Home Novel Cinta DINDA CINTA KANDA
DINDA CINTA KANDA
Nur Insyirah
17/3/2014 16:59:57
74,011
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 14

Tengku Faiq memisat-misatkan matanya apabila terjaga. Terasa denyutan di tangan kanannya. Mungkin ubat penahan sakit itu sudah beransur hilang. Jeritan dan ketawa anaknya jelas kedengaran menerusi tingkap yang terbuka luas. Disebabkan itulah, dia terjaga daripada tidur. Jam di sisi katil dikerling. 10.15 pagi!

‘Lebur subuh aku,’ getus hatinya.

Bingkas dia bangun untuk menuju ke bilik air. Tetapi langkahnya dilencongkan ke arah balkoni untuk mencari arah suara puteri tunggalnya yang kedengaran begitu gembira. Pandangannya di hala ke bawah. Di laman rumah, kelihatan isteri dan anaknya sedang bermain air. Paip air di tangan isterinya dihalakan ke arah puterinya. Terjerit-jerit si kecil itu apabila disiram oleh mamanya.

Tengku Faiq tersengih melihat Adif yang giat mengusik anaknya. Kembang hatinya melihat senyuman dan gelak tawa puteri tunggalnya itu. Segera dia melangkah masuk untuk membersihkan diri.

“BABAH! Tolong! Tolong! Mama siram Auni!” jerit si kecil itu apabila babahnya kelihatan.

Tengku Faiq hanya tersenyum melihat anaknya yang terkial-kial menyelamatkan diri daripada disiram oleh Adif. Dia melabuhkan punggung di buaian dan hanya memerhatikan gelagat dua beranak yang galak bermain air.

“Babah! Mana aci duduk kat situ. Tolonglah Auni!” jerit si kecil itu lagi.

“Aci ada kat India,” balas Tengku Faiq. Keningnya diangkat-angkat. Sengaja mengusik puterinya itu.

“Babah!”

“Sudahlah tu. Demam budak tu nanti. Macam budak-budak aje kau ni,” tegur Tengku Faiq sambil memandang Adif.

“Budak-budak?” Adif mampir. Senyuman diukir sehabis manis.

“No... no! Aku dah mandi. Don’t you dare...”

“Nah! Ambik ni! Budak-budak ya, bang? Meh sini, mak budak nak siram bapak budak!” jerit Adif sambil jarinya pantas memicit air menghala ke arah Tengku Faiq yang bersantai di buaian berdekatan.

“Adif!”

“Babah, jom kita siram mama pulak!” jerit Tengku Auni dalam tawanya yang makin galak. Suka hati melihat babah turut menjadi mangsa siraman mamanya.

Melihat Tengku Faiq dan anaknya bergabung, Adif mengundur perlahan-lahan. Tangannya masih galak menekan air dan menyembur ke arah mereka berdua. Namun apabila suaminya mara ke arahnya, dia segera melarikan diri ingin bersembunyi di sebalik kereta. Tetapi langkahnya sumbang tiba-tiba membuatkan dia tersungkur di atas rumput karpet di halaman banglo itu.

Tengku Faiq dan anaknya tergamam melihat Adif yang terjatuh. Serta-merta tawa mereka turut terhenti. Adif menoleh memandang kedua-duanya. Terasa sengal sikunya kerana menahan diri daripada terus tersembam. Diusap-usap perlahan siku yang terasa sengal itu. Tanpa disedari, Tengku Faiq telah pun mencapai paip air yang terlepas daripada pegangannya.

“Adif!” Jeritan Tengku Faiq membuatkan Adif terdongak. Serentak dengan itu, terasa tubuhnya basah disiram dengan air. Tengku Auni makin galak ketawa apabila melihat mamanya disiram oleh babahnya.

“Free show exclusive! Cara-cara nak mandikan singa laut!” jerit Tengku Faiq sambil ketawa.

‘Singa laut? Kurang asam!’ Dia cuba bangun dan ingin melakukan serangan balas dengan menarik anaknya ke dalam pelukkannya. Tindakkannya itu membuatkan anaknya terjerit-jerit apabila turut disiram oleh babahnya.

“Mama tak aci! Babah pun tak aci! Auni geng babah! Mana aci babah siram Auni sekali!”

“Sekarang, singa laut dah ada baby pulak!” balas Tengku Faiq dalam tawa yang masih galak.

“Wah, bahagianya kawan!” sapa seseorang yang tiba-tiba muncul.

Suara itu mematikan tawa mereka anak-beranak. Tengku Faiq menoleh.

“Mus! Farel! Bila sampai?” laung Tengku Faiq sambil tangan kirinya melepaskan paip air yang dipegangnya. Isyarat ‘masuk’ diberikan kepada isterinya yang termangu di atas rumput bersama-sama dengan anaknya.

Adif bergegas lari ke arah pintu dapur diikuti oleh anaknya. Tubuhnya yang lencun membuatkan dia pantas melarikan diri. Malu apabila mengenangkan sahabat suaminya memerhatikan dirinya dalam keadaan begitu.

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.