Home Novel Cinta Jantung Hatiku
Jantung Hatiku
CikSiti Amna Nazia
30/12/2014 21:12:52
51,311
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

Mata Marissa terbeliak luas. Jam loceng berwarna merah berbentuk hati di atas meja tepi katil menunjukkan jam 9 pagi. ‘Ya ALLAH! Dah pukul 9.00 pagi? Argh!’ Dia menepuk dahi.

Serta merta wajah Amirul, adik kesayangannya itu terbayang di ruang mata. Semalam, beria-ia benar dia berjanji dengan untuk menghantarnya ke kampus. Tapi kali ini sekali lagi dia terlepas menunaikan janjinya. Kalau hari-hari sebelumnya dia terpaksa mengungkir janji kerana ada kerja yang tidak dapat dielakkan, hari ini dia terlewat bangun pula. Semalam jam tiga pagi barulah dia selesai membuat gubahan bersama mamanya. Dia tidur sebentar dan bangun sekejap untuk solat subuh. Dek keletihan, dia terus menyambung tidur sehingga langsung tidak terjaga ketika jam loceng berdering.

‘Nampaknya dia naik teksi lagilah tu. Kesian adik aku,’ keluhnya sendirian. Dia rasa bersalah pula.

Marissa menguap lagi. Matanya yang masih mengantuk meminta untuk dilenakan semula. Memandangkan Amirul pun pastinya sudah berangkat ke kuliah, jadi dia mengambil keputusan untuk menyambung tidur barang seminit dua.

“Marissa…”

Belum sempat dia berbaring semula, namanya dipanggil dari luar. Pintu biliknya diketuk dengan agak kuat. Niatnya untuk menyambung tidur terbantut. Dengan perasaan malas, dia perlahan-lahan bangun membuka pintu biliknya.

Wajah mamanya terjengul di muka pintu dengan manisnya. “Rissa baru bangun?” soal mamanya lembut.

“A’ah… semua ni sebab mamalah. Dera Rissa buat kerja sampai ke pagi. Jadi jangan salahkan anak dara kalau bangun lewat ya?” balasnya dalam gurauan. Tubuh mamanya dipeluk erat. Pipi mamanya dicium kiri dan kanan.

“Ish, Rissa ni! Busyuklah… dah pergi mandi cepat. Lepas ni kita sarapan sama-sama. Papa dah tunggu kat bawah. Kejap lagi kita berangkat kerja sama-sama,” ujar mamanya riang. Pipi anaknya dicubit sayang.

“Yalah, yalah. Baru je nak sambung tidur balik,” rengeknya manja. Pelukan terhadap mamanya masih lagi belum dilepaskan.

“Kata nak melancong ke luar negara… kalau nak ke Dubai kenalah kerja keras sikit sayang oii…” kata Puan Yunita.

Marissa tersengih. “Mama, Mirul dah berangkat ke? Dia pergi dengan apa? Teksi lagi ke?” soalnya.

Puan Yunita menangguk. Rasa terkilan pula kerana memaksa Marissa berjaga sehingga ke lewat malam. Wajah anak itu kelihatan sangat letih. Namun dia tidak boleh terlalu memanjakan anaknya. Biar anak itu tahu erti pengorbanan untuk mengecapi kejayaan. Bukan senang hendak senang.

“Tak pelah kalau macam tu, Rissa pergi mandi dan siap-siap dulu,”

“Yalah, tapi jangan lama-lama sangat tahu!” ujar Puan Yunita seraya beredar dari situ untuk memberi ruang kepada Marissa bersiap-siap.

SEBUAH kereta Toyota Vios hitam berhenti betul-betul di hadapan stesen bas Fakulti Kejuruteraan UPM. Amirul tersenyum senang melihat kakaknya. Dia terus membuka pintu kereta, lalu memboloskan diri ke dalamnya. Aroma Ambi Pur Floral And Daring For Her menusuk deria baunya. Dia mengenyeh-genyehkan hidung, kurang senang dengan bau feminin itu.

“Akak, tukarlah perfume kereta ni! Gunalah yang fresh and nature sikit.” Dia bersungut.

Marissa mencebik. “Okey apa bau ni! Wangi kot!” sanggah Marissa.

“Memanglah wangi, tapi not for me okey!” balas Amirul.

“Yalah, yalah… nanti akak tukarlah kalau Mirul nak belanja,” Marissa tersengih-sengih menjawabnya.

“Memang taklah kalau Mirul nak belanja… duit minyak lagi, duit makan lagi. Tu tak campur dengan nak bayar motor yang tengah repairkat bengkel tu lagi. Eh, mimpi apa akak datang jemput tengahari ni? Selalunya asyik miss je janji. Pagi tadi pun puas Mirul ketuk pintu bilik tak jugak akak bangun,” celotehnya.

Sorrylah. Pagi tadi akak tak sedar langsung. Letih sangat, semalam dekat pukul tiga baru akak tidur. Ingatkan lepas subuh tu dah okey, tapi terlelap pulak. Sorry eh?” Dia berasa agak bersalah. Sejak berjanji, baru hari ini dia berkesempatan untuk mengambil adiknya dari kuliah, itu pun masih lagi terlewat.

“It’s okay! Mirul faham yang akak sibuk sekarang ni. Maklumlah, sekarang ni kan musim kenduri. Dah biasa dah macam ni, cuma dulu masa ‘awek’ sihat senang sikit nak ajak dia ke hulu ke hilir. Sekarang ni dia dah masuk wad. Tu yang susah sikit tu,” balasnya dalam gurauan.

Marissa tergelak mendengar celoteh adiknya. Gelaran kepada motosikal Honda NSC50R itu menjentik hatinya. Macam-macam bahasa budak-budak sekarang! Getusnya sendirian.

“Sebagai permintaan maaf, Mirul boleh claim duit tambang teksi yang Mirul guna selama seminggu ni dengan akak. Setuju?” tanya Marissa.

“Tak payahlah, kak. Selama ni Mirul tak keluarkan duit satu sen pun untuk tambang teksi,” tolaknya bersahaja.

Berkerut dahi Marissa mendengar penolakanya adiknya. Setahunya, mama dan papanya tidak pernah memberikan wang saku yang lebih kepada Mirul untuk tambang teksi. Sejak kecil dibiasakan untuk menguruskan segala perbelanjaan dan keperluan harian dengan menggunakan elaun bulanan yang diberikan. Dengan wang itu, pandai-pandailah mereka menggunakannya. Jangan haraplah mama dan papanya memberi wang saku yang lebih untuk mereka.

“Maksudnya?” Marissa tertanya-tanya.

“Panjang ceritanya, nantilah Mirul ceritakan lain kali. Kak, laparlah. Jom kita makan tengahari. Akak belanja ya?” jawabnya tanpa menjurus kepada soalan Marissa.

“Yalah. Kesian dia… lapar ya? Ni mesti ikat perut sebab nak bayar bil hospital ‘awek’ tu kan?” soalnya bergurau.

“Mestilah. Mahal kot. Sebulan gaji tu…” ujar Amirul beria-ia.

Marissa tersengih mendengarnya. Matanya terus melilau-lilau mencari restoran berdekatan untuk mengisi perut. Restoran Tepi Jalan yang lokasinya memang di tepi jalan menjadi pilihan mereka berdua.

Marissa memakirkan keretanya dibirai jalan. Amirul turun terlebih dahulu. Lapar benar dia nampaknya. Hidangan lauk-pauk makan tengah hari yang menyelerakan membuatkan mereka rambang mata untuk memilihnya. Penuh pinggan lauk-pauk diambil bersama.

Usai memilih makanan, mereka mencari tempat duduk yang selesa. Seorang pelayan datang mendekat, mengambil pesanan minuman. Marissa memesan jus epal sementara Amirul memesan dua jenis minuman, tembikai sirap laici dan Lay Chee Kang. Alang-alang orang belanja katanya. Tanpa menghiraukan keliling, laju sahaja Amirul menyuap nasi ke mulut.

“Marissa!”

Marissa berpaling ketika namanya disapa. Amirul juga turut sama. Seorang lelaki berpakaian kemas datang menghampiri kakaknya dengan senyuman.

“May I join you?” tegur lelaki itu.

Marissa kelihatan teragak-agak. Dipandang adiknya sekilas, meminta persetujuan. Amirul mengangguk lalu mempersilakan lelaki itu duduk di sebelahnya.

“Siapa ni kak?” soal Amirul separuh berbisik.

“Mirul, kenalkan ni kawan akak, Fareez. Fareez, ni adik I, Amirul Reeza. Panggil Mirul je,” balasnya, saling memperkenalkan mereka berdua.

“Hai, abang Fareez...” sapa Amirul mesra. Dia menghulurkan salam.

“Hai, bakal adik ipar...” sapa Fareez sambil berjabat tangan. Begitu selamba dia membahasakan Amirul sebagai adik iparnya.

Amirul mengecilkan matanya, sempat mengerling ke arah kakanya yang kelihatan menggelabah. Satu senyuman penuh tanda tanya dilemparkan buat kakaknya itu. “Wow… adik ipar? Is he someone special to you, sis?” soalnya tanpa berselindung.

“Fareez, awak jangan nak mengarutlah! Mirul, Fareez ni kawan baik akaklah,” Marissa bersuara, cuba membetulkan tanggapan adiknya terhadap lelaki itu.

Amirul sekadar mengangguk, cuba berlagak tenang walau hatinya masih ragu dan dipenuhi dengan berjuta pertanyaan. Wajah menggelabah kakaknya diperhatikan dalam diam. Silih berganti dengan wajah Fareez yang berubah riak. Amirul kemudian tersengih kelat. Dibiarkan sahaja mereka berdua tanpa membuat sebarang provokasi.

“Rissa, you selalu nak mengelak tentang status kita. Sampai bila you nak mengelak? Takkan depan adik you pun younak mengelak jugak?” Suara lelaki itu kedengaran agak tidak puas hati dengan penafian yang keluar dari mulut Marissa.

“Kita bincang hal ni kemudian ya?” ujar Marissa, tidak mahu membahaskan hal ini lagi.

Fareez mengeluh dalam. Masih lagi tidak berpuas hati namun demi melihat adik Marissa yang sedang memandangnya dengan penuh curiga, dia terus berdiam diri. Dia tidak mahu dipandang bukan-bukan oleh Amirul, nanti apa yang dikejarnya berciciran.

“Abang Fareez dah lama kenal kakak saya?” soal Amirul, mula bertindak sebagai wartawan tak bertauliah. Matanya tepat memandang wajah Fareez yang sedikit tegang.

“Dalam tiga tahun,” balasnya ringkas.

“Hmmm… lama tu. Pandai akak sembunyikan daripada Mirul. Patutlah akak nampak gembira semacam je bila tengok Abang Fareez tadi,” ujar Amirul, sekadar mahu menyenangkan hati Fareez.

“Ya ke?” Wajah lelaki itu kelihatan agak gembira mendengar kata-kata Amirul sebentar tadi.

“Yalah, saya tak tipu!” Bersungguh-sungguh Amirul menggiat, sengaja dia mahu memancing emosi lelaki itu.

“Mirul, habiskan makanan tu cepat. Akak tak ada banyak masa hari ni,” tegur Marissa.

“Ala... baru je nak berbual-bual dengan Abang Fareez.” Dia tidak puas hati. Masih banyak soalan yang ingin ditanyanya.

Marissa memandang tajam.

“Yalah…” Amirul mengalah. Pandangan kakaknya jelas menunjukkan ketidaksenangan hati. Dia terus melajukan suapannya.

“Okeylah kalau macam tu, waktu rehat I pun dah nak habis. I pergi dululah ya? See you again, Amirul.” Menyedari kehadirannya tidak diperlukan, Fareez terus meminta diri.

“Okey, sorry Fareez,” balas Marissa. Segaris senyuman diukirkan buat lelaki itu.

Melihat senyuman Marissa, hati Fareez sedikit senang. Dia terus bangun, lalu pergi meninggalkan mereka berdua.

“So?”soal Amirul sepatah sambil memandang kakaknya dengan wajah yang serius.

Pertanyaan itu singkat, namun cukup difahami Marissa. Dia menarik nafas panjang. Kerlingan nakal adiknya membuatkan dia gelisah. “Makan cepat! I’m totally bussy today.Nak hantar Mirul balik lagi, masuk kerja lagi...” arah Marissa serius.

Amirul mencebik. “Yalah, yalah! I’m totally bussy today…” Dia mengajuk gaya percakapan kakaknya. Amirul tidak bertanya lagi.

MASING-MASING berdiam diri semasa perjalanan pulang. Baik Amirul, mahupun Marissa, masing-masing lebih memilih untuk berdiam diri sambil melayan lagu yang diputar di corong radio. Dari hujung mata, Amirul memerhatikan kakaknya yang sedang memandu. Banyak persoalan yang bermain di fikiranya ketika ini. Hatinya masih belum puas selagi tidak mendapat jawapan yang pasti daripada kakaknya. Tentunya pertemuan dengan Fareez tadi membuatkan dia tidak sabar untuk menjadi ‘wartawan’.

Gatal mulutnya untuk menyoal sudah tidak tertahan lagi. Dia berpaling ke sebelah, memandang tepat ke arah kakaknya.

“Kak, kenapa akak tak beritahu Mirul yang akak dah ada pakwe?” soalnya berani.

Marrisa memandang adiknya sekilas. Terdengar keluhan kecilnya. Pertanyaan Amirul sememangnya sudah dijangka dan dia sudah pun merangka jawapan.

“Okay, akak mengaku yang sebenarnya kami dalam proses nak kenal hati budi masing-masing. Tapi buat masa ni status kami tak lebih daripada kawan baik. Dia bukan pakwe akak. Akak tak sedia lagi nak bagi komitmen, banyak benda lagi yang akak belum capai dalam hidup ni. Akak tak nak sia-siakan dengan benda-benda yang tak perlu,” balas Marissa panjang lebar.

“Benda-benda yang tak perlu?” Amirul membuat parafrasa.

“Ya, benda-benda yang tak perlu macam bercinta-cinta ni. Akak tak rasa ini masa yang tepat untuk fikir benda-benda macam ni. Banyak lagi perkara yang lebih penting yang perlu akak fikirkan,” ujar Marissa.

“Bukan masa yang tepat? Benda ni tak penting ke? Alahai… akak sekarang ni dah 26 tahun tahu tak? Lagi empat tahun nak masuk 30, dah tua tu! Takkan nak tangguh-tangguh lagi?” guraunya sambil ketawa.

Marissa menjeling sekilas, satu cubitan singgah di peha kanan adiknya

“Akak muda lagi okey? Mana ada tua! Biasalah tu orang zaman sekarang ni, bukannya zaman datuk nenek kita dik ooiii!!” omelnya tidak geram.

Amirul mengaduh dalam sengihan. Senang hatinya dapat mengenakan kakaknya.

“Akak, orang perempuan ni saham dia makin lama makin turun tahu tak? Nak tunggu apa lagi? Mirul tengok Fareez tu okey je, atau akak nak tunggu anak Tan Sri masuk pinang? Hmm.. kalau taste akak macam tu Mirul boleh tolong carikan,” usiknya nakal.

Marissa mencebik. “Tak naklah! Daripada Mirul carikan untuk akak, baik Mirul carikan untuk diri sendiri. Diri sendiri pun tak ada calon, nak mengata orang,”

“Mana akak tahu Mirul tak ada calon? Tolong sikit eh, kak… orang handsomemacam Mirul ni bersusun-susun yang nak tahu,” ujar Mirul membela diri.

“Hah, habis kalau macam tu bawaklah sorang datang jumpa mama dengan papa,” tempelak Marissa disambut dengan tawa adiknya.

“Mana boleh langkah bendul! Akaklah dulu bawa Fareez jumpa mama dengan papa,” tingkah Amirul.

Sedang mereka bertikam lidah, terdengar bunyi isyarat mesej dari telefon bimbit Marissa.

“Dik, tolong ambil baca jap,” Marissa mengarahkan adiknya agar membaca pesanan ringkas tersebut bagi pihaknya memandangkan dia sedang memandu.

Amirul menurut sahaja. Dia terus menyeluk beg tangan Marissa lalu mengeluarkan telefon bimbit kakaknya itu. Dia terus membuka mesej ringkas itu. Senyumannya tiba-tiba meleret.

“Siapa?” soal Marissa.

“My future brother-in-law! Dia ajak akak keluar malam ni,” balas Amirul tersengih-sengih.

“So, should I reply it? Yes or no?” soal Amirul kemudiannya.

“Eh, jangan! Biar akak sendiri yang balas,” cepat-cepat Marissa menegah.

“Okey… tapi akak nak keluar tak dengan dia?” soal Amirul lagi.

“Errr… maybe yes and maybe no, tapi Mirul jangan beritahu mama dengan papa ya? Akak tak nak dia orang salah anggap,” pinta Marissa resah.

Amirul tidak terus menjawab. Dia berfikir seketika, “Okey, tapi ada satu syarat. Akak kena tanggung kos yang terpaksa Mirul keluarkan untuk baiki motosikal Mirul tu. Boleh?” Dia membuat tawaran di atas situasi ini. Sengaja!

“Okey, no hal!” sahut Marissa yakin.

“Yes!!!”

Amirul bersorak gembira apabila mengenangkan beratus-ratus elaun bulanannya yang akan terselamat daripada dibelanjakan. Bukan seratus dua perlu dikeluarkan, hampir 500 ringgit juga menurut kata tauke kedai baru-baru ini. Dengan duit yang telah diperuntukkan itu bolehlah dia gunakan untuk membeli gitar yang diidam-idamkan sejak sekian lama. Lebar senyumannya sepanjanga perjalanan sehinggalah sampai ke muka pintu rumah.

MARISSA kembali semula butik pengantin milik mereka sekeluarga setelah selesai menghantar Amirul pulang dengan selamatnya ke rumah. Dia menolak daun pintu dengan cermat, langkah kakinya di atur ke ruang tengah yang menempatkan set sofa untuk tetamu. Kelihatan mamanya sedang rancak berbual-bual dengan seorang wanita berusia sekitar awal 50-an yang masih tampak muda dan anggun. Gayanya kelihatan seperti wanita kelas atasan, kalah Kak Ton!

Marissa merapikan penampilannya sebelum menyertai mereka berdua. Tudungnya yang senget dibetul-betulkan agar tidak kelihatan selekeh. Bedak kompak yang sentiasa dibawa di dalam tas tangannya diambil lalu disapu nipis ke muka, supaya tampak lebih bermaya. Lipstik merah jambu dioles nipis ke bibir mungilnya. Penampilannya sangat-sangat dijaga. Pantang dia kalau kelihatan selekeh dan comot di depan orang. Maklumlah, sebagai usahawan dalam bidang ini, dia harus menjaga penampilannya. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, dia terus mendapatkan mamanya yang sedang berbual bersama pelanggan.

“Assalamualaikum.” Suaranya lembut menyapa mereka berdua.

Tangan mamanya disalami sambil mencium kedua-dua belah pipi wanita itu seperti biasa. Sebelum dududk di sebelah mamanya, dengan sopannya dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan dengan wanita anggun tersebut.

Wanita itu terus menyambutnya dengan senyuman. “Siapa ni, Nita?” soalnya. Mata wanita itu tidak berkelip memandang raut wajah Marissa.

“Kenalkan Puan Sri, ni anak perempuan, Marissa Liyana. Kenalkan ni Puan Sri Khaleeda, mak pengantin perempuan yang nak kahwin lusa ni.” Puan Yunita memperkenalkan mereka berdua dengan ramah.

Marissa tersenyum manis. Dia sedikit menunduk, tanda menghormati wanita itu.

“Cantik… macam mama dia,” puji Puan Sri Khaleeda spontan.

Malu-malu Marissa dibuatnya. Namun dalam hati kembang setaman. Dia sudah lali dipuji seperti itu. Wajah pan-Asia miliknya seringkali menjadi perhatian setiap yang mengenali.

“Marissa masih belajar lagi ke?” soal Puan Sri Khaleeda sekadar ingin tahu. Wajah baby face anak gadis itu membuatkan dia tertanya-tanya. Dari raut wajah gadis itu nampak seperti baru berusia belasan tahun, tapi gayanya seperti sudah bekerja.

“Saya sambung master. Sambil-sambil tu kerja bantu apa-apa yang patut kat sini dulu, cari pengalaman,” balasnya.

“Bagusnya!” getus wanita itu kagum. Tidak lepas memandang keayuan wajah milik gadis itu. Wajah campuran Melayu-Jerman ini sungguh indah. Alisnya terbentuk sempurna. Bentuk wajahnya tidak terlalu bujur, tidak terlalu bulat, sedang-sedang sahaja. Kecantikannya makin terserlah dengan kesopanan tingkah laku.

“Marissa tak berminat nak minta kerja kat syarikat besar ke?” soal wanita itu lagi.

Marissa menggeleng. “Tak kot, buat masa ni saya nak fokuskan pada perniagaan keluarga. Yalah, daripada saya curahkan keringat dan buah fikiran saya untuk datangkan keuntungan kepada orang lain, lebih baik saya curahkan semuanya untuk majukan perusahaan keluarga sendiri. Walaupun perniagaan kami taklah sebesar mana, tapi sekurang-kurangnya setiap keuntungan yang terhasil daripada usaha dan titik peluh saya, semuanya memang hak milik keluarga saya sendiri, bukan hak orang lain.” Dia menyatakan pendapat.

Puan Sri Khaleeda mengangguk kecil. “Saya setuju dengan pendapat Marissa. Kata-kata Marissa sebiji macam anak saya. Dulu dia pernah kerja dengan orang luar, kononya nak cari pengalaman. Tapi yalah, macam Marissa cakap tadilah. Kerja dengan orang, untung semua dia dapat. Lepas tu terus dia resign dan kembali kerja dengan papa dia,” ujar Puan Sri Khaleeda sambil tertawa kecil mengenangkan karenah anaknya.

“Yang nak kahwin ni ke?” soal Marissa ramah.

Puan Sri Khaleeda berubah riak. Wajahnya kini tidak seceria tadi. “Taklah! Yang nak kahwin ni anak bongsu saya. Yang tu anak sulung saya, masih bujang lagi. Adik dia dulu yang kahwin. Entahlah…” jawabnya berat.

Melihatkan riak wajah Puan Sri Khaleeda yang agak berubah, Marissa tidak lagi berani untuk bertanya. Bimbang jika tersalah bicara akan menyinggung perasaan pelanggannya. Mungkin ia agak peribadi wanita buat wanita di hadapannya itu. Suasana agak sunyi seketika. Marissa memadang mamanya, mengharapkan mamanya berbuat sesuatu agar suasana tidak kaku seperti ini.

“Errr… Puan Sri, hantarannya dah siap. Puan Sri nak tengok sekarang ke? Atau nanti kami hantar ke rumah petang nanti?” Suara Puan Yunita, sengaja menarik perhatian Puan Sri Khaleeda yang kelihatan muram.

“Oh, ya ke? Kalau macam tu saya nak tengok sekaranglah,” ujarnya sedikit ceria., menghambat perasaan sedihnya tadi.

“Kalau macam tu jomlah kita ke ruang sana,” ajak Puan Yunita sambil mengunjukkan ke ruang di sebelah. Ruang itu direka seperti bilik pameran. Luas dan kosong. Hanya beberapa buah meja panjang sahaja diletakkan di situ. Ruang itu berfungsi sebagai ruang pamer dan juga ruang untuk meletakkan gubahan-gubahan yang sudah siap digubah.

Mereka bertiga terus bangun ke ruang pameran. Di situ terdapat beberapa gubahan yang di taggingmengikut nama pemiliknya. Puan Sri Khaleeda meneliti gubahan miliknya. Dia tersenyum senang. Gubahan itu menepati citarasanya, nampak mewah dan moden.

“Kebanyakannya Marissa yang gubah,” ulas Puan Yunita.

“Ya ke? Tak hairanlah kalau semua gubahan hantaran ni semuanya cantik-cantik. Rupa-rupanya tuan yang gubahnya pun cantik jugak!” puji Puan Sri Khaleeda.

“Mana ada Puan Sri… gubahan saya cantik sebab pemilik semua barangan ni pun cantik,” Marissa membalas pujian itu kembali.

“Ada-ada je Marissa ni! Jadi perasan pulak saya.” Dalam malu-malu, Puan Sri Khaleeda bersuara. Agak kembang juga hidungnya apabila dipuji sedemikian rupa.

“Saya cakap apa yang betul Puan Sri. Memang Puan Sri nampak cantik dan masih muda. Kalau saya tak kenal Puan Sri, mati-mati saya ingat Puan Sri sebaya saya,” ujar Marissa.

Tersenyum-senyum Puan Sri Khaleeda mendengarnya. Suka benar dia dipuji sedemikian.

“Macam mana, Puan Sri puas hati ke?” soal Puan Yunita kemudiannya.

Puan Sri Khaleeda mengangkat ibu jarinya, “Tip top!” ujarnya beria.

Marissa dan Puan Yunita saling berpandangan. Ada senyuman di wajah masing-masing. Berbalas penat lelah mereka berjaga semalaman untuk menyiapkan gubahan-gubahan tersebut.

“Eh, dah lewat ni! Saya kena balik sekarang, ada banyak lagi urusan yang nak diselesaikan kat rumah. Hantaran ni hantarkan kat rumah ya petang nanti,” ujarnya kalut.

“Baik, Puan Sri. Petang ni kami akan hantar. Sambil-sambil tu nak terus pasang khemah, siapkan bilik pengantin dan buat pelamin sekali. Puan Sri jangan risau, tepat pukul lima kami akan sampai,” ujar Puan Yunita meyakinkan pelanggannya.

“Baguslah macam tu. Saya berangkat dululah ya,” Puan Sri Khaleeda meminta diri.

Puan Yunita dan Marissa terus mengiringi wanita itu. Kereta Toyota Estima hitam metalik siap menunggu wanita itu diluar. Mereka berpisah di muka pintu.

Previous: BAB 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh CikSiti Amna Nazia