Home Novel Cinta MAK DATIN ISTERI CIKGU
MAK DATIN ISTERI CIKGU
Dannie Sofea
6/3/2014 21:38:20
67,902
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 3

Kasihan pula Ayra dengan Nadira. Bukan dia tak sudi ke majlis perkahwinan kakak Nadira. Masalahnya, dia tiada kawan. Suhaila tak jadi pergi kerana ada temujanji dengan tunangnya. Aisyah pula mereka alasan remeh, selsema!

Syafiqah beria-ia mengajak Ayra bertamu di rumahnya. Ayra segan jika dia seorang sahaja bertamu di rumah Syafiqah. Kalau ada peneman, taklah dia segan sangat. Biasalah, di rumah orang, nak buat sesuatu mesti terasa kekok.

“Kami wakilkan kau dan Iqa pergi ke majlis kenduri kakak Dira.”

“Alah, jomlah. Tak elok kita menolak jemputan Dira.”

Ayra tidak bersetuju dengan cadangan Aisyah yang mahu mewakilkan dia dan Syafiqah ke kenduri di rumah Nadira. Pandai-pandai saja buat keputusan.

“Sebenarnya, kami tak selesa dengan Dira tu. Dia suka menunjuk-nunjuk. Tujuan dia jemput kita ke kenduri kakak dia tu, bukan setakat untuk pergi makan tu. Mesti dia nak tunjuk rumah dia yang besar tu.”

Suhaila meluahkan apa yang terpendam di hati. Dia sudah masak dengan sikap Nadira yang suka menunjuk-nunjuk.

“Korang ni, ada-ada saja.”

Ayra juga sebenarnya perasan dengan sikap Nadira yang gemar menunjuk-nunjuk. Tapi takkanlah tujuan Nadira jemput ke kendurinya pun sebab nak menunjuk-nunjuk? Fikiran Ayra tak adalah sampai ke situ.

“Kau bermalamlah di rumah Iqa. Pagi Ahad tu, baru korang gerak ke rumah Dira.”

Aisyah cuba mengatur.

“Sebenarnya aku tak suka bermalam kat rumah orang ni.”

“Alah, rumah Iqa, teman serumah kau jugak. Bukannya orang lain pun.”

Memanglah Syafiqah tu bukan orang lain, tapi... abang Syafiqah! Ayra tak selesa dengan abang Syafiqah! Nazim pernah bermalam di rumah sewa mereka. Dia hendak ke Kuala Lumpur. Hujan lebat ketika Itu. Nazim yang menunggang motosikal singgah bermalam di rumah sewa mereka sebelum menyambung perjalanannya keesokan hari.

Mata keranjangnya boleh tahan. Itulah yang buat Ayra gusar jika terpaksa bermalam di rumah Syafiqah.

“Apa kata kau ajak Dean. Dia mesti setuju kalau kau ajak teman ke kenduri rumah Dira tu.”

Suhaila memberi cadangan lain pulak.

“Kalau kau pergi dengan Dean, kau tak payah bermalam di rumah Iqa. Dean ada kereta.” Tambah Suhaila.

“Dean???”

Aisyah dan Suhaila mengangguk serentak.

* * *

Nadira bengang bila Aisyah dan Suhaila menolak jemputan. Ayra dan Syafiqah pula belum memberi kata putus. Dia terus meninggalkan institut perguruan sebaik sahaja tamat kuliah petang Khamis. Mukanya masam mencuka. Langsung tak cakap apa-apa.

Sikap Nadira itu membuatkan Ayra tak senang duduk. Dia rasa tak sedap hati kerana telah menghampakan pelawaan Nadira.

‘Tapi, kalau aku ikut Syafiqah, keselamatan aku pulak yang tak terjamin.’ Ayra resah!

Masalah komen misteri di blog Mawar belum selesai, datang pula masalah baru. Nak tak nak, Ayra terpaksa mengajak Dean menemaninya ke rumah Nadira. Dia tak sampai hati hendak membiarkan jemputan Nadira. Tak baik. Mungkin akan membawa pergaduhan besar nanti. Ayra tak ingin bermasam muka dengan Nadira dan rakan-rakan sekelas yang lain.

“Berangan!”

Hentaman kuat atas meja mengejutkan lamunan Ayra. Kus semangat dibuatnya. Ayra mendongak kepala. Dean terbahak-bahak.

‘Setan betul Dean! Suka sangat menyergah. Tak boleh tengok aku senang sikit, mulalah dia kacau daun.’

Ayra mengetap bibir sambil menjeling tajam, mengharap agar Dean memahami isyarat yang sedang ditunjukkannya dengan lirikan mata dan gerakan bibir. Dia tidak suka disergah! Sudah banyak kali Ayra beritahu Dean yang dia tidak suka dengan sikapnya yang satu itu.

Ayra mengomel dalam hati. Dia tak berani luahkan kata-kata, bimbang hati Dean terguris dan seterusnya membatalkan rancangan yang telah diatur.

“Kalau aku ada sakit jantung, dah lama aku mati tau!”

“Kalau kau mati, aku pun turut akan mati. Kau sendiri pun tahu, aku tak boleh hidup tanpa kau.”

Dean berhenti ketawa. Ayra mencebik bibir. Malas nak layan gurauan Dean. Hatinya langsung tak terusik dengan kata-kata Dean. Dia sudah biasa dengan kata-kata itu.

“Siap dah tugasan?”

Dean menadah tangan, langsung tak mempedulikan kata-kata Ayra. Bertambah sakit hati Ayra dengan sikap Dean yang selamba itu. Sekurang-kurangnya mintaklah maaf.

“Yang mana?”

“Mrs. Tan... Ilmu Pendidikan.”

“Ya Allah, kau tak siap lagi ke? Tiga bulan Mrs. Tan bagi masa tau untuk kita siapkan tugasan tu. Takkanlah kau masih tak siap?”

“Maklumat semua aku dah kumpul. Nak karang tak pandai.”

“Mrs. Tan tak suruh pun kita siapkan tugasan dia tu macam karang novel.”

“Tolong aku?” rayu Dean.

“Tak ada masa.”

“Esok kan cuti lagi. Takkan kau sibuk pulak?”

Ayra terus teringat jemputan kenduri kakak Nadira. Inilah masa yang sesuai untuk meminta bantuan Dean. Dia berharap agar Dean tiada sebarang program esok.

“Ada hal ke esok?”

Dean cepat-cepat menggeleng. Pertanyaan Ayra itu seolah-olah ada sesuatu yang ingin dilakukan oleh gadis itu bersamanya.

“Aku boleh tolong kau siapkan assignment.”

Yes!”

“Tapi ada syaratnya.”

“Hah? Ada syarat pulak...”

Dean ketawa lagi. Ayra terus menyebut syarat yang dikenakan pada Dean. Lelaki itu senyum gembira dengan syarat yang baru didengarnya. Pucuk dicita ulam mendatang.

Ayra memang dah agak. Kalau Dean diajak ke Sabah sekali pun, pasti lelaki itu akan bersetuju.

Masalah untuk memenuhi undangan dari Nadira sudah selesai. Dean sudi menemaninya ke kenduri perkahwinan kakak Nadira esok pagi. Ikutkan hati, Ayra sebenarnya malas hendak menghadiri majlis tersebut sebab jarak dari Ipoh ke Pulau Pinang bukannya dekat. Berjam-jam masa akan dihabiskan dalam kereta.

Namun, bila mengenangkan tak ada seorang pun rakan yang sudi memenuhi undangan Nadira, terpaksalah Ayra mengalah. Lagipun, Nadira jemput makan kenduri, tak sampai hati pula Ayra hendak menghampakan permintaannya itu.

‘Alah, sekali sekala aku keluar dari kepompong apa salahnya.’

Tik, tik! Kedengaran isyarat penerimaan mesej. Ayra segera mencapai telefon bimbit dan membuka peti mesej.

Berderau darahnya sebaik sahaja membaca mesej tersebut! Matanya berpinar. Nafasnya seakan terhenti.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.