Home Cerpen Alternatif Menyanyi Bersama Mentari
Menyanyi Bersama Mentari
CikSiti Amna Nazia
19/3/2016 00:21:46
1,563
Kategori: Cerpen
Genre: Alternatif

Perjalanan jauh yang penuh dengan duri dan ranjau harus aku lalui dengan penuh ketabahan. Biarpun sudah hampir setahun aku bergelar mahasiswa, namun tidak mudah untuk aku memulakan kehidupan yang masih lagi terasa asing dan baru bagiku. Segala pahit manis, suka duka, onak duri, dan perit pedih kulalui sendirian dengan bertemankan hati yang walang, jiwa yang terseksa, batin yang merintih dan perasaan yang terguris. Hanya buku-buku dan nota-nota kuliah sahajalah yang setia menemaniku siang dan malam. Hiburanku pula adalah suara-suara pensyarah yang memberikan kuliah.

Dunia aku kini sudah berubah seratus peratus! Aku merasakan diriku lebih matang. Maklumlah, semuanya keperluan peribadi seperti membasuh baju, mengemas bilik, dan yang paling aku tidak suka, menyeterika baju, harus kulakukan sendiri. Tidak ada lagi istilah ‘cuci tangan’ dalam hidupku kini. Celik mata sahaja, aku harus melakukan semuanya sendiri.

Tiba-tiba rasa rindu kepada emak menggamit kenangan. Aku rindu akan senyumannya, belaiannya dan juga masakannya. Lidah ini rasanya masih terasa keenakkan laksa lemak buatan emak. Hidung ini juga terlalu rindukan bau masak lemak cili padi, asam pedas dan kari ayam air tangan emak. Tekak ini juga terlalu rindukan untuk menikamati nasi panas bertemankan ulam-ulaman segar bersama budu. Kalaulah aku diberikan poket doremon, perkara pertama yang aku inginkan adalah pintu untuk pulang ke rumah. Aku terlalu rindukan emak!

Di saat-saat kerinduan ini menjelma, timbunan buku-buku nota menyemakkan pandanganku. Jujur aku akui, aku bosan di sini. Aku bosan bila berjauhan dengan keluarga tercinta. Biarpun telefon menghubungkan kami, namun rasanya itu tidak memadai. Bunyi ketukan pintu membuatkan aku terkejut. Terbang segala yang bermain di minda buat seketika. Cepat-cepat aku bangun dan membuka pintu. Ketika pintu dibuka, wajah Zarina terjengul dengan cerianya. Dia kelihatannya sudah melawa dengan memakai jeans dan kemeja corak jalur.

“Jom keluar!” Ujar Zarina sebelum sempat aku menjemputnya masuk.

“Buat apa?” Soalku selamba.

“Hari ni kan cuti hujung minggu. Apa salahnya lepak-lepak kejap sambil cuci mata?” Balasnya.

“Maaflah, aku tak dapat nak ikut kau kali ni. Lagipun minggu lepas kita dah keluar kan? Aku rasa aku nak rehat. Aku nak siapkan assingnment yang berlambak.” Aku menolak dengan sopan.

Riak wajah Zarina bertukar masam. Nafasnya dihela berkali-kali. Aku tahu dia kecewa dengan penolakkan aku. Aku juga sebenarnya tidak tergamak untuk menolak ajakan Zarina. Jujur aku akui, aku memang seorang yang kurang bersosial. Aku tidak suka menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Bagiku, masa itu emas. Setiap minit amat berharga. Setiap minit itu harus aku manfaatkan sepenuhnya. Pepatah arab yang berbunyi ‘masa itu umpama pedang, jika anda tidak mencantasnya, ia akan mencantas anda’ sentiasa menjadi prinsip hidupku.

Memanglah kini aku sudah bebas daripada kongkongan orang tua. Tapi aku tidak boleh terleka dalam keseronokan dan kebebasan. Tujuan aku merantau ke negeri orang ini adalah semata-mata untuk menuntut ilmu. Aku ingin menjadi orang yang berjaya supaya aku dapat membanggakan keluarga. Aku tidak mahu kealpaan memusnahkan hidupku.

Hidup berjauhan daripada keluarga membuatkan aku harus kuat dari segi mental dan fizikal. Aku perlu membuat keputusan yang tepat untuk kebaikan diriku sendiri. Aku harus bijak memilih kawan yang dapat membantu aku untuk menjadi baik. Namun bukan bererti aku mengatakan Zarina jahat. Hatinya cukup baik, cuma dia seorang gadis yang suka bersosial. Aku tidak boleh mengikut rentaknya sepanjang masa.

Tapi aku hanya manusia biasa, aku bukan malaikat yang bisa menolak keinginan untuk bersuka-ria dan menikmati keseronokan dunia. Imanku tidaklah sekuat sufi, taqwaku tidaklah sehebat wali ALLAH dan kesabaranku tidaklah seampuh Rasullah. YA ALLAH, tabahkanlah hati aku! Kuatkanlah semangat aku untuk mengharungi hidup sebagai mahisiswa ini.

“Bukan ke lambat lagi tarikh penghantarannya? Aku rasa sempat lagi kalau kau nak keluar jalan-jalan.” Zarina cuba memujukku.

“Kalau boleh, aku nak siapkan cepat. Aku tak nak tangguh-tangguh sebab tak nak kalut di kemudian hari. Lagipun kain baju aku berlambak lagi tak basuh. Lain kalilah.” Balasku tenang untuk menolak pujukannya.

Zarina mengeluh hampa. Anak matanya tepat memandang timbunan kain baju kotor aku di dalam baldi yang belum dibasuh. Seketika kemudian dia memandang ke arahku dengan wajah yang berkerut.

“Banyaknya baju kurung kau pakai dalam seminggu! Tak bosan ke pakai fesyen yang sama? Ain, zaman sekarang ni zaman moden. Baju kurung tu dah lapuklah. Orang-orang moden macam kita ni dah tak perlu pakailah pakaian macam ni. Up-to-date la sikit!”

Aku tersentak. Kata-kata tersebut mengingatkan aku pada kenangan lalu. Cepat-cepat aku beristghfar untuk mengusir kenangan tersebut. Perlahan-lahan aku mengukirkan senyuman. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum melontarkan ayat.

“Aku tahulah sekarang ni zaman moden. Tapi aku rasa tak salah kalau kita masih mempertahankan budaya Melayu dengan berpakaian seperti orang Melayu. Siapa lagi yang nak mempertahankan budaya pemakaian orang Melayu kalau bukan anak muda seperti kita ni? Buat apa kita nak berbangga dengan budaya barat?” Jelasku berdiplomasi.

Zarina ketawa kecil. Aku tetap bersabar. Aku tahu dia agak bersetuju dengan pendapatku. Tapi aku akan tetap mencuba untuk menyedarkan rakanku ini tentang serba sedikit keindahan budaya Melayu yang aku tahu.

“Ain, sekarang ni dunia dah maju. Kalau nak maju, kita kena ikut cara Barat, barulah orang akan pandang tinggi pada kita. Kalau masih lagi berpegang pada budaya Melayu, kita akan ketinggalan jauh Ain. Kita dah tak perlukan budaya lama lagi.” Zarina menyuarakan pendapatnya.

“Aku tahu. Dunia sekarang ni dah maju dan kita patut mencontohi apa yang Barat buat. Bukan aku kata budaya Barat tu tak bagus. Budaya mereka yang rajin bekerja, menghormati orang, bersopan santun, sukakan ilmu pengetahuan memang patut kita ikut untuk menjadi maju. Bagus! Tapi kita kenalah ikut budaya tersebut dengan cara kita sendiri tanpa mengambil semua unsur-unsur yang bertentangan dengan budaya kita sebagai orang Melayu dan syariat kita sebagai orang Islam. Rasanya dunia akan lebih memandang tinggi kepada bangsa kita jika kita mampu maju dalam semua bidang tanpa melupakan budaya Melayu yang kita miliki. Kita bentuk identiti sendiri, bukannya meniru identiti orang lain. Cuba kau fikirkan baik-baik.” Hujahku panjang lebar.

Zarina temenung panjang. Otakku mula ligat memikirkan ayat-ayat yang tepat untuk menyedarkan rakanku ini. Aku rasa adalah menjadi tanggungjawab aku untuk memyedarkannya. Sia-sia aku menjadi anak Melayu yang berpelajaran tapi tidak mampu untuk mengubah persepsi bangsa sendiri yang telah lama hanyut bersama idealogi penjajah.

“Kau tak apalah, bakal cikgu. Memang sesuai kalau nak pakai baju kurung setiap hari. Tapi, aku ni bakal wartawan. Takkanlah sepanjang masa aku nak pakai baju kurung. Lecehlah. Rimaslah!” Ujarnya kurang senang.

“Maksud aku, bukan kena pakai tiap-tiap hari. Terserah kaulah nak pakai masa mana pun. Tak salah nak pakai jeans atau mana-mana pakaian yang kau rasa selesa nak pakai. Tapi yang pentingnya jangan dianggap baju kurung tu ketinggalan zaman. Jangan pula kau fikir orang yang pakai baju kurung ni tak ada wawasan, tak berintelek dan kolot.” Aku mengambil nafas seketika.

“Ina, sepatutnya orang yang berpelajaran macam kita nilah yang memartabatkan kebudayaan Melayu. Sepatutnya kitalah yang menjadi pewaris untuk meneruskan budaya Melayu agar tidak hilang di dunia. Orang yang berintelek macam kitalah yang perlu menjadi contoh teladan kepada orang lain untuk mengamalkan budaya warisan kita. Tambah pula kau ni bakal wartawan. Kau boleh gunakan medium kerja kau untuk sedarkan anak bangsa kita tentang keindahan budaya kita sendiri.” Jelasku dengan tenang.

“Apa istimewanya baju kurung?” Soal Zarina tiba-tiba.

“Kau tahukan baju kurung ni baju tradisional kita? Warisan zaman-berzaman nenek moyang kita. Kau tengok rekaaannya. Longgar dan tidak ketat. Itu bersesuaian dengan suruhan agama kita yang menyuruh wanita menutup aurat dengan sempurna. Kalau di negara Arab, mereka mengenakan jubah sebagai identiti mereka sebagai orang Islam yang menutup aurat. Kita pun sama. Kita ada baju kurung sebagai identiti yang kita ni berbangsa Melayu dan beragama Islam. Tengok pada rekaaannya. Ada satu cangkuk untuk butangkan baju kan? Kau tahu apa maksudnya?”

Zarina menggeleng deras. Raut wajahnya terlukis seribu tanda tanya. Matanya memandangku dengan penuh minat.

“Ini menandakan rekaan baju kurung terselit unsur ketuhanan. Satu cangkuk itu sebagai simbolik ketaatan kita sebagai umat Melayu Islam kepada ALLAH, Tuhan Yang Esa. Kau nak tahu apa sejarah baju kurung?” Soalku sekali untuk memancing minatnya. Zarina mengangguk.

“Dulu, pakaian orang Melayu cuma gaun yang sederhana kerana ketika itu kain sangat mahal dan susah untuk didapati. Kebanyakan orang hanya menutup pakaian di bawah tubuh. Kaum lelaki pula hanya berseluar panjang dan kaum perempuan biasanya hanya berkemban sehingga ke paras dada. Mereka hanya akan dapat pakaian yang lengkap jika sultan menghadiahkan persalinan kepada mereka sekiranya berjasa kepadanya. Namun, ramai pedagang di sekitar Selat Melaka pada zaman kegemilangannya telah mengubah cara mereka berpakaian. Kau tahu kenapa?” Aku menyoal untuk memujudkan interaksi dua hala. Zarina menggeleng lagi.

“Sebabnya pedagang tidak hanya membawa barangan mereka ke Tanah Melayu, malahan fesyen yang pelbagai. Mereka membawa bersama barang-barang dan juga cara berpakaian mereka yang unik kepada orang Melayu. Pelbagai jenis kain mudah didapati pada ketika itu. Ketika inilah pakaian tradisional Melayu mula direka. Awalnya, rekaan baju kurung agak ketat dan ssingkat tapi Tun Hassan telah mengubahsuainya sehinggalah rekaan baju kurung menjadi macam sekarang ni. Untuk keterangan lebih lanjut, kau baca sendirilah buku ‘Sejarah Melayu’ atau ‘Sulalatus Salatin. Semua tentang sejarah Melayu diceritakan di dalamnya. Kau pasti tertarik. Kita anak Melayu, kita perlu tahu sejarah kita.”

Zarina mengeluh kecil. Aku sekadar membiarkannya tanpa bersuara lagi. Biarlah dia mengambil kesempatan untuk berfikir. Semoga dia tersedar daripada ketaksubannya terhadap kebudayaan Barat.

“Kau betul, Ain. Selama ini aku terlalu memuja Barat. Darah yang mengalir dalam tubuh aku adalah darah Melayu.” Zarina menggeleng kesal.

3 TAHUN BERLALU

Aku tersenyum senang menghirup udara pagi yang segar. Setelah berhempas pulas mengharungi gelombang kehidupan di universiti, akhirnya aku kini mampu tersenyum bangga mengenggam segulung ijazah. Satu janjiku kepada emak kini sudah tertunai.

Kini tinggal satu lagi janji untuk ditunaikan, iaitu amanah untuk berkhidmat kepada anak bangsa. Tapi entah bila aku dapat menunaikan amanah tersebut kerana sampai sekarang aku masih belum dipanggil untuk berkhidmat di mana-mana sekolah lagi. Biarpun aku sudah memiliki segulung ijazah kelas pertama dalam bidang pendidikan, namun rezeki untuk bekerja masih belum tiba. Maklumlah, zaman sekarang bukan macam zaman dulu.

Sebulan tanpa khabar berita, aku mengambil keputusan untuk menyambung master. Di samping itu, aku turut membuka kelas tuisyen untuk anak-anak sekolah di kawasan perumahan tempat aku tinggal. Setidak-tidaknya aku dapat mencurahkan ilmu yang aku miliki ini kepada anak bangsaku sendiri. Aku tidak mengambil yuran yang mahal seperti kebanyakan pusat tuiysen yang lain kerana bagiku ilmu adalah untuk dikongsi, bukan untuk dijadikan perniagaan. Alhamdulillah, kelas tuisyen yang aku buka mendapat sambutan yang menggalakkan. Para ibu bapa memberikan kepercayaan yang tinggi kepada aku sehingga membuatkan aku semakin bersemangat untuk mengajar.

Masih aku ingat lagi kata-kata pensyarah di universiti dahulu sebelum aku bergraduat. Katanya, mahasiswa berintelek, penjana wawasan. Pesannya lagi, sekiranya kami semua lambat mendapat kerja, jangan mudah berputus asa atau hilang semangat. Sebaliknya manfaatkan ilmu yang dimiliki untuk orang lain. Insya-ALLAH, segala kebaikan kita akan dibalas oleh Yang Maha Esa.

Bunyi hon kereta dari luar rumah menyedarkan aku dari lamunan. Cepat-cepat aku bangun dari kerusi untuk melihat gerangan tetamu yang datang. Tepat seperti yang dijanjikan, Zarina datang menjemput aku. Aku tersenyum bahagia melihatnya. Dia kini sudah banyak berubah. Penampilannya kini tidak ubah seperti perempuan Melayu terakhir.

Tanpa berlengah-lengah lagi, kami terus berangkat untuk menghadiri seminar kebudayaan Melayu yang diadakan di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu. Hampir 2 jam perjalanan kami daripada negeri Cik Siti Wan Kembang ini, sampailah kami ke negeri Penyu Bertelur ini.

Suasana di dewan besar ini agak meriah dengan kehadiran orang ramai yang tidak mengira bangsa. Yang lebih menarik, beberapa orang pelancong asing juga turut ikut serta dalam seminar ini. Aku dan Zarina terus mengambil tempat duduk dan bersiap-sedia untuk mendengar ceramah yang bakal disampaikan. Bunyi paluan kompang yang mengiringi penceramah masuk amat menarik perhatianku. Ibarat pengantin diarak masuk, begitulah suasana ketika ini. Penceramah jemputan yang dipanggil juga berpakaian persis pendekar Melayu. Aku memerhatikannya dari atas ke bawah. Mataku tiba-tiba terpana!

“TERIMA KASIH kerana menyedarkan saya tentang keindahan budaya Melayu. Tengok! Sekarang ni saya dah jadi lelaki Melayu yang sejati. Betul kata awak, orang yang berpelajaran macam kita inilah yang sepatutnya menjadi model anak Melayu yang berjaya. Terima kasih Ain! Awak dah menghidupkan semula lelaki Melayu yang bernama Ahmad Johan, bukan lagi John.”

“Tak perlu berterima kasih. Semua ni tanggungjawab kita sesama manusia untuk saling mengingatkan. Saya cuma kongsikan sedikit ilmu yang saya ada. Bukan untuk menunjuk alim.” Aku memulangkan paku buah keras tentang apa yang pernah diucapkannya suatu ketika dahulu. Suaraku tinggi rendah menahan perasaan.

“Saya minta maaf, Ain. Saya tahu,terlajak perahu boleh diundur, tapi terlajak kata buruk padahnya. Tapi, saya betul-betul minta maaf.”

Ahmad Johan, lelaki yang pernah menjadi sahabat dan musuhku kini sudah pandai bersopan taktala berbicara. ‘Sedangkan Rasulullah boleh maafkan umatnya, inikan pula kita sesama manusia biasa!’ Hatiku memujuk. Kemarahan dan dendam perlahan-lahan terusir dari hati. Aku mengangguk perlahan. Dia tersenyum senang.

“Ain, saya harap kita dapat bersama-sama berjuang menyebarkan ilmu yang kita miliki untuk membebaskan minda anak Melayu kita yang masih dijajah oleh Barat. Saya akan penuhi semua syarat yang pernah awak bagitahu dulu. Kita akan sama-sama menyanyi bersama mentari.”

Kata-kata yang penuh makna itu menyentak perasaan aku. ‘Ya! Menyanyi bersama mentari, menyebarkan ilmu yang kita miliki selagi matahari masih lagi terbit!”

“AIN, tadi posmen ada hantar surat.”

Suara emak mengejutkan lamunanku tentang peristiwa petang tadi. Cepat-cepat aku berpaling ke arahnya. Emak menghulurkan sepucuk sampul surat berwarna coklat cair kepadaku. Aku segera menyambut dan membukanya. Senyuman mula terukir di wajahku. Tubuh kurus emak terus kupeluk erat.

“Mak, Ain dah dapat panggilan untuk posting! Alhamdulillah!”

‘Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.’
(Surah al-Baqarah: 195)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh CikSiti Amna Nazia