Home Novel Cinta Unforgettable Love
Unforgettable Love
Mastura Abdullah
19/6/2020 15:23:20
38,445
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

“ARGH!!!” Hud melepaskan jeritan apabila bahagian rusuk yang sakit itu dituam oleh Zain.

“Menjerit macam baby nak susu. Dah tahu lembik, saja nak cari pasal, usik Zain sengaja menekan bahagian yang sakit.

“Kau kalau nak sakitkan hati aku, baik kau balik rumah kau, Zain!” marah Hud.Padanya, Zain bergurau tidak kena masa dan tempat.

“Kena sikit pun kau dah terjerit-jerit. Aku nak tanya kau satu soalan, Hud.” Zaincuba mengumpan biarpun dia tahu reaksi yang bakal diluahkan oleh sahabatnya itu.

“Emm...”

“Tiket maut yang kau dah tempah ni taraf VIP ke? Dah cukup ilmu dan bekalan untuk berdepan dengan dia orang?” soal Zain lagi.

“Apa kau merepek ni?”

“Dua orang amatur pun kau tak boleh nak uruskan, inikan pulak hasrat nak balas dendam. Sorry to say, Hud! Kau belum cukup kuat untuk berdepan dengan pesalah kau,” ulas Zain sebelum menyudahkan tugasan itu. 

Entah keserasian apa yang mengikat persahabatan mereka berdua. Tetap utuh sekalipun gempa melanda emosi kedua-duanya saban masa. Apa saja yang berlaku ke atas Hud,isyaratnya seperti sampai kepada Zain.

Tadi dia sengaja singgah di rumah Hud tanpa memberitahu kedatangannya terlebih dahulu.Lama juga dia menunggu di luar pagar menanti kepulangan Hud.

Sebaik tiba, Hud berjalan keluar dari kereta dalam keadaan separuh stabil. Tahulah diaada sesuatu yang berlaku sebelum itu. Bila dikorek-korek, Hud mengaku yang dia bergelut dengan dua orang lelaki tanpa menyatakan sebab dan lokasi pergelutan itu berlaku.

“Kauperlukan teman hidup, Hud! Percayalah cakap aku. Hidup kau kosong dan sepi kalau kau tutup pintu hati untuk berkenalan dengan cinta.”

“Citt!”dengus Hud, tidak dapat menerima nasihat itu.

Padanya,Zain lebih layak menasihati diri sendiri yang masih solo daripada sibuk dengan urusan tepi seluarnya. Sekurang-kurangnya dia punya alasan mengapa tidak mendekati cinta. Zain, apa alasannya untuk tidak mencari pasangan hidup?

“Takperlu nasihat aku kalau kau pun dua kali lima.”

“Aku bukan tak mahu, cuma belum jumpa yang berkenan di hati aje.”

“Apalagi... mulakanlah misi pencarian calon isteri kau. Ni janji aku. Kalau kau naik pelamin hujung tahun ni, aku hadiahkan rumah sebuah,” cabar Hud.

Zain ketawa sebelum meminta diri untuk pulang.

“Kau ingat cari bini macam cari petai buat ulam. Luar nampak cantik, dalam belum tentu,” ulas Zain, meninggalkan Hud tanpa ucap selamat tinggal.

Begitulah hubungan akrab kedua-duanya. Datang tidak pernah diundang, pergi tidak pernah disuruh. Baik Hud atau Zain, kedua-duanya menggunakan idea yang sama.

Hud masih terlentang di atas sofa. Sebelah tangan bersilang di dahi sambil mengenang nasib diri dan kata-kata sahabatnya. Begitulah kehidupannya saban malam. Asyik merenung nasib diri yang tinggal sebatang kara.Hidup yang dikelilingi gelak tawa adik-beradik dan ibu bapa, namun ia direntap begitu sahaja daripada hidupnya.

Tak sempat dia hendak membalas jasa kedua orang tuanya, mereka telah pergi. Sunyi.Hud rasa kesunyian yang dimaksudkan oleh Zain. Setiap hari, setiap saat dia bersendirian. Tiada teman berbual, tiada pendamping. Yang ada hanya dinding-dinding kosong serta cebisan kenangan bersama insan tersayang.

“Kenapa aku perlukan seorang pendamping hidup, sedangkan diri sendiri pun aku tak bolehnak uruskan?”

Bukan dia tidak tahu kebaikan hidup berpasangan, dia tahu malah sering melihatnya didepan mata. Namun, siapa yang lebih memahami trauma yang menghantui dirinya melainkan diri sendiri?

Kehilangan sekelip mata. Trauma itu tidak pernah melepaskannya satu hari pun. Bagaimana Hud berusaha melepaskan dirinya, tetap ia mengekori bak bayang-bayang.

“Pergilah,pergi! Biarkan aku tidur lena malam ni,” ujar Hud berusaha melelapkan mata.

Segalanya gelap. Sunyi. Yang kedengaran hanya suara ketawa seorang adik perempuan yang baru berusia enam belas tahun.

“RinduAbang Hud!” luahnya dek lama tidak berjumpa.

“Cepatlah balik, Abang Hud! Tak sabar nak makan ramai-ramai.” Suara seorang lagi adik perempuannya kedengaran sayup-sayup di telinganya. Namanya Sarah.Sarah adik yang manja sekalipun bukan anak bongsu dalam keluarga.

“Abang Hud, mama kata nak masak lemak gulai nangka. Suapan pertama nanti bukan untukAbang Hud tau!” Terdengar pula suara adik paling bongsu, baru menyambut hari lahir yang ke-14 hari itu. Mereka sempat menyanyikan lagu Selamat Hari Lahir buat puteri bongsu kesayangan Hud sebelum segala-galanya hilang.

Hud membuka mata. Terasa air jernih mengalir di pipi.

“Kenapa aku masih belum dapat membebaskan semua kenangan ini?” tanya Hud kepada dirinya sendiri.

Dia membalikkan tubuh menghadap pintu utama, namun telinganya menangkap derap kaki seseorang di luar. Keningnya berkerut, seluruh pendengaran ditumpukan pada apa saja bunyi yang kedengaran. Saat ini, dia hanya terfikir jika musuh berada diluar rumah dan cuba melakukan perbuatan khianat ke atasnya.

“Urusan mati belum selesai nampaknya.”

“Selagi aku ada, selagi itu mereka berusaha memusnahkan,” fikir Hud lantas mencari akal untuk berdepan situasi itu. Takkan semudah itu dia nak menyerah kalah?

Saat itu juga, dia nampak bayang seseorang seperti berdiri di depan pintu utama rumah yang tidak berkunci.
Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.