Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 51

Setelah selesai pertemuan dengan Omi, mereka segera bergerak menuju rumah Ryouji dengan kuda masing-masing.

 

Dalam perjalanan, Ryouji perasan seekor hayabusa sentiasa terbang di atas mereka.

 

“Ayame-san, itu hayabusa kamu?”

 

“Benar. Dia memerhati individu mencurigakan dan memberitahuku arah perjalanan yang bebas gangguan.”

 

“Apakah dia punya nama?”

 

“Dia memintaku memanggilnya Momoyama. Aku memanggilnya Momo-chan. Pada mulanya dia tidak suka, namun lama-kelamaan dia terbiasa dengan nama itu.” Ayame ketawa kecil. Pertama kali aku melihat Ayame tersenyum, bertambah seri wajahnya di balik topi kon yang besar itu, getus Ryouji.

 

“Adikku Hisamiko juga punya seekor. Dia menerima nasib yang sama sepertimu.”

 

“Azuchi nama burung itu bukan?”

 

“Hisamiko sudah bertemumu?”

 

“Tidak, Momo-chan yang memberitahuku. Ryouji, setakat manakah Hisamiko sudah diajar?”

 

“Maksudmu?”

 

“Seni kaminari.”

 

“Setakat jurus keenam. Namun amat sukar mendapatkan perhatiannya agar mengikut arahanku. Dia belajar dari pemerhatian dan kemudian mempraktikkan sendiri. Kadangkala melebihi apa yang sepatutnya dia tahu.”

 

Sou desuka?”

 

**

 

Mereka tiba di rumah itu setelah hampir senja. Ayame sudah pulang semula ke kuil Furukawa maka hanya Tsushiko yang mengikut Ryouji ke rumah perlindungan.

 

“Lama benar aku tidak ke sini. Tadaima, Okuhida-san.” Tsushiko bersuara sebaik mereka tiba ke gerbang buluh.

 

Okaerinasai, Goryuuin-san.” Ryouji membalas.

 

Setibanya di rumah, kelihatan bantuan Kogen sudah tiba. Hatsuki dan Natsuki, dari sebuah rumah perlindungan di Shinagawa datang bertemu Ryouji.

 

“Ryouji, ohisashiburi, panjang umurmu. Takziah atas pemergian Takasaki-san.” Hatsuki berkata kepada Ryouji.

 

“Terima kasih kalian kerana sanggup datang ke sini.”

 

Betsu ni, Ryouji. Memang tugas kami.”

 

“Aku mahu melihat tawanan kami sebentar di sebelah bilik relau.

 

Di sebelah bilik relau, terdapat sebuah bilik stor, tempat menyimpan tamahagane dan tempat Shinji menyimpan prototaip rekaan-rekaannya. Di situ tawanan Tsugiyama diikat dan diletakkan. Bilik stor itu dilengkapi tandas dan bilik kolah mandi persis bilik biasa. Oleh kerana bilik relau terpisah dari kompleks bangunan rumah utama, maka ia memerlukan tandas dan bilik mandi sendiri.

 

Bilik itu dikawal oleh dua orang ahli Kogen yang tinggal di rumah itu sejak Takasaki meninggal dunia. Ryouji ke sana seorang diri.

 

“Siapa namamu?

 

“Tsugaru.”

 

“Dan kamu?”

 

“Tetsugi.”

 

“Aku akan melepaskan kalian jika memberitahuku di mana penawar aotsuyu baru yang digunakan Tsugiyama.”

 

“Kami tidak tahu.”

 

“Aku tidak mempercayai kalian. Aku akan beri kalian masa. Atau kalian aku hantar ke Kogen. Di situ kalian akan diseksa sehingga kalian membuka mulut.”

 

“Seksa kami sehingga mati pun, kami tidak tahu.”

 

Ryouji  beredar dan mengunci bilik tersebut.

 

“Tetsugi, agak-agak bila Tsugiyama akan kembali?” Tsugaru bertanya.

 

“Aku tidak tahu, Tsugaru. Aku yakin dia akan membalas dendam dalam masa terdekat. Aku nampak Goro terbang berlegar dari celah tingkap itu tadi.”

 

**

 

“Goryuuin-san...” Ryouji memandang Goryuuin. Goryuuin mengangguk.

 

Malam itu, Ryouji memanggil semua penghuni rumah.

 

“Shirasaka Omi, pemimpin Kogen telah mengarahkan kita meninggalkan rumah ini secepat mungkin. Dia juga mengarahkan rumah ini dibakar termasuk segala isi perpustakaannya.”

 

Shinji mengangkat tangan. “Ya, Shinji.”

 

“Dalam perpustakaan itu ada rekod-rekod penting penyiasatan Kogen. Apakah perlu dimusnahkan juga?”

 

“Ya, Shinji. Kogen memiliki salinan naskhah asal di Shirasaka.”

 

“Bagaimana dengan bengkel relau dan peralatan di dalamnya? Lombong sulfur? Kebun padi huma?”

 

“Biarkan dalam keadaan sekarang. Hanya rumah ini sahaja yang akan dibakar. Shinji, engkau telah menghafal kaedah pembuatan Saishi-tou bukan?

 

“Ya, Ryouji”

 

“Sekiranya engkau ada menulis kaedah tersebut di mana-mana, hapuskan ia. Shinji, sekiranya engkau ada hasil ujikaji perkara-perkara lain yang tidak sempat dihafal namun telah dirakamkan dalam buku catitan, bawa sekali bersamamu.”

 

Shinji mengangguk.

 

“Kalian semua, bawa barang yang penting sahaja. Termasuk senjata kalian. Hisamiko, Chinami dan Chiho, tantou kalian. Tsuneki, busur dan panahmu. Shinji, senjata apimu. Dan Mariko-san, Saishi-toumu. Kita akan melarikan diri dalam masa terdekat.” Sambil Ryouji menyebut nama-nama itu dia memandang penamanya tepat.

 

“Ke mana kita akan melarikan diri, Ryouji?” Tsuneki mengajukan soalannya.

 

“Kita akan melarikan diri dan tinggal di utara, berhampiran Shirasaka.”

 

“Kami memiliki sebuah kawasan yang dilindungi dari penceroboh yang terletak rendah sedikit dari tanah tinggi Shirasaka. Ia amat dekat dengan tanah tinggi tersebut. Maafkan kami kerana tanah tinggi itu sudah padat dan tidak mampu menampung tambahan penghuni, maka Omi-san telah menempatkan kalian di kawasan ini.” Goryuuin menambah.

 

“Oh ya, maaf, izinkan aku perkenalkan diri. Aku Goryuuin Tsushiko, ketua misi-misi khas Kogen. Aku pernah tinggal di sini dua tahun, dan Mariko-san mengenaliku. Ohisashiburi, Mariko-san.”

 

Semua terpegun memandang Goryuuin sebaik mendengar suaranya. Mariko hanya menganggukkan kepala, namun dia kelihatan suram melihatkan kedatangan Tsushiko dan ahli rumah perlindungan dari Shinagawa.

 

“Baiklah, ada apa-apa soalan lagi?”

 

Semua diam.

 

“Baiklah, kita berhenti di sini dahulu.”

 

Selepas semua beredar, Ryouji menemui Mariko.

 

“Mariko-san, maafkan aku bertanya, apakah Takasaki-san ada berpesan apa-apa sebelum dia pergi?”

 

“Ryouji, jika engkau ingin berpindah, pergilah bersama mereka semua. Aku ingin kekal di sini.”

 

“Mariko-san...”

 

“Aku tidak akan kembali lagi ke sana. Aku tidak mahu lagi berada di bawah telunjuk lelaki tua itu.”

 

“Omi-san telah mengarahkan agar rumah ini dibakar...”

 

“Persetankan!”

 

Ryouji terkejut mendengarkan kata-kata Mariko.

 

“Mariko-san, engkau tahu berkenaan tama-no-iwa bukan?”

 

Mariko terus mendiamkan diri.

 

“Orang-orang Tsugiyama hampir menceroboh rumah ini jika aku tidak menghalangnya semalam. Mengapa engkau tidak memberitahuku?”

 

Mariko masih mendiamkan diri.

 

“Mariko-san?”

 

“Ryouji, tinggalkan aku. Aku tidak akan mengikutmu ke Kogen.”

 

“Jika itu yang engkau mahukan, aku tidak menghalang. Akan tetapi rumah ini akan dibakar. Ia arahan Kogen. Bahkan, Takasaki juga telah memberitahu mereka yang kita perlu melarikan diri selepas dia meninggal dunia. Namun engkau memilih untuk menangguhkannya sehingga tama-no-iwa runtuh dan membahayakan nyawa kami.”

 

“Bayangkan Mariko-san, jika orang-orang Tsugiyama sempat masuk dan membunuh penghuni-penghuni yang masih belum mahir bertarung semalam. Engkau bertanggungjawab ke atas perbuatanmu!”

 

Ryouji meninggalkan Mariko.

 

Mariko-san, aku amat berharap engkau fikirkan kembali keputusanmu. Kami juga tidak sanggup kehilanganmu. Cukuplah dengan apa yang berlaku ke atas Takasaki.

 

**

 

Onii-san, sebentar.” Hisamiko memanggil abangnya menunjukkan isyarat dia mahu membisik.

 

Ryouji mendekatkan telinganya dengan mulut Hisamiko.

 

Onii-san, tadi Azuchi memberitahuku yang dia ternampak seekor hayabusa yang besar terbang ke bilik sebelah bilik relau. Dia melihatnya berlegar-legar di atas bilik itu, kemudian menghalaunya.”

 

“Terima kasih Miko.” Dia menepuk lembut kepala Hisamiko.

 

Aku tahu itu Goro. Tsugiyama sudah tahu lokasi tawanan kami. Mereka tidak akan memusnahkan bilik setor ini selagi dia tidak berjaya mendapatkan tawanan kami. Dan pastinya dia tidak jauh dari sini, merancang melakukan serangan dalam masa terdekat.

 

Aku yakin, Tsugiyama akan membuat serangan hendap dalam masa terdekat untuk membalas dendam. Aku harus berjaga-jaga dan peka.

 

“Sebentar onii-san.” Hisamiko memanggil Ryouji ketika dia mahu beredar.

 

“Bagaimana dengan nee-chan?”

 

“Dia masih tidak sedarkan diri. Kotobuki sedang merawatnya di Shirasaka.”


Hisamiko membuat isyarat sambil memandang ke arah lain.

 

Chinami dan Chiho keluar dari persembunyian mereka. “Okuhida-kunarigatou...” mereka sama-sama tunduk kepada Ryouji.

 

Doumo.” Ryouji menjawab ringkas, tunduk, dan segera beredar. Dia tidak mahu bercerita panjang. Penawar racun yang disuntik ke tubuh Chisato masih belum ditemui. Dengan kata lain, Chisato akan berada dalam keadaan sasau sehinggalah penawarnya ditemui, atau sasau selama-lamanya. Dan dia fikir sekarang bukanlah masa yang sesuai menceritakannya kepada Chinami dan Chiho.

 

Menakutkan. Ryouji menggigil membayangkannya. Segala apa yang aku impikan selama ini akan musnah. Memang, aku akan pergi dalam masa beberapa tahun. Dan semua kesedihan ini akan lesap jua. Namun bagaimana sekiranya sumpah itu terangkat? Apakah aku mampu hidup tanpa Chisato selama-lamanya?

 

Ryouji memandang lengan kanannya. Tanda hitam itu mula mendatangkan bibit-bibit menyakitkan setiap kali dia menggerakkan tangan tersebut dengan kuat, dan ia semakin jelas. Namun kejadian di mana tangan itu tidak boleh digunakan tidak lagi berulang sejak ia berlaku sekali di Kisennuma. Mujur. Jika tidak mungkin aku telah dibunuh Sonzaemon dan pengikutnya di Furukawa, atau mungkin, ketika bertarung dengan Shizuo, Kobato dan Tsugiyama dan pengikutnya. Kerana aku tidaklah terlalu cekap menggunakan tangan kiriku.

 

Malam itu juga Ryouji mengumumkan kepada ahli rumah tersebut yang mereka akan melarikan diri awal pagi esok dan mereka harus bersedia malam itu. Ryouji, Hatsuki, Natsuki dan Tsushiko dan dua orang ahli Kogen bergilir-gilir memerhati rumah itu pada malam tersebut.

 

Perancangan Ryouji esok ialah, keluar dari rumah itu dengan sepantas mungkin tanpa seorang pun ditangkap atau dibunuh, dan membawa tawanannya ke Kogen. Selagi boleh dia tidak mahu menumpahkan darah. Selagi boleh. Tawanan itu akan dibawa dua ahli Kogen tersebut dengan kuda mereka. Hatsuki, Natsuki, Tsushiko masing-masing akan membawa Shinji, Tsuneki dan Chiho atau Chinami. Dari dua baki kuda yang kami ada, satu akan kuberikan kepada Hisamiko dan dia akan membawa salah seorang dari Chinami dan Chiho. Kuda kedua akan ditinggalkan untuk Mariko. Setelah mereka semua berlepas, aku akan menunggu di sini dan cuba memujuk Mariko.


Previous: Bab 50
Next: Bab 52

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov