Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 106

Apa dia buat di situ lagi? Gerutu Ryouji, melihat Suzuki sedang melutut merenung Tsuneki, riak wajahnya seperti orang kurang siuman. Penuh terkilan, penuh penyesalan. Kesilapannya tidak menghentikan serangan telah membunuh Tsuneki. Mata Suzuki membulat, asyik merenung Tsuneki yang sudah kaku dan sejuk.

Jangan, jangan Ryouji! Aku perlu menahan diriku. Ini ujian. Ini ujian sumpahan hayabusa. Jika aku menyerah diri pada perasaan dendamku dan membunuh Suzuki, maka sumpahan itu akan terus-menerus menguasai jasadku. Aku perlu menahan diri. Sabar, sabar Ryouji!

Hisamiko berhenti menangis, dan perlahan-lahan meletakkan jasad Tsuneki ke atas lantai hutan hinoki itu. Ryouji menyedarinya, dan memerhati penuh tumpuan akan perlakuan Hisamiko.

Hisamiko melutut, wajahnya tunduk untuk beberapa ketika.

Kemudian dia perlahan-lahan mengangkat wajahnya, memeranjatkan Ryouji.

Tidak pernah Ryouji melihat wajah comel adiknya berubah begitu. Dahinya berkerut seribu, matanya merah, mulutnya yang kecil separa ternganga menampaknya gigi-giginya. Hisamiko merenung Suzuki yang masih melutut memandang Tsuneki yang terbaring di atas tanah. Dia kesakitan jiwa dan raga. Hatinya bagai dihiris sembilu. Tangannya yang kecil perlahan-perlahan merayap mencari hulu pedang Saishi-tou-nya.

Saat itu Ryouji pantas menghalang Hisamiko dengan memeluknya. Hisamiko meronta-ronta seperti dirasuk. Ryouji dapat merasakan Hisamiko lebih kuat dari selalunya, pabila dia terpaksa mengerahkan lebih kudrat memerangkap Hisamiko dari menyerang Suzuki. Barangkali hasil pemindahan kuasa Tsuneki kepada mereka.

“Hisamiko..sabar... aku faham deritamu. Sabar Hisamiko.”

Hisamiko kembali menangis dalam pelukan Ryouji. Ryouji membelai rambutnya cuba menyejukkan api kemarahan Hisamiko.

Aku perlu memberkas lelaki ini kerana dia telah membunuh Tsuneki.

Namun tidak semena-mena kepala Suzuki terputus dari badannya. Dia dipancung dari belakang sedang masih dalam melutut merenung jasad Tsuneki. Ryouji terperanjat bukan kepalang. Siapa yang membunuhnya?

Seorang lelaki berdiri di sebelah jasad Suzuki yang tanpa kepala itu, memegang pedang yang masih dibasahi darah.

Bedebuk! Begitulah bunyi jatuhnya jasad Suzuki yang tanpa kepala itu ke lantai hutan hinoki.

“Konoe...” Ujar seorang lelaki di sebelah lelaki yang memancung Suzuki, baru tiba dengan kudanya.

“Nampak kepala Suzuki yang bergolek itu? Sekarang aku adalah ketua kalian. Sesiapa yang tidak bersetuju, tinggalkan pergunungan Yokuma sekarang!”

Bercempera lari mereka yang tidak sebulu dengan lelaki bernama Konoe itu sebaik mendengar amarannya. Kemudian Konoe mengarah lelaki yang menegurnya tadi.

“Matsuzaka, kumpul semua para ronin penjaga pergunungan Yokuma yang masih berbaki. Kita akan menangkap Hamada. Aku pasti dia sedang bersiap sedia melarikan diri dari Kawamoto. Aku akan menyerahkan dia kepada Maharaja.”

“Baiklah.” Balas Matsuzaka, tunduk patuh dan beredar.

Konoe beralih kepada Ryouji dan Hisamiko.

“Kalian, aku tidak berminat dengan kalian. Itu Tsuneki pewaris Higashihara bukan?” Dia menuding dengan pedangnya ke arah jasad Tsuneki.

Ryouji mengangguk.

“Uruskan mayatnya. Kebumikan di mana-mana. Kemudian keluarlah kalian dari pergunungan ini, usah datang ke sini lagi. Sekali lagi aku bertemu kalian di sini, kalian akan menerima nasib sama seperti lelaki ini.”

Ryouji mengangguk lagi. Dia mengendong mayat Tsuneki. Hisamiko menurutinya, masih sugul. Mereka berkuda keluar dari situ.

**

 

Onii-san...” Tutur Hisamiko perlahan, matanya merenung kubur Tsuneki yang dicacakkan panah dan busurnya.

 

“Miko...”

 

“Mengapa kita melalui semua ini Onii-san...”

 

Otou-san mati dibunuh, penjaga kuil Furukawa itu, Takasaki-san, Saki dan Azusa nee-chan...Chisato nee-chan dan Nariko nee-chan dianiaya begitu...kemudian Tsuneki... apa salah kita semua? Mengapa kita perlu menderita begini?”

 

“Miko...”

 

“Apakah kita tidak punya hak untuk hidup gembira di dunia ini?” Hisamiko menoleh memandang abangnya di sebelah, wajahnya sayu.

 

Ryouji tidak mampu menjawabnya. Ia di luar pengetahuannya.

 

“Miko, percayai aku. Kita akan menumpaskan Hamada. Dia kini sudah pun dihilangkan kuasanya. Aku yakin selepas dia ditangkap, penderitaan kita semua akan tamat di sini.”

 

“Dan bagaimana dengan mereka yang sudah pergi? Aku...aku belum sempat menghabiskan masa dengan Tsuneki. Mengapa dia pergi terlalu awal begini?” Air mata Hisamiko meleleh lagi menuruni pipi.

 

“Hisamiko...” Ryouji memeluk adiknya. “Tsuneki tidak hilang dari kita. Dia hidup, namun di sini.” Dia menekan-nekan lembut pelipis Hisamiko. “Memori dengannya meskipun sedikit, adalah tanda kehidupannya bersama kita.”

 

Mereka berkelana meninggalkan Yokuma, dengan Hisamiko membonceng kuda Ryouji, merentas Nakasendo. Dalam perjalanan itu Hisamiko tidak henti-henti mengalirkan air mata sehingga lencun belakang yukata Ryouji. Dia tertidur keletihan sebaik mereka berhenti di sebuah shukuba, sehingga Ryouji terpaksa mengendongnya turun.

 

Sejak hari itu mereka bermalam di shukuba demi shukuba, mandi di onsen demi onsen, hidup berpindah randah dari rumah tumpangan ke rumah tumpangan. Mereka tiada tempat kembali, rumah di kampung mereka pun sudah dimiliki orang lain. Selain itu, Ryouji mahu menenangkan Hisamiko yang berubah sasau sejak pemergian Tsuneki.

 

Ryouji punya dana besar peninggalan bapanya yang telah dipulangkan kepadanya kembali oleh keluarga Shirasaka selepas dia meninggalkan Kogen. Setiap kali dia mahu menginap di onsen atau makan di mana-mana shukuba di sepanjang Nakasendo, dia hanya perlu menunjukkan sejenis kupon kayu, dan bank-bank di situ akan mengeluarkan wangnya. Dana peninggalan Miura yang banyak membolehkan Ryouji dan adiknya hidup tanpa bekerja untuk beberapa tahun.

 

Mereka berdua berkelana selama tiga bulan merantau tanpa hala tuju dari shukuba ke shukuba memerhati pelbagai ragam manusia dan mempelajari banyak perkara dari para pedagang tempatan dan asing, terutama pedagang Belanda dan Inggeris yang semakin ramai melalui lebuh tersebut sejak Maharaja membuka pelabuhan mereka. Ryouji mahu menghabiskan masa dan meredakan perasaan Hisamiko, serta memulihkan jiwanya. Musim panas 1874 masih panjang. Cuaca cerah dan bunyi higurashi adakala mengingatkan mereka akan kampung halaman, jauh di tengah-tengah Hidagawa. Ketika kelana inilah, selepas reda sedikit kesakitan di jiwanya, Hisamiko mula minat membaca buku-buku dari Barat. Jika dahulu dia gemar membaca novel-novel cinta, kini dia mula menelaah bahan bacaan berat juga.

 

Perwatakan Hisamiko juga banyak berubah. Jika dahulu dia manja dengan Ryouji dan banyak bercakap, kini dia banyak mendiamkan diri. Ryouji menyedari perubahan itu. Adakala Ryouji mendapati ketika Hisamiko duduk berseorangan, dia termenung dan mengerutkan dahinya, mulutnya terkumat kamit seolah-olah sedang memarahi sesuatu. Nadanya berbau sesal, dia menekan-nekan suaranya, dan langsung tidak menyedari kehadiran Ryouji, sehinggalah Ryouji menyentuh bahunya. Pernah Ryouji mendengar dia berulang-ulang kali mengatakan “Aku akan membunuh pembunuh Tsuneki, tidak, aku akan membunuh semua yang membunuh orang-orang yang aku sayangi.” Sekurang-kurangnya begitulah maksudnya. Ryouji gementar mendengarkan kata-kata Hisamiko itu, namun dia tidak berputus asa. Dia yakin, Hisamiko boleh dirawat. Dia faham, amat. Keperitan demi keperitan menimpa mereka. Ia bukan sekali, bahkan berkali-kali.

 

Aku yakin Hisamiko mampu menanganinya. Aku yakin Hisamiko akan kembali ceria seperti dahulu. Asalkan aku tidak berputus asa membimbingnya. Asalkan aku di sisinya seperti ini. Hisamiko, sembuhlah engkau. Sembuhlah, sebelum aku menutup mataku buat selama-lamanya. Hiduplah di dunia ini, seperti wanita-wanita lain. Meskipun hatimu perit mengenangkan kehilangan mereka. Otou-san, okaa-san, Tsuneki, Chisato, Takasaki, Mariko... .

 

Shukuba tidak lekang dari bangunan perpustakaan. Maharaja menggalakkan pembinaan perpustakaan di serata Honshu dan kawasan tumpuan pedagang seperti shukuba dan memenuhkannya dengan buku-buku terjemahan dari Barat untuk memupuk minat membaca dalam kalangan rakyatnya. Di situlah Hisamiko kerap bertandang sejak dia sembuh dari kelukaan jiwanya. Dia kerap senyap, dan membaca di situ, diperhatikan Ryouji. Pabila dia tidak faham mana-mana kanji, Ryouji membantunya. Dalam tempoh itu, Hisamiko meningkatkan jumlah kanji dalam memorinya. Bahkan dia mulai belajar bahasa Inggeris dan Belanda.

 

Tiga bulan berlalu. Angin musim luruh 1874 kini berhembus sederhana menerobos hutan pergunungan Nakasendo, berhampiran Nagano, menerbangkan daun-daun kirmizi ke segenap penjuru alam. Bunyi higurashi beransur-ansur menghilang, dan hutan kini lebih sunyi dari biasa, hanya sekali sekala kedengaran bunyi unggas berselang seli dengan bunyi pedang polis berdenting-denting bertarung dengan perompak, yang ramai dari bekas samurai yang telah dilucutkan jawatan oleh daimyo masing-masing. Hari-hari kian dingin. Pedagang-pedagang yang singgah di shukuba-shukuba mula berpakaian tebal sedikit dari biasa. Yukata mereka dilapisi baju dalam daripada kapas. Ada yang melilit leher dengan kain kapas pelbagai corak dan rekaan. Dunia dihiasi hamparan kirmizi yang dibentuk daun-daun kering yang lama gugur. Alam semakin cepat bergelap, dan malam semakin panjang.

 

Hari ini, Ryouji mendapat surat dari Kotobuki. Terpinga-pinga dia. Dari celah mana pula Kotobuki tahu aku di sini? Kotobuki, engkau memang sesuatu!

 

Ryouji, bagaimana denganmu dan adikmu? Maafkan aku berkenaan Tsuneki. Jika bukan kerana keselamatan kalian sudah pasti aku akan melawat kuburnya. Semoga roh Tsuneki tenang di sana. Dan tahniah kalian kerana berjaya menghilangkan kuasa Hamada. Aku pasti akan memberikan ganjaran besar kepada kalian.

 

Ryouji, maafkan aku mengintipmu. Keselamatan kalian di situ terjaga. Orang-orang Kogen berada di mana-mana. Ryouji, aku maklum yang engkau menyerahkan kepada kami untuk menangkap Hamada. Namun aku tidak bersetuju. Aku tetap mahu kalian melakukannya. Kerana Ryouji, hanya engkau satu-satunya petarung yang paling kupercayai.

 

Ryouji, buat pengetahuanmu, Hamada sedang bersembunyi di sebuah kubu berhampiran Kobe. Kubu itu amat sukar ditembusi, dan telah ramai petarung-petarung kami yang mati ketika cuba menembusinya. Ia dilindungi bekas-bekas samurai Hamada yang setia dan tahu kaminari. Bahkan mereka menggunakan banyak senjata api. Barangkali dia bersekongkol dengan pedagang Belanda.

 

Ryouji, anggaplah ini permintaan terakhirku. Aku mohon bantuanmu menyusup masuk dan menumpaskan Hamada. Terpulang padamu sama ada mahu membunuh atau menangkapnya untuk dibicarakan. Bantu kami, Ryouji. Dan aku jamin, era Hamada akan berakhir. Sebagai ganjaran, aku akan menghadiahkan sebidang tanah dan rumah untukmu dan Hisamiko, di tengah-tengah Hidagawa.

 

Jika engkau bersetuju dengan permintaanku ini, pergilah kalian ke Kawamoto. Bawa surat ini. Tanya pada seseorang di sana di manakah Hamada. Di sana ramai pengintip kami. Dia akan membawamu bertemu seseorang.

 

Ryouji tidak menyedari kehadiran Hisamiko, yang pantas merentap surat itu dari tangannya. Hisamiko kemudian berlari pantas, dan membaca surat itu di tempat lain.

 

“Miko...”

 

Onii-san, aku mahu ke sana. Aku mahu menangkap Hamada.”

 

“Tidak Miko. Aku tidak bersetuju. Kita berdiam di sini. Aku akan mencari pekerjaan dan kita akan membeli rumah dan tanah sendiri.”

 

Onii-san, engkau tidak mahu tawaran Kotobuki? Ia mudah amat. Bukankah kita sudah berkuasa empat persepuluh hayabusa?”

 

Hah? Dari mana engkau tahu semua ini Hisamiko?

 

“Hisamiko...engkau...”

 

“Azuchi memberitahuku.”

 

“Bukankah dia telah mati?”

 

**

 

Ketika Hisamiko duduk berdiam di tepi kolam ikan koi di taman tepi rumah tumpangan mereka, di satu sudut terpencil, seekor burung hayabusa terbang turun dan bertenggek di atas sebatang pokok momiji, kemudian merenung Hisamiko tepat, agak lama. Hisamiko yang sedang termenung memandang ikan koi berenang-renang, perasan itu seraya menengadah ke arah lokasi burung tersebut.

 

“Siapa engkau?” Soalnya, dalam bahasa hayabusa seperti selalu digunakan dengan Azuchi. Meskipun dia tidak pasti apakah burung ini akan faham.

 

“Aku Azuchi. Engkau sudah tidak ingat akukah?” Tidak disangka-sangka, Hisamiko mendengar dan memahami tutur burung itu. Namun yang anehnya dia mengaku dia Azuchi?

 

Hisamiko memerhati tubuh Azuchi. Tiada lagi jalur putih pada bulunya. Namun ada jalur hijau pula, mencorak dari atas jemala sehingga ke atas hujung ekornya.

 

“Bohong. Engkau bukan Azuchi. Jika benar engkau Azuchi, ceritakan padaku apa yang berlaku di hutan Hidagawa tiga tahun lepas.”

 

Azuchi menceritakan penuh perinci. Ia ketikamana misi pertama Ryouji dan Shinji tahun 1871.

 

“Hisamiko, aku menempati jasad hayabusa yang baru. Cantik kan? Jalur hijau di atasnya.”

 

Aku tahu, Azuchi pernah memberitahuku. Setiap seratus tahun, Azuchi akan menjelma dalam mana-mana jasad hayabusa yang sesuai bagi mengiringi pemedang handal. Jasad seseekor hayabusa hanya mampu bertahan tidak lebih seratus tahun. Oleh itu tindakan begini amat biasa baginya. Namun kes aku istimewa. Disebabkan jasadnya yang lepas telah punah, dia terpaksa menempati jasad baru sebelum tempoh tersebut tamat.

 

“Hisamiko, aku telah memilih menempati jasad hayabusa di bawah projek pembakaan terpilih Hamada.”

 

“Deria baumu akan lebih tinggi. Engkau akan mudah terkesan dengan batu resin!”

 

“Fikirkan positif. Aku mampu menghidu musuhmu dari jarak lebih jauh.”

 

Hisamiko membuka loket resin yang dipakainya seraya menayangkan pada Azuchi.

 

“Tutup Hisamiko! Engkau mahu menidurkan akukah?”

 

“Tahu pun.” Hisamiko ketawa, kemudian memanggil burung itu seraya memeluknya, air matanya berlinangan.

 

“Aku rindukan engkau Azuchi. Aku ingat engkau telah mati pada hari itu! Berhari-hari aku menangis mengingatkanmu. Aku menyalahkan diriku setiap hari...”

 

“Hisamiko, ajalku akan tiba selepas tiada lagi dari puakmu yang tersisa di dunia ini. Sebelum saat itu, aku akan hidup dan berpindah dari jasad ke jasad.”

 

 

**

 

Onii-san, engkau risaukan aku bukan? Engkau tidak mahu aku membunuh bukan? Disebabkan itu engkau bercadang melarikan diri dari Kogen bukan?”

 

“Miko...siapa yang memberitahumu?”

 

“Tiada sesiapapun. Aku faham dari pemerhatianku. Aku tahu bertarung lebih dari yang seumur denganku. Pasti engkau bimbang disebabkan itu bukan?”

 

Mujur. Aku fikir dia sudah tahu yang dia ditakdirkan menjadi penumpah darah.

 

Onii-san, aku tidak akan melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya. Kecuali demi melindungi onii-san, rakan-rakan kita. Usah engkau risau onii-san. Tentang Hamada itu, aku mahu menangkapnya. Aku akan menyertaimu onii-san. Aku akan membantumu. Aku tahu yang engkau tidak akan mampu melakukannya seorang, dengan tangan kananmu itu.”

 

“Aku tidak mahu membahayakanmu Hisamiko. Biarkan aku ke sana seorang diri.”

 

“Aku tidak akan membunuh Hamada sekiranya ditumpaskan. Aku serahkan dia kepadamu. Terpulanglah. Namun aku akan sentiasa melindungimu, onii-san.”

 

“Miko, berjanji denganku, selepas kita menangkap Hamada, kita akan melupakan kehidupan begini. Kita hidup seperti biasa seperti sebelumnya, ketika kita di kampung bersama otou-san, bersama okaa-san.”

 

Ryouji bersetuju untuk menerima tawaran Kotobuki. Dengan tanah dan rumah yang ditawarkan, mereka akan mampu meneruskan kehidupan baru jauh dari sebarang pergolakan, di tengah-tengah Hidagawa. Dia bercadang melaburkan wang peninggalan Miura dan mengusahakan tanah tersebut.

 

“Aku berjanji, onii-san.”

 

 

**

 

Setibanya di Kawamoto, Ryouji bertanyakan orang-orang di pekan tersebut akan keberadaan Hamada.

 

“Hamada sudah menghilangkan diri sejak tiga bulan lalu. Kini wilayah Gizen di bawah pemerintahan anaknya Hagiura. Hagiura sekarang menduduki rumah itu.” Pemberitahu itu, seorang lelaki berusia empat puluhan, menuding ke arah sebuah rumah besar di atas bukit yang dilitupi hutan di lerengnya.

 

“Boleh kutahu ke mana dia menghilang jika engkau tidak keberatan?”

 

“Tidak pula aku tahu. Sebentar ya. Boleh kutahu siapa namamu?” Lelaki itu sedari tadi asyik mengamati Ryouji dari kepala hingga ke kaki, seperti mengesahkan sesuatu.

 

“Okuhida Ryouji. Dan ini adikku Hisamiko.”

 

“Okuhida? Sebentar. Engkau Okuhida yang itu bukan? Setahuku tiada keluarga lain menggunakan nama tersebut.”

 

“Benar.”

 

“Maafkan aku tidak mengenalimu.” Lelaki itu menundukkan badan. “Namaku Fubuki. Aku pengintip Kogen.” Dia menyelak sedikit kolar yukatanya menampakkan logo Kogen di baliknya. Dia menggerak-gerakkan logo itu bagi mempamerkan kebolehan dwicitranya; satu logo in dan you dan satu lagi logo rasmi Kogen.

 

Selepas keluar dari Yokuma dahulu, Ryouji memberitahu Kotobuki bahawa Hamada sudah dihilangkan kuasanya dan menyerahkan kepada Kogen untuk menangkapnya. Ryouji merancang mahu menghabiskan masa bersama Hisamiko dan merawat jiwanya di sepanjang Nakasendo sebelum mencari pekerjaan tetap. Dia sedar ajalnya semakin hampir, hanya beberapa bulan sahaja masih berbaki. Dia mahu menghindari dari menyertai misi-misi berbahaya. Dia mahu Hisamiko berdikari dengan membiarkan dia membina jaringan dengan peniaga dan pedagang di sepanjang Nakasendo, serta mahu Hisamiko berdiam jauh dari dunia pertarungan. Dia tidak mahu Hisamiko menjadi penumpah darah seperti ramalan Amaguri.

 

Namun tawaran Kotobuki terlalu lumayan untuk ditolak, lantas Ryouji kembali kepada misi asalnya, iaitu menumpaskan Hamada. Kedegilan Hisamiko turut sama memainkan peranan. Lagipun dalam kelana begini, siapa yang boleh dia percayai untuk mengiringi Hisamiko sepanjang ketiadaannya? Tsuneki sudahpun tiada.

 

Aku harap inilah kali terakhir Hisamiko bertarung. Selepas itu aku mahu dia menjauhi dunia berdarah ini, berkahwin, beranak pinak dan hidup seperti wanita normal yang lain. Dan aku dapat pergi dari dunia ini dengan aman pabila sampai waktunya.

 

Fubuki membawa mereka berdua memasuki pangkalan rahsia mereka di pinggir pekan Kawamoto.

 

“Fubuki-san, dalam suratnya Kotobuki memberitahuku aku perlu bertemu seorang pegawai di sini.”

 

“Benar. Dialah pegawai itu, yang akan membawamu ke sana.”

 

“Ke mana?”

 

“Persembunyian Hamada.”

 

“Fubuki-san. Aku tidak faham. Mengapa sudah tiga bulan masih Hamada belum dapat ditangkap? Kotobuki ada mengatakan ramai orang Kogen yang mati dibunuh ketika cuba menembusi kubu itu. Apakah ia terlalu sukar ditembusi?”

 

“Benar. Persembunyian itu sebuah kubu, seperti kubu Azuchi dan kubu Momoyama yang pernah dibina seorang daimyo yang bernama Oda Nobuzawa dahulu. Hamada membina kubu itu senyap-senyap dan baru kali ini dia bertahan di sana, sejak kuasa halimunannya dihilangkan. Di kelilingnya parit yang lebar dan dalam, dan juga tembok-tembok batu yang tinggi. Ada sebuah menara tenshu yang boleh digunakan bagi memerhati dari jauh kedatangan musuh.” Terang Fubuki panjang lebar.

 

Kotobuki mengatakan dalam surat itu, bahawa kubu tersebut berdekatan Kobe. Kubu Azuchi dan Momoyama terletak berhampiran Kobe, di pinggir Tasik Biwa.

 

“Boleh kutahu di wilayah mana kubu itu?” Ryouji menyoal, sengaja menguji.

 

“Aku tidak tahu lokasi tepatnya, Mizuhito pastinya tahu. Yang pasti, ia berada di dalam wilayah Hyogo, berhampiran pekan pelabuhan Kobe. Dan amat hampir dengan kubu Azuchi dan Momoyama yang bersejarah itu. Namun ia dikelilingi hutan hinoki yang tebal.”

 

“Engkau perlu berhati-hati, Okuhida-san. Seperti katamu, sesungguhnya ia benar, telah ramai pasukan yang dihantar kami cuba menembusi kubu itu, mati dipanah atau ditembak, meskipun mereka mahir kaminari. Aku tidak pasti entah taktik apa lagi yang dilakukan pondan tua itu.”

 

**

 

“Mizuhito-san, jauh lagikah?” Soal Ryouji, berkuda menuruti seorang pemuda pertengahan tiga puluhan yang juga berkuda. Hisamiko menunggang kuda baru yang dibekalkan Kogen, menuruti mereka. Kaname sudah mati diracun di Narai-juku. Azuchi yang kini menempati jasad hayabusa yang baharu, terbang mengekori Hisamiko tanpa mengenal lelah. Selagi jasad dikandung badan, selagi itulah dia setia dengan tugasnya mengekori Hisamiko ke ceruk bumi mana sekalipun.

 

“Kita sudah hampir. Engkau nampak tenshu itu?” Mizuhito menjawab sambil menuding ke arah sebuah menara besar dan tinggi yang diperbuat daripada kayu, yang digelar tenshuuTenshuu dibina di kubu bagi memerhati kehadiran petanda-petanda marabahaya dari jauh. Mereka sedang berkuda, dan disertai sepuluh petarung Kogen berkuda yang lain, menelusuri pinggir tasik besar Biwa (Biwa-ko), yang terletak dalam wilayah Hyogo, di timur laut Dataran Kansai. Tidak jauh dari mereka ialah Kyoto, bandar diraja itu yang terletak di barat daya tasik tersebut, dan Osaka, bandar besar persinggahan para pedagang dari Barat mahupun tempatan. Kobe terletak sedikit jauh dari sini, iaitu di hujung barat tasik tersebut. Namun ketiga-tiga bandar utama ini terletak di Dataran Kansai, iaitu salah sebuah lembah-lembah besar yang kedapatan di celah-celah Honshu yang amat bergunung-ganang. Tokyo terletak di lembah lain yang digelar Dataran Kanto. Geografi pulau Honshu yang bergunung-ganang memaksa sebahagian besar penduduk Jepun menumpu di lembah-lembah ini bagi membina penempatan tetap.

 

“Ya.”

 

Tenshu itu ialah menara pemerhati. Di bawahnya kubu persembunyian Hamada.”

 

“Jadi bukankah kita sedang diperhatikan.”

 

Zap!

 

Seorang petarung Kogen rebah dan jatuh dari kuda tiba-tiba, dia dipanah tepat di dada.

 

“Tak guna!”

 

“Kalian, ikut aku!” Mizuhito melaungkan. Dia lantas melencongkan kudanya masuk ke hutan berhampiran.”

 

Onii-san, panah itu bukan dari arah kubu yang Mizuhito-san maksudkan.” Hisamiko melaporkan apa yang berjaya diamatinya.

 

“Habis tu dari mana?”

 

“Dari bukit sana.” Hisamiko menuding ke arah sebuah bukit yang terletak jauh dari tenshu yang diperkatakan Mizuhito.

 

“Engkau pasti Hisamiko?”

 

“Aku pasti.”

Previous: Bab 105
Next: Bab 107

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov