Home Cerpen Cinta IZINKAN AKU PERGI
IZINKAN AKU PERGI
Dannie Sofea
8/3/2014 10:14:44
3,911
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Lisa terdiam. Ryan terdiam. Masing-masing melayani perasaan. Lisa memerhatikan ombak yang menghempas pantai. Dia tidak sanggup memandang wajah Ryan di sisinya. Wajah yang penuh kehampaan dan kekecewaan.

“Kenapa baru sekarang kau terangkan pada aku semua ini? Kenapa tidak dari dulu lagi?” Ryan menyambung kembali bicaranya yang terputus.

Lisa menggelengkan kepala. Tak tahu apa yang harus diungkapkan agar hati Ryan tidak terus terluka.

“Kenapa kau sanggup berpura-pura dengan aku? Kenapa?” Soal Ryan yang menahan sebak. Dia tidak menyangka gadis yang dincintainya itu telah membohonginya selama ini. Mati-mati dia menyangka Lisa mencintainya sepenuh hati seperti dia mencintai gadis itu separuh mati.

“Maafkan aku.” Hanya itu yang mampu diucapkan oleh Lisa.

“Tapi, kau sendiri tahukan…” Ryan menarik nafas. “Aku ikhlas mencintai kau. Hanya kau di hati aku. Tapi kenapa kau pura-pura balas cinta aku?” Ryan melepaskan kemarahan.

“Maafkan aku kerana terpaksa berpura-pura selama ni. Aku tak sampai hati nak bagitahu perkara sebenar bila tengok usaha kau yang bersungguh-sungguh. Aku tak pernah cintakan kau. Aku cuma menganggap kau sahabat baik aku, tak lebih dari itu.” Ujar Lisa, dengan harapan dapat membetulkan keadaan.

“Sahabat baik? Kau kata aku ni sahabat baik? Sedangkan semua orang tahu kita adalah pasangan kekasih!” Ryan meninggikan suara.

“Mereka juga tersalah anggap. Maafkan aku. Aku perlu pergi sekarang.” Lisa tidak sanggup lagi berada lebih lama di situ.

“Tunggu dulu.” Ryan menahan Lisa. Wajahnya serius.

“Kau nak apa lagi? Aku dah terangkan segalanya.”

“Kenapa kau sanggup tolong aku ketika aku dalam kesusahan? Kenapa kau sanggup menolong aku keluar dari dunia aku yang tak menjanjikan masa depan? Kenapa kau sanggup lakukan semua itu pada aku, bukan lelaki lain?”

“Itu dah sebahagian tugas aku, sama-sama membantu mereka yang memerlukan.”

“Kenapa aku yang kau pilih?” Ryan masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.

Lisa terdiam. Mulutnya seolah-olah terkunci.

“Susah sangatkah kau nak mengaku yang kau pun sayang dan cinta aku?”

“Ryan, aku harap kau faham apa yang telah aku terangkan. Janganlah kau nak memutarbelitkan keadaan. Segalanya dah aku terangkan, terpulang kepada kau sama ada mahu menerimanya atau tidak. Tugas aku dah selesai.”

“Tugas apa yang kau maksudkan?”

“Mengubah engkau menjadi lelaki yang berguna pada bangsa, agama dan negara. Bukannya menjadi kutu lepak, mat rempit yang menyusahkan semua orang.”

Ryan tergamam mendengar bicara Lisa. Jadi, selama ini Lisa hanya mahu membantu dirinya tetapi fikirannya telah melangkau jauh. Sangkanya, Lisa sudi membantunya kerana cinta. Dan kerana cintanya kepada Lisa, maka dia sanggup beubah.

Lisa mengatur langkah. Ingin sahaja dia berlari dari situ. Dia tidak sanggup lagi bertentang mata dengan lelaki yang amat dicintainya. Lelaki yang dalam kehampaan. Sebenarnya, Lisa sendiri berada dalam kekecewaan. Dia kecewa dengan apa yang telah ditakdirkan. Namun dia tetap akan tabah mengharungi segala dugaan.

***

Lisa masih belum dapat melelapkan mata. Kenangan petang tadi masih mengganggu fikirannya. Terasa ingin diundur masa untuk kembali kepada lelaki yang dicintainya. Tetapi dia sedar itu semua adalah mustahil. Walau apa yang dilakukannya, tak mungkin dapat merubah keadaan. Perpisahan tetap akan berlaku. Cinta mereka tetap tak akan kesampaian.

Saat-saat suka dan duka bersama Ryan bermain-main di kotak fikiran. Ryan dahulu berbeza dengan Ryan sekarang. Dahulu, dia seorang lelaki yang tidak pernah memikirkan masa depan. Dia sering melepak di pusat membeli-belah di sebelah siang dan berada di pusat-pusat hiburan pada sebelah malamnya. Dia juga suka menyertai aktiviti lumba haram.

Dalam diam, Lisa berjanji untuk mengubah hidup Ryan ketika pertama kali berjumpa setelah berpisah beberapa tahun. Lisa mengenali Ryan ketika berada di tingkatan tiga. Mereka berada di kelas yang sama. Lisa adalah pelajar baru dan Ryan telah banyak membantunya menyesuaikan diri di sekolah baru. Lisa kemudiannya berpindah ke sekolah berasrama penuh setahun kemudian setelah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR. Sejak bersekolah di tempat lain, dia tidak mendengar khabar lagi dari Ryan. Kawan baiknya yang bersekolah di sekolah lama telah memberitahunya yang Ryan telah berpindah ke luar negara.

Pertama kali terserempak dengan Ryan, dia hampir tidak mengenali lelaki itu. Ryanlah yang terlebih dahulu menyapanya di sebuah pasaraya. Lisa ketika itu berada di Semester 1, Kolej Aspirasi. Dan Ryan penganggur sepenuh masa. Mereka bertukar nombor telefon.

Peretemuan pertama diatur, telah melahirkan bibit-bibit cinta dalam diri masing-masing. Mereka menukar cerita setelah sekian lama berpisah. Lisa dapat merumuskan punca Ryan hanyut dalam arus kehidupan. Setelah berpindah ke luar negara, Ryan terpengaruh dengan gejala negatif di sana. Dia tidak mendapat perhatian dari bapanya yang semakin sibuk menguruskan syarikat mereka yang semakin berkembang maju. Ibu Ryan pula telah meninggal dunia di sana kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya. Setahun yang lalu, Ryan dan bapanya pulang ke Malaysia. Bapanya telah berkahwin dengan wanita asing. Dia telah mencurahkan kasih sayangnya kepada isterinya yang cantik. Manakala, segala kemewahan dilimpahkan kepada anaknya, Ryan.

Sebelum Ryan terus hanyut, Lisa dalam diam berjanji hendak membawa Ryan ke pangkal jalan. Dulu, Ryan banyak membantunya menyesuaikan diri di sekolah baru, dan kini tiba masanya untuk Lisa pula membantu Ryan.

Lisa tidak menyangka niat baiknya tercapai dengan mudah. Ryan berubah sedikit demi sedikit. Dia mendaftar di kolej yang sama dan mengambil kursus yang sama. Mereka tinggal di asrama yang disediakan oleh pihak kolej. Setiap hari mereka ke kolej bersama-sama. Waktu terluang digunakan untuk mengulangkaji pelajaran. Akhirnya Ryan melupa terus sikap buruknya dahulu yang suka berpeleseran.

Lisa tidak dapat mengelak perasaan yang terbuku di dalam hati. Sejak kali pertama memandang lelaki itu dia sebenarnya sudah jatuh hati. Dia mencintai Ryan sepenuh hati. Sangkanya dia bertepuk sebelah tangan namun sebaliknya yang telah berlaku. Ryan telah meluahkan perasaannya pada Lisa. Cuma Lisa yang masih belum mengakui perasaannya dengan lidah. Dia mahu menantikan saat yang sesuai untuk meluahkannya.

Panas disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Lisa menganggap perkara biasa apabila dia sering merasa sakit kepala terutamanya di sebelah pagi. Sakit kepalany ajuga bertambah teruk apabila dia bersin. Disangkanya dia mengidap migrain. Hinggalah suatu hari apabila dia jatuh pengsan ketika sedang melayari internet di rumahnya. Dia telah dibawa ke hospital. Pemeriksaan segera dilakukan.

Keputusan yang mengejutkan diterima beberapa hari kemudian. Sakit kepalanya bukan penyakit biasa tetapi disebabkan oleh sesuatu. Barah otak yang dihadapinya sudah ke peringkat paling berbahaya.

Pelbagai perasaan menyelubungi dirinya. Takut, kecewa, marah dan sebagainya dengan nasib yang menimpanya. Agak lama untuk dia menerima kenyataan hidup. Mujurlah ada ibu dan ayah yang sentiasa memberi semangat kepadanya.

Perhubungannya dengan Ryan tidak boleh pergi lebih jauh. Dia tidak sanggup berkongsi rasa sedih dengan Ryan. Pasti Ryan tidak dapat menerima kenyataan. Lisa tidak sanggup melihat insan yang dicintainya diselubungi kedukaan. Dia tidak sanggup menghadapi saat-saat perpisahan di katil wad. Setelah difikir semasak-masaknya, Lisa membuat keputusan untuk menjauhkan diri dari Ryan. Namun Ryan dapat mengesan perubahan pada dirinya. Ryan mendesaknya untuk berterus-terang. Dan, petang tadi, di tepi pantai, Lisa menerangkan kedudukan perhubungan mereka.

Malam semakin larut. Lisa masih gagal melelapkan mata.

***

Teman-teman sekuliah heboh bercerita tentang perhubungan Ryan dan Lisa yang sudah putus. Masing-masing mengeluarkan pendapat sebab-sebab Ryan dan Lisa memutuskan perhubungan. Ramai yang menuduh Ryan berlaku curang. Ryan pula mengambil sikap berdiam diri dan tidak menafikan tuduhan rakan-rakan. Lisa tidak sanggup lagi mendengar tohmahan yang dilemparkan kepada Ryan. Dia berterus-terang bahawa dia dan Ryan tidak menjalin sebarang perhubungan istimewa, hanya sebagai kawan. Rakan-rakan yang tersalah anggap keakraban hubungan mereka.

Shira dan teman-temannya adalah pelajar yang paling gembira bila mendengar berita tersebut. Memang sudah maklum oleh seluruh pelajar kolej selama ini Shira menagih cinta Ryan. Shira berharap dia mampu menawan hati Ryan yang dalam kesepian.

***

“Aku tak percayalah Lisa.” Ujar Linda.

“Kenapa pula aku nak berbohong. Itulah kenyataannya.” Luah Lisa.

“Kalau kau anggap Ryan tu cuma kawan, takkanlah sampai kau sanggup mengubah hidupnya hingga Ryan menjadi orang yang berbeza, dulu dan sekarang.”

“Kenapa? Salahkah jika aku bant dia tanpa menyimpan apa-apa perasaan?”

“Manalah aku tahu, aku ingatkan kau ada hati pada dia, sebab tu kau sanggup menolongnya. Datang kolej bersama… makan pun bersama… Takkanlah kau anggap dia kawan biasa kot.”

“Sudahlah tu. Aku hanya anggap dia sebagai kawan, itu saja.”

“Yelah tu. Mesti ada sesuatu, kan? Kau tangkap dia dengan gadis lain ke?” Linda terus cuba mengorek rahsia.

“Taklah. Kalau dia dengan gadis lain pun aku tak kesah. Aku tak boleh halang.”

“Yelah tu.” Linda mencebik.

“Dah beberapa hari aku tak nampak dia.” Luah Lisa. Kerinduannya pada Ryan semakin menyiksa jiwanya.

“Kau dah rindu pada dia ke?” Sindir Linda.

“Rindu sebagai seorang kawan, tak salah, kan? Dah beberapa hari tak nampak dia kat kolej.”

“Aku dapat cerita dari Intan yang Ryan dah berubah sikap. Dia kembali kepada aktivitinya yang dulu.”

Lisa terdiam. Dia menghelas nafas. Dia benar-benar tidak menduga Ryan akan kembali kepada sikapnya yang dulu. Lisa mula gelisah. Kalau benar seperti yang diceritakan, Lisa turut merasa bersalah.

***

Wadi memandu kereta mengelilingi kotaraya. Dia mencari teman serumahnya, Ryan yang masih belum pulang sejak semalam. Wadi bimbang jika Ryan mengambil tindakan yang bukan-bukan gara-gara putus cinta. Wadi memandu kereta menuju ke tanah tinggi di pinggir bandar. Dia teringat akan Ryan yang suka pergi ke situ untuk bersendirian.

Wadi mematikan enjin kereta. Dia melangkah keluar dari keretanya.

“Ryan !” Sapa Wadi.

Ryan menoleh ke arah Wadi.

“Jangan seksa diri kau. Orang dah tak terima, lupakan saja.” Pujuk Wadi.

“Bukan mudah nak lupakan dia...”

“Lupakanlah gadis yang tak pernah cintakan kau. Buat apa kau nak ingat lagi. Ramai lagi gadis yang minat dekat kau.” Wadi menenangkan sahabatnya. Dia tidak mahu Ryan terus-terusan menyeksa diri.

Ryan tidak dapat melelapkan mata. Dia masih tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. Selama ini hanya dia yang terhegeh-hegeh menagih cinta dari Lisa sedangkan Lisa sedikitpun tidak menaruh perasaan padanya. Dia tak dapat hidup tanpa cinta Lisa. Selama ini impiannya hanya ingin bersama Lisa selama-lamanya. Setelah Lisa pergi, terasa hidupnya tidak bererti lagi. Segala impiannya telah musnah bersama perginya cinta Lisa.

Hari-hari yang mendatang tidak dinantikannya lagi. Sepi dan sepi menguasai seluruh hidupnya. Segala yang dilakukan terasa bosan dan tidak beerti lagi. Mahu sahaja dia berhenti dari kolej tetapi telah dihalang Wadi. Dia tak sanggup lagi untuk bertentang mata dengan Lisa. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu lagi terserempak dengan gadis itu. Gadis yang telah memusnahkan segala impiannya. Gadis yang telah menghancurkan perasaannya.

Malam itu, buat pertama kalinya setelah berpisah dengan Lisa, dia menerima pelawaan Shira untuk keluar. Dia mahu mengisi kekosongan di hati.

***

Lisa dan Linda melangkah keluar dari apartment. Mereka berdua menuju ke medan selera berhampiran.

Linda memberi isyarat pada Lisa agar menoleh ke sebelah kiri. Lisa perlahan-lahan menoleh ke sebelah kirinya. Nun tidak jauh di hujung sana, Ryan sedang menjamu selera bersama Shira. Lisa mengawal perasaan. Dia tidak mahu Linda membaca apa yang tertulis di hatinya saat itu.

“Dia dah dapat pengganti.” Bisik Linda.

“Baguslah.” Jauh di sudut hatinya dia sebenarnya terkilan. Terkilan dengan perbuatan Ryan. Sekejap benar dia mencari pengganti. Namun dalam masa yang sama, Lisa turut merasa gembira andai Ryan tidak lagi dihimpit kekecewaan dengan perbuatannya. Jika Ryan gembira, dia turut akan gembira.

Nasi goreng kerabu yang sepatutnya membangkitkan selera langsung tidak menarik perhatiannya. Dia yang sejak pagi tadi mengidam nasi goreng kerabu telah tertutup selera dek perbuatan Ryan yang telah mengguriskan perasaannya.

“Hai!” Shira tiba-tiba datang menyapa. Dia tidak keseorangan. Lelaki idaman hati berada di sebelahnya.

Lisa hanya memandang. Mulutnya seolah-olah terkunci bila melihat Ryan dan Shira berpegangan tangan. Dia tahu, Ryan hanya mahu menyakitkan hatinya. Lisa terpaksa menahan sabar.

“Marilah makan sekali.” Lisa ajak-ajak ayam. Dia tidak mahu sesiapapun dapat membaca apa yang tertulis di dasar hatinya. Kecewa!

“Kami dah makan… kan sayang.” Shira memandang Ryan yang hanya membatu.

Lisa mengawal perasaan. Dia tidak sanggup melihat lelaki yang dicintainya berdampingan dengan gadis lain. Sabar, sabar, sabar wahai hati. Dia sedaya upaya menahan air mata daripada mengalir.

“Kami nak tengok wayang. Bye!” Shira dan Ryan terus berlalu.

“Pandai kau berlakon.”

Lisa merenung dalam ke dalam anak mata Linda. “Berlakon?”

“Kau kecewakan.”

“Tak adalah.”

“Tu lah… siapa suruh kau tinggalkan lelaki sekacak Ryan tu. Ramai yang sedang menunggu tau!”

“Biarlah dia. Aku tak kesah pun.”

“Yelah tu. Macamlah aku tak tahu.”

“Dah, dah, stop! Aku nak menikmati nasi goreng kerabu sekarang ni okey. Jangan cakap lagi.”

Linda akur. Mereka tidak lagi berbual soal Ryan.

***

“Ryan, kau nak main ke tak?” Soal Didi, kapten bola sepak bila mendapati Ryan tidak bermain dengan bersungguh-sungguh.

Ryan hanya membisu.

“Kau nak main ke tak nak?” Didi meninggikan suara. “Kalau tak nak, aku gantikan orang lain.”

“Kau diam boleh tak? Aku nak main macam mana kalau kau asyik arah itu ini. Aku tahulah tugas aku.”

“Masalahnya bola kat kaki kau semua terlepas!”

“Jaga sikit mulut kau!” Ryan mengacukan penumbuk. Bengang Ryan bila diejek Didi.

“Kau ni, memang tak guna! Sebab tu Lisa tinggalkan kau.” Didi sengaja mengapi-apikan kemarahan Ryan.

Ryan tidak mampu bersabar lagi. Dia melepaskan tumbukan ke muka Didi. Didi membalas tumbukannya. Pemain-pemain bola sepak yang sejak tadi hanya membisu segera meleraikan pergaduhan di antara Ryan dan Didi.

Encik Razak, jurulatih bola sepak telah memanggil Ryan dan Didi ke biliknya. Mereka disoal siasat dan dikenakan hukuman yang setimpal. Ketika keluar dari bilik Encik Razak, Ryan telah terserempak dengan Lisa. Dia langsung tidak mengendahkan gadis itu. Benci menguasai dirinya.

Lisa teringin untuk berbicara dengan Ryan. Tetapi mulutnya terkunci. Sikap Ryan yang dingin menyebabkan Lisa tidak berani untuk menegurnya.

***

Malam itu keluarga Encik Farid mengadakan mesyuarat. Mereka membincangkan tentang rawatan yang harus diterima oleh Lisa bagi mengubati penyakitnya. Datuk dan nenek Lisa yang menetap di USA turut berada di situ, melawat cucu kesayangan mereka. Mereka mencadangkan agar Lisa mendapat rawatan di sana.

“Kita ke sana ye sayang?” Pujuk Puan Aishah Jane, ibu Lisa.

Lisa keberatan untuk ke luar negara. Dia tidak sanggup berpisah dengan orang-orang di sekelilingnya. Lagipun, barah otak yang dihadapinya sudah peringkat empat. Lisa tak yakin dia akan kembali normal.

“Lisa akan mendapat rawatan yang lebih baik di sana. Ibu akan teman Lisa di sana selain datuk dan nenek.” Pujuk Encik Farid.

Setelah dipujuk, Lisa akhirnya bersetuju. Harapannya yang sebelum ini telah layu kembali subur bila dapat tahu ada rawatan terkini untuk pesakit kanser di New York.

Sebelum tidur Lisa berfikir semasak-masaknya. Sebelum ke USA, Lisa mahu menerangkan kedudukan yang sebenar kepada Ryan. Peluang untuk dia selamat daripada pembedahan tersebut ialah 70-30. Jadi dia mahu Ryan memberi semangat kepadanya untuk melawan penyakit tersebut. Impiannya untuk bersama Ryan mungkin akan menjadi kenyataan sekiranya pembedahan tersebut berjaya.

***

Wadi tumpang gembira kerana Ryan sudah dapat menerima kenyataan. Lisa tidak lagi menjadi penyebab kesedihan Ryan. Namun begitu Wadi bertambah risau kerana Ryan kini semakin rapat dengan Shira. Dia tahu sikap Shira. Gadis itu mungkin akan membawa Ryan kembali ke perangai lamanya.

“Kau serius dengan Shira?” Soal Wadi yang ingin mencungkil rahsia temannya.

“Mestilah. Kami dah declare.”

“Kau ni biar betul!” Wadi terkejut mendengar pengakuan Ryan. “Kau dah lupa ke sikap Shira tu? Aku tak nak harta mak bapak kau dikikis budak tu macam yang dia lakukan pada Carlos, Adam…”

“Aku tak kesah. Yang penting, aku berjaya berdamping dengan gadis paling lawa di kolej.”

“Aik, cepat benar kau cari pengganti Lisa.”

“Tolonglah Wadi, kau jangan sebut nama dia lagi di depan aku!” Ryan meninggikan suara. Dia menyampah bila mendengar nama gadis yang telah memusnahkan impiannya itu.

Sorry. Kita tukar topik okey. Kau join tak camping minggu depan?”

“Tentulah. Aku pergi dengan Shira. Kalau kau nak ikut aku boleh kenalkan Aida, kawan Shira. Dia pun nak pergi jugak, tapi tak ada teman.”

Yes!” Wadi menjerit kegembiraan.

***

Lisa dan Linda berjalan menuju ke arah bas yang sedang menanti.

“Cepat sikit cek kak oi!” Laung Zarul yang menganjurkan perkhemahan tersebut. Dia sedang berdiri di kaki tangga bas.

Sorry, sorry, lambat sikit.” Linda tersengih-sengih meminta maaf.

Zarul memberi laluan kepada mereka berdua. Lisa dan Linda melangkah ke atas bas. Mereka memilih tempat duduk yang telah dikhaskan untuk mereka berdua. Lisa terpandang ke arah Ryan dan Shira berserta rakan-rakan mereka di tempat duduk belakang. Ryan dan Shira rancak berbual.

Lisa menyertai perkhemahan tersebut semata-mata kerana Ryan. Kalau ikutkan hati, dia memang tak ingin sertai perkhemahan tersebut kerana sakit kepalanya semakin menjadi-jadi. Orang tuanya juga agak berat hendak melepaskannya. Lisa berjaya memujuk orang tuanya dengan memberi janji itu adalah aktiviti terakhirnya bersama rakan-rakan satu kolej sebelum bertolak ke luar negara. Lepas ini dia mungkin tidak akan bersua dengan mereka lagi.

Lisa sebenarnya mahu menerangkan kedudukan sebenar kepada Ryan. Hendak bertemu lelaki itu di kolej memang tak ada peluang langsung. Ryan asyik berkepit dengan Shira. Bila dia dapat tahu Ryan sertai perkhemahan anjuran Kelab Reakreasi, Lisa segera mendaftar nama dan mengajak Linda menemaninya. Pada mulanya dia menyangka Shira tidak ikut kerana dia faham benar sikap Shira yang tidak mungkin dapat hidup tanpa bersolek, berskirt pendek dan berkasut tumit tinggi. Malangnya, dia ternampak Shira di dalam bas!

Kawasan air terjun menjadi tapak perkhemahan para pelajar Kolej Aspirasi. Pelajar lelaki dan perempuan berganding bahu untuk menyiapkan khemah masing-masing. Mereka turut dibahagikan kepada empat kumpulan. Lisa berada sekumpulan dengan Linda.

Satu malam telah berlalu. Lisa langsung tidak berkesempatan untuk mendekati Ryan. Dia mana ada Ryan di situ ada Shira. Walaupun mereka sentiasa bersama, Lisa yakin Ryan tidak menyimpan perasaan pada Shira. Ryan berdampingan dengan Shira kerana mahu menyakiti hatinya. Itulah matlamatnya.

Malam itu adalah malam kedua dan malam terakhir mereka berkhemah. Lisa masih mencari peluang untuk berbicara dengan Ryan dan dia berharap malam ini dia dapat memberi tahu kedudukan yang sebenar kepada Ryan.

Ryan, Wadi, Lisa dan Linda ditugaskan untuk berjaga pada waktu yang sama iaitu dari jam 2.00 hingga 4.00 pagi. Tepat jam dua pagi. Lisa dikejutkan oleh Julia yang ditugaskan berjaga sebelumnya. Lisa kemudiannya mengejutkan Linda. Mereka membawa lampu suluh menuju ke sungai yang tidak jauh dari situ. Setelah mencuci muka, mereka bergerak ke tapak perkhemahan.

Lisa menghampiri Ryan dan Wadi yang sedang menghirup secawan kopi.

“Ada sesuatu aku nak bagitahu kau.” Lisa memulakan bicara. Dia berdebar menanti reaksi Ryan.

Ryan tidak mengendahkan kehadiran Lisa di situ. Dia meneruskan perbualannya dengan Wadi. Mereka rancak berbual tentang keputusan permainan di antara Manchester United dan Arsenal seolah-olah tiada insan lain lagi di situ kecuali merka berdua.

“Lima minit saja Ryan. Please…” rayu Lisa yang masih mengharap agar Ryan sudi berbicara dengannya.

“Jangan kacau aku, boleh tak?” bidas Ryan. “Sambung cerita kau balik, Wadi.”

Lisa terpinga-pinga dengan reaksi Ryan. Lelaki itu tidak pernah berkasar dengannya sebelum ini.

“Aku tahu kau marahkan aku. Aku faham, dalam hal ni aku yang bersalah. Ada sebab kenapa aku buat macam tu.”

“Aku tak nak dengar dan aku tak berminat nak dengar.”

“Aku tak akan ambil banyak masa kau. Lima minit saja please.”

“Cakaplah!” Ryan bersuara setelah terdiam sejenak. Matanya masih enggan menatap gadis di sebelahnya.

“Kita… kita ke sana.” Lisa membuat permintaan. Dia hanya mahu berbual dengan Ryan seorang.

Wadi terus bangun, faham yang dirinya tak diperlukan.

“Sayang, temankan I ke tandas.” Shira tiba-tiba muncul.

Shira yang mamai terus segar bila menyedari Lisa di hadapan Ryan.

“Ryan dah tinggalkan kau, buat apa kau terhegeh-hegeh lagi?”

Lisa mengetap bibir, kecewa dengan kehadiran Shira.

“Dia cuba goda you ke sayang?”

“Siapa?”

“Perempuan di hadapan you la.”

“Mana? Ada orang di hadapan I ke? Tak nampak pun.”

Lisa hanya mampu menahan sabar dengan ejekan Ryan. Shira ketawa terbahak-bahak. Wadi yang duduk tidak jauh dari situ juga tumpang ketawa.

Lisa mengawal perasaan yang sedang menggelegak di hati. Dia tidak menyangka Ryan akan mempermainkan perasaannya sampai begitu sekali. Dia seolah-olah macam sampah. Lisa tidak menanti lebih lama untuk beredar dari situ. Dia menuju ke arah Linda yang sedang memanggang sosej di tempat memasak.

“Jangan pedulikan mereka.” Ujar Linda yang terdengar perbualan Lisa, Ryan dan Shira.

Lisa menggetap bibir. Geram! Dia sedaya upaya mengawal air mata yang bertakung di kelopak mata. Kebencian Ryan terhadapnya semakin menjadi. Namun, dia masih mengharap agar Ryan memberi peluang kepadanya untuk menerangkan kedudukan sebenar.

Ryan rasa berdosa. Tak sepatutnya dia mempermainkan Lisa. Hatinya sedikit pun tidak berniat untuk menghina Lisa, namun egonya sebagai seorang lelaki menahannya dari berbaik semula dengan Lisa. Bila mengingati yang Lisa telah mempermainkan perasaannya dan tidak menghargai cintanya, dia mula benci yang meluap-luap pada Lisa.

Lisa terpaksa menerima suratan yang sudah tertulis. Dia dan Ryan takkan mungkin kembali bersama. Selepas perkhemahan, dia tidak akan ke kolej lagi. Dia perlu menguruskan pasport dan visa sebelum berangkat ke New York minggu hadapan.

Sebelum berangkat, Lisa tetap akan mencari peluang untuk memberitahu Ryan tentang keadaan dirinya. Dia tidak mahu Ryan terus-terusan membencinya. Sekiranya Ryan tidak ingin kembali kepadanya lagi, dia pasrah. Yang penting Ryan tahu kenapa dia mengambil keputusan untuk meninggalkan lelaki itu.

***

Lisa mengemaskan barang-barangnya di asrama. Linda membantunya.

“Bila abah kau datang jemput?” soal Linda.

“Pukul enam.”

“Tinggal dua jam lagi. Semua barang dah siap dikemas. Kau ada nak buat apa-apa lagi?”

“Aku nak jumpa Ryan.”

“Ish, kau ni! Kan dia tak sudi jumpa kau lagi.”

“Aku mesti bercakap dengan Ryan.”

“Dulu, kau yang tinggalkan dia. Dan sekarang, kau nak kembali padanya semula. Aku tak fahamlah sikap kau ni.”

“Nanti kau tahulah sebabnya.”

“Sampai bila? Kau berhenti dari kolej pun aku masih tak tahu sebabnya. Kenapa kau nak berahsia sangat?”

“Linda, nanti kau akan tahu segalanya. Kau sabarlah. Sekarang ni, aku nak pergi jumpa Ryan dulu. Minta-minta dia ada di asrama.”

Lisa melangkah menuju ke kediaman pelajar lelaki. Beberapa orang pelajar lelaki sedang bermain sepak takraw di hadapan blok kediaman. Lisa tercari-cari Ryan.

“Kau cari Ryan ke?” Soal Wadi.

“Emm! Dia ada tak?”

“Dia keluar.”

“Bila dia balik?” Soal Lisa yang mengharapkan agar Ryan akan balik segera kerana dia sudah tidak punya waktu.

“Tak tahulah. Mungkin lambat sebab dia keluar dengan Shira.”

Lisa telan air liur. Malam nanti baru mereka balik asrama.

“Kenapa kau beria-ia sangat nak jumpa Ryan?” soal Wadi.

“Tak apalah. Kirim salam pada Ryan.”

Lisa melangkah lemah lalu beredar dari situ. Harapannya untuk memberitahu Ryan perkara sebenar kian tipis. Jika Ryan sudah tahu perkara sebenar pun, mungkin ianya sudah terlewat untuk menyelamatkan perhubungan mereka. Ryan kini sudah menemui penggantinya, Shira. Lisa sedar, dari dulu lagi Shira cuba memikat Ryan. Dan kini, bila Ryan sudah berada dalam genggamannya, tentu sukar untuk dia melepaskannya.

***

Lisa merasa gembira dengan kunjungan sepupunya dari New York. Joshua datang untuk membawanya ke sana. Mereka akan berangkat ke negera Uncle Sam lusa.

Do you like this dress?” Soal Joshua sambil menayangkan dress warna merah jambu.

“Yes, but I don’t like pink.”

“What colour do you like?”

“Light blue.”

“Let me find it at another side.” Joshua gigih mencari pakaian berwarna biru muda.

Lisa pula leka memilih topi dan skarf. Sedikit hari lagi dia tentu memerlukan benda-benda tersebut untuk menutup kepalanya. Tiba-tiba dia terdengar suara seseorang di belakangnya. Lisa segera menoleh ke belakang. Ryan dan Shira juga sedang memilih topi.

“Awak pun di sini? Intip Ryan ke?” Shira terus bersuara bila terlihat Lisa.

Lisa membisu. Dia mengawal perasaan. Malas dia hendak berbalas mulut dengan Shira.

“Kau nak aku tolong pilih topi yang sesuai untuk boyfriend kau tak?” Ryan menawar diri.

Dia yakin Lisa tidak sudi bersamanya kerana Lisa sudah bertemu dengan lelaki lain. Walaupun dia masih belum ada bukti, namun dia cukup yakin apabila melihat Lisa memilih topi yang coraknya hanya untuk dipakai kaum Adam. Setahunya lagi, Lisa tidak gemar memakai topi.

What happen?” Soal Joshua yang baru muncul. Dia perasan perubahan air muka Lisa.

Nothing. Let’s go.” Lisa menarik tangan Joshua.

Ryan terpaku. Sentap perasannya bila melihat Lisa bersama lelaki lain. Dia tidak menyangka akan melihat dengan mata kepala sendiri teman lelaki Lisa yang baru. Sejak bila Lisa bercinta dengan lelaki kulit putih? Dia masih enggan percaya walaupun matanya sudah menyaksikan sendiri.

“Mentang-mentang dapat mat saleh handsome, berlagak bukan main!” Shira membebel.

Ryan masih sentap dengan apa yang berlaku.

“Jom makan!” Shira menarik tangan Ryan.

***

Is that guy… Ryan?” Soal Joshua dalam perjalanan pulang.

Lisa diam saja.

What’s wrong? He is your boyfriend, right?

Please…..don’t talk about him anymore.”

Joshua ingin mengetahu apa yang sedang berlaku sebenarnya. Setahunya, perhubungan Lisa dan Ryan sangat kukuh. Lisa sering menghantar email beserta gambar menceritakan kemesraannya bersama Ryan. Dia ingin tahu apa yang telah terjadi. Namun dia menghormati permintaan Lisa yang tidak mahu mereka membicarakan perkara tersebut lagi.

What date is today?”

“March 8.”

Lisa teringat sesuatu. Esok, hari lahir Ryan. Tahun ini, tiada lagi kejutan untuk Ryan seperti yang sering dilakukannya sejak dua tahun lalu.

Sampai sahaja di rumah, Lisa terus mengeluarkan kertas warna, reben, gam dan gunting. Dia menghasilkan kad hari lahir dan menyelit sekeping surat di dalamnya bagi menerangkan perkara sebenar. Lisa tidak mahu Ryan berpandangan serong terhadapnya. Dia juga tidak mahu Ryan terus diselubungi misteri.

Lisa terbayangkan wajah Ryan ketika melihat Joshua menghampirinya. Lisa dapat membaca perasaan Ryan ketika itu. Dia tidak mahu Ryan menganggapnya yang bukan-bukan. Tambahan lagi, Shira ada bersamanya. Pasti Shira akan terus memburukkan namanya.

***

“Nah, pos laju untuk kau. Aku jumpat kat pejabat asrama masa kat bawah tadi.” Wadi menghulurkan sekeping surat kepada Ryan.

Ryan mencapai surat dari Wadi. Dia segera membaca nema pengirimnya. Bila melihat nama Lisa tercatat di situ, dia segera melempar surat tersebut ke atas meja.

“Siapa?’ Soal Wadi.

Ryan hanya membisu. Dia terus membaca majalah Bola Sepak yang baru dibelinya.

Wadi mencapai surat tersebut lalu membaca nama pengirimnya. “Oh, patutlah. Kau tak nak baca isi di dalamnya ke?”

“Tak ada masa.”

“Baca majalah ada masa pula?” sindir Wadi. “Bacalah surat tu. Mungkin dia nak bagi tahu sesuatu. Zaman sekarang ni, mana ada orang utus surat dah. Tu mesti ada hal penting tu. Sebab tu dia sanggup tulis surat.”

“Alah, kad hari lahir. Tak ucap pun tak apa, aku tak kesah.”

“Bro, hari ni hari jadi kau ke?”

“Semalam.”

“Lisa pun satu… hantar kad saja. Cubalah selit hadiah sekali, baru kawan aku ni teruja nak buka, kan?” usik Wadi.

“Tak naklah aku hadiah dari perempuan macam dia tu. Dah ada pak we pun sibuk nak hantar kad kat aku buat apa… menyemak je!”

“Kau macam cemburu aje.”

“Dah, dah! Aku nak baca majalah ni.”

“Oh ye, kau dah tahu ke Lisa dah berhenti kolej.”

Ryan terus meletakkan majalah kembali ke atas meja. Dia memandang Wadi, mohon penjelasan.

“Mana kau tahu?”

“Aku terserempak dengan Linda kat café tadi. Biasanya dia dengan Lisa. Tapi aku tengok dia sorang kat meja makan. Aku join dia sekali. Kami borak-borak. Keluar la cerita pasal Lisa.”

“Dia pindah kolej ke?”

“Linda pun tak pasti punca sebenar Lisa berhenti. Tapi katanya, sikap Lisa memang pelik sejak dua menjak ni.”

“Takkan dia nak kahwin dan ikut lelaki tu.”

“Lelaki mat saleh yang kau jumpa tu? Mungkin jugak.”

“Tapi, setahu aku, Lisa bukan jenis orang yang macam tu. Dia takkan berhenti belajar semata-mata nak kahwin.”

“Daripada kau dok berteka-teki, baik kau telefon dan tanya terus kat dia.”

“Aku dah deletenombor telefon dia.”

“Ish kau ni! Marah sangat pun jangan la sampai nombor telefon dia pun kau nak delete.”

“Aku kena jumpa dialah.” Ryan tak sedap hati. Dia dapat rasakan macam ada sesuatu yang tak kena.

“Sebelum tu, ha ambik ni… baca dulu surat dari dia. Mana tahu dia mungkin ada ceitakan segalanya dalam surat ni.”

Ryan menyambut surat yang dihulurkan. Dia berharap agar Lisa tidak terjebak dengan kes yang sering melibatkan gadis-gadis Malaysia; keldai dadah. Orang tua Lisa bukannya tak berduit sampai Lisa sanggup dipergunakan lelaki mat saleh itu semata-mata kerana wang. Mungkin Lisa tertipu dengan janji manis lelaki itu.

Perlahan-lahan Ryan membuka sampul surat. Patutlah dia tidak melihat kelibat Lisa di kolej lagi sejak pulang dari perkhemahan tempoh hari. Dia tercari-cari juga ke mana menghilangnya Lisa namun dia segan untuk bertanya kepada Linda, teman baik Lisa. Walaupun di mulutnya, dia membenci Lisa, namun jauh di sudut hati, hanya gadis itu sahaja yang bertakhta di hatinya. Dia sebenarnya masih menyesal kerana enggan memberi masa lima minit yang diperlukan Lisa. Keegoannya mengatasi segalanya.

Ryan membuka kad hari lahir. Sekeping surat melayang jatuh dari dalam kad tersebut. Ryan membongkok lalu mencapai surat itu. Kad diletakkan atas meja.

Ryan,

Terima kasih kerana sudi membaca surat ini. Bulan lalu, Lisa telah mendapat pengesahan yang Lisa mengidap barah otak. Lisa putus harapan dan patah semangat bila mengetahui barah yang menyerang sudah di peringkat bahaya. Lisa hanya mampu hidup untuk beberapa bulan sahaja lagi. Sebelum keadaan Lisa menjadi lebih teruk, Lisa mengambil keputusan untuk meninggalkan Ryan. Lisa tak sanggup membiarkan Ryan lihat Lisa di saat Lisa sudah tidak berdaya lagi. Maafkan Lisa kerana membohongi Ryan perkara yang sebenar.

Lisa akan berlepas ke New York pada 10 Mac, penerbangan jam 6.30 petang. Sebelum ke sana, Lisa berharap sangat agar dapat bertemu dengan Ryan. Maafkan Lisa atas apa yang telah berlaku. Izinkan Lisa pergi.

Air mata bergenang di kelopak mata Ryan. Surat itu masih berada dalam genggamannya. Dia amat kesal dengan segala perbuatannya yang telah menuduh Lisa yang bukan-bukan. Padahal Lisa sebenarnya sedang bertarung dengan maut. Lisa, maafkan aku!

“Kenapa?” Soal Wadi yang kebingungan melihat keadaan kawannya.

Ryan menghulurkan surat kepada Wadi. Wadi segera membacanya.

“Eh, hari ni 10 Mac! Kenapa kau berlengah lagi.” Wadi mengejutkan sahabatnya yang masih termangu di kerusi.

“Dia berangkat hari ni ke?”

“Cepatlah! Dah pukul 4.30 petang sekarang.”

Ryan segera mencapai kunci kereta lalu bergegas menuruni anak tangga. Dalam kepala otaknya sekarang, hanya ada perasaan menyesal kerana menuduh Lisa yang bukan-bukan. Kalaulah dia menyiasat apa yang telah berlaku sebenarnya, tentu dia tidak akan menuduh Lisa sewenang-wenangnya.

***

Pengumuman kedengaran meminta para penumpang ke New York segera beratur kerana pintu akan dibuka. Jam menunjukkan tepat 5.50 petang. Penerbangan akan berlepas sebentar saja lagi.

Lisa menggenggam telefon kemas. Dia berharap agar sekurang-kurangnya Ryan akan menghubunginya. Dia tidak dapat menghubungi lelaki itu kerana dia sudah membuang nombor telefon Ryan sejak hari mereka berpisah. Konon-kononnya dia mahu membuang Ryan terus dari hidupnya. Ternyata dia gagal kerana perasaan cintanya pada Ryan masih menebal.

“Mari Lisa, kita kena masuk sekarang.” Pujuk Puan Aisyah Jane.

Joshua menghulurkan sapu tangan. Lisa menyapu air mata yang tak henti-henti mengalir.

Mereka bertiga menuju ke barisan penumpang yang akan ke New York.

***

Ryan masih termangu di lapangan terbang. Jam sudah melewati 7.00 malam. Ryan lambat tiba kerana terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Ryan menggetap bibir, kecewa kerana gagal bertemu dengan Lisa. Dia mengawal perasaan sedih yang menyesak di sanubari. Permergian Lisa menyeksa hati.

Ryan melihat tiket. Pagi Khamis dia akan berangkat ke New York. Dia akan menemani Lisa sehingga hari pembedahannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.