Home Novel Cinta MAK DATIN ISTERI CIKGU
MAK DATIN ISTERI CIKGU
Dannie Sofea
6/3/2014 21:38:20
67,860
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 5

“Baik kau berterus terang dengan aku. Sebenarnya, apa perasaan kau pada Dean?” tanya Suhaila yang baru selesai makan nasi lemak yang dihantar Dean.

Selain Ayra dan Suhaila, Dean juga turut belikan nasi lemak untuk Aisyah. Alasannya, sebagai membalas bantuan mereka bertiga yang telah membantunya menyiapkan tugasan Ilmu Pendidikan semalam.

“Tak ada apa-apa. Kawan je.”

Ayra hanya menganggap Dean tidak lebih dari seorang rakan.

“Meraung Dean kalau dengar pengakuan kau ni. Kesian dia. Dia betul-betul suka pada kau. Takkan kau tak perasan semua tu?”

“Dahlah. Aku malas nak berbual soal ni lagi. Aku dan Dean tak ada apa-apa.”

Ayra tak ingin terus didesak soal hati dan perasaan. Bukan sekali dua Suhaila mengajukan pertanyaan yang sama, tapi sudah berkali-kali. Dia pernah terfikir, mungkin Dean berpakat dengan Suhaila hendak mengorek apa yang terpendam di hatinya.

Suhaila pernah menuduhnya sebagai seorang gadis yang kuat berahsia.

“Bila Dean tinggalkan kau nanti, barulah kau akan hargai perasaannya.”

Suhaila menyokong kuat andai Ayra menerima cinta Dean. Lelaki itu baik orangnya dan suka membantu. Sesuai sangat dengan Ayra, seorang gadis periang. Senyuman manis sentiasa terukir di bibirnya. Cuma, sejak akhir-akhir ini dia nampak lebih pendiam.

Tidak! Ayra tidak dapat menerima kehadiran Dean sebagai seorang kekasih, apa lagi teman hidupnya. Ayra bangun lalu memerhati raut wajah di depan cermin. Mukanya kelihatan tidak bermaya.

Ah, malasnya nak ke Butterworth pagi esok...

Berat keadaan yang sedang dilalui sekarang. Ayra tahu, kesudahannya nanti dia yang akan merasai kekecewaan. Pasti Dean atau mana-mana lelaki tidak dapat menerimaya andai mereka tahu kisah lalu yang pahit dan pedih.

Pada usia remaja, Ayra terpaksa melalui detik-detik getir dalam hidup. Bersendirian menempuh cubaan dan dugaan! Bila diingat kembali kenangan itu, terasa dirinya cukup tabah, walaupun sebenarnya dia hampir tewas.

“Jadi, sebelum terlambat, buangkanlah ego kau tu. Aku tahu kau sukakan Dean. Tapi mungkin kerana Dean tu cikgu juga macam kita, kau tak boleh terima. Yelah, zaman sekarang ni, kerjaya guru bukan lagi kerjaya yang dihormati masyarakat. Kerja kerajaan ni, manalah orang suka. Gadis zaman sekarang lebih suka memburu lelaki yang berjawatan tinggi, berstatus orang kaya. Tak kisah umur berapa, sebaya dengan bapa sendiri pun sanggup terima asalkan berharta. Mereka mencari kesenangan dengan jalan mudah.”

“Kenapa dengan kau ni? Membebel sampai ke situ pulak!”

Bengang Ayra dengan tuduhan Suhaila. Dia benar-benar tersepit sekarang. Tambah-tambah lagi dengan kehadiran mesej misteri tersebut.

“Aku bukan membebel. Apa yang aku cakap tu adalah realiti.”

“Aku faham. Tapi, kalaulah kau tahu keadaan yang sedang aku tanggung sekarang...” matanya tepat memandang ke wajah Suhaila.

Suhaila anak kedua dari tiga beradik, semua perempuan. Dia orang Kelantan. Ibunya guru dan bapanya Pengetua di daerah kelahirannya. Kakaknya pula sudah bergelar doktor, manakala adiknya masih berada di universiti. Sebulan sekali Suhaila akan balik kampung untuk menziarahi orang tuanya. Kadang-kadang orang tuanya yang akan datang menziarahinya di Kuala Kangsar. Bahagianya kehidupan Ila...

Ayra yakin Suhaila pasti tidak sanggup untuk menggantikan tempatnya. Air mata menitis jatuh membasahi pipi.

“Kau ada masalah ke?”

Suhaila segera bangun lalu menghampiri Ayra yang sedang berdiri di sebelah meja hujung kepala katil. Suhaila menggenggam erat tangan Ayra. Selain kerinduan pada keluarga, Suhaila dapat merasakan yang Ayra ada menyimpan masalah lain yang jauh lebih berat.

Ayra sudah tidak mampu menahan perasaan lagi. Sedih, sedih sangat. Ayra melepaskan perasaan dengan menangis sepuas hati. Dugaan yang sedang dilalui tak tertanggung lagi. Kecewa dengan apa yang dialami, dia pernah pasang niat untuk menamatkan saja riwayat hidupnya.

Mujurlah akalnya masih panjang. Mujurlah masih ada iman di dada. Allah masih sayangkannya. Allah tidak akan menguji hamba-Nya dengan suatu ujian yang tak mampu ditanggung.

‘Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk menempuh segala dugaan di alam fana ini.’

“Maafkan aku, Ayra. Aku tak ada niat nak sakiti hati kau. Maafkan kata-kata aku tadi.”

Bersungguh-sungguh Suhaila memohon maaf sambil mencium tangan Ayra.

Ayra mengetap bibir, cuba menahan sendu yang semakin menjadi-jadi. Sudah lama dia tak melepaskan perasaan dengan menangis sepuas-puasnya seperti sekarang. Hampir enam tahun dia berjaya mengawal keadaan. Tapi hari ini, dia tak mungkin lagi dapat menyembunyikan perasaan hati.

‘Aku tak pernah rasa bahagia!’

“Ayra, maafkan aku...”

Air mata Suhaila bergenang di kelopak mata, turut simpati melihat keadaan Ayra walaupun dia tidak tahu punca sebenar tangisan Ayra.

“Jangan salahkan diri kau. Aku bukan menangis kerana kata-kata kau tu. Langsung aku tak ambil hati. Tiba masanya nanti, aku akan ceritakan segalanya. Berikan aku sedikit masa lagi.”

“Kau ada masalah?”

Suhaila mengesat air mata. Dia menepuk lembut bahu Ayra. Ayra mengangguk, tertunduk dan menangis lagi.

“Ceritakan pada aku. Aku janji akan bantu kau.”

Suhaila memeluk erat tubuh Ayra.

“Betullah tekaan aku sebelum ini. Melihat gerak-geri dan air muka kau, aku yakin kau sedang menghadapi masalah besar.”

“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk aku ceritakan semua ni.”

Ayra sebenarnya mahu luahkan kisah yang pernah dilaluinya pada seseorang. Dia pernah baca artikel dalam majalah, dengan berkongsi masalah yang sedang dihadapi, dapat mengurangkan bebanan di hati. Setakat ini, hanya Suhaila sahaja teman yang boleh dipercayai untuk memegang rahsia yang selama ini tersimpan kemas di sanubari.

Dia juga berharap Suhaila masih sudi berkawan dengannya sebaik sahaja gadis itu tahu apa yang telah dia lakukan...

‘Ya Allah, ampunkan dosaku. Aku tidak berniat untuk melakukan sesuatu seperti itu.’

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.