Home Novel Cinta DINDA CINTA KANDA
DINDA CINTA KANDA
Nur Insyirah
17/3/2014 16:59:57
73,829
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 4

Ni apahal bibir bengkak-bengkak ni? Faiq pukul ya?” Pertanyaan Tengku Ismail disambut dengan senyuman tawar Adif. Rasa pedih mula menjalar apabila bibirnya yang membengkak itu dipaksa mengukir senyum.

“Tak adalah, abah. Tak sengaja pun. Tengah bergurau-senda dengan abang dan Auni, tak sangka pulak boleh tersigung siku kat sini.” Adif mencipta alasan walaupun dia sedar alasannya tidak kukuh di pendengaran bapa mertuanya. Wajahnya diceriakan dan senyumannya digulakan untuk meyakinkan hati mertuanya itu.

“Hisy... kalau nak bergurau pun agak-agaklah kan dah sakit tu, Dif,” ujar Tengku Ismail tidak puas hati.

“Alah, bah... biasalah gurau-gurau versi ganas sket, bah. Abah, tinggal sini lama sikit ya? Boleh pergi piknik dengan kita orang hujung minggu ni.” Adif cuba berlelucon untuk mengalih perhatian mertuanya daripada membangkitkan isu luka di bibirnya.

“Macam-macamlah kamu ni, Adif. Tapi, abah berterima kasih pada kamu sebab sudi menjadi mama untuk cucu abah dan isteri buat anak abah. Cuma abah harap Adif dapat bersabar dengan sikap baran dan mood Faiq yang tak menentu tu ya. Oh ya, abah tak lama pun kat sini lusa dah balik sebab abah ke sini pun ada urusan sikit.”

“Abah ni... nak feeling-feeling pulak. Berapa kali nak terima kasih daa... Dah empat bulan pun kahwin. Adif kan dah janji dengan abah. Jadi, Adif akan cuba yang terbaik untuk menjalankan tanggungjawab sebagai mama dan isteri.” Bersungguh-sungguh Adif meyakinkan bapa mertuanya.

“Baguslah macam tu, Dif. Abah sentiasa mendoakan kebahagiaan anak menantu abah ni,” balas Tengku Ismail sambil tersenyum.

“Tak ada hallah, bah. Cuma... Adif nak mintak tolong abah boleh?”

“Untuk menantu perempuan tunggal abah yang cute ni, apa pun abah sanggup. Apa dia?” soal Tengku Ismail dalam nada berjenaka. Namun tanpa mereka berdua sedari, ada sepasang telinga yang mencuri dengar perbualan mereka.

“Adif nak pinjam duit abah sikit boleh?” pinta Adif perlahan sambil menundukkan wajahnya. Jarinya memintal-mintal bucu tudung yang dipakainya.

“Oh... abah ingat mintak tolong apa tadi... Apasal? Faiq tak bagi duit belanja kat menantu abah ni ke? Adif nak...”

“Dummm!”

Kata-kata Tengku Ismail terhenti apabila mendengar pintu dihempas kuat dari tingkat atas. Serentak mereka berdua mendongak lalu memandang sesama sendiri. Lalu kedua-duanya menjongketkan bahu.

“Abah, nanti kita bincang lagi ya? Satu aje Adif minta, tolong jangan cakap apa-apa kat Abang Faiq ya? Biar Adif sendiri yang terangkan nanti. Lagipun bah... Abang Faiq dengan Adif masih cuba menyesuaikan diri. Abah jangan risau, Adif takkan kecewakan harapan abah. Adif naik tengok Abang Faiq dulu ya, bah...” ujar Adif sebelum melangkah laju meninggalkan bapa mertuanya yang jelas terpinga-pinga.

“Baiklah, Dif... abah akan cuba faham. Ya Allah, satukanlah hati mereka. Berikanlah kebahagiaan kepada anak menantu dan cucuku,” doa Tengku Ismail perlahan. Matanya sempat menangkap riak risau menantunya yang bergegas lari naik ke atas. Detik hatinya berkata, luka di bibir itu adalah angkara anaknya. Lalu keluhan kecil dilepaskan.

Pintu bilik dikuak perlahan. Derap langkahnya turut perlahan dan berhati-hati. Matanya meliar mencari kelibat suaminya. Pintu bilik itu ditutup rapat sebelum dikunci dari dalam. Bimbang hatinya kalau-kalau Tengku Auni menceroboh masuk ketika ini kerana dia sedar moodsuaminya bagaikan ‘taufan’ ketika ini. Jika tidak, pintu bilik ini tidaklah menjadi mangsa amukan Tengku Faiq, tambahan pula ketika mertuanya berada di rumah!

‘Huh sengaja cari bala. Yang nak kena jawab soalan cepu mas abah tu, aku jugak!’ getus hati kecilnya.

Adif melabuhkan punggungnya di birai katil apabila mendengar deruan air dari bilik air tanda suaminya berada di dalam bilik air itu. Selawat dan zikir meniti di bibirnya. Hati kecilnya gentar tiba-tiba.

‘Ya Allah, lembutkan hatinya supaya aku dapat berbincang dari hati ke hati,’ doa Adif di dalam hati.

Kepalanya terdongak apabila mendengar keriuk pintu bilik air dibuka. Kelihatan wajah tegang suaminya di hadapan bilik air. Adif langsung menelan air liur.

‘Selamatkah aku kali ni, Ya Allah.’ Hatinya berbisik.

Tengku Faiq mara ke arah isterinya yang terpaku di birai katil. Hatinya panas melihat wajah isterinya yang beriak selamba walaupun seketika tadi dia kelihatan gugup. Kini, dia berdiri betul-betul di hadapan isterinya. Tajam merenung raut wajah itu sebelum Adif melarikan pandangannya ke arah lain.

Tangan kekar Tengku Faiq pantas menyentap keras dagu isterinya supaya didongakkan kembali dan memandang ke arahnya semula. Cengkaman kuat tangan Tengku Faiq menyebabkan isterinya mengerang sakit.

“Sa... sakit.” Adif mengerang. Bibirnya yang bengkak akibat ditampar semalam semakin berdenyut.

“Sakit? Kau tahu tak hati aku ni lagi sakit!” ujar Tengku Faiq sambil menolak kuat tubuh Adif hingga tubuh kecil molek itu terbaring di atas tilam.

Adif cuba bangun, namun Tengku Faiq pantas menekan bahunya rapat ke tilam sekali gus menghentikan rontaan Adif untuk bangun. Tengku Faiq menindih tubuh langsing itu. Pandangan yang tajam dan garang itu menggerunkan hati Adif buat pertama kalinya dalam tempoh empat bulan bergelar isteri kepada Tengku Faiq!

“Sakitlah! Awak ni, kenapa? Dah gila ke? Kalau ya pun marah, belajarlah kawal sikit. Saya ni isteri awak! Bukan punch-bag yang awak boleh pukul sesuka hati!” Adif cuba melawan.

“Memang aku gila! Sebab kau yang buat aku jadi gila! Isteri konon... kau tak layak jadi isteri aku! Kau sengaja beli hati abah untuk jadi isteri aku semata-mata sebab duit kan! Itu agenda kau yang sebenarnya! Betul tak?!” soal Tengku Faiq dalam nada menengking.

Adif kecut perut untuk menjawab. Lidahnya kelu untuk berkata-kata dicampur dengan rasa sakit yang semakin mencengkam.

“Jawablah aku tanya ni! Dasar lidah bercabang! Kau ingat aku bodoh sangat ke yang kau nak pergunakan aku untuk kaut duit dengan cara mudah macam ni! Kau beli hati bapak aku, aku gulakan anak aku sekarang kau nak jalankan misi kau kikis harta aku?!” Serentak dengan tengkingan itu, Tengku Faiq menampar-nampar pipi mulus itu berkali-kali.

Perbuatannya terhenti apabila terdengar esakan kecil yang terbit daripada bibir isterinya. Darah pekat mengalir dari hujung bibir isterinya. Cengkaman dilepaskan. Tengku Faiq bingkas bangun dan meraup wajahnya berkali-kali.

“Sakitnya, Ya Allah...”

Adif hanya mampu menangis dan mengerang. Wajahnya ditekup dengan tangan. Pedih dan pijar menjalar di sekitar pipinya. Sakit dan luka di wajah tidak seteruk luka di hatinya. Esakannya tak mampu ditahan. Sakit di hati, sakit juga menjalar di sekitar wajahnya.

“Arghhh!” jerit Tengku Faiq sebelum meninggalkan bilik itu. Meninggalkan Adif yang masih teresak-esak menangis dalam kesakitan.
Previous: BAB 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.