Home Novel Cinta MAK DATIN ISTERI CIKGU
MAK DATIN ISTERI CIKGU
Dannie Sofea
6/3/2014 21:38:20
27,535
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 15

“Nak ke mana tu Ayra?”

Langkah Ayra terus terhenti. Aisyah sedang melangkah keluar dari bilik air di hujung aras. Dia hanya berkemban. Atas bahunya tersangkut tuala.

“Kedai buku.”

“Pergi dengan siapa?”

Aisyah semakin hampir.

“Dean.”

“Elok la tu...”

Aisyah tersenyum-senyum penuh makna. Sengaja dia hendak menyakat Ayra. Makin rapat pulak Ayra dan Dean. Aisyah tumpang gembira.

“Kirim salam kat Dean ye.”

“Okey.”

Ayra terus bergegas turun ke tingkat bawah. Lalu di hadapan bilik warden, dia memperlahankan langkah. Jenuh pula dia hendak menjawab kalau warden menahannya.

Selamat! Dia berjaya melepasi bilik warden. Nafasnya tercungap-cungap kepenatan menuruni anak tangga. Kakinya terus melangkah ke pintu pagar.

Matanya tiba-tiba tertancap ke arah kelibat pasangan dua sejoli di luar pintu pagar. Langkahnya terus terhenti. Dadanya berdebar-debar. Jantung sudah kehilangan rentak.

Nadira dan tunangnya sedang bersandar di kereta. Terdengar suara ketawa. Ayra teragak-agak hendak melangkah melintasi pasangan tersebut. Takut mengganggu mereka. Dan takut berhadapan dengan lelaki itu!

Jam di tangan diperhati. Dua minit lagi cukuplah 15 minit seperti mana yang telah dijanjikannya kepada Dean. Kalau dia tidak melangkah sekarang, Dean terpaksa menantinya lebih lama. Pasti Dean bengang gila. Nak mintak tolong lain kali, tentu sukar.

Telefon bimbit tiba-tiba berbunyi. Ayra segera mengeluarkan telefon bimbit lalu menekan punat menjawab tanpa melihat nama pemanggil.

“Aku on the way. Kejap lagi sampai.”

“Cepat sikit!”

Suara Dean kedengaran kasar.

“Ye, ye!”

Ayra terus mematikan panggilan. Mahu tak mahu dia terpaksa melangkah ke luar pagar. Dia menundukkan sedikit kepala, dengan harapan Nadira tidak akan menyedari kelibatnya di situ. Lampu jalan yang agak malap itu diharapkan dapat menyelamatkannya.

“Ayra, nak ke mana tu laju-laju?”

Ayra terpaksa berhenti melangkah. Jarak dia dengan Nadira dan teman lelakinya itu hanya beberapa meter sahaja.

“Keluar kejap.”

Ayra pura-pura sibuk mencari sesuatu di dalam beg galas. Dia tak ingin bertentang mata dengan Nadira buat masa sekarang. Dia belum bersedia untuk diperkenalkan dengan lelaki di sebelah Nadira.

“Dengan Dean ke?”

Ayra sekadar mengangguk tanpa memandang ke wajah Nadira. Dia masih lagi pura-pura mencari sesuatu di dalam beg.

‘Ya Allah, kenapa dengan aku ni? Kenapa aku takut hendak berhadapan dengan teman lelaki Nadira?’

“Aku pergi dulu. Dean dah lama tunggu aku.”

Ayra terus mengatur langkah. Panjang langkahnya meninggalkan kawasan tersebut.

Huh, lega! Ayra menarik nafas. Terasa seperti baru sahaja terlepas daripada harimau yang sedang kelaparan.

Ayra tak sanggup hendak memandang wajah teman lelaki Nadira. Dia masih bimbang andai bakal tunang Nadira itu adalah orang yang sama dengan lelaki yang paling dibencinya di dunia ni. Dia tak ingin kenangan silam kembali dalam hidupnya lagi. Tak sanggup! Dia sudah memulakan perjalanan hidup baru.

Langkahnya kembali perlahan sebaik sahaja dia semakin jauh dari Nadira. Lututnya masih lemah. Kepala otak pula tak boleh berhenti dari terus memikirkan teman lelaki Nadira.

* * *

Tahu Adiy sedang bercuti di rumah persinggahan keluarganya, sebuah vila yang sentiasa dijaga, Ayra terasa segan pulak hendak melintasi kawasan tersebut. Untuk balik ke rumah, dua harus melalui kawasan Vila Cahaya. Tiada lagi jalan lain yang boleh sampai ke rumahnya.

Mahu tak mahu terpaksalah Ayra melalui kawasan vila di kaki gunung tersebut. Matanya terus tertancap ke pekarangan vila. Ada sebuah MPV tersadai di situ. Benarlah dakwaan Syidah. Jika ada kenderaan tersadai depan vila, bermakna vila tersebut berpenghuni.

Vila Cahaya adalah kediaman keluarga Dato’ Jamil, bapa Adiy. Biasanya vila akan berseri-seri pada musim cuti sekolah. Hujung tahun, keluarga Adiy biasanya akan bercuti di Kundasang. Vila Cahaya menjadi rumah penginapan mereka.

Hatinya tertanya-tanya tujuan Adiy ke vila tersebut. Mungkin cuti semester sudah bermula. Dia membuat andaian.

Lehernya panjang memerhati ke pekarangan vila. Tidak kelihatan kelibat sesiapa di situ. Di mana Adiy? Rindu pula rasa hatinya hendak berjumpa dengan lelaki itu. Kali terakhir mereka berjumpa sekitar Mac lepas. Adiy pulang bersama Dato’ Jamil. Adiy menemani Dato’ Jamil yang ada urusan perniagaan di Kundasang.

Kerana sering berulang alik dari Kota Kinabalu ke Kundasang, Dato’ Jamil mengambil keputusan untuk membina Vila Cahaya sebagai rumah persinggahannya. Dia selalu datang ke Kundasang atas urusan perniagaan selain membawa keluarganya bercuti. Dato’ Jamil mempunyai beberapa ekar kebun sayur dan strawberi di situ. Khabarnya, Dato’ Jamil hendak menambah cabang perniagaannya dengan membina hotel pula.

Ayra memerhati kawasan halaman di lereng bukit itu. Hatinya tak keruan selagi tidak melihat kelibat Adiy. Dia mahu memastikan kebenaran kata-kata Syidah. Mana tahu, mungkin juga Syidah tersalah orang. Mungkin bukan Adiy yang datang tetapi Dato’ Jamil.

Ayra masih tidak puas hati. Dia menapak ke kawasan belakang vila. Biasanya Adiy akan lepak di kawasan tersebut. Adiy gemar menikmati keindahan alam. Dari tempat tersebut, Adiy dapat menyaksikan sebahagian pekan Kundasang dan juga puncak Gunung Kinabalu.

Nun di hujung sana jelas kelihatan kelibat seseorang. Hati Ayra melonjak gembira. Terasa ingin menyapa Adiy, namun bila teringatkan sikap Adiy, dia jadi tawar hati. Adiy datang senyap-senyap. Langsung tak maklumkan padanya. Sekurang-kurangnya, hantarlah e-melseperti selalu.

Kakinya berhenti melangkah. Ayra memerhati Adiy dari jauh. Rasa malu menguasai dirinya untuk menegur Adiy yang begitu asyik menikmati keindahan alam. Adiy duduk di kerusi batu dengan ditemani setin minuman coca cola. Sayup-sayup kedengaran lagu berkumandang dari telefon bimbitnya. Dia mengenakan jaket biru.

Ayra ambil keputusan untuk tidak mengganggu Adiy. Dia lantas memusingkan badan, mahu beredar segera dari situ.

“Ingat tak sudi ke sini.”

Langkah Ayra terhenti bila terdengar suara Adiy. Jantungnya berdegup kencang.

FB PAGES : KARYA ZZ
Previous: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.