Home Novel Cinta Hatiku Not For Sale
Hatiku Not For Sale
Batiah Hadi
23/5/2015 22:35:39
455,199
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 8
    “Tak semena-mena kita kena bawa diaorang berhibur pulak. Kalau ikut hati aku malas nak bawak, tapi client punya pasal terpaksalah. Kalau tak, lepas pulak project tu.” komen Hasef tidak berapa puas hati kepada Malek sewaktu mereka tiba di sebuah kelab ekslusif. 

         Satu perkara yang dia tidak berapa gemar ialah menghiburkan pelanggan seperti itu bahkan di kelab pula. Kadang-kadang pelanggan minum-minum dan berpeleseran dengan wanita hingga ke pagi. Walaupun dia tidak turut sama minum dan berhibur dengan wanita tetapi lebih kepada meneman sahaja tetapi duit syarikatnya ada juga saham dalam aktiviti seperti itu. Itu yang buat dia sedikit ralat.

“Biasalah Hasef. Nak buat macam mana client dah mintak. Kau hadap sajalah. Yang penting kita dapat projek juta-juta lepas ni. Kita dah kena ada track record kerja-kerja macam ni kalau nak diversify. Mereka nak gunakan sistem kita ni untuk semua cawangan mereka. Dahlah syarikat ni ada merata cawangan seluruh negara. Siapa nak bagi juta-juta?. Kaya kita beb. Kaya. Jadi, tak ada apalah kalau setakat berhibur beberapa ribu ni, kan?” kata Malek menepuk bahu Hasef yang berpakaian kasual dengan kemeja East India berwarna biru tua dan seluar khaki. Rambutnya tersikat rapi dengan fesyen rambut terkini.

. Bila dia berkeadaan relaks seperti itu wajahnya tampak lebih tampan. Beberapa wanita di kelab mula tertoleh-toleh padanya, satu pemandangan biasa bila Hasef ke mana-mana. Malek tersengeh melihat reaksi wanita-wanita di situ, maklum benar dengan daya tarikan rakannya itu pada mana-mana wanita. Lelaki melayu terakhir!

“Aku harap client kita kali ni taklah macam tu. Setakat menari-nari sikit okaylah.” ujar Hasef menyatakan kerisauannya.

“Tapi mereka bukan Islam pun. Kalau orang Melayu mahu jugak mendidih hati aku ni tengok perangai tak senonoh.” kata Malek menambah.

“Betul tu. Tambahan pulak kalau tahu dah berkahwin dan berkeluarga pulak. Adui mahu bernanah mata aku tengok. Tak rasa bersalahkah buat macam tu sedangkan ada anak dan isteri di rumah?” sambung Hasef pula. Malek mengangguk-angguk.

“Hah, itu pun Eric dan Wong dah sampai.” kata Malek bila seorang lelaki berkepala separuh botak melambai pada mereka di sebuah sudut yang bersofa. Suasana agak mengujakan dengan music rancak bergema. Di sebelah lelaki botak itu seorang lelaki turut tersenyum dan mengangkat tangan. Hasef dan Malek berjabat tangan sebaik sahaja menghampiri 2 orang lelaki berbangsa cina itu.

“Dah lama sampai ke ?” tanya Hasef. “Sorry kami lambat sikit. Traffic jam bila nak keluar dari pejabat tadi.” sambung Hasef memberikan alasan. Eric dan Wong mengangguk dan tersengeh.

“Tak apa, kami pun baru sampai juga. You allnak pesan minuman?” tanya Eric sudahpun memanggil seorang pelayan lelaki yang berada berdekatan.

“Baguslah. Tak lamalah you all menunggu. Oh ya drinks…Coke untuk kami berdua.” pinta Hasef kepada pelayan di situ. Pelayan itu mengangguk dan berlalu kemudian datang semula dengan 2 gelas coke. Mereka berbual seketika, berbincang sedikit tentang kerja dan kemudian meleret kepada hal wanita pula. Dari perbualan, mereka tahu yang kedua-dua lelaki itu telahpun berkahwin. Namun kesempatan berada di situ mereka gunakan untuk berhibur dengan beberapa wanita GRO yang berpakaian tak cukup kain.

Beberapa wanita telahpun mengambil tempat di sebelah Eric dan Wong. Mana tidak, dua tauke kaya itu laksana gula dihurung semut. Semut yang dapat menghidu manisnya duit. Hasef hanya memerhatikan. Ada juga GRO yang datang padanya tapi Hasef menolak dengan baik. Jenuh juga menepis tangan-tangan yang tidak malu ikut suka memegang lengan sasanya dan pipinya. Dia hanya tersengeh dan berkata. “Sorry, not interested.” menyebabkan wanita-wanita tersebut menarik muka seketika. Berpeleseran dengan wanita bukan resam Hasef. Dia jenis lelaki setia pada yang satu dan saat itu setianya hanya pada Zeti. Ye Zeti…dia meyakinkan dirinya. Zeti yang mencuri hatinya sejak 5 tahun dulu.

Sedang mereka berbual itu Malek mendapat satu panggilan telefon dan berlalu untuk mengambilnya. Seketika kemudian dia datang kembali.

“Eh Hasef, aku ada emergency ni kena balik awal. Mak bapak aku baru sampai dari kampung ni. Ada kat Teminal Bersepadu Selatan. Aku kena jemput diaorang. Tak tahu pulak orang tua berdua tu nak datang. Kau okay ke aku balik ni?” kata Malek tiba-tiba yang baru sahaja menerima panggilan dari ayahnya. Hasef mengeluh. Rasa kurang selesa berseorangan saja di situ memerhati kerenah client mereka itu. kalau ada Malek boleh juga berbual dan menepis ajakan wanita-wanita untuk menari di situ. Tapi apa pun family comes first. Sudahlah tu ibubapa Malek datang dari jauh.

“Okay…okay. Kau baliklah biar aku temankan mamat berdua tu ni. Jangan risau aku ok boleh handle sorang..” katanya separuh benar. Dia kasihan pula ibu bapa Malek menunggu di stesyen bas malam-malam begitu.

“Thanks. Sorry tau aku terpaksa balik.” ujar Malek merasa bersalah.

“Pergilah balik…kalau aku kata okay tu okaylah. Karang aku tak bagi kau balik baru kau tahu.” kata Hasef separuh bergurau. Malek ketawa.

“Orait aku balik dulu. Kalau ada apa-apa call aku. I owe you this one,” ujar Malek bersungguh.

“Dah, tak payahlah nak buat drama pulak kat sini. Nak blah kau blah la. Buat-buat kesian kat aku pulak,” marah Hasef bosan. Malek tersengeh kemudian berlalu. Hasef hanya melambai sekilas pada Malek yang berlalu.

HASEF menebar pandangan bosan. Dah 3 jam dia di situ meneguk beberapa gelas coke dan mengunyah kentang goreng. Silap haribulan boleh kencing manis dan darah tinggi kalau dia berlama lagi di situ. Dan paling bosan bila ada wanita tidak tahu malu yang tiba-tiba singgah untuk berbual. Penat dia menepis dengan berbagai-bagai alasan. Wanita-wanita itu cantik dipandang tetapi plastik saja baginya menyebabkan dia tiada mood untuk berbual. Mekapnya saja tebal entah berapa inci. Bau minyak wangi yang macam-macam juga seolah meloyakannya.

“Hasef, come on. Pergilah menari.” Tiba-tiba Eric yang berpapasan dengan seorang wanita seksi di sebelahnya menyuruh.

“Tak apa Eric. You go ahead.” suruh Hasef berbasa-basi. Adui, kau nak menari pergilah menari. Mengapa pulak nak suruh aku? rungut Hasef dalam hati terasa rimas.

“Inikan Friday night…lagipun you single. Pergi pilih mana-mana perempuan tu dan ajak menari. ” suruh Eric lagi.

“Tak apalah tauke I tak pandai menari.” ujar Hasef menolak. Adui! Melebih pulak tauke sorang ni, bisik Hasef dalam hati.

“Iye ke? Hensem macam ni tak tahu menari?” tanya Eric seperti menyindir.

“Betul…tak tau menari lah tauke.” Hasef mengulang lagi. Hai! Tak percaya pulak! Eric ketawa berdekah-dekah. Jelas dia sedikit mabuk. Entah apa yang kelakar sangat.

“Hasef, ini lagi satu… kami mau ambik perempuan escort bawak balik hotel tau malam ni. You boleh bayarkan ke?” tanya Eric tiba-tiba sambil memandang pada Wong berdekatan. Jelas mereka berdua telah berbincang. Inilah satu perkara yang Hasef tidak suka. Apa hal pula mahu bawa perempuan balik? Tak cukup berhibur di kelab itu sahaja,? rungut hatinya.

“Berapa harga?” tanya Hasef bila melihatkan lelaki berdua itu bersungguh-sungguh.

“Dalam satu ribu. Ini fresh punya tau.” jawab Eric dengan senyuman penuh erti. Fresh? Tauke itu ingat perempuan macam ikan ke? bisik hati Hasef geram.

“Tauke, perempuan sini tak cukup ke mahu ambik bawak balik pulak?” komen Hasef tidak puas hati tapi dari celah senyuman tak ikhlasnya. Bunyi macam bergurau tapi sebenarnya menyindir.

“Aiyooo sunyilah outstation macam ni tak de perempuan. Itu Wong pun mahu jugak,” kata Eric. Amboi! Kau berdua ingat aku cap duit kah? Sekali dua orang pulak? 2 ribu tu kalau dua orang. Kemudian untuk apa? Bayar perempuan escort sampai semahal itu. Entah apa pula aktiviti di bilik hotel selepas itu sedangkan projek pula belum tentu dapat. Nanti tak pasal-pasal aku terbabit dosa pulak, rungut Hasef dalam hati. 

“Tak payahlah tauke. You minum-minum sini sajalah. Tak perlu escort-escort.” pujuk Hasef. Layu wajah tauke berdua itu. Mereka saling berpandangan. Namun di sudut hati, syaitan mula membisikkan jarum halus. Tapi apa peduli mereka bukan orang Islam pun. Kalau orang Islam sudah tentu dia tidak mahu bersubahat.

“Hasef, kalau tak boleh tak apa. Projek tu I akan pertimbangkanlah ye.” Tiba-tiba Eric berkata begitu. Bunyi macam mengugut pula.

“Eh, apa kena mengena projek tu dengan perempuan tauke?” tanya Hasef tak puas hati.

“Adalah. Kami nak bawak balik perempuan malam ni. Kalau tak, susah sikitlah dapat project tu. ” ugut Eric sambil tersengeh-sengeh sengaja. Wong juga mengangguk-angguk. Hasef menghela nafas. 

“Baiklah tauke. Tauke pilih je perempuan mana buat escort. Nanti saya bayarkan.” kata Hasef akhirnya menurut sahaja. Tu dia, terbanglah duit aku 2 ribu! Yelah, mereka bukan Islam pun dan wanita yang jadi escort kebanyakannnya bukan Islam juga. Dia cuba menyedapkan hati. Atas dasar itu dia sepatutnya tidak rasa bersalah pun. Tapi entah kenapa dia terasa tidak sedap hati. Seolah-olah ada rasa bersalah itu. Hendak juga dia lihat secantik mana escort berharga Rm1 ribu. Hebat sangatkah sampai satu malam 1 ribu? Hasef bersoal sendiri lantas meneguk lagi air Cokenya.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.