Home Novel Cinta Unforgettable Love
Unforgettable Love
Mastura Abdullah
19/6/2020 15:23:20
38,337
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

BANGUN sahaja daripada tidur, botol ubat di tepi katil dicapai terlebih dahulu. Hampir tiga tahun dia menelan kapsul berwarna kuning cair itu tanpa sehari pun meninggalkannya. Semuanya dilakukan demi mengawal tekanan perasaan yang mengganggunya saban masa.

Kehidupan bebas yang dinikmatinya selama ini terkurung di dalam sebuah banglo besar selepas keluarganya disahkan terbunuh dalam sebuah kemalangan helikopter. Tiga orang adik dan kedua ibu bapanya meninggal di dalam nahas itu. Ketika kejadian berlaku, dia baru selesai mengambil peperiksaan akhir di University College London.

Perjalanan ahli keluarga ke sebuah destinasi percutian di Bali, Indonesia telah dimaklumkan kepadanya dua hari sebelum kejadian.Malah,dia berjanji untuk menyertai mereka di Bali selepas peperiksaan akhir tamat.

Bahkan,dia menerima panggilan terakhir daripada adik bongsu yang sangat teruja dengan percutian itu. Masih terngiang-ngiang tawa riang mereka yang menyatakan rindu dan tidak sabar mahu berjumpa. Hingga detik ini suara itu menemani hari-harinya.

Sebagai abang sulung, dia sungguh terkilan kerana tidak berada bersama mereka ketika detik-detik akhir hayat mereka. Jika dia bersama, tentu seluruh jiwa dan raga akan dikorbankan buat mereka. Hakikatnya, dia jatuh pengsan ketika sesi pengecaman mayat berlangsung. Cebisan tulang berwarna hitam dan ketulan daging hangus menjadi igauan ngeri saban malam.

Disebabkan mimpi ngeri itu, dia terpaksa mendapatkan rawatan doktor. Akhirnya, dia disahkan menghidap Chronic Depression atau Dysthymia dan sehingga kini masih belum sembuh daripada penyakit yang cukup sinonim dengan kesihatan mental itu.

Kalau diikutkan, Doktor Nurul Najwa tidak lagi membenarkan pengambilan Doxepin tetapi Hud tidak mampu berjauhan dengan ubat itu. Lebih-lebih lagi selepas dia mendapat tahu cerita sebenar di sebalik tragedi yang menimpa keluarganya. Ia bukanlah kemalangan udara biasa, sebaliknya telah dirancang oleh seseorang yang sangat mencemburui kemasyhuran dan kekayaan yang dimiliki keluarganya.

 Ia membuatkan dirinya lemah, gagal berfikir dengan baik setiap kali teringatkan tragedi itu. Lebih memburukkan keadaan, diayang masih belum cukup ilmu terpaksa menguruskan aset keluarga. Doxepin inilah yang membantunya menguruskan syarikat pembuatan jongkong emas yang diusahakan oleh papa semenjak 30 tahun lalu. Tanpa Doxepin, Hud tidak mampu turun dari katil sekalipun.

Ketukan pintu menghentikan lamunannya. Kapsul di tapak tangan segera ditolak ke dalam mulut. Botol ubat dimasukkan dengan pantas ke dalam laci paling atas sebelum dia turun dari katil.

“Hud! Hud dah bangun?” Soalan rutin Hajah Ramlah kedengaran berselang-seli dengan ketukandi pintu.

Pembantu rumah ini sangat setia dengan keluarganya walaupun hanya dia yang tinggal dirumah besar itu. Pernah Hud memberi pilihan kepadanya jika dia mahu meninggalkan kerja di rumah itu, namun Hajah Ramlah masih mahu berkhidmat sehingga Hud benar-benar sihat.

“Huddd...”Suara Hajah Ramlah memanggilnya lagi.

“Ya, saya dah bangun,” jawab Hud, lantas melangkah ke dalam bilik air.

Mata kemerahan, jambang yang menutupi sebahagian wajah serta rambut panjang melebihi paras bahu merupakan penampilan yang disenanginya sejak akhir-akhir ini. Lama dia merenung wajah sendiri di hadapan cermin sebesar dirinya itu. Dia sedar,penampilan itulah yang menjauhkan dirinya daripada masyarakat. Baik staf bawahan tidak mesra menyapanya, begitu juga dirinya yang lebih selesa bersendirian.

Setelah siap membersihkan diri, dia menyarung jean lusuh dan kemeja putih untuk kepejabat. Itu saja warna pilihannya setiap hari. Bagi Hud, hidupnya tiada warna jadi mengapa dia hendak berhias dengan aneka warna pula? Dia tidak peduli dengan kata-kata orang sekeliling tentang dirinya yang tidak ada cita rasa. Baginya, dia bernafas hingga ke detik ini bukan disebabkan kata-kata mereka, tetapi kerana misi yang belum dilunaskan.

 Jam menunjukkan angka 7.30 pagi sebelum kunci kereta diambil. Sekeping roti dan segelas air suam dijamahnya sebelum keluar mencari Hajah Ramlah di halaman rumah. Melihat wajah yang kian dimamah usia,terjentik juga perasaannya.

“Saya pergi dulu,” ujar Hud.Tak sangkapula tegurannya pagi ini menyebabkan Hajah Ramlah melatah.

Air dari saluran paip dihalakan ke arah Hud tanpa sengaja. Hud terkejut, begitu jugaHajah Ramlah. Istighfar dan ucapan maaf berselang-seli keluar daripada mulutnya.

“Tak apa,tak apa. Saya pergi dulu,” balas Hud, lantas melangkah ke arah keretanya.

Dia malas hendak masuk semula ke dalam rumah yang terlalu besar itu semata-mata hendak menyalin baju. Dia membuat keputusan yang paling mudah, tanggalkan saja kemejadan sangkut di bangku sebelah sementara dia memandu dengan bersinglet putih kerana yakin kemejanya akan kering sebaik saja tiba dipejabat.

Telahannya tepat. Sebelum tiba di pejabat, dia dapat menyarung semula kemeja itu. Dek perbuatan menyarung kemeja itu dilakukan sambil memandu, dia menerima pandangan serong daripada orang sekelilingnya.

“Kau kenapa? Buang tabiat?” sapa Zain, tidak pernah mesra menyapanya setiap pagi.

“Kalau aku buang tabiat, kenapa kau yang naik angin?”

“Tentulah aku yang naik angin. Jadi kawan umpama jadi tunggul, tak boleh tegur kawana.k.a bos sendiri. Dahlah masuk ofis pakai jeans... jambang bersepah, rambut panjang macam puntianak,”kutuk Zain sesuka hati.

Begitulah rutin pagi mereka setiap hari, pasti dimulakan dengan perkelahian. Adakalakecil, adakalanya besar sampai ke petang mereka berdua tak bertegur sapa kecuali hal-hal pentadbiran syarikat. Hal itu tidak pernah termasuk dalam agenda perbalahan mereka berdua.

“Apa masalah kau? Kau nak handsome, bergaya... lantak kaulah. Aku yang bersepah nijugak menyakitkan mata kau.”

“Aku nasihat sebab sayang kau,” bidas Zain.

“Cittt!”marah Hud.

 “Kau tak teringin nak cari pasangan hidup?Ubah hidup kau yang tak ubah macam harimau dalam sangkar?” soal Zain, mengulang soalan cari pasal yang sama saban waktu.

Padahal jawapannya sudah dihafal. Anehnya kali ini Hud memilih untuk menutup mulut,tidak mahu lagi mengulas hal itu. Sedar yang Hud tidak memberi respons, Zain memilih untuk keluar dari bilik bosnya dengan dua pesanan.

Next time, sebelum masuk ofis pastikan kemeja tu butang sampai habis. Dah gaya samseng nak belasah orang,” tegur Zain sambil menarik daun pintu.

PandanganHud jatuh ke arah butang kemejanya.

Shit!” makinya sambil menggeleng. Terdengar suara Zain ketawa.

“Pukul 2.00 ikut aku ke hospital,” pesan Zain lagi.

Seperti biasa, wajah itu menunjukkan tanda kurang senang. Tak bersetuju dengan saranan Zain.

 

 

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.