Home Novel Cinta Kahwin 3 Kali
Kahwin 3 Kali
20/12/2014 16:50:10
8,879
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Prilog
HIDUP ini hanyalah satu perantaraan di antara hidup dan mati. Dan yang pasti menjanjikan syurga dan neraka. Di atas muka bumi terjalin sebuah kehidupan, dijadikan Adam dan diwujudkan Hawa sebagai penyeri hidup.

 

Hawa dijadikan daripada tulang rusuk kiri Adam. Wujudnya Hawa untuk menjadi penyeri Adam yang

keseorangan. Tetapi dek termakan hasutan syaitan, Adam dan Hawa terpisah, tercampak jauh ke bumi. Dari situlah terjadinya manusia di muka bumi ALLAH.

 

Sejak zaman Nabi Adam lagi manusia sudah didedahkan dengan cerita perpisahan, pertemuan dan kebahagiaan dalam segala bentuk suka duka sebuah kehidupan. Itulah kehidupan, selalu dijadikan berpasang-pasangan. Malam adanya siang, bumi adanya langit, kanan adanya kiri, suka adanya duka.

Begitulah adilnya sebuah kehidupan ciptaan ILAHI. Kehidupan adalah satu perjudian yang harus ditempuhi walaupun pahit.

 

Percaya atau tidak, setiap kepahitan itu ada kemanisan yang pasti dicapai jika manusia terus bersabar

dalam mengharungi setiap kepahitan itu. Tetapi dalam menempuh setiap kepahitan itu, pasti air mata menjadi peneman setia.

 

Air mata juga menjadi saksi setiap kedukaan yang ditempuhi. Bersyukur atau tidak, kedukaan itu adalah bonus daripada ALLAH. Kerana DIA tidak akan menduga hamba-NYA melainkan DIA telah mengetahui yang hamba-NYA mampu menghadapi setiap ujian yang diberikan. Dan setiap ujian yang diberikan akan mendapat rahmat daripada-NYA.

 

Keluhan tidak akan melenyapkan kedukaan. Tetapi keluhan hanya mampu memberi sedikit ruang untuk manusia bernafas daripada tersepit di antara duka dan suka. Susahnya erti sebuah kedukaan. Tanpa duka, manusia tidak akan belajar untuk menjadi bahagia. Begitu juga dengan kehidupan Farizan Natasha. Dia kini bahagia bersama insan-insan yang menyayanginya. Suami dan juga anak-anak. Penderitaan sudah berakhir. Inilah kehidupan yang cukup sempurna.

 

Kini Farizan Natasha berasa bahagia. Wahai penderitaan, selamat tinggal. Wahai kekecewaan, pergilah dari hidupku. Wahai air mata, keringlah daripada mengalir. Kerana aku kini bahagia. Kerana kini aku sudah tidak gentar dengan air mata.

 

Ya ALLAH, betapa adilnya pemberian-MU. Aku diuji dan diberi peringatan. Daripada sebuah kehidupan yang penuh kesedihan, kini aku tahu apa itu bahagia. Farizan Natasha mengeluh lantas melepaskan nafas

lega. Engku Nisha, Tengku Muzaffar Bahrin dan Engku Lisdha, kamu semua permata hati bonda, bisik hati kecil Farizan Natasha sambil memandang ketiga-tiga orang anaknya yang sedang bermain di tepi pantai.

 

Sesekali senyuman mekar terukir di bibir mulusnya. Kelegaan yang hanya mampu diucap dengan kata-kata. Hanya lafaz syukur kepada-NYA yang mampu terluah.

 

Engku Nisha tetap anak bonda yang sulung. Tak ada siapa yang boleh mempertikaikannya. Bonda janji, kasih sayang antara kalian bertiga tak ada galang gantinya, bisik hati Farizan Natasha lagi sambil melihat kerenah anak-anaknya bermain, bergurau dan membina istana pasir. Inilah kali kedua dia menjejakkan kaki di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan. Bibirnya menguntum senyuman ketika melihat istana pasir yang dibina anak-anaknya hancur menjadi rata ketika ombak datang menghempas. Engku Nisha mengamuk sambil menghentak kaki apabila istananya dimusnahkan ombak.

 

“Benci! Benci! Benci!” jerit Engku Nisha.

 

Farizan Natasha membiarkan Engku Nisha berusaha sendirian, mengajar dia erti sebuah kehidupan agar tidak bergantung harap kepada orang lain. Ya ALLAH ya TUHANku, terima kasih atas kurniaan-MU yang sangat istimewa. Suami dan anak-anakku. Kini aku tahu setiap ujian yang KAU berikan untukku adalah sebagai petunjuk dan di sebaliknya ada rahmat yang tersembunyi.

 

“Sayang menangis ke?”

 

Kedengaran suara insan yang dikasihi tiba-tiba datang menyapa. Farizan Natasha mendongak dan menghulurkan tangan. Tangan mereka bertaut lalu lelaki itu melabuhkan punggung di sebelah isterinya.

“Kenapa, sayang?” soal lelaki itu lagi.

 

Farizan Natasha tersenyum.

 

“Tak ada apa-apa,” jawab Farizan Natasha sambil menggeleng.

 

Senyuman terukir indah di bibir Farizan Natasha.

 

“Kalau tak ada apa-apa, kenapa mata tu berair?” soal lelaki itu sambil mengelap sisa-sisa air mata di pipi gebu Farizan Natasha.

 

Ah, rupa-rupanya aku mengalirkan air mata. Ni bukan air mata kesedihan tapi ni adalah air mata kegembiraan, bisik hati Farizan Natasha.

"Thanks, sayang. Tak sia-sia aku diuji.”

Hanya itu yang mampu Farizan Natasha lafazkan. Lafaz yang penuh keramat. Biarlah ia terus tersirat dalam kalbu  dengan sebuah episod cinta yang terlahir serta terpendam, kerana adat sebuah kisah percintaan, di dalamnya pasti ada suka dan duka.

"Magic word?” soal lelaki itu.

“Hmm... lebih kurang,” jawab Farizan Natasha, masih menumpukan perhatian ke arah anak-anaknya.

"Past is past honey, dont look behind.” Farizan Natasha menggapai tangan suaminya lalu menyinggah satu ciuman di situ. Keringlah air mata, jangan biarkan ia mengalir lagi. Jika sekali lagi aku diuji, aku sudah

tidak gentar menghadapinya.

 

“Sha, abang akan pastikan hidup kita sekeluarga sentiasa gembira sebab abang sayangkan Sha dan anak-anak kita,” ucap lelaki itu lantas menghadiahkan sebuah kucupan di pipi isteri tersayang.

 

“Sha pun sayangkan abang. Terima kasih, abang,” ucap Farizan Natasha sambil menggapai tangan suaminya. Mereka berdua berjalan beriringan menuju ke arah permata hati yang sedang leka bermain pasir di gigi pantai.

 

Membina istana pasir impian masing-masing. Kadangkadang istana tanpa tiang mudah runtuh menjadi pasir rata. Terdengar jeritan kecil anak-anaknya yang mengamuk apabila istana yang dibina mereka rebah menyembah bumi. Jangan salahkan air pantai.

 

“Bonda, abi, datanglah sini! Istana kakak asyik kena hempas ombak aje. Bencilah!” rungut Engku Nisha sambil menghentak kaki.

 

“Lain kali, kalau takut dihempas ombak, jangan berumah di tepi pantai,” ujar Farizan Natasha dan suami serentak sambil sama-sama ketawa.

Next:

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh