Home Novel Keluarga Bersatu Dalam Rindu
Bersatu Dalam Rindu
CikSiti Amna Nazia
19/3/2016 00:13:12
6,305
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 14

REYNA gelisah. Hari ini merupakan hari perjumpaan keluarga besarnya. Dia ada sesuatu yang ingin disampaikan. Sesuatu tentang masa depannya. “Mak Limah, mari Reyna bawakan keluar. Sedap bau masakan Mak Limah hari ni.” Dia cuba beramah mesra dengan orang gajinya. Mak Limah merupakan orang gaji yang paling lama bekerja dengan keluarganya.

Mak Limah agak hairan. ‘Kenapa tiba-tiba Cik Reyna baik sangat hari ni? Rajin pulak tu.’ Pelbagai persoalan bermain difikirannya. Malangnya, dia tidak dapat bertanya kerana kekurangan fizikalnya. Mak Limah bisu. Dia bisu sejak mengalami demam panas semasa Puan Sarah melahirkan Reyna.

“Agak-agaknya papa tengah mimpi kot! Kenapa rajin sangat hari ni? Selalunya kamulah orang yang paling malas. Kamu nak kahwin ke yang belajar masuk dapur hari ni?” soal Syed Khairil.

“Memang pun!” Ringkas dan serius kedengaran nada suara Reyna. Dia terus ke meja makan.

Syed Khairil menggeleng. ‘Betul ke tidak anak aku ni. Hisy, pening kepala aku fikirkan budak ni!’

Reyna menyuap makanan perlahan-lahan. Seleranya mati untuk malam ini. Satu persatu wajah ahli keluarganya dipandang. Selagi yang terbuku di dalam hatinya tidak diluahkan, selagi itulah jiwanya resah. Sudu garfu terus diletakkan. Dia mengumpul kekuatan untuk meluahkan isi hatinya.

“Mama, papa, atuk, umi dan babah, Reyna ada benda nak cakap sikit malam ni,” suaranya.

“Cakap apa?” soal Puan Sarah.

Reyna mengambil nafas untuk meneruskan kata-katanya. “Dah lama Reyna fikirkan hal ni. Reyna dah tak sanggup lagi tanggung beban ni lama-lama. Reyna dah fikir masak-masak...” Dia berhenti sejenak. Serba-salah pula dia melihat wajah mamanya.

“Reyna nak putuskan pertunangan Reyna dengan Ariel. Reyna tak nak tanggung biawak hidup sepanjang hidup Reyna. Reyna tak nak ada suami cacat macam dia. Menyusahkan hidup Reyna aje.”

“Apa kamu merepek ni?” tengking Puan Sarah.

Bagaikan bom meledak, suasana yang tadinya harmoni bertukar menjadi panas. Reyna menarik nafas lega. Biarpun dia tahu dia bakal menghadapi kemarahan mamanya, namun itu lebih baik daripada terus memendam perasaan sendiri.

“Reyna rasa Reyna tak perlu ulang apa yang Reyna cakap. Sesiapa pun tak ada hak nak tentukan hidup Reyna! Hidup Reyna adalah hak Reyna! Reyna cuma nak mama pulangkan cincin ni pada Ariel. Lagipun siapa yang beria-ia nak tunangkan Reyna dengan si cacat tak guna tu?”

Terbeliak mata Puan Sarah mendengar kata-kata Reyna. Kalau bukan kerana jarak tempat duduk yang memisahkan mereka berdua ketika ini, sudah lama anak itu ditamparnya.

“Hei, kamu lupa ke siapa yang beria-ia sukakan Ariel dulu? Kamu jugak Reyna. Mentang-mentang Ariel dah cacat, kamu nak buang dia macam tu aje? Sedar sikit siapa yang menyebabkan dia jadi macam tu? Kamu Reyna! Kalau bukan dia nak selamatkan kamu, dia takkan ditimpa kemalangan!” Puan Sarah benar-benar marah saat itu.

Reyna terdiam. Cerita mengenai kemalangan Ariel yang dibangkitkan oleh mamanya sebentar tadi membuatkan dia tidak senang duduk. Peluh mula memercik di dahinya.

“Sudah! Sudah! Diam! Jangan bergaduh lagi. Reyna, cuba bagitahu atuk, kenapa tiba-tiba kamu nak putus tunang dengan Ariel? Kamu dah ada orang lain ke?” soal Tun Syed Hassan tenang.

Reyna menangguk perlahan. “Ya, tuk. Saya dah ada orang lain. Orang tu sempurna fizikalnya. Reyna rasa dia mampu membahagiakan Reyna. Dia sayangkan Reyna dan Reyna pun sayang sangat pada dia,” ujarnya selamba.

Tun Syed Hassan menarik nafas panjang, cuba bertenang dalam menghadapi karenah cucunya kali ini.

“Kamu yakin dia sayangkan kamu bukan sebab kekayaan kamu?” Tun Syed Hassan cuba berdiplomasi.

“Yakin sangat, tuk. Lagipun soal kekayaan tak jadi masalah sebab dia pun orang berada,” balas Reyna.

Sarah bingkas bangun untuk mendapatkan Reyna. Perasaan marahnya tidak dapat dibendung lagi. Mujur Syed Khairil sempat menahannya. Dia meronta-ronta untuk dilepaskan.

“Sarah, duduk. Kita dengan dulu apa yang Reyna nak cakap. Semua ni boleh bawa bincang,” tegur Tun Syed Hassan.

“Kenapa kamu lupa diri macam ni, Reyna? Mama tak pernah ajar kamu jadi manusia yang tak kenang budi macam ni,” luah Puan Sarah, kecewa.

“Mama tak ada hak nak tentukan hidup Reyna!” bentak Reyna. Dia tidak suka apabila hidupnya cuba ditentukan oleh orang lain.

“Terserah pada kamulah! Mama dah bosan dengan perangai kamu! Ingat Reyna! Kamu akan menyesal suatu hari nanti. Kamu akan jilat kembali ludah kamu!” marah Puan Sarah. Dia terus beredar dari situ. Sakit hatinya dengan sikap Reyna.

Syed Khairil mengekori isterinya dari belakang. Bimbang jika ada sesuatu yang buruk berlaku memandangkan isterinya amat marah saat itu.

PUAN SARAH menangis teresak-esak di dalam biliknya. Dia benar-benar kecewa dengan Reyna. Secara jujurnya sebagai seorang ibu, dia menginginkan anaknya mendapat teman hidup yang sempurna dan boleh membahagiakan puteri kesayangannya itu. Kalau boleh, dia ingin Reyna bahagia dan gembira. Namun, hatinya tidak mampu menerima hakikat jika Reyna ingin memutuskan pertunangan dengan Ariel. Dia sayangkan Ariel seperti anaknya sendiri. Dia tidak mahu gara-gara kejadian ini hubungan persahabatannya dengan Datin Farida tercalar.

“Dahlah... jangan nangis lagi. Nanti kita bincang baik-baik dengan Reyna. Mungkin dia ada masalah sampai-sampai dia cakap macam tu tadi,” pujuk Syed Khairil.

“Salah saya ke, bang? Salah saya ke sebab terlalu berkeras dengan dia?” soal Puan Sarah sambil mehanan esak tangis.

“Tak. Awak tak salah. Kadang-kadang kita perlu jugak berkeras dengan dia. Reyna tu manja sangat sampai-sampai dia jadi keras kepala,” luah Syed Khairil yang turut kesal dengan tindakan Reyna.

“Kalau saya tahu akan jadi macam ni, saya tak akan tunangkan dia dengan Ariel. Saya tak akan buat janji dengan Farida.”

Air matanya disapu. Fikirannya benar-benar berserabut. ‘Macam mana aku nak terangkan pada Farida tentang hal ni? Dia tentu kecewa sangat. Reyna nak tinggalkan Ariel sebab ada orang lain. Macam mana janji aku dengan Farida dulu? YA ALLAH tolonglah aku...”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh CikSiti Amna Nazia