Air mata juga menjadi saksi setiap kedukaan yang ditempuhi. Bersyukur atau tidak, kedukaan itu adalah bonus daripada ALLAH. Kerana DIA tidak akan menduga hamba-NYA melainkan DIA telah mengetahui yang hamba-NYA mampu menghadapi setiap ujian yang diberikan. Dan setiap ujian yang diberikan akan mendapat rahmat daripada-NYA.
Keluhan tidak akan melenyapkan kedukaan. Tetapi keluhan hanya mampu memberi sedikit ruang untuk manusia bernafas daripada tersepit di antara duka dan suka. Susahnya erti sebuah kedukaan. Tanpa duka, manusia tidak akan belajar untuk menjadi bahagia. Begitu juga dengan kehidupan Farizan Natasha. Dia kini bahagia bersama insan-insan yang menyayanginya. Suami dan juga anak-anak. Penderitaan sudah berakhir. Inilah kehidupan yang cukup sempurna.
Kini Farizan Natasha berasa bahagia. Wahai penderitaan, selamat tinggal. Wahai kekecewaan, pergilah dari hidupku. Wahai air mata, keringlah daripada mengalir. Kerana aku kini bahagia. Kerana kini aku sudah tidak gentar dengan air mata.
Ya ALLAH, betapa adilnya pemberian-MU. Aku diuji dan diberi peringatan. Daripada sebuah kehidupan yang penuh kesedihan, kini aku tahu apa itu bahagia. Farizan Natasha mengeluh lantas melepaskan nafas
lega. Engku Nisha, Tengku Muzaffar Bahrin dan Engku Lisdha, kamu semua permata hati bonda, bisik hati kecil Farizan Natasha sambil memandang ketiga-tiga orang anaknya yang sedang bermain di tepi pantai.
Sesekali senyuman mekar terukir di bibir mulusnya. Kelegaan yang hanya mampu diucap dengan kata-kata. Hanya lafaz syukur kepada-NYA yang mampu terluah.
Engku Nisha tetap anak bonda yang sulung. Tak ada siapa yang boleh mempertikaikannya. Bonda janji, kasih sayang antara kalian bertiga tak ada galang gantinya, bisik hati Farizan Natasha lagi sambil melihat kerenah anak-anaknya bermain, bergurau dan membina istana pasir. Inilah kali kedua dia menjejakkan kaki di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan. Bibirnya menguntum senyuman ketika melihat istana pasir yang dibina anak-anaknya hancur menjadi rata ketika ombak datang menghempas. Engku Nisha mengamuk sambil menghentak kaki apabila istananya dimusnahkan ombak.
“Benci! Benci! Benci!” jerit Engku Nisha.
Farizan Natasha membiarkan Engku Nisha berusaha sendirian, mengajar dia erti sebuah kehidupan agar tidak bergantung harap kepada orang lain. Ya ALLAH ya TUHANku, terima kasih atas kurniaan-MU yang sangat istimewa. Suami dan anak-anakku. Kini aku tahu setiap ujian yang KAU berikan untukku adalah sebagai petunjuk dan di sebaliknya ada rahmat yang tersembunyi.
“Sayang menangis ke?”
Kedengaran suara insan yang dikasihi tiba-tiba datang menyapa. Farizan Natasha mendongak dan menghulurkan tangan. Tangan mereka bertaut lalu lelaki itu melabuhkan punggung di sebelah isterinya.
“Kenapa, sayang?” soal lelaki itu lagi.
Farizan Natasha tersenyum.
“Tak ada apa-apa,” jawab Farizan Natasha sambil menggeleng.
Senyuman terukir indah di bibir Farizan Natasha.
“Kalau tak ada apa-apa, kenapa mata tu berair?” soal lelaki itu sambil mengelap sisa-sisa air mata di pipi gebu Farizan Natasha.
Ah, rupa-rupanya aku mengalirkan air mata. Ni bukan air mata kesedihan tapi ni adalah air mata kegembiraan, bisik hati Farizan Natasha.