Home Novel Cinta Jantung Hatiku
Jantung Hatiku
CikSiti Amna Nazia
30/12/2014 21:12:52
51,299
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3

Seperti yang dijanjikan, tepat jam lima petang, hantaran siap dihantar oleh pekerja-pekerja butik Heaven Bridal. Puan Sri Khaleeda tersenyum puas. Segalanya berjalan lancar seperti yang diharapkan. Tidak sia-sia dia berhabis banyak untuk membayar perkhidmatan tersebut. Sesekali dia meninjau persiapan memasang pelamin yang sedang dilakukan oleh pekerja-pekerja mahir dari butik pengantin langganannya. Semua persiapan dan dekorasinya tampak teratur dan sempurna. Sedang dia mundar-mandir melihat persiapan yang dilakukan, anak sulungnya pulang.

“Along, sini sayang. Mama ada hal yang nak dibincangkan.” Melihat kelibat anaknya itu, dia terus memanggil.

“Ada apa, ma?” soal anak itu.

Wajah Puan Sri Khaleeda serius menikam wajah anak sulungnya itu. “Along, Dayana dah nak kahwin. Tak lama lagi, mungkin Haziq pula yang meyusul. Along bila lagi?” Tanpa banyak soal, Puan Sri Khaleeda terus meluahkan apa yang bermain di fikirannya.

Tanpa menjawab persoalan mamanya, anak itu tertawa kecil. Ini bukanlah kali pertama dia disoal seperti itu. Telinganya sudah kebal. Mulutnya juga sudah lenguh memberikan jawapan yang sama. Bahkan, sedari awal-awal tadi lagi dia sudah dapat mengagak arah perbicaraan mamanya.

“Biarlah dulu, tak sampai seru lagi. Along tak kisahlah kalau adik-adik dulu yang kahwin. Biarlah along yang paling last pun. Lagipun, sekarang ni along sibuk sangat. Manalah sempat nak fikirkan hal-hal macam ni,” balasnya selamba.

“Along selalu mengelak bila mama tanya pasal ni. Kenapa dengan along ni? Kali ni mama tak peduli! Mama tetap akan pinang anak Datin Aisyah. Tak kira along setuju ke tak. Lagipun along dah kenalkan anak dia? Jadi mama rasa tak ada masalah!” Kali ini Puan Sri Khaleeda agak bertegas.

Lelaki itu mengeluh perlahan. Berat hatinya untuk mengiakan permintaan mamanya. Mamanya kini tidak ubah seperti Mami Tanjung, suka memaksa dia untuk menerima pilihannya sendiri tanpa berbincang terlebih dahulu dengannya. Di zaman moden seperti ini rasanya sudah lapuk jika orang tua yang mencarikan jodoh untuk anak-anak. Bukannya dia tidak ingin mendirikan rumah tangga, tapi masanya belum sesuai.

“Mama, along bukan nak hampakan mama. Tapi along belum sedia nak bagi komitmen. Lagipun along tak suka anak dia. Gedik semacam je! Dahlah. Baik mama jangan teruskan hasrat mama kalau mama tak nak malukan nama baik keluarga kita.” Sesopan mungkin dia cuba mengawal suaranya untuk menolak permintaan ibu tersayang.

“Along dah 30 tahu tak? Apa lagi yang tak sedianya? Nak tunggu apa? Eh, mama malu taHu tak bila semua orang tanya mama kenapa anak sulung mama ni masih lagi membujang. Along ingat mama tak malu ke? Semua orang tanya mama, anak mama ni normal ke? Mama malu tahu tak!” Suaranya mula meninggi.

“Mama, cuba bawa bertenang. Pedulikan apa yang mereka nak kata. Along normallah! Cuma setakat ni along tak jumpa lagi perempuan yang along suka. Along tak nak main cekup, Mama jangan risaulah. Mama sebenarnya nak tengok along bahagia atau nak puaskan hati mama sendiri sebab mama tak nak malu dengan kawan-kawan?” soalnya lembut. Bahu mamanya diraih untuk menenangkan hati wanita itu.

“Mestilah mama nak tengok along bahagia.” Agak perlahan kata-kata itu diujarkan.

“Kalau mama nak tengok along bahagia, mama tolong berikan ruang untuk along. Mama nak jadi macam dulu lagi?” Dia memujuk lembut.

Puan Sri Khaleeda hilang taring untuk terus mendesak. Pertanyaan itu membuatkan dia terkenang peristiwa yang lepas-lepas. Sudah acap kali merisik atau meminang anak salah seorang rakannya untuk dijodohkan dengan anak sulungnya itu namun perjodohan itu ditolak mentah-mentah oleh anaknya, sedangkan dia sudah janji sudah ditabur. Alangkah malunya dia kerana telah dituduh sebagai seoarang yang suka mengungkiri janji. Sejak dari hari itu, anaknya terus dicap sebagai gay.

“Kalau macam tu, biar along yang tentukan siapa pilihan along. Along penatlah ma... Sekarang ni along sibuk sangat nak uruskan pasal projek yang baru diluluskan tu. Syarikat kita diberi kepercayaan untuk bangunkan hotel kat Dubai. Bangga tak?” Anak itu begitu asyik bercerita soal kerjayanya tanpa melayan permintaan mamanya tadi.

Matlamat hidupnya buat masa sekarang hanyalah untuk berjaya dalam kerjaya yang diceburinya. Dia ingin menjadi orang yang hebat dan dikagumi ramai. Itu cita-citanya. Selepas itu barulah dia akan memikirkan untuk membina keluarga sendiri. Lagi pula, dia masih belum menemui calon yang sesuai. Semua perempuan yang dia kenal hanya memandang harta bukan ikhlas menerima dia seadaanya. Yang kaya sibuk untuk menjaga statusnya tersendiri, yang kurang berada pula mahu menaikkan taraf hidupnya. Pokoknya, tidak ada yang ingin susah senang bersama.

“Baguslah…” Dingin Puan Sri Khaleeda bersuara. Kecewa hatinya melihat sikap anaknya yang acuh tidak acuh terhadap permintaannya.

“Mama, boleh tak mama tolong hantarkan along kat airport lepas majlis Yana lusa? Flight along dalam pukul 6 petang. Boleh tak?” Arah perbicaraannya beralih tajuk lagi.

“Boleh…” Suara Puan Sri Khaleeda masih lagi dingin. Moodnya hilang taktala permintaannya ditolak.

“Kalau macam tu, along naik atas dulu. Kejap lagi nak keluar jumpa kawan-kawan. Maklumlah, sebelum berangkat ni takut ada apa-apa yang mereka nak kirim. Along naik rehat dulu ya, ma?”

Puan Sri Khaleeda mengangguk lemah. Matanya mengiringi pergerakan anak sulungnya yang sedang berjalan menaiki tangga untuk menuju ke biliknya. Perasaan geram dan kecewa bersatu menjadi satu.

Previous: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh CikSiti Amna Nazia