Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 43

"Takasaki-san, aku mahu keluar."


"Engkau mahu mengejar Kobato, bukan?"


Ryouji mengangguk. Dia fikir dia perlu mendekati Kobato dan memujuknya. Kobato adalah teman rapatnya meskipun cuma setahun mereka berkenalan. Kobato kerap berbincang hal peribadi dengannya.


"Ryouji, aku tidak benarkan."


"Maka aku terpaksa mengingkarimu."


"Ryouji!" Melihatkan Ryouji mulai bergegas menuju ke gerbang buluh, Takasaki berkeras menahannya.


"Tidak bolehkah engkau dengar kataku sebentar?! Aku tahu di mana tahapmu. Engkau bukan tandingan Kobato."


"Maksudmu?" Ryouji bertanya perlahan, nadanya keletihan. Letih dengan Takasaki yang gemar menerangkan perkara baru yang dia tidak tahu yang banyak mengubah rancangan dan juga apa yang dia fikirkan berkenaan sesuatu.


"Ketika dia bertarung denganku tempoh hari, kepantasannya luar biasa. Ia di antara jurus kelapan dan kesembilan. Ia boleh dicapai dengan tumpuan yang penuh, barangkali zen."


"Zen? Takasaki, aku tidak faham apa yang engkau karutkan. Aku mohon engkau tidak menghalangku. Dan jika benar katamu, bagaimana pula engkau boleh mengalahkannya?"


"Nasibku baik pada hari itu. Dia masih mentah dalam menstabilkan diri pada kepantasan itu. Ketika dia tidak sengaja memperlahan di jurus tujuh, aku mengambil kesempatan menyungkurkannya."


"Ryouji, Kobato memilih untuk melepaskan segala-galanya dan menyasarkan aku sebagai sasaran utama hidupnya, mungkin itu membolehkannya mencapai zen tanpa disedari, yang mungkin kunci kepada jurus kesembilan kaminari. Engkau mungkin akan dibunuhnya. Kobato yang datang pada hari itu bukan lagi Kobato yang  engkau kenali."


Ryouji duduk di atas teratak kerikil itu, membantutkan perjalanan ke gerbang buluh.


"Ryouji, fikir. Tidak berbaloi engkau keluar begini. Engkau pun belum menguasai jurus kesembilan. Aku fikir engkau perlu menguasai jurus kesembilan dahulu jika engkau mahu bertemunya."


Ryouji diam dan terus duduk di atas teratak kerikil itu, cuba menghadam kata-kata Takasaki. Dia menutup wajah dengan tangan. Kobato, apa yang membuatmu berubah begini? Perlukah aku mengorbankan persahabatan kita dengan mempercayai Takasaki? Engkau keseorangan bukan? Engkau tiada ibu, tiada bapa, tiada kekasih, tiada adik-beradik, tiada rakan. Siapa lagi yang akan mendengarmu selain aku?


Kobato, engkau seorang yang kasihan. Ryouji membuka tekupan tangannya. Matanya berair. 


Hisamiko dan Chisato sedang memerhatinya dari dataran luas. Mereka sudah bersiap sedia mengekori Ryouji sekiranya dia keluar tanpa kebenaran lagi. Azuchi pula seperti biasa sedang bertenggek melihat drama itu dari atas pohon shirakaba.


**


Awal musim panas, 1871 (selepas misi pertama Ryouji dan selepas Kobato pulang dari menyerang Takasaki)

 

Saki mencari-cari di manakah buku berkenaan senjata seperti yang pernah dilihatnya di dalam perpustakaan itu lebih setahun yang lalu, ketika Kobato memintanya mengkaji latar belakang Takasaki. Dia ada ternampak buku itu di atas meja Shinji namun sekarang sudah tiada. Mungkin diletakkan kembali di rak yang betul.

 

Di dalam buku itu mungkin terkandung seni pembuatan senjata termasuk katana.

 

Semalam, Saki menerima surat dari Kobato, memintanya mencari ramuan katana yang digunakan Takasaki, yang membolehkan dia meningkat ke jurus tinggi kaminari-no-kaze.

 

Kobato kerap mengutus surat kepada Saki sejak meninggalkan Mitsuhide si tukang pedang itu. Dia berpura-pura menyukai Saki, sedangkan dia punya motif terselindung. Isi-isi surat yang dihantar adalah ayat-ayat dan janji-janji manis. Sehinggalah surat yang terbaru, yang berisi permintaan kedua sejak kali pertama dia meminta tolong Saki.

 

Saki, aku memerlukan pertolonganmu. Rompakan kerap berlaku di Nakasendo baru-baru ini. Perompak di situ menggunakan pedang yang lebih ringan. Aku yakin Takasaki tahu bagaimana membuatnya. Dapatkan aku cara dan bahan yang diperlukan bagi menghasilkannya. Aku ingin membantu para pedagang yang melalui kawasan ini. Seperti permintaanku yang lalu, jangan bocorkan kepada mereka.” Kobato menipu di dalam surat tersebut. Dia sebenarnya mahukan resepi pedang itu bagi membunuh Takasaki. Dengan pedang yang lebih ringan, dia akan dapat mencapai jurus kesembilan dan memudahkannya membunuh lelaki tua itu.

 

Saki tidak mengesyaki apa-apa. Padanya, gaya penulisan Kobato menggambarkan yang dia punya cita-cita mulia menjaga keamanan negara, maka dia memerlukan pedang yang lebih ringan dan kuat.

 

Aku perlu bertanya kepada Shinji. Tidak! Aku tidak boleh sekali-kali membocorkan rahsia. Bagaimana ya?

 

Dia teringat buku-buku yang bersepahan di meja Shinji. Di situ ada buku pembuatan senjata.

 

Saki menemui kembali buku itu di rak setelah berhari-hari mencarinya. Dia membelek-belek. Tiada satupun yang berkaitan. Kemudian dia bertukar ke buku lain, juga berkaitan senjata. Selepas sejam berlalu, masih tidak ditemukan muka surat yang berkaitan, meskipun sudah habis kesemua buku-buku berkenaan senjata yang ditelaahnya.

 

Saki hampa. Apakah dia perlu bertanya Shinji? Tidak, aku perlu menahan diri. Jika terbongkar, Kobato pasti akan hampa denganku dan meninggalkan aku berseorangan.

 

Apakah rancanganku? Memang Mariko-san ada mengajar kami pelajar perempuan menempa katana, namun aku selalu melangkau kelas tersebut. Aku amat tidak meminatinya. Perempuan menempa katana? Langsung tidak sesuai. Itu kerja lelaki. Tetapi bukankah aku juga melakukan kerja-kerja lelaki dengan melombong? Ah, persetankan.

 

Bilakah Shinji akan keluar dari bengkel relau? Aku akan cuba memasukinya senyap-senyap. Atau, mungkin aku boleh bertanya kepada Mariko, tanpa mencurigakan dia.

 

Saki menyuarakan hasratnya mahu mempelajari semula kaedah membuat katana kepada Mariko. Disebabkan Mariko sibuk, maka dia meminta Shinji mengajarnya.

 

Nampaknya terpaksalah aku berjumpa Shinji juga. Apa alasanku sekiranya dia bertanyakan mengapa aku berminat dengan seni pembuatan pedang? Aku tidak boleh mendedahkan nama Kobato. Hah, sungguh tinggi risikonya. Aku perlu merancang kata-kataku.

 

**

 

“Funazuki-san, aku lihat engkau tiba-tiba berminat dengan pedang. Mengapa?”

 

E to, aku jadi berminat setelah banyak membaca buku-buku di perpustakaan itu.” Saki memberikan alasan. Sekurang-kurangnya dia tidak menipu. Memang benar dia agak kerap juga mengunjungi perpustakaan itu sejak tahun lepas. Namun kebanyakan buku yang dibacanya adalah novel-novel cinta zaman Sengoku dan hanya sedikit buku-buku teknikal seperti Shinji.

 

Dia melihat Shinji menempanya tanpa seorang pembantupun. Hebat. Setahu aku penempa pedang terdiri dari sekurang-kurangnya dua orang, dari pembacaan di perpustakaan itu.

 

“Selepas tamahagane yang panas ini berada pada suhu begini, pada warna putih kebiruan, dan benar-benar mulur apabila diketuk, barulah ditambahkan bebola kuning ini. Engkau harus memilih bebola yang betul, yang warnanya hampir merah dan sedikit jingga. Itu resin yang matang, dan akan memberi kesan kepada bilah ini.”

 

“Apakah itu?” Saki teruja ingin tahu. Dia merujuk kepada bebola berbentuk sedikit bujur itu yang lain dari kebiasaan. Ia kuning berkilau dan hampir merah dengan sedikit warna jingga.

 

“Batu resin dari pokok aomomiji.”

 

Aomomiji?”

 

“Pokok yang hanya ditemui di lembah Shirasaka, dan lembah Okuhida. Seperti momiji, namun daunnya biru sepanjang musim.” Shinji mengulas apa yang dia tahu dari Takasaki. Takasaki telah memberikannya resin itu dan menjelaskan asal-usulnya setelah didesak Shinji.

 

“Bagaimana aku boleh mendapatkannya?”

 

“Pergilah ke lembah itu, toreh batang pokok tersebut dan tadah resinnya, biarkan ia membeku sendiri. Namun engkau hanya boleh memasukinya jika engkau sami Shinto, atau keturunan puak penjaganya, atau engkau perlu mendapat kebenaran khas dari puak tersebut.” Shinji memetik kata-kata Takasaki sekali lagi.

 

“Puak yang menjaganya?”

 

“Puak Okuhida dan Shirasaka, bergantung kepada lembah yang mana. Di sini ada dua orang ahli puak Okuhida, penjaga lembah Okuhida. Engkau pun tahu siapa. Di Shirasaka pula, aku tidak tahu.”

 

“Siapa yang tahu?”

 

“Mungkin engkau perlu bertanya Takasaki. Funazuki-san, engkau banyak benar bertanya.” Shinji menyuarakan kehairanannya melihat perangai Saki pada hari itu.

 

“Tiada apa-apa. Aku cuma berminat, batu ini cantik namun dileburkan untuk membuat katana. Sayang.” Saki memberikan alasan paling munasabah yang boleh diterima Shinji yang tajam. Dia perlu berhati-hati.

 

“Benar. Jika dibuat kalungan, amat cantik sebenarnya.” Shinji mengiyakan. Meskipun Saki seperti lelaki luarannya, sama seperti Azusa, di dalam jiwanya masih terselit keinginan seorang wanita, fikir Shinji.

 

Saki mula kebingungan. Rumitnya cara untuk mendapatkan batu resin kuning itu! Aku tidak mahu melalui Takasaki, mahupun Ryouji, dan Hisamiko. Lebih ramai yang tahu, lebih bahaya untuk Kobato.

 

“Tidak ada cara lain yang lebih mudah bagi mendapatkannya?” Saki bertanya lagi, tidak berputus asa.

 

“Engkau perlu berjumpa Takasaki-san. Aku tidak tahu.” Jawab Shinji, mulai rimas.

 

Takasaki lagi!

 

**

 

Imbas kembali, awal musim bunga 1870 (ketika Ryouji pulang dari Kisennuma bersama Chisato)

 

Seorang penjual cenderamata menemui Takasaki di luar rumahnya di tebing Sungai Miya.

 

“Takasaki-san, engkau pernah mendengar bukan bagaimana tukang pedang kita di Kogen menemui bilah paling ringan dan kuat tanpa sengaja?”

 

“Ya. Batu resin yang dipakai di kalungannya terjatuh ke dalam lipatan tamahagane yang sedang ditempa bersama pembantunya, mencair dan bergabung dengannya.”

 

“Bilah yang terhasil amat ringan dan paling kuat. Dan mereka meniru semula kejadian tersebut, namun masih tidak dapat menghasilkan bilah dengan ciri sama.” Tambah penjual cenderamata itu, kemudian menyambung, “Takasaki-san, aku ingin menyampaikan pesan dari Shirasaka Omi-sama, pemimpin kita. Dia telah mendengar salah seorang penghuni rumahmu mahir menempa bilah.”

 

“Aku yang memberitahu dia.”

 

“Oh sou desuka (yakah begitu)? Baiklah, begini pesannya, dia meminta kalian mencari proses yang tepat bagi menghasilkan bilah tersebut sekali lagi, dan merekodkan proses tersebut. Gunakan batu resin ini.” Penjual cenderamata itu menyuguh beberapa butir batu resin berwarna kuning kepada Takasaki.

 

“Baiklah, terima kasih Inoue-san. Alang-alang engkau ke Kisennuma, sekiranya engkau ternampak seorang remaja lelaki memakai haori gelap dan wanita memakai haori biru dan topi kon, pelawa mereka membeli rantai dengan batu resin kamu itu. Jika mereka tidak mengendahkanmu, beri sahaja kepada mereka. Aku akan membayarmu kemudian.”

 

“Serahkan kepadaku Takasaki-sanJya, mata ne!” Lelaki itu berlalu pergi.

 

“Shinji, lihat ini.” Takasaki memanggil Shinji ke pejabat.

 

“Apakah ini Takasaki-san?”

 

“Resin beku dari pokok aomomiji (momiji biru)."


"Pokok aomomiji? Apakah itu?"


"Pokok yang hanya tumbuh di lembah Okuhida dan Shirasaka. Pokok dengan daun momiji yang kekal biru sepanjang musim.”


Lembah Okuhida dan Shirasaka? Mengapa aku seperti pernah mendengar nama itu, terutama Okuhida? 


"Takasaki-san, apa maksudmu lembah Okuhida dan Shirasaka?"


Takasaki tersentak mendengar soalan tersebut. Dia tidak sepatutnya menyebutnya tadi. Shinji mendesaknya mendedahkan. Dia memberitahu lembah Okuhida dijaga oleh keturunan Okuhida dengan kuasa mistik. Shinji faham dan menerimanya, kerana dia sememangnya tahu yang Ryouji punya kuasa hayabusa dan membolehkannya bertarung aneh serta menyeru hayabusa

 

“Tugasmu Shinji, ialah mencari proses tepat bagi menghasilkan bilah yang sesuai untuk kaminari-no-kaze, atau sebarang bilah yang ringan tetapi kuat, dengan mencampurkan bola-bola ini ke dalam adunan bilahmu.”

 

“Aku akan cuba, Takasaki-san. Sekarang pun aku sedang bosan selepas selesai projek penembak edamame itu.”

 

**


Berbalik pada tahun 1871


Malam itu Ryouji tidak dapat melelapkan mata. Sejak Kobato datang bertarung dengan Takasaki pada hari itu, Ryouji tidak berhenti memikirkan rakan lamanya itu. Apa yang telah berlaku sepanjang dia meninggalkan rumah ini? Mengapa dia berubah sebegitu drastik?


Ryouji menyusup keluar perlahan-lahan dari biliknya, menuju ke koridor utama. Seperti biasa, Shinji masih tidur dengan buku menutup wajahnya dan Tsuneki dengan memeluk bantal peluk. Ryouji masih dengan perangai degilnya yang lama. 


Hisamiko juga tidak dapat tidur lena. Dia risaukan Ryouji. Rancangan bodoh abangnya mahu menyabung nyawa menyertai Kogen dan kemudian mahu keluar menjejaki rakan lamanya Kobato itu merisaukannya. Dia bimbang, jika Ryouji keluar malam lagi selepas dihalang Takasaki pada siang hari itu. Aku yakin, onii-san pasti akan keluar malam lagi. Aku perlu berhati-hati setiap malam. Jika dia mampu untuk tidak tidur malam, aku juga pasti mampu. Aku akan menghalangnya.


Takasaki melihat Ryouji menyusup keluar menuju ke gerbang buluh, dari atas pondok merpati. Dia bersiap untuk turun. Dia tidak boleh membiarkan Ryouji keluar lagi. Dia tidak mahu kehilangan Ryouji kali ini. Ia bukan lagi amanat Miura semata-mata, tetapi amanat Kogen. Omi telah menghubunginya setelah mengetahui Ryouji keluar ke Furukawa dahulu melalui Kotobuki dan menasihatinya agar menegah Ryouji bersungguh-sungguh. 


Ryouji engkau memang degil seperti bapamu. Aku tidak akan berdiam diri lagi. Aku perlu menghalangmu. Aku lebih kenal siapa Kobato. Aku tinggal dengannya sejak dia kecil. Aku tahu dia tidak akan teragak-agak membunuhmu jika engkau mendesaknya. Wataknya berubah-ubah. Dia boleh berlakon mesra dengan sesiapa sahaja, akan tetapi engkau belum pernah melihat watak sebenarnya selama setahun perkenalanmu itu. Dia bijak menyembunyikan watak sebenar itu. Dan jika engkau bertarung dengannya sekarang, engkau pasti akan tewas.


"Onii-san, doko iku no? (Ryouji mana engkau mahu pergi?)"


Ryouji tersentak, mendengar suara Hisamiko. Dia tidak menyangka Hisamiko berjaga selewat itu.


Hisamiko berlari seraya memeluk Ryouji. "Onii-san aku merayu jangan keluar begini lagi." Hisamiko menangis sedang masih memeluk Ryouji. "Takasaki-san kata engkau akan mati jika engkau pergi."


Hisamiko... mengapa engkau berjaga di saat ini?! 


Ryouji membiarkannya dipeluk Hisamiko sedang dia kebingungan, memilih antara Kobato ataupun mereka di sini. Mengapa, mengapa aku perlu memilih dalam perkara begini? Mengapa aku tidak boleh memilih kedua-duanya?


Takasaki sedang berdiri di dataran luas memerhatinya. 


Ryouji merenung ke arah bilik relau yang terletak tidak jauh dari teratak kerikil tempat dia berdiri, masih tidak menyedari Takasaki yang sedang memerhatinya dalam gelap di dataran luas. Kemudian dia menoleh memandang pintu utama dan terperasan Chisato sedang memerhatinya.


Chisato melihat dari jauh, di muka pintu gelangsar utama. Dia mengekori Hisamiko menyedari dia keluar ke koridor utama tadi. Ryouji, engkau masih tidak berubah. Kedegilan dan kebodohanmu benar-benar membingungkanku. Bagaimana aku boleh jatuh hati dengan insan begini?


**


Saki kebingungan. Dia duduk termenung di tepi dataran, sambil melihat Ryouji dan Takasaki berlatih jurus kesembilan kaminari. Bagaimana aku harus memberitahu Kobato?

 

“Ryouji, jurus kesembilan berlainan. Ia menuntut pembebasan dari beban emosi.” Kedengaran suara Takasaki memberi tunjuk ajar kepada Ryouji.

 

“Beban emosi?”

 

“Ya. Seperti dendam, marah, risau, sedih, simpati.”

 

Semua itu memang beban emosiku sekarang. Kerisauan. Bagaimana jika aku tiada? Apakah Hisamiko boleh melindungi dirinya sendiri? Dan keperitan dan kesedihan, atas cinta yang tidak mampu kuteruskan. Dan simpati, atas nasib rakan-rakanku di sini. Dan marah yang membakar. Marah dengan segala apa yang telah menimpa diriku dan diri mereka.

 

“Mana mungkin Takasaki-san, mampu aku membebaskan diri dari beban emosi? Aku tidak akan hidup dalam keadaan begitu.”

 

“Aku sependapat denganmu, Ryouji. Kita hidup dengan musubi (ikatan), dengan insan yang lain. Dengan musubi, maka datanglah beban emosi. Ketika engkau dibawa oleh Kotobuki ke lembah Okuhida, dia hanya membantu menyeimbangkan beban-beban emosimu. Engkau jelas dengan keutamaanmu. Namun beban emosi itu masih di benak. Kecuali jika engkau memilih untuk melepaskan kehidupanmu.”

 

“Mencapai jurus kesembilan memerlukan engkau membuang kehidupan. Menumpu seratus peratus tenaga ke arah sasaranmu tanpa dibebani tuntutan emosi lagi. Cinta, simpati, sedih, dendam, risau. Hanya sasaran di hadapan yang perlu engkau capai.”

 

“Bagaimana aku melepaskan kehidupan, maksudmu Takasaki-san?”

 

“Membuang cintamu, membuang ahli keluargamu, membuang rakan-rakanmu. Melepaskan semua insan-insan di dalam hidupmu. Jika engkau tidak mampu mengurangkan berat senjatamu atau tubuhmu, maka pengurangan beban emosi perlu dilebihkan. Aku fikir mungkin inilah yang dimaksudkan Miura, setelah berhari-hari aku cuba memahami tulisan kami semula. Maafkan aku Ryouji, aku memang tidak arif jurus ini. Hanya bapamu yang pernah melakukannya.”

 

Saki yang memasang telinga sambil duduk menongkat dagu memandang mereka berdua, tersentak mendengar ‘tulisan kami’ yang dituturkan Takasaki. Adakah buku itu yang dimaksudkan? Buku bertajuk ‘kaminari-no-kaze’ yang pernah dibukanya dahulu? Saki mendongak kepalanya seperti mendapat satu pencerahan tiba-tiba, seraya bangkit dan terus menuju ke perpustakaan. Takasaki dan Ryouji memandang Saki, aneh dengan perlakuannya. Namun mereka pantas menyambung kembali perbualan mereka.

 

“Tidak mengapa Takasaki-san. Aku sudah cukup berterima kasih engkau masih sudi mengajarku. Maka adakah dengan Saishi-tou yang ringan itu, aku tidak perlu mengurangkan beban emosiku?”

 

“Mungkin pengurangan yang diperlukan tidak besar. Aku tidak pasti. Mungkin engkau akan mendapat tahu dari latihan.”

 

Takasaki terus memberi kuliah sedang Ryouji dalam posisi bertapa di atas dataran itu. Cuaca cerah namun tidaklah terik. Suhu agak dingin kerana sini kawasan pergunungan. Kencang bunyinya kuliah Takasaki, sedang dia sendiri masih belum mampu mengurangkan beban emosinya. Dia harus lekas melatih para penghuni di situ sehingga mereka mampu membela diri mereka sendiri setelah dia tiada nanti. Kerisauan ini, adalan beban emosi Takasaki, selain dari kerisauan dia terhadap dendam Kobato. Disebabkan itu, dia masih tidak mampu mencapai jurus kesembilan.

 

Ryouji berfikir. Sungguh melampau tuntutan jurus kesembilan. Namun bukankah tujuannya ialah penumpuan? Sebentar. Mengapa Takasaki memanggilnya ‘beban’? Bukankah emosi diperlukan, kerana emosi yang dikatakan ‘beban’ itulah yang menggerakkan aku sehingga ke saat ini?

 

Aku fikir aku sudah menemui jawapannya.

 

“Takasaki-san, aku fikir aku sudah tahu jawapannya.”

 

“Ya, Ryouji.”

 

“Mungkin maksud bapaku berlainan. Mungkin dia menyalahgunakan perkataan ‘beban’ itu, aku tidak pasti. Namun jika kita melihat semua ‘beban-beban’ emosi ini sebagai pendorong menuju sasaran, bukankah itu menjadikan ia lebih bernilai? Bukankah pendorong memberikanmu tenaga menuju sasaran?”

 

“Mungkin juga benar fikiranmu.” Takasaki menyembunyikan kekagumannya. 


"Namun Ryouji, buktikan kata-katamu ini. Tunjukkan yang engkau mampu mencapainya."


"Pasti, Takasaki-san."

 

Malam itu Saki mendapat maklumat yang cukup untuk menggerakkannya menulis sepucuk surat kepada Kobato. Suratnya berbunyi begini:

 

Ramuan rahsia ialah sejenis resin dari pokok aomomiji di lembah Okuhida atau Shirasaka. Minta kebenaran puak penjaganya untuk masuk. Puak penjaga lembah Okuhida ialah Ryouji dan Hisamiko, sedang untuk lembah Shirasaka, aku tidak tahu. Pilih resin matang yang kuning dengan sedikit jingga, dan mencampurkan ketika bilah itu putih kebiruan serta mulur apabila ditempah.

 

Tambahan dari buku tentang kaminari-no-kaze, rahsia jurus kesembilan ialah mengurangkan beban emosi. Maka, tanpa pedang khaspun engkau mampu mencapainya.

 

Aku tahu, kaedah penghasilan katana begitu amat rumit dan menuntut Kobato untuk pergi ke lembah itu dan dia perlu bertemu Ryouji sendiri. Namun aku faham tujuan utamanya ialah menumpaskan perompak-perompak yang mengganggu pedagang di Nakasendo. Disebabkan itu aku menyertakan cadangan tambahan. Harapnya dia masih berpuas hati dengan surat balasku.

 

Demi cintaku, aku sanggup memberikan lebih dari apa yang dipinta. Kobato meminta satu, aku memberinya dua.

 

Selang beberapa minggu berlatih, Ryouji kini berada di hadapan Takasaki sekali lagi. Takasaki mahu melihat buah hasil latihannya. Ketika itu di pertengahan musim panas, 1871.

 

“Sekarang, Ryouji. Aku mahu engkau tetak batu di hadapanmu ini sehingga terbelah, menggunakan jurus kesembilan dan Saishi-tou.”

 

Untuk meningkat ke jurus kesembilan, Ryouji harus meningkat ke jurus kelapan terlebih dahulu. Maka, Takasaki menjadi lawan tarung Ryouji. Mereka bertarung dan bertarung, semakin lama semakin pantas sehingga tidak dapat ditekuni oleh penghuni rumah yang sedang duduk mengelilingi dataran itu.  Saat Ryouji memasuki jurus kelapan, Takasaki mengundur tiba-tiba dan membiarkan Ryouji membawa dirinya naik ke jurus kesembilan.

 

Dia berjaya, dalam keadaan sedar dan tanpa seekor hayabusa pun melintas di atasnya, buat pertama kalinya, meningkat ke jurus kesembilan. Ryouji terus menetak batu di hadapannya, sehingga terbelah dan mengujakan para penontonnya. Kemudian dia mengundur ke belakang sepantasnya, dan berpusingan di udara beberapa kali sehingga wasap putih terhasil akibat pergeseran yukatanya dengan udara. Tujuan pemusingan itu ialah bagi menyingkirkan tenaga berlebihan ke persekitaran sekaligus menghalang rusuhan tenaga dari menguasai tubuh petarung.


Pemusingan itu beransur-ansur memperlahan sehingga Ryouji kembali mendarat di atas dataran, masih berpusing dan menebarkan debu-debu di dataran itu ke semua penontonnya. Geseran antara kaki dengan permukaan dataran mempercepatkan proses pemberhentiannya, dan Ryouji kelihatan tercungap-cungap keletihan di celahan debu dataran yang bertebaran mengaburi pandangan semua yang menonton.

 

“Aku telah melakukannya, Takasaki-san. Aku telah berjaya!”

 

Takasaki tidak dapat menahan sebak. Dia gembira. Ryouji satu-satunya anak murid yang telah berjaya dilatih sehingga mencapai jurus kesembilan. Dan buat pertama kalinya, dia merasakan semacam satu kebebasan dari belenggu emosi yang sekian lama membebaninya.

 

Tentang siapa yang boleh diharapkan agar mewarisi rumah perlindungan ini selepas pemergiannya.


Miura, telah aku sempurnakan wasiatmu hari ini. Ryouji sudah menguasainya. Jurus yang engkau cipta itu sudah dikuasainya. Dan aku telah membuktikan bahawa ia boleh diajar seperti jurus-jurus yang lain. 


Previous: Bab 42
Next: Bab 44

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov