama dengan membakar. Dia punya masalah bipolar. Aku tahu rumahnya dibakar perompak sewaktu kecil dan dia diambil oleh keluarga Yoshitsugu. Mungkin trauma akibat itu. Namun jika tidak kerana peristiwa kebakaran itu, mana mungkin aku dapat mengenali Tsugiyama. Aku juga anak yatim yang diambil oleh keluarga Yoshitsugu.”

 

“Tsugiyama, mati dibunuh oleh isteri Takasaki sendiri. Dan dia mati dipanah Tatsuya. Itu yang diberitahu Hagiura.”

 

“Malang baginya. Menerima karma sebegitu di atas segala onarnya. Sedang aku masih hidup di dunia ini. Mungkin Tuhan masih memberikan aku peluang berubah. Jika difikirkan kembali, aku masih tidak dapat menerima kematian Nezuko dan Seto. Maafkan aku Noguchi membangkitkannya semula. Jika mereka tidak memujukku di tebing gaung itu...”

 

Noguchi sudah menitiskan air mata. Shizuo menepuk-nepuk belakang lelaki tua itu.

 

Mungkin di luar sana, berapa ramai lagi ibu bapa yang menangisi kehilangan anak-anak mereka gara-gara perbuatan mereka berdua dan rakan-rakan persepakatannya.

 

**

 

Selepas setahun lebih mangsa-mangsa aotsuyu di Kogen terlantar, Shinji menemui sesuatu yang aneh pada salah seorang dari mereka bernama Shiori. Berbanding mangsa lain, Shiori mangsa terawal di situ dan telah terlantar hampir dua tahun.

 

Shinji menelaah laporan jururawat di situ yang merekodkan kekerapan mangsa-mangsa membuang air kecil, dan mendapati Shiori yang paling kerap ke tandas dalam sehari. Perkara ini meruntun rasa ingin tahu Shinji. Dia mengarahkan jururawat mengambil sampel darah setiap pesakit. Shinji terkejut mendapati kandungan aotsuyu baharu dalam darah mereka berkurang meskipun sedikit berbanding beberapa bulan lepas. Namun pengurangan yang paling ketara adalah pada tubuh Shiori. Berdasarkan dapatan itu, Shinji menaakul bahawa Shiori paling hampir kepada pemulihan penuh berbanding mangsa yang lain. Dan ia berlaku tanpa sebarang penawarpun, selain dari penawar aotsuyu lama yang dicipta Kotobuki itu yang berperanan memperlahankan serapan aotsuyu lama ke dalam darah.

 

Tempoh hari, jururawat di situ juga ada menegur Shinji berkenaan Shiori. Shiori sudah mula tahu meminta makanan dan bergerak sendiri ke tandas tanpa perlu dipapah, dan dia sudah mula menulis sesuatu di atas kertas meskipun amat lambat dan tulisannya kurang difahami. Shiori ialah seorang gadis berumur sebaya Shinji sekitar empat belas tahun, bertubuh kurus dan cekung disebabkan terlalu lama terlantar di situ, dan bermata satu kelopak dan sedikit sepet. Wajahnya kecil, kuning dan sedikit berjerawat dan bergigi arnab. Dia memakai yukata berwarna biru gelap.

 

Dia, dengan diiringi jururawat Kogen, melakukan soal selidik.

 

“Shi-o-ri, namamu bukan?”

 

Shiori mengangguk. “Eng-kau, Shin-ji?”

 

Shinji terkejut. Bagaimana dia tahu namaku? Oh ya, barangkali dia memerhati jururawat di situ memanggil namaku. Nampaknya penglihatan dan pendengaran Shiori sudah peka, dan otaknya sudah mampu memproses input. Tandanya sasaunya sudah beransur kurang. Maka benarlah taakulanku bahawa kesan racun itu sudah berkurang.

 

“Di ma-na a-dik-ku? Ka-kak-ku?”

 

“Mereka ada di sini, Shiori. Mereka selamat di sini.”

 

“A-ri-ga-tou, Shinji.” Air mata Shiori mengalir perlahan menuruni wajahnya yang sedikit berjerawat dan kuning itu.

 

Shinji tidak dapat menahan sebak lantas beredar mempertahankan egonya. Jururawat di situ hanya memerhati kelakuan Shinji kemudian tersenyum.

 

Shinji menemui Kotobuki di koridor hadapan pusat rawatan itu, sedang berdiri sambil termenung menghirup udara segar.

 

“Kotobuki-san, engkau tidak rasa pelikkah?” Shinji menegur tiba-tiba. Kotobuki sedikit tersentak, seraya menoleh.

 

“Ah, Shinji, engkau rupanya. Pelik tentang apa?”

 

“Racun aotsuyu itu bertindak hanya selepas diserap masuk ke dalam salur darah bukan? Jika demikian sudah pasti kesannya akan hilang selepas ia keluar sebagai bahan kumuh seperti air kencing?”

 

“Benar, Shinji.”

 

“Aku fikir Kotobuki-san, penawar aotsuyu lama itu berjaya melambatkan serapannya ke dalam darah.”

 

“Ya. Memang itu yang aku cuba capai.”

 

“Adakah kerana engkau mahu memastikan mereka dapat kembali kepada keadaan asal sekiranya penghasilan penawar memakan masa terlalu lama?”

 

“Bijak engkau. Benar. Aku bimbang saraf mereka akan dirosakkan sebelum sempat kita menemui penawarnya. Jika saraf dirosakkan, ia tidak akan dapat diundur kembali.”

 

“Jadi mereka perlu menanggung derita ini lama agar kita dapat mencuri masa bagi menghasilkan penawar... kasihannya.”

 

“Adakah engkau juga fikirkan perkara ini? Iaitu menghentikan pemberian penawar aotsuyu lama selepas kuantiti racun itu dalam darah mereka berkurang ke tahap yang selamat? Maksudku tahap yang selamat itu ialah tahap di mana tanpa penawar aotsuyu lamapun, mereka masih boleh diundur ke keadaan asal.”

 

“Benar Shinji. Memang itu yang aku fikirkan. Bahkan selepas mereka tiba di tahap itu, jika dibiarkan tanpa penawar aotsuyu lama, mereka akan beransur pulih sendiri. Namun ia akan memakan masa dan bergantung kepada tahap serapan semulajadi mereka. Engkau menemui sesuatu, Shinji?”

 

“Ya. Shiori mula menunjukkan tanda-tanda kesembuhan. Berselari dengan tahap kumuhan yang tinggi berbanding mangsa lain. Aku fikir tahap kumuhan itu mewakili tahap serapannya, yang kufikirkan lebih tinggi dari mangsa-mangsa lain.”

 

“Ia ada kaitan. Namun tidak kuat. Barangkali dia punya ginjal yang lebih kerap bekerja maka dia akan kerap membuang air kecil. Setiap manusia memiliki tahap kecekapan organ yang berbeza. Namun menyimpulkan yang dia juga punya tahap serapan semulajadi yang tinggi, agak kurang tepat. Mungkin apa yang aku boleh katakan, dia kerap membuang air kecil maka dia akan kerap dahaga dan kerap meminum air. Kerap meminum air akan mempercepatkan proses pengurangan racun di dalam darahnya.”

 

Shinji mengangguk. Kata-kata Kotobuki bertepatan dengan logik dan mudah diterima.

 

“Apapun Kotobuki-san, engkau bersetuju jika kukatakan bahawa kita tidak perlupun penawar untuk racun itu? Hanya menunggu tahap racun dalam darah mereka turun ke tahap selamat dan kemudian kita menghentikan pemberian aotsuyu lama, mereka akan sembuh sendiri selepas tahap racun itu turun sepenuhnya?”

 

“Tidak tepat Shinji. Kita masih memerlukan penawar. Jika aku tidak menyuntik penawar aotsuyu lama, barangkali mangsa-mangsa ini akan sasau selamanya kerana menyerap racun itu dengan pantas. Oleh itu kita masih memerlukan penawar baru sekiranya penawar aotsuyu lama tiada akibat pelbagai sebab. Dan dengan adanya penawar baru, penyembuhan akan lebih pantas dan kita akan dapat menampung lebih ramai mangsa yang lain di sini.”

 

“Engkau fikir Noguchi ada penawarnya?”

 

“Ya. Jika tidak bagaimana Tatsuya yang telah disuntik racun tersebut oleh Chisato boleh kembali menyerang rumah kalian? Aku mendengar dari Ryouji, Tatsuya pengikut Tsugiyama telah memanah mati Mariko, sedang dua orang lagi sedang dalam tawanan kita. Aku berharap si tua bangsat Noguchi itu menyerah diri. Jika dia menyerah diri aku bersedia memaafkannya, namun sedikit hukuman perlu dikenakan sebagai pengajaran.”

 

Aku sedikit lega mendengarkan kata-kata Kotobuki berkenaan kebolehan mangsa sembuh sendiri. Ini bererti kami masih punya harapan. Ryouji akan dapat menemui kembali kekasih dan adiknya, Chinami dan Chiho akan dapat kembali bertemu kakak mereka, dan Shiori akan kembali bertemu kakak dan adik mereka. Namun ia akan memakan masa sedikit. Aku harap mereka akan terus kuat dan bersabar. Kami-sama, onegai! (Tuhan, tolong kami!)

 

**

 

“Di mana aku?”

 

Hisamiko berdiri di atas pasir pantai. Angin bertiup sederhana kuat. Di hadapannya lautan lepas. Cuaca di situ berangin dan redup. Ia nampak seperti sebuah pulau.

 

Onii-san! Onii-san! Onii-san!

 

Hisamiko memekik memanggil Ryouji. Dia mundar-mandir di sekitar kawasan itu. Tiada seorangpun yang kelihatan selain dirinya dan pokok-pokok kelapa tinggi lampai yang daunnya melambai-lambai ditiup angin pantai.

 

Hisamiko terus berjalan, sehingga dia menemui longgokan batu-batu besar. Dia nampak seorang gadis sedang duduk di atas salah sebuah batu besar. Dia menegur gadis itu.

 

Nee-sanNee-san.”

 

Tiada sahutan. Gadis itu masih duduk termenung memandang lautan lepas.

 

Nee-san.” Hisamiko memanjat seketul batu besar di belakang batu yang diduduki gadis itu, seraya menyentuh bahunya. Gadis itu menoleh.

 

Hisamiko terperanjat melihat wajahnya dengan air mata mengalir membasahi pipi. Namun wajahnya sungguh jelita, cerah kekuningan. Matanya ruyup ke sisi seperti dirinya, dua kelopak, sedikit sepet. Rambutnya hitam diikat dengan satu ikatan, ekor kuda. Gadis itu memakai yukata lusuh berwarna biru gelap dengan hakama umanori lusuh berwarna kelabu. Di pinggangnya tersisip pedang bersarung yang kelihatan pendek dan kecil lebarnya. Hisamiko menatap penuh gadis itu, dia muda, sekitar dua puluhan, dan wajahnya ada iras-iras Ayame terutama pipinya. Namun mata gadis itu seperti matanya. Begitu juga mulutnya.

 

Namun ada sesuatu pada wajah gadis itu yang amat memeranjatkan Hisamiko.

 

Dia punya taring di kedua-dua belah atas giginya, terkeluar sedikit dari mulutnya yang kecil. Ada bulu-bulu putih pada keningnya. Telinganya sedikit besar dari telinga manusia biasa dan menajam ke udara, keluar dari celah rambutnya yang panjang dan hitam dan lembut seperti sutera.

 

“Siapa engkau, nee-san?” Hisamiko memberanikan diri bertanya. Hisamiko menutup mulutnya, masih dalam keadaan terperanjat dan gentar. Namun gentarnya sedikit termamah oleh kejelitaan gadis itu.

 

Kaisenjyo.”

 

Kaisenjyo?”

 

Gadis itu mengambil kayu terbakar yang tersisa di atas batu lain, dan dia mengambil batu yang sebesar tapak tangannya, kemudian menulis sesuatu menggunakan hujung hitam kayu itu ke atas batu kecil dan memberikannya kepada Hisamiko.

 

Hisamiko membaca. “Kai-sen-jyo. Gadis, tempur, samudera? Apa maksudmu, nee-san? Engkau petarungkah?”

 

“Aku menjaga pulau ini dari penceroboh. Sesiapa yang cuba mendekati pulau ini akan kubunuh.”

 

“Mengapa engkau tidak membunuhku?”

 

“Aku tidak boleh memberitahumu, Hisamiko. Engkau satu pengecualian.”

 

Hah? Bagaimana dia tahu namaku?

 

“Bagaimana engkau tahu namaku, nee-san?”

 

“Aku tidak boleh memberitahumu.”

 

“Mengapa engkau di sini?”

 

“Demi bumi Yamato dan keamanan yang telah dibina Maharaja, aku harus dikurung di sini.”

 

“Apa yang telah engkau lakukan?”

 

“Mereka mengesyaki aku mahu menggulingkan Maharaja dan kerajaannya. Sedangkan aku hanya mahu melindungi baginda dengan pedangku.”

 

“Siapa mereka?”

 

“Kerajaan baginda dan orang-orangnya.”

 

“Mereka begitu gentar denganmu sehingga mengurungmu di sini?”

 

“Aku petarung terhandal pada era ini. Aku tidak boleh dikalahkan hatta dengan peluru tanegashima sekalipun. Namun apabila ajalku tiba, aku pasti akan mati jua.”

 

“Bagaimana dengan keluargamu? Rakan-rakanmu?”

 

“Mereka semua sudah pergi. Ada yang pergi kerana melindungiku. Ada yang pergi kerana dibunuhku demi melindungi Maharaja.”

 

“Engkau sungguh menyedihkan, nee-san.”

 

“Ya, aku menyedihkan! Aku ingin membunuh diriku, namun hatiku berbolak-balik. Jika aku melakukannya, pemergian mereka yang melindungiku akan jadi sia-sia.” Dia kembali memaling muka mengadap lautan, cuba mengelak dari menayangkan wajahnya yang kembali mengalirkan air mata kepada Hisamiko.

 

Hisamiko memeluk gadis yang menggelarkan dirinya Kaisenjyo itu dari belakang dan menyandarkan pipinya ke belakang tubuh gadis itu. Gadis itu hanya menyambut pelukan Hisamiko dengan memegang tangannya.

 

Arigatou, Hisamiko.”

 

Nee-san, walau apapun yang berlaku, teruskan hidupmu. Walau apapun yang sudah tertulis, laluinya. Lalui dengan hati yang kental. Jika engkau mahu menangis, lakukan. Jika engkau perlukan bahuku, aku akan sentiasa di sini.” Hisamiko seolah-olah mengulang kembali nasihat Azuchi kepadanya sewaktu di hutan Hidagawa.

 

Hontou ni arigatou, Hisamiko. Engkau budak yang baik.” 
Previous: Bab 91
Next: Bab 93

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov