Home Novel Cinta Hatiku Not For Sale
Hatiku Not For Sale
Batiah Hadi
23/5/2015 22:35:39
454,921
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 4

“WAH, sedapnya nasi lemak ni. Kau beli kat mana ni Malek?” tanya Hasef Irfan pada rakan baiknya. Malek tersengeh lebar teringat si penjual nasi lemak yang manis dan jelita berbibir merah. Itupun kali pertama dia singgah ke restoran itu di ceruk sebuah kampung lama di Kuala Lumpur. Dia pun tak menyangka di kawasan seperti itu ada nasi lemak sesedap itu. 

Dek terpesona dengan si penjual nasi lemak, dia telah membeli tiga bungkus hari itu dan hanya satu saja berbaki kerana dia telah memakan kedua-dua bungkus nasi lemak itu dengan berselera sekali di restoran itu juga. Lazatnya nasi lemak yang ringkas berdaun pisang itu walaupun dengan sedikit sambal ikan bilis, suku telur rebus dan secebis timun. Dan sekarang Hasef pun berpendapat sedemikian juga. Memang sahlah sedap nasi lemak tu. Esok, dia akan ke sana lagi mendapatkan nasi lemak yang kian mendapat tempat dalam hatinya. Terutama si penjual nasi lemak itu.

“Ada satu tempat…nanti esok aku bawa kau makan di sana sambil kita cuci mata.” ujar Malek tersengeh lebar. Hasef Irfan hairan. Cuci mata? Kenapa pulak kena cuci mata? getus hatinya.

“Perempuan mana pulak kau dah terpikat ni sampai nak cuci mata? Kau kena mandrem ye?” sela Hasef bergurau. Dia tahu Malek pantang tengok perempuan cantik, perempuan dari tanah seberang pun dia sapu sahaja. Hasef tahu sangat perangai Malek itu bagaimana.

Malek memandang pada lelaki itu yang sebaya dengannya. Berperawakan kemas dengan kemeja warna biru dan slack hitam. Semasa di kampus dulu menjadi kegilaan gadis-gadis kerana pakejnya yang lengkap. Tampan, baik dan berkarisma meskipun bukan berasal dari keluarga yang super kaya. Hasef Irfan datang dari keluarga sederhana berlatar belakang akademik yang baik.  Biarpun dia bukan anak usahawan atau hartawan tapi Hasef Irfan sejak di kampus sudah pandai mencari duit sendiri dengan menjual top up, applikasi dan domain websitesehingga mampu membeli sebuah kereta. Otaknya yang bergeliga dalam teknologi maklumat membawa kepada penubuhan syarikat mereka selepas mendapat ijazah pertama tanpa memerlukan banyak modal.

Dan sekarang syarikat mereka adalah antara syarikat bumiputera yang berjaya dan Hasef Irfan dan Malek mula disebut sebagai usahawan Internet yang terkenal. Kehebatan Hasef Irfan dan Malek sudah dimaklumi oleh usahawan-usahawan Internet yang lain di Malaysia. Beberapa perisian dan patennya telah dibeli oleh syarikat-syarikat gergasi menyebabkan dia dapat mengumpul modal yang banyak untuk syarikatnya yang beroperasi sekarang.

“Ini bukan mandrem. Perempuan tu memang cun, tapi sayang dia penjual nasi lemak saja. Kali pertama aku jumpa dia aku memang dah jatuh hati. Tak sabar aku nak jumpa dia lagi esok,” ujar Malek. Hasef mengeleng-ngeleng geli hati melihatkan perangai rakan kongsinya itu.

“Hai, asal jumpa perempuan je ayat ni jugaklah kau cakap. Dahlah, kalau kau teringin sangat nak kawin, kawin sajalah. Ini asal jumpa perempuan je terus merenyam. Semua nampak cantik, semua nampak cun, sah memang sakit kroniklah kawan aku sorang ni.” gurau Hasef Irfan lagi sambil ketawa kecil. Nasi lemak itu dihabiskannya dengan nikmat sekali sehingga butiran nasi yang terakhir. Sambal yang melekat di sudu dijilatnya nikmat. Memang betul kata Malek, nasi itu memang sedap. Bolehkah dipercayai kata kawannya itu bahawa si penjual nasi lemak itu cantik? Ah! Ada-ada saja Malek, desis hati Hasef lantas memasukkan pembalut nasi lemak ke dalam tong sampah dan membasuh tangannya di pantry pejabatnya itu.

“Hah, sedap kan?” tanya Malek. Hasef mengangguk. Dia telah pun duduk kembali menghabiskan air kopi di mugnya yang masih berbaki.

“Sedap. Nanti lain kali kau belikan aku nasi lemak ni lagi.” pinta Hasef sambil menjilat sudu. Memang cukup segala rasa nasi lemak itu dengan nasi dan sambalnya. Dibungkus pula beralas daun pisang menambah keharuman dan rasa nasi lemak itu.

“Lain kali aku nak terus ajak kau ke restoran tu dan makan di situ. Boleh tengok penjualnya sekali,” kata Malek teruja. Hasef mengeleng-ngeleng.

“Nak buat apa? Tak mahulah aku pagi-pagi meredah jem hanya nak ke restoran yang kau sebut tu. Lagipun jalan kat situ sesak…not my usual route pulak tu,”

“Hmm…rugilah sebab kau tak dapat tengok penjualnya. Kalau kau tengok lagi sedap nasi lemaknya tu. Tambah berperisa,” umpan Malek sengaja. Hasef ketawa geli hati.

“Tak apalah, aku bagi kau sajalah yang tengok kan untuk aku. Lagipun, tunang aku Zeti tu aku nak campak mana? Kau ni melebih betul lah..berperisa konon!” jawab Hasef separuh bergurau.

“Tengok saja, bukan sampai nak ganti pulak Zeti kau tu. Kau ni memang tak pandai cuci mata langsung! Setia sangat!!” marah Malek bersahaja.

“Tunang aku tu dah cukup bagi aku Malek. Tak payah lagi aku cuci mata tengok perempuan lain. Dialah wanita yang paling cantik pada pandangan aku ni, she’s perfect for me.,” kata Hasef dengan yakin. Dia terkenang Zeti yang hitam manis dan tinggi lampai itu. Gadis yang mencuri hatinya itu dikenali 5 tahun yang lalu sejak mereka sama-sama menjalani latihan industri di salah sebuah syarikat terkenal di ibukota. Sekarang Zeti bekerja di sebuah bank manakala dia bersama Malek berbekalkan sedikit modal dan kemahiran membina syarikat dalam bidang Teknologi Maklumat itu sehingga kini.

“Hmmm….susah kalau orang dah gila bayang. Tapi heran dah tunang 5 tahun tapi tak kahwin-kahwin. Kau orang berdua nak tunggu apa lagi?. Dua-dua dah mampu aku tengok.” ujar Malek hairan.

“Aku masih tak bersedia. Syarikat kita tengah naik jadi aku nak fokus pada syarikat dulu. Lagipun Zeti sekarang sedang kejar karier dia. Kahwin tu bila-bila pun boleh tapi kalau aku tak dapat tumpu pada rumah tangga macamana? Kesian pulak Zeti nanti,”

Pada Hasef syarikat itu adalah segala-galanya bagi dia sejak dia tubuhkan syarikat itu. Sebab itu dia tidak terfikir untuk kahwin biarpun sebenarnya Zeti ada juga mendesak sesekali.

“Kalau kau nak tunggu ready bila-bila pun tak ready. Cuma aku risau kalau-kalau kau lama sangat Zeti tu bosan dan kemudian cari orang lain. Kau jugak yang melepas.”

“Malek, kalau dah jodoh tak ke mana. Aku tahu Zeti tu setia dengan aku macam aku setia dengan dia.” kata Hasef yang sudahpun bangun membasuh mugnya.

“Amboi nak muntah hijau aku dengar bab-bab setia ni. Eh, apa-apa je lah. Aku harap dan doakan kau orang berdua bahagia.” kata Malek.

“Terima kasih bro. Okay, jom kita ke bilik mesyuarat. Sekejap lagi client kita nak sampai. Aku harap kau dah siapkan presentation kita tu.” kata Hasef membetulkan kemeja dan kotnya. Terserlah keterampilan lelaki itu pagi itu.

“Kau jangan risau. Semua dah sedia. Tak kan kau tak kenal aku lagi?. Bab presentation ni is my forte. Okay, jom!” ajak Malek lalu bangun membasuh mugnya dan mengelap tangan. Hasef tersengeh dan mengangguk lalu mengekor Malek ke bilik mesyuarat. Mereka perlu bersedia untuk kedatangan pelanggan mereka pagi itu yang datang untuk mendapatkan satu perisian terbaru keluaran syarikat mereka. Semoga dipermudahkan dan semoga mereka untung berjuta, doa Hasef dalam hati sambil mengurut-ngurut tali lehernya. Kalau dah untung barulah dia akan buat majlis perkahwinannya bersama Zeti dengan besar-besaran. Barulah sepadan dengan Zeti yang berkeluarga kaya-raya itu, bisik Hasef dalam hati.
Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.