Home Novel Cinta DINDA CINTA KANDA
DINDA CINTA KANDA
Nur Insyirah
17/3/2014 16:59:57
73,810
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 13

“Dalam luka ni. Kena jahit dulu ni,” beritahu doktor yang memeriksa keadaan luka di tangan Tengku Faiq.

“Jahit aje doktor. Tapi, tolong letak ubat bius banyak-banyak. Suami saya penakut sikit dengan jarum ni. Harap muka aje macam Brad Pit, doktor...” sampuk Adif sebelum sempat Tengku Faiq bersuara.

Terjegil mata Tengku Faiq apabila mendengar kata-kata Adif. Pantas tangan kirinya mencari paha isterinya lalu dicubit sekuat hati. Senyuman sungging dilemparkan pada doktor wanita yang memeriksa lukanya tadi. Tertera tanda nama Dr. Salwa yang tersemat di jubah putih milik doktor wanita itu.

“Sekejap ya.” Doktor itu terus berlalu meninggalkan mereka tiga beranak di dalam bilik rawatan itu.

“Sakitlah! Yang awak cubit saya ni kenapa?!” soal Adif dalam nada keras yang ditahan-tahan. Bisa cubitan Tengku Faiq masih terasa. Diurut-urut pahanya untuk mengurangkan rasa sakit. Tengku Auni yang berada di pangkuannya diam tidak berkutik kerana masih mengantuk.

“Padan muka. Balasan sebab menjatuhkan air muka aku depan doktor tu,” balas Tengku Faiq dengan riak sombong.

“Air mukalah sangat. Dasar Hitler awak ni. Ego!” Adif masih tidak puas hati. Namun segera dimaniskan muka bila doktor kembali bersama-sama seorang jururawat dan kelengkapan rawatan.

Cuak Tengku Faiq melihat jarum dan beberapa kelengkapan rawatan yang akan digunakan untuk merawat lukanya. Pandangannya dialihkan ke arah lain apabila doktor itu bersedia untuk menyuntiknya. Namun, bola matanya terhenti di seraut wajah Adif yang tersenyum sinis ke arahnya. Matanya membaca gerakan bibir isterinya.

‘Pe... na... kut!’

Bibirnya diketap kuat. Wajah isterinya yang menahan ketawa direnung. Geram pula melihat keletah Adif yang tak habis-habis mahu membakar perasaannya. Langsung tidak gentar pula tiap kali berbalas pandangan dengannya walaupun pandangannya cukup tajam.

Adif sengaja membuat mimik muka mengejek apabila menyedari wajah suaminya yang cuak tadi sudah mula berubah. Mata Tengku Faiq tajam merenung dirinya. Namun, dia tidak sedikit pun gentar malah membalas kembali pandangan tajam suaminya sambil mengedip-kedipkan matanya. Senyuman sehabis manis diukir. Sengaja mengusik lelaki itu, namun riak suaminya masih tidak berubah.

“Dah siap!”

Tengku Faiq segera menoleh ke arah doktor muda itu. Jururawat di sebelahnya tergelak kecil melihat reaksi Tengku Faiq yang membelek-belek tangannya yang sudah siap berbalut.

“Cepatnya?” Soalan Tengku Faiq mengundang tawa doktor dan jururawat itu.

“Encik leka sangat tenung isteri encik sampai tak sedar saya dah siap buat kerja. Romantik juga ya suami puan ni?” balas doktor itu sambil melawak.

“Oh, suami saya memang macam ni. Gatal tak kira tempat. By the way, terima kasih doktor. Ada apa-apa lagi ke?” Adif bersuara apabila melihat suaminya masih tercengang-cengang.

You’re welcome. Just be careful with the wound.Nanti nurse akan bagi ubat yang saya dah list tu,” balas doktor itu dengan ramah.

“Kalau macam tu, kami keluar dulu ya doktor? Terima kasih,” ucap Adif. Dukungan Auni diperkemaskan sebelum bangun dan berlalu keluar.

Tengku Faiq hanya mengikut dari belakang. Senyuman dilemparkan sekali lagi kepada doktor yang merawatnya sebelum melangkah keluar.

“Seronok kenakan aku?” soal Tengku Faiq sinis setelah melabuhkan punggung di ruang menunggu ubat.

“Best sangat! Kan saya dah cakap tu hobi baru saya sekarang,” balas Adif dengan nada mengejek tanpa melihat wajah suaminya. Pandangannya terarah pada si kecil dalam dakapannya.

Tengku Faiq mengetap kuat bibirnya. “Kau ni memang...”

“Tengku Faiq!”

Bicara Tengku Faiq terhenti apabila namanya dipanggil oleh seorang jururawat yang berada di kaunter ubat. Langkahnya diatur menuju ke kaunter itu untuk mengambil ubat.

Adif hanya menggeleng melihat Tengku Faiq yang berlalu menuju ke kaunter. Disabarkan hatinya untuk melayan kerenah baran suaminya. Pantas kunci kereta milik suaminya dikeluarkan dari poket seluar. Dia bangun perlahan-lahan sambil mencempung tubuh si kecil yang kembali lena. Terasa lenguh tangannya kerana terlalu lama memangku tubuh anak kecil itu. Langkahnya diaturkan pula ke arah pintu keluar klinik apabila melihat suaminya telah selesai berurusan di kaunter.

“Adif!” Jeritan Tengku Faiq mematikan langkah Adif. Dia berpaling ke arah suaminya yang sedang memegang bungkusan plastik berisi ubat di tangan kirinya.

“Aku drive. Bak sini kunci,” ujar Tengku Faiq ringkas.

“Dengan tangan berjahit tu? Tak payah! Biar saya yang drive,” balas Adif sebelum mengatur langkah menuruni anak tangga menuju ke arah BMW hitam milik Tengku Faiq.

“No way! Biar aku yang drive. Ini kereta aku!” Tengku Faiq masih tidak mengalah. Kunci kereta di tangan isterinya cuba direbut. Namun, Adif lebih pantas menyorokkan kunci itu.

“Dahlah kurang upaya. Berlagak pulak. Tak payah nak mengada-ngada. Biar saya yang drive.” Adif masih berdegil. Adegan tarik-menarik kunci terjadi di situ. Tengku Faiq masih tidak mengalah. Dengan sebelah tangan, dia cuba merampas kunci keretanya yang kemas dalam genggaman Adif.

Adif pula cuba menyembunyikan kunci itu di sebalik tubuh Auni yang berada dalam dakapannya namun entah bagaimana Adif tidak dapat mengimbangkan diri apabila Tengku Faiq merentap tangan kanannya untuk merampas kunci kereta itu. Adif cuba menahan Auni daripada terlepas tetapi dirinya semakin hilang imbangan.

“Aaaa...” Adif terjerit.

Melihat keadaan Adif, Tengku Faiq segera memaut tubuh isterinya untuk menghalangnya daripada terjatuh. Pandangannya bersatu. Kaku seketika Adif dalam pelukan suaminya di hadapan klinik. Pekat malam yang sunyi itu terasa hening.

“Babah... kita kat mana ni?” Soalan Tengku Auni mematikan lamunan pasangan itu yang kelihatan ‘hanyut’ dalam dunia mereka. Bisu tanpa bicara.

“Sorry...” ujar Tengku Faiq. Namun pertanyaan anaknya tidak dijawab.

Adif mengemaskan dukungannya. Punat alarm kereta suaminya ditekan. Tubuh Tengku Auni diletakkan di tempat duduk belakang. Ditepuk-tepuk perlahan tubuh Tengku Auni hingga si kecil itu lena kembali. Pintu belakang ditutup. Tubuhnya dipusing menghadap Tengku Faiq yang masih tercegat di sisi kereta. Kunci kereta dihulurkan kepada suaminya. Namun, tidak disambut.

“Tak apalah. Kau drive,” arah Tengku Faiq perlahan sebelum melangkah ke arah pintu sebelah pemandu.

Adif hanya mengangkat bahu. Pintu di bahagian pemandu dibuka. Dengan lafaz bismillah, dia menghidupkan enjin kereta dan memandu tenang meninggalkan kawasan klinik itu. Suaminya yang membisu dikerling dengan ekor mata. Namun, tiada bicara antara mereka hinggalah tiba ke destinasi mereka.

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.