Home Novel Cinta MAK DATIN ISTERI CIKGU
MAK DATIN ISTERI CIKGU
Dannie Sofea
6/3/2014 21:38:20
68,092
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 8

“Pukul berapa kau dan Dean nak bertolak ke Butterworth?”

“9.30 pagi ni. Dean kata, dalam dua ke tiga jam sampailah. Jomlah ikut sekali.”

Ayra terus memujuk Suhaila yang sedang sibuk membetulkan cadar. Dia rasa tak sedap hati jika hanya dia dan Dean sahaja yang menghadirkan diri ke kenduri kahwin kakak Nadira. Gadis itu turut menjemput rakan-rakan sekelas yang lain. Kalau mereka datang, pasti mereka akan terkejut bila melihat dia dan Dean datang bersama. Bertambah yakinlah mereka yang dia dan Dean menjalin hubungan istimewa.

“Eh, tak mahulah!”

Suhaila menggeleng-geleng kepala dengan dahi berkerut. Dia menepuk-nepuk bantal kekabu, membuang habuk-habuk yang melekat.

“Dira dah pesan kat aku awal-awal lagi suruh kita semua pergi. Siap pesan suruh kita bawa teman masing-masing lagi tau. Dia tak kisah kita nak bawa sesiapa pun. Tunang, teman lelaki, adik, abang, mak, ayah semua dia jemput.”

Ayra terus memujuk. Dia berharap sangat Suhaila tak jadi berjumpa tunangnya dan seterusnya dapat menyertai dia dan Dean ke utara.

“Maksud Dira tu, teman lelaki la. Teringin sangat dia nak tengok tunang Ila, boyfriend aku.”

Aisyah yang berdiri di muka pintu menyampuk. Dia melangkah masuk lalu terus duduk di kerusi Suhaila.

“Eh, ke situ pulak. Dia tak sebut pun teman yang kita kena bawa tu seharusnya seorang lelaki.”

Ayra membetulkan tudung. Untuk ke majlis kenduri, dia mengenakan selendang dan baju kurung bunga-bunga kecil. Baju kurung tersebut baru dibelinya sebulan lepas. Dia membeli baju kurung siap jahit. Sejak melangkah ke alam pekerjaan, dia memerlukan banyak baju kurung. Dibelinya sedikit demi sedikit. Baju kurungnya sudah ada sepuluh pasang.

“Hmm... yelah tu. Aku dan Ila satu rumah dengan dia. Kami faham sangat la dengan perangai dia tu. Tak boleh orang lebih sikit dari dia.”

“Aku no komen. Setakat yang aku kenal, dia kira okey la. Sesuai untuk dibuat kawan. Suka membantu. Tak kedekut.”

Ayra memberi komen dari sudut pandangan positif. Nadira memang gadis yang suka membantu. Kalau dia tak faham sesuatu, Nadiralah tempat dia bertanya. Nadira tak lokek ilmu.

“Soal tu, aku pun setuju.”

Suhaila akur dengan sikap murah hati yang ada pada Nadira. Gadis itulah yang selalu memenuhkan peti ais di dapur dengan beraneka makanan. Siapa nak makan ambil saja. Dia tak kedekut.

“Cuma dia tu belagak sikit. Dengan pensyarah tak pernah pun dia nak tunjuk rasa hormat. Anak orang berada la katakan.”

Itu salah satu sikap Nadira yang Aisyah tidak gemar. Sukar betul untuk Nadira menunjukkan rasa hormatnya pada pensyarah apa lagi pada rakan-rakan.

“Eh, orang tua dia kerja apa ye?”

Ayra ada dengar mengenai status Nadira yang dikategorikan sebagai orang berada. Yang memusykilkan hatinya, kalau Nadira anak orang berada, kenapa masih nak bekerja dengan kerajaan atau lebih mudah, kuli kerajaan! Otaknya ligat berfikir sambil tangan memasang krongsang di bahu kanan.

“Bapa dia tu kan ada perniagaan sendiri. Mak dia pulak kalau tak silap aku Pegawai PPD.”

Aisyah mencapai sebatang pen lalu diketuk-ketuk atas meja. Sejak mula berkenalan lagi, dia sudah mengajukan pelbagai pertanyaan pada Nadira. Kebetulan pula, Nadira memang suka bercerita tentang kehebatan orang tuanya. Mereka berjaya dalam bidang masing-masing.

“Patut la. Segan pulak aku nak bertandang rumah dia.”

Ayra menyuarakan kegusaran.

“Dean ada. Iqa pun nak pergi juga, kan?”

“Harap-harap jumpa Iqa kat sana.”

Ayra berharap sangat Syafiqah akan memenuhi jemputan Nadira. Adalah teman di rumah orang kahwin nanti. Tak adalah bosan sangat sebab ada Dean dan Syafiqah. Nadira pasti tidak terlayan mereka lagi. Pasti dia sibuk.

“Bercerita pasal Iqa ni... kau rasa, okey ke dia tu?”

Aisyah membuka cerita baru. Suhaila meletak penyapu. Dia juga macam berminat dengan cerita baru yang akan dibuka Aisyah.

“Okey, kenapa?”

“Dia ada pakwe tak lagi?”

Ayra mengangkat bahu. Dia memang tak tahu status Syafiqah, masih solo atau sudah berpunya. Di rumah sewa, dia dan Syafiqah jarang bercerita soal peribadi.

“Cantik, lemah lembut... mesti ramai yang berkenan, kan?”

“Entahlah. Dia tak pernah bercerita dengan aku soal tu.”

“Kau ni, duduk serumah tu cuba la korek rahsia sikit-sikit.”

Desak Aisyah selamba. Kalau dialah yang duduk serumah dengan Syafiqah, tentu rahsia gadis tersebut sudah dikoreknya. Syafiqah ala-ala misteri. Duduk bilik seorang diri. Jarang berbual kosong atau melepak di bilik rakan-rakan lain. Sesekali berbual, sopannya mengalahkan gadis Melayu.

“Tak minat.”

Ayra melabuhkan pungung di kerusi sambil menunggu panggilan dari Dean. Dia tak minat nak korek rahsia orang. Dia juga ada rahsia sendiri. Silap hari bulan, rahsianya pulak yang akan dikorek nanti.

“Kau ni...”

Aisyah menggeleng kepala, agak kecewa kerana dia gagal mendapat info dari Ayra. Suhaila hanya tersenyum. Hairan Aisyah dengan sikap Ayra yang tak berminat langsung kalau diajak bergosip.

“Pakwe Dira handsome tau!”

Suhaila membuka cerita. Aisyah tercengang. Dia memandang Suhaila, mengharap Suhaila akan bercerita lebih lanjut.

“Kau tau mana?”

“Dia tunjuk gambar. Orang KL. Handsome gila wei. Dia tak tunjuk kau ke?”

Suhaila ketawa mengekek. Tak sangka pulak Nadira hanya menunjukkan gambar teman lelakinya pada dia seorang.

“Sampai hati dia tak tunjuk kat aku!”

Aisyah menekan telapak tangan dengan penumbuk kanannya.

“Kenduri ni mesti pakwe dia ada jugak. Korang tak teringin nak tengok live ke?”

Ayra mengumpan rakan-rakan. Aisyah tentu pecah air liur kalau dapat tengok teman lelaki Nadira depan-depan.

“Bangga gila la Dira tu bila aku melopong tengok pakwe dia. Memang handsome! Kalau kau tengok, mesti mulut kau pun melopong jugak Asiyah.”

“Eh, kau rasa member kita tu suci tak lagi?”

Ayra tersentak dengan pertanyaan Aisyah. Dia memandang Suhaila. Gadis iti menjongket bahu.

“Siapa yang kau maksudkan?”

“Diralah... siapa lagi.”

“Eh, manalah aku tahu. Wallahualam.”

Ayra geleng kepala, malas nak ambil tahu soal itu.

“Tengok bentuk badan dia tu, aku rasa dia dah tak ada dara lagi.”

“Entahlah Aisyah, aku tak pulak perhati bentuk badan dia sampai begitu sekali. Lagipun, aku bukannya reti baca semua tu.”

“Boleh nampak apa... kau tu prihatin la sikit bentuk badan wanita yang dah kahwin dan yang belum kahwin. Berbeza apa... Orang lelaki boleh cam tau wanita yang masih suci dan yang belum. Zaman sekarang kan susah nak cari gadis yang masih suci. Kalau kau buka internet tu, kau boleh tengok sendiri ramai gadis yang dah hanyut. Tambah-tambah yang dah ada boyfriend. Sanggup gadai kesucian demi nak buktikan kasih sayang.”

Ayra tak nafikan kebenaran kata-kata Suhaila. Dunia akhir zaman. Yang belum kahwin sudah tiada harga diri, yang sudah bergelar isteri, ada juga yang masih suci....

“Yang lelaki pun dua kali lima. Jangan salahkan kaum kita saja tau. Budak-budak remaja zaman sekarang ni kebanyakannya terpedaya dengan janji manis orang lelaki. Kenal sehari dua dah sanggup serah diri.”

Suhaila membela kaum wanita. Ayra angguk setuju. Tak betul kalau kaum hawa saja yang dikecam.

“Hmm... aku setuju. Lepas tu, berlakukan gejala buang bayi. Kesian betul dengan bayi-bayi yang tak berdosa ni. Senang-senang je mereka buang bayi yang tak diingini, macam buang sampah. Kesian bayi tu, mati kesejukan... ada yang mati kena bakar... ada yang mati kelemasan.”

Ayra terbayang gambar-gambar bayi yang dibuang. Manusia apakah yang sanggup buang bayi sendiri? Tak sayangkah mereka dengan bayi yang dikandung sembilan bulan sepuluh hari? Ayra menghela nafas berat. Malas untuk memikirkan yang selanjutnya.

Isyarat penerimaan mesej kedengaran lagi. Ayra mencapai telefon bimbitdi atas meja dalam debar lalu membuka peti mesej.

‘Dah siap belum? Aku kat bawah ni.’

Ayra menarik nafas lega. “Aku gerak dulu.”

“Kirim salam pada Dira.” Ujar Suhaila.

“Jangan lupa ambil gambar pakwe Dira.”

Sempat lagi Aisyah menyampaikan pesanan. Ayra tergelak kecil sambil menyarung kasut.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.