Home Novel Cinta MAK DATIN ISTERI CIKGU
MAK DATIN ISTERI CIKGU
Dannie Sofea
6/3/2014 21:38:20
67,910
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 11

AYRA cepat-cepat kembali ke tempat duduk. Nafasnya semput tiba-tiba. Kakinya terasa lemah. Dia tak mampu berdiri lebih lama lagi.

Itukah teman lelaki Dira??? Wajah pengapit lelaki bermain-main di ruang mata. Berbaju Melayu biru laut, bersampin dan songkok hitam... Ayra telan air liur. Perit!

“Kenapa dengan kau?”

Dean menghulurkan segelas air. Dia hairan bila melihat Ayra tiba-tiba meninggalkan tempat mereka sedang berdiri. Pengantin tidak jauh dari kedudukan mereka ketika itu. Kalau Ayra tunggu sesaat dua, pasti gambar pengapit lelaki dapat diambil dengan jelas.

“Terima kasih. Aku tak apa-apa.”

Pandangan Ayra jatuh ke kerusi di hadapan. Kosong. Tiada sesiapa yang duduk di situ. Fikirannya terus melayang-layang. Wajah pengapit lelaki tergambar di ruang mata.

“Nampak macam terkejut saja. Kau kenal pengantin lelaki tu ke?”

Dean cuba meneka.

“Tak. Aku tak kenal.”

Ayra menggeleng kepala. Wajah pengantin lelaki pun dia dah tak ingat sekarang. Yang dia ingat sekarang ni, hanya wajah pengapit lelaki. Wajah teman lelaki Nadira.

“Manalah tau ex-boyfriend kau ke...”

“Tak masuk akal!”

Ayra menjebik. Dean tak habis-habis dengan sifat cemburunya. Malas Ayra nak layan. Kalau dilayan, makin menjadi.

“Kau pergi cari Dira, bagi tahu dia kita kena beredar sekarang.”

Ayra terus bangun. Dia membetulkan baju kurung.

“Tunggulah dulu. Dira tengah bergambar tu. Biarlah dia selesai dulu.”

Dean tarik tangan Ayra, mintak Ayra duduk kembali di kerusi. Ayra cepat-cepat menepis tangan Dean.

“Karang tak sempat balik Ipoh. Kau tahu kan, kita tak boleh masuk asrama selepas jam 11.00 malam.”

“Aku tahulah sayang. Baru pukul 2.00 ni. Lambat lagi. Aku yang drive, kau jangan risau.”

Ayra terpaksa akur. Dia bukan pemandu. Jadi, dia terpaksa akur sahaja dengan kata-kata Dean.

“Kau dah ambil gambar boyfriend Dira?”

“Hah, gambar?”

“Eh, tadi kau juga yang cakap nak ambil gambar boyfriend Dira. Nak tunjukkan pada Aisyah.”

“Er... tak sempat. Ramai orang kat situ. Rimas aku.”

“Aku tolong kau. Nanti aku bluetooth.”

Dean terus meninggalkan tempat duduk dan menuju ke dalam rumah.

Ayra menggosok-gosok lengan. Seram sejuk seluruh tubuhnya. Lehernya panjang menghala ke dalam rumah. Dia tak nampak apa-apa dari luar. Dean sudah tidak kelihatan. Ayra tak kesah sangat pun pasal gambar. Yang penting, dia mahu beredar dari situ segera.

Ayra pejam mata, membayangkan kembali wajah pengapit lelaki. Memang seiras! Pelanduk dua serupa mungkin! Dia terus berteka-teki.

Dean muncul. Dia menghulurkan telefon bimbitnya. Ayra memerhati wajah yang terpampang di skrin. Memang sama! Saling tak tumpah!

“Mana handset kau? On bluetooth.”

“Er... tak payahlah. Nanti kau sajalah yang tunjuk pada Aisyah.”

“Betul ni?”

Ayra mengangguk. Dia tak ingin menyimpan gambar tersebut di dalam telefon bimbitnya. Biarlah Dean saja yang simpan.

Dean menarik nafas lega. Dia pun tak suka kalau Ayra menyimpan gambar lelaki lain di dalam telefon bimbitnya walaupun lelaki tersebut milik Nadira.

“Aku ada berita terkini.”

Dean senyum-senyum. Dia menyimpan telefon bimbitnya.

“Kau bagitahu masa dalam kereta ye. Kita balik sekarang, jom!”

Ayra tidak langsung menunjukkan minat dengan berita terkini yang hendak disampaikan Dean.

“Sabar la. Kau yang beria-ia ajak aku ke sini, kau pulak yang beria-ia ajak aku tinggalkan majlis ni. Tak faham aku!”

“Takut lewat sampai asrama.”

“Kan aku dah cakap, aku yang drivekereta, bukannya kau. Kalau kau yang drive, esok baru sampai.”

Dean ketawa mengekek. Ayra menjeling tajam. ‘Mentang-mentanglah aku tak ada lesen memandu.’ Ayra mengomel.

“Nak dengar tak berita yang baru aku dapat?”

“Apa dia?”

“Dira akan melangsungkan pertunangan.”

“Di... Dira nak bertunang? Er... kau tahu dari mana?”

“Aku dengar budak-budak yang tengah ambil gambar tu berbisik. Saudara-mara Dira jugak sebab pakai baju sedondon aje.”

“Dia nak bertunang dengan siapa?”

“Dengan siapa lagi... boyfriend dia la, pengapit lelaki tu.”

Ayra angguk-angguk kepala. Tak tahu nak fikir apa lagi. Tentulah Nadira akan bertunang dengan teman lelakinya.

“Macam jelous saja.”

“Aku jelous? Buang masa je. Dahlah, jom balik sekarang.”

“Kau ni macam tak suka saja dengan berita yang aku bawa.”

“Aku suka...”

Nada suara Ayra kian lemah.

“Kau tak nak berborak dengan Dira ke? Yelah, dah tahu dia akan bertunang, mesti kau nak tahu kan bila dia akan melangsungkan pertunangan... bila nak langsungkan perkahwinan... macam-macam lagi kau boleh tanya. Si Ila dan Aisyah mesti suka dengar berita baru ni.”

“Kau ingat kami ni tak ada kerja lain ke, asyik nak bergosip aje.”

Ayra picit dahi. Dia tak berminat nak ambil tahu semua tu. Lainlah Asiyah. Dia pasti suka sangat dengan berita tersebut.

Dean hanya tersengih.

“Tengok tu. Mereka tengah menuju ke meja makan.”

Mulut Dean muncung ke arah pengantin dan kaum kerabatnya yang sedang berjalan menuju ke meja makan pengantin. Ayra terus berpaling. Matanya terus tertancap ke wajah pengapit lelaki. Darahnya menyirap ke kepala bila terpandang wajah bakal tunang Nadira itu.

“Jomlah jumpa Dira. Bagitau dia dulu kita nak minta diri dah.”

“Mereka sibuk nak makan tu. Kita bagitahu mak ayah dia dahlah.”

Ayra tak sanggup nak berhadapan dengan pengapit lelaki. Dia takut jatuh pengsan pulak nanti.

“Tak elok. Jom bagitahu dia sendiri.”

Dean sudah pun meninggalkan tempat duduknya. Dia berjalan laju menuju ke meja makan. Sampai dekat meja makan, dia toleh ke belakang. Ayra nun masih di khemah tetamu. Dean segera menggamit. Pelik dia dengan sikap Ayra. Tiba-tiba saja Ayra cuba mengelak diri daripada Nadira.

Dean sudah menanti tidak jauh dari meja pengantin. Mahu tak mahu, Ayra terpaksa bangun lalu bergerak ke arah Dean yang sedang sabar menantinya.

Dari situ, jelas kedengaran suara lelaki itu yang persis suara seseorang yang pernah dikenalinya. Wajah yang serupa, suara juga serupa. Mustahil pelanduk dua serupa!

Musykil. Lelaki yang dikenalinya itu sudah mati. Orang mati tak mungkin hidup kembali. Hatinya melonjak ingin tahu siapa nama lelaki itu. Adakah nama mereka juga sama dengan nama lelaki yang pernah dikenalinya satu tika dulu? Jika sama, sahlah lelaki itu belum meninggal.

Ayra semakin hampir dengan jawapan kepada teka-teki tentang pengirim mesej misteri.

Ayra patah balik ke tempat duduknya. Dia belum bersedia untuk berhadapan dengan lelaki itu. Dean terus menghampirinya.

“Kenapa?”

“Tunggu mereka habis makan dulu. Tak baik ganggu mereka yang sedang makan.”

Ayra cipta alasan.

“Okey, aku ikut saja.”

Dean duduk di depan Ayra. Wajah gadis itu ditenungnya lama. Macam ada masalah saja, dia meneka. Ayra perahsia orangnya. Tanya seribu kali pun, dia takkan luahkan apa sebenarnya yang mengganggu fikirannya. Dean yakin ada yang tak kena. Sebelum pengantin tiba, Ayra nampak biasa saja. Sebaik saja lihat wajah pengantin, moodAyra tiba-tiba berubah. Pasti ada sesuatu yang disembunyikan Ayra.

Masa terasa bergerak begitu pantas. Pengantin sudah selesai menjamu selera. Mereka masuk ke dalam rumah kembali. Sesi fotografi akan bersambung kembali. Ayra resah gelisah. Dean hanya diam saja. Ayra tahu, Dean pasti sedang menunggu dia yang memulakan bicara.

Ayra menarik nafas. Wajah dan suara saja yang sama! Tak semestinya mereka orang yang sama! Dia meyakinkan diri. Ayra mengumpul kekuatan.

“Jom jumpa Dira sekarang.”

Ayra dan Dean berjalan menuju ke dalam rumah pengantin.

Ayra sudah ada kekuatan untuk melihat sendiri tunang Nadira dari jarak dekat. Dia mahu menenangkan kembali hatinya yang sedang bergelora. Lelaki yang pernah bertakhta di hatinya itu sudah tiada lagi di dunia ini. Tak mungkin dia akan kembali lagi.

Ah, kenapa aku mengharapkan dia kembali? Bukankah aku lebih suka jika dia mati?

“Tak nak tengok ke? Haa... ni mesti kes cemburu ni. Cemburu dengan sahabat sendiri yang sudah melangkah setapak ke hadapan.”

Dean melempar sindiran pedas bila dilihatnya Ayra tercegat di muka pintu.

“Kau ni, fikir yang bukan-bukan je. Langsung aku tak cemburulah. Dira akan bertunang, mestilah aku pun tumpang gembira.”

Ayra terus melangkah ke dalam.

“Ye ke ni? Tu la, aku ajak bertunang, kau tak nak. Kalau tak, kita yang lebih dulu bertunang dari Dira tau.”

“Jangan tukar topik!”

“Ayra, Dean, sini! Kita ambil gambar.”

Nadira yang sedang berdiri di sebelah pengantin perempuan melambai tangan. Mereka sedang berkumpul di pelamin.

“Dira dah panggil tu. Jom!”

Dean menarik tangan Ayra.

Matanya terus liar mencari wajah lelaki yang mirip dengan wajah si dia. Tidak kelihatan pengapit leaki di pelamin. Ke mana dia menghilang? Ayra terus tercari-cari.

“Dean, kau berdiri sebelah sana. Aku, Ayra sebelah sini.”

Nadira memaut lengan Ayra. Mereka berdiri di sebelah pengantin.

“Tunggu!”

Berderau darahnya bila tunang Nadira tiba-tiba muncul di celah-celah orang ramai yang sedang menyaksikan pengantin sedang bergambar.

“Dari tandas,” bisik Nadira ke telinga Ayra.

Lelaki itu terus mengambil tempat di sebelah Dean. Ayra terus mencari perbezaan fizikal di antara mereka; bakal tunang Nadira dan lelaki yang pernah muncul dalam hidupnya. Tiada! Sama saja!

“Dira, kami minta diri dulu.”

Ayra terus meninggalkan pelamin sebaik sahaja selesai bergambar. Dia tak ingin berlama-lama lagi di situ, di samping bakal tunang Nadira. Dia jadi benci pada lelaki itu walaupun mereka bukan orang yang sama.

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.