Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
134,182
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

Bab 20

SUDAH tiga hari Nurin Amira tinggal bersama keluarga Safiah. Dia terhutang budi pada Safiah kerana telah menerima kehadirannya dengan baik. Malah, orang tua Safiah sudah menganggap dia sebahagian daripada ahli keluarga mereka.

Dia masih ingat beberapa tahun yang lalu orang tua Safiah pernah berhajat menjalinkan silaturahim dengan keluarganya. Namun, niat suci mereka itu terhalang kerana Safiah memberitahu bahawa Nurin Amira sudah ada insan istimewa.

Mereka sebenarnya berkenan pada Nurin Amira yang memiliki banyak keistimewaan. Nurin Amira seorang gadis yang tabah menghadapi dugaan hidup. Nurin Amira bukan sahaja cantik. Dia juga memiliki akhlak yang mulia sesuai dengan fitrah sebagai seorang perempuan Muslimah. Hatinya suci bersih.

Puan Salmi menggeleng-geleng hairan. Fikirnya, seorang perempuan yang baik untuk lelaki baik juga dan sebaliknya pula. Hatinya menjadi pilu mengenangkan dugaan yang perlu dihadapi gadis itu. Angkara seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab, Nurin Amira menjanda pada usia muda. Namun, dia yakin setiap kejadian yang berlaku itu ada hikmah-Nya.

“Assalamualaikum, umi. Umi masak apa ni? Sedapnya bau!”

Safiah datang memeluk ibunya dari belakang.

“Waalaikumusalam. Peluk-peluk umi. Umi rimas la. Awak tu baru balik kerja. Kot ya pun pi... la mandi dulu. Ini tak,” kata Puan Salmi, pura-pura marah. Safiah terkekek ketawa.

“Ala umi ni. Nak bermanja sikit pun tak boleh.”

Awal pulak Ya balik hari ni? Mana Mira? Umi tak nampak pulak?”

“Ya kerja separuh hari, hari ni. Ya nak temankan Mira pi pejabat agama petang ni. Bercakap tentang Mira ni kan umi, kesian dia, kan? Dah la difitnah, orang tuanya pulak tak terima dia.”

“Itulah. Umi pun hairan. Apasal la orang tuanya tu tak selidik dulu duduk perkara yang sebenar. Main terjah aja. Yang sengsaranya anak depa jugak. Takkan tak faham perangai anak perempuannya macam mana.”

“Umi ni sayang benar dekat Mira tu. Ya jealous, tau.”

Puan Salmi ketawa senang.

“Ya! Ya! Dengan kawan sendiri pun nak jealous. Tu nasib baik tak jadi kakak ipar Ya,” usik Puan Salmi.

“Ala... Ya gurau ajelah. Jadi kakak ipar Ya pun apa salahnya. Ya tengok padan benar dia dengan Abang Saiful. Tapi, dia nak ke jadi menantu umi? Tak merana ke si pengarang jantung hatinya tu?”

“Sekarang ni pun tak menjadi jugak dengan buah hatinya tu. Apa nama dia... lupa pulak umi. Ya la punca umi tak jadi nak merisik dia.”

“Eh... Ya pulak yang salah. Eh! Berborak dengan umi sampai tak ingat apa. Ya dah lewat ni, umi. Ya nak sembahyang dulu.”

Puan Salmi menggeleng-geleng melihat anak gadisnya berlari-lari anak di dalam rumah menuju ke anak tangga. Sempat dia menjerit menyuruh Safiah berhati-hati apabila memanjat anak tangga.

Selesai mengerjakan sembahyang zuhur, sekali lagi Safiah datang ke arah ibunya dan memeluk dari belakang sambil mencium pipi ibunya. Terjerit kecil Puan Salmi dibuatnya.

“Tergesa-gesa nak keluaq ni dah mandi ke belum?”

“Tak sempat, umi. Assalamualaikum, umi. Ya pergi dulu,” ujar Safiah dari muka pintu utama. Namun, masih boleh didengari Puan Salmi yang masih berada di dapur.

‘Balik makan malam kat rumah. Jangan nak buang duit makan kat luaq. Umi dah penat-penat masak ni,” ujar Puan Salmi yang berjalan menuju ke arah anaknya.

Safiah mengangguk faham. Demi seorang sahabat baik, dia rela cuti separuh hari. Tidak sanggup untuk dia melihat kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh seorang teman yang dahulu sering bersusah kerananya. Mereka pasangan sahabat yang serasi. Susah menemui sahabat yang sanggup ketawa dan menangis bersama. Kalau ada pun boleh dikira dengan jari.

************

NURIN AMIRA menarik nafas lega kerana tekadnya telah membawa dia mengadu masalah ke pejabat agama di daerah Sungai Petani. Satu persatu peristiwa sedih yang dilaluinya dalam perkahwinan yang tidak diredainya itu diceritakan kepada pegawai kaunseling.

Ternyata keputusan yang diambil tepat pada masanya. Setelah berbincang dengan pakar kaunseling, tahulah dia wanita juga mempunyai kuasa untuk memutuskan ikatan sesebuah perkahwinan. Malah, kuasa wanita atau isteri lebih besar berbanding kuasa suami.

“Lelaki hanya arif mengenai talak. Tetapi, isteri berkuasa menggunakan khuluk, fasakh, dan taklik. Malah, isteri juga boleh memanipulasikan kuasa talak suami,” jelas pegawai kaunseling kepada Nurin Amira.

Biarpun pada mulanya Nurin Amira keliru dengan penerangan yang diberikan, akhirnya setelah diberitahu akan haknya sebagai isteri, dia mula memahami apa yang dia tidak tahu selama ini.

Seksyen 47 Akta Undang-undang Kekeluargaan Islam Wilayah Persekutuan (peruntukan yang sama bagi negeri-negeri lain di Malaysia, hanya berbeza seksyen sahaja) memperuntukkan bahawa sesebauh perkahwinan hanya boleh dipisahkan apabila ada persetujuan kedua-dua pihak, iaitu suami atau isteri. Bererti apabila seeorang individu itu, sama ada suami atau isteri inginkan perceraian, maka mahkamah menetapkan perceraian tersebut perlu dipersetujui kedua-dua pihak. Sekiranya salah satu pihak tidak bersetuju, perceraian tidak dibenarkan dan kes akan dibawa ke jawatankuasa pendamai.

Melalui jawatankuasa pendamai ini pula, sekiranya masih wujud pergolakan, maka diwujudkan satu pihak yang dinamakan hakam. Di sinilah kuasa talak suami boleh dimanipulasikan. Sekiranya pihak yang memohon perceraian adalah pihak isteri dan suami berkeras enggan menceraikan, sedangkan pihak jawatankuasa pendamai dan hakam berpendapat perceraian kedua-dua mereka wajar, maka hakam akan mengambil alih kuasa cerai daripada suami menepati bahawa isteri juga mempunyai kuasa cerai atau talak.

Begitu juga dengan fasakh, khuluk, dan taklik. Ketiga-tiganya memberikan kuasa kepada isteri untuk mendapatkan jalan keluar daripada perkahwinan yang tidak lagi memberikan kedamaian dan kebahagiaan kepada mereka.

Lantaran itu, wahai Mohd Najib, kamu jangan fikir kamu merasakan hanya kamu mempunyai kuasa menceraikan aku. Siapa sangka wanita lebih besar kuasa talaknya, bisik Nurin Amira pada diri sendiri.

Setelah urusan di pejabat agama selesai, Nurin Amira bergegas pula menuju ke sebuah restoran untuk menjemput Safiah. Dalam diam dia berdoa mudah-mudahan temannya itu tidak memarahinya kerana bersendirian pergi ke pejabat agama. Padahal mereka sudah berjanji malam tadi untuk pergi berdua ke pejabat agama.

Apa yang mampu dia lakukan andai ustazah dari pejabat agama itu sendiri yang menelefonnya dan memaklumkan perjumpaan mereka dipercepatkan kerana beliau mempunyai urusan di luar. Tidak sepatutnya dia menelefon Safiah di pejabat.

Nurin Amira memperlahankan kereta apabila ternampak papan tanda menunjukkan nama Restoran Selera Utara. Dia telah membuat temu janji dengan Safiah di situ. Terus dia menghalakan kenderaan ke arah restoran tersebut.

Keadaan restoran itu agak sibuk kerana orang ramai keluar masuk makan tengah hari. Maklumlah baharu sahaja masuk waktu makan tengah hari. Dia mencapai telefon untuk menghantar SMS kepada Safiah. Dia menanti dengan sabar kehadiran Safiah. Mereka menukar haluan menuju ke restoran yang lebih lengang.

“Tak boleh makan berat-berat, Mira. Umi masak. Kesian kat dia pulak,” ujar Safiah sebelum memesan makanan.

Lantaran itulah Safiah memesan jus oren dan bubur nasi, manakala Nurin Amira pula memesan jus epal dan bubur nasi.

Safiah senang hati melihat wajah sahabat yang amat disayanginya itu diselubungi keceriaan.

“Ada cerita gembira ke? Tak nak berkongsi dengan kita ni?” tanya Safiah yang sedari tadi asyik memerhatikan seraut wajah milik Nurin Amira. Sudah lama benar dia merindui wajah manis itu.

“Aku nak mintak maaf banyak-banyak la kat Ya. Tapi, ini bukan salah aku, tau,” ujar Nurin Amira sambil tersenyum. Berkerut-kerut dahi Safiah mendengar butir bicara Nurin Amira itu.

“Apa ni, Mira? Straight to the point la.”

“Aku dah pun pi pejabat agama tu. Tapi, bukan aku tak sabar-sabar nak ke sana. Ustazah yang mengedalikan kes aku tu telefon minta dipercepatkan temu janji. Dia ada tugas lain kat luaq. Ya tak marah Mira, kan?”

Lama kemudian baharu Safiah mengukir senyuman. “Tak apa. Ya faham.”

Perbualan mereka terhenti kerana memberi laluan kepada pelayan restoran menghantar hidangan yang dipesan tadi.

Mereka berbual-bual mesra sambil menikmati hidangan yang dipesan. Sesekali Nurin Amira mengerling pengunjung yang masuk ke dalam restoran. Ke mana-mana pun dia pergi pasti ada yang memerhatikannya. Akan tetapi dia tidak cepat melatah. Segera dia menghadiahkan senyuman. Begitu juga dengan Safiah. Murah dengan senyuman.

“Aku terpaksa cancel temu duga dengan syarikat insurans petang ni. Tak sempat nak pergi ke sana. Kenalah aku sambung cuti lagi,” kata Nurin Amira memecah kesepian.

“Betul ke hang nak berhenti ni? Dah fikir masak-masak?” Safiah belum cukup yakin pada keputusan Nurin Amira itu. Dia tidak bermaksud menghalang hasrat Nurin Amira itu. Cuma, dia merasakan keputusan Nurin Amira berhenti kerja dalam keadaan tergesa-gesa.

“Aku mungkin tak berhenti. Aku nak tengok dulu gaji yang ditetapkan oleh syarikat insurans itu. Kalau lumayan, aku berhenti. Kalau tak, kita jadi agen insurans ajelah. Tambah pendapatan. Boleh kan, Ya?”

Nurin Amira merengek manja. Safiah tertawa. Terhibur dengan telatah Nurin Amira itu.

“Hai, cukup ke kaki tangan tu nak buat dua kerja? Macam mana pulak minat hang pada jahitan dan sulaman tu? Umi Ya dah beli kain, tau. Nak buat baju kurung untuk raya nanti.”

Nurin tertawa mendengar komen temannya itu. Memang tidak dinafikan apabila hampir menjelang musim perayaan, ramai orang yang mengenalinya akan menempah baju dengannya sehingga kadang-kadang dia tidak cukup waktu untuk menyiapkan kesemua baju yang diminta. Belajar daripada pengalaman lalu, dia cuma menghadkan beberapa pasang baju yang mampu disiapkan sebulan sebelum raya. Bermakna sepanjang bulan Ramadan, dia boleh berehat daripada menerima tempahan baju daripada teman-temannya. Ada juga sedikit wang tambahan buatnya menyimpan untuk hari depan. Tambahan pula buat masa sekarang dia perlu lebihan wang untuk membayar rumah, kereta. yuran pinjaman pengajian, dan sedikit wang simpanan untuk renovate rumah baharunya nanti.

*************

SELESAI makan malam, Nurin Amira dan Safiah bersantai di dalam bilik. Nurin Amira lebih gemar menyulam, menjahit atau mengait alas meja. Jadi, sebelum tidur, dia akan pastikan bahan-bahan yang diperlukan tersedia di depan mata. Selama ini baju-baju kurung dan kebaya akan dijahit sendiri tanpa menempah dengan orang lain. Semenjak di sekolah menengah lagi dia mempraktikkan kemahiran yang dia ada itu. Ramai temannya yang tidak tahu dia berkongsi minat dengan ibunya, Puan Asiah.

Selesai solat isyak, Safiah meneliti hasil kerja tangan Nurin Amira. Cantik memukau pandangan matanya.

“Dah solat?” soal Safiah.

“Mira uzur,” jawab Nurin Amira sambil tersenyum.

“Aku cemburu tengok hang pandai buat benda ni.”

“Kalau hang nak belajaq, aku boleh ajaq hang. Bukan susah mana pun. Dulu pun aku tengok mak aku buat aku jadi pandai. Serba-serbi dia tau buat. Kawan jealous, tau.”

“Hang mewarisi bakat dan kemahiran mak hang. Dalam keluarga aku tak dak yang berbakat.” Safiah merendah diri.

“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Nak buat sesuatu tu bukan sekadar minat dan bakat, kesungguhan serta keinginan jugak perlu ada. Kalau tak, apa yang kita nak buat tak menjadi. Betui tak pendapat aku ni?”

“Pendapat hang memang selalu bernas. Sebab tulah aku suka kawan dengan hang.”

“Alah... nak bodek akulah tu.”

“Eh, mana ada. Ikhlas demi Allah.”

“Aku tak main-main. Aku serius, tau. Kerja-kerja seni ni boleh buat duit. Kita boleh cari customer di internet.”

“Cayalah.”

Dalam pada itu Nurin Amira berasa hairan. Safiah bukan tidak cantik. Malah, lebih menarik daripada dirinya. Kulitnya putih gebu, bertubuh sederhana, dan ada budi bahasa. Pendek kata, temannya itu mempunyai pakej yang menarik. Terbetik di hati Nurin Amira untuk bertanya perihal teman lelakinya.

“Ya... Kalau aku tanya sesuatu kau jangan marah, ye?”

“Apa dia? Tanyalah.”

Nurin Amira masih memikir, menyusun kata-kata yang sesuai.

“Ada apa, Mira? Aku ada buat salah ke?”

“Mana ada. Ke situ pulak.”

“Habis tu apa?”

“Selama ni aku sangsi jugak. Kau cantik. Punya pakej menarik. Tak pernah pulak kau cerita tentang steady boyfriend kau. Atau kau sengaja tak nak beritahu aku?”

“Kau tak pernah tanya, buat apa aku cerita.”

Nurin Amira menarik muka masam.

“Tak nak cerita tak apalah. Aku tak memaksa pun.”

Melihat perubahan air muka Nurin Amira itu, Safiah ketawa geli hati.

“Aku bukan tak nak cerita. Kalau cerita gembira tak apa jugak. Tapi, ini cerita sedih. Aku tak nak bebankan kau, Mira.”

“Kita kan kawan. Berkongsi cerita sedih dan gembira tu kan dah jadi adat kita. Macam la kau tak faham aku macam mana,” jawab Nurin Amira lembut. Namun, penuh makna.

“Itu la. Kita ni punya same problem. Di pihak aku, tunang aku couple dengan orang lain. Sedangkan masa tu kami dah sepakat nak langsungkan perkahwinan sebaik saja aku tamat belajar. Mungkin dah bukan jodoh aku agaknya. Suatu hari tu aku terserempak Ikmal dengan perempuan lain. Bukan main mesra lagi mereka. Bila aku tanya dia, dia berdalih. Sakitnya hati tak usah cakaplah. Tuhan saja yang tahu.” akhirnya Safiah sudi bercerita tentang impiannya yang tidak kesampaian.

“Lepas tu apa jadi?”

“Aku beritahu umi, nak putuskan pertunangan. Umi dengan abah terkejut la. Bila aku ceritakan semuanya, orang tua aku buat keputusan jumpa Ikmal sekeluarga. Lepas tu barulah aku tahu, Ikmal sayangkan aku. Dalam masa yang sama, jatuh hati pada perempuan lain.”

Bicara Safiah terhenti di situ. Dia cuba mengawal perasaan. Tidak mahu menitiskan ia mata lagi. Nurin Amira menepuk belakangnya perlahan.

Family dia suruh dia buat keputusan segera. Sama ada pilih aku atau perempuan tu. Tapi, awal-awal lagi aku tolak. Aku yakin dengan keputusan aku. Ikmal hanya secocok bergandingan dengan Norlaila. Sekarang aku rasa bebas. Lebih baik sendiri. Aku tak bersedia lagi nak berkerluarga. Walaupun peristiwa tu dah lima tahun berlalu, masih lagi segar di ingatan.”

“Maafkan aku ,Ya kerana bangkitkan masalah ni.”

“Tak apa, Mira. Peristiwa tu dah jadi sejarah pun.”

Buat seketika sepi hadir di antara mereka. Nurin Amira kembali asyik dengan kerjanya. Safiah pula sedang menyusun kata supaya tidak mengguris temannya itu.

“Mira... dalam beberapa hari ni, aku perasan Wan asyik memandang ke arah tempat duduk hang. Ada sekali tu dia tanya khabar hang. Apasal tak datang kerja. Aku cakaplah hang bercuti.”

Nurin Amira berhenti menyulam. Dia memandang wajah Safiah. Ada garis pilu di wajahnya.

“Zakuan cerita lama aku. Dengan status aku ini, tak mungkin aku boleh bersama dengannya lagi. Aku harap Wan dapat membina hidup bahagia dengan gadis yang baik suatu hari nanti.” Ada air yang bergenang di kelopak matanya.

“Betapa pun hang menyembunyikan perasaan, hang tak boleh menipu diri sendiri. Aku tau, Mira.” Nurin Amira meraih tubuh Safiah. Dia memeluk erat temannya itu.

“Memang benar aku masih sayangkan dia, Ya. Tapi, aku tak mau dia mengharap aku lagi. Hidup aku tak akan lama lagi. Percayalah. Akan ada insan yang lebih baik untuk dia nanti.”

“Mira! Tolong la jangan diungkitkan lagi perkara yang tidak pasti. Hang kena tabah hadapi dugaan ini. Aku tak nak kehilangan hang.”

Safiah melepaskan pelukan Nurin Amira. Sendu berada di mana-mana.

“Tapi, kematian itu pasti.”

“Aku tau, Mira.”

“Berjanjilah denganku hang akan merahsiakan kisah pahitku ini.”

Giliran Safiah pula meraih tubuh Nurin Amira ke dalam pelukannya.

“Aku janji, Mira.”

Ah, Safiah. Hang seorang pendengar yang baik. Seorang sahabat yang paling memahami. Tak akan ada lagi sahabat sebaik hang di dunia ini.

Hanya Safiah sahaja yang tahu tentang penyakit yang dideritai Nurin Amira itu. Atas permintaan Nurin Amira sendiri, penyakitnya itu dirahsiakan. Mereka berkongsi kesedihan di dalam bilik yang sederhana besar itu. Pilu hati Safiah mengenangkan penderitaan yang bukan sedikit yang terpaksa ditanggung oleh Nurin Amira. Bukan sedikit penderitaan yang dilalui sahabatnya itu.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.