Home Novel Cinta SOULMATE TUAN PROFESOR
SOULMATE TUAN PROFESOR
Batiah Hadi
29/10/2017 00:00:20
201,331
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

Izzah lena diulit mimpi. Bermimpi macam-macam sehinggalah dia terjaga dan merasa haus tiba-tiba. Izzah duduk dari baringnya lantas mengikat rambut melepasi bahunya menjadi sanggul tinggi. Izzah memandang sekeliling. Cuba mengingat dia di mana. Terasa agak asing seketika kerana dia masih mamai. Dia mula teringat yang rumah itu rumah Prof Izmir. Dan dia datang ke situ untuk siapkan kerja malam tadi. Dan sekarang dia terasa begitu haus sekali. Mungkin sebelum tidur tadi dia tidak minum segelas air seperti yang dia selalu lakukan di rumah. Izzah bangkit dari katil lantas berjalan ke arah pintu. Izzah membuka pintu bilik tamu itu. Kepalanya menjenguk keluar melihat sekeliling sebelum keluar dari bilik tamu itu.

Suasana rumah dua tingkat itu senyap sunyi. Penghuninya semuanya berada di alam mimpi. Jarak bilik tamu dan dapur itu dekat sahaja. Dan bila Izzah keluar dari bilik itu dia boleh nampak laluan ke dapur yang diterangi oleh cahaya lampu jalan yang masuk menerusi celah-celah langsir tingkap. Izzah berjalan ke dapur, mengambil satu gelas di para dan terus mencari peti ais. Gelas di letakkan di kaunter dapur. Izzah membuka peti ais dan termenung sebentar di situ sambil bercekak pinggang. Nak minum apa ye? Soalnya sendiri. Mata Izzah meneroka ke dalam peti ais.

Selain dari air kosong, ada beberapa botol jus epal dan minuman yogurt bermacam jenis juga berada di situ. Air yogurt?. Kecur air liurnya. Izzah menjilat bibir. Macam sedap pula kelihatan minuman-minuman yogurt tersebut di mata Izzah.  Ada perasa mangga, strawberry dan mix fruit. Izzah tiba-tiba teringat. Tadi, Puan Nora suruh dia buat seperti rumah sendiri. Kalau Puan Nora memang maksudkan begitu sudah tentu kalau dia ambil sikit air yogurt itu tidak akan menjadi masalah. Izzah pun mencapai sebotol minuman yogurt perasa mangga yang menggoda itu. Dia pun duduk di bangku kaunter dan membuka penutup minuman yogurt tersebut. Dia menuang ke dalam gelas tadi sepenuh yang boleh. Selepas itu meneguk air tersebut dengan penuh nikmat.

“Ahhh…sedapnya,” luah Izzah puas setelah menghabiskan segelas. Dia pun mencapai botol yogurt itu lagi dan menuang lagi isinya ke dalam gelas. Seperti tadi, sekejap sahaja Izzah menghabiskannya. Izzah mencapai botol minuman yogurt itu lagi. Kenapa ringan pulak botolnya? Izzah meneliti seketika.  Alamak, dah habis! Izzah bangun. Dia teringat ada perasa lain selain mangga dalam peti ais itu. Tapi, logik akalnya menghalang dia untuk ke peti ais lagi dan mengambilnya. Izzah, kau baru sahaja habiskan sebotol air yogurt. Tak kan kau nak habiskan semua? Kalau ya pun boleh buat macam rumah sendiri tapi tak kan kau nak habiskan sebotol lagi? Malulah sikit. Betul juga, desis hati Izzah. Melampau dah tu, bisik Izzah lagi sambil tersengeh-sengeh seorang diri.

Tiba-tiba Izzah rasa mengantuk kembali. Spontan Izzah mengeliat dan meregangkan tubuhnya yang langsing. Selepas puas mengeliat ke kiri ke kanan,  Izzah pun bangun ingin membuang botol tersebut ke dalam tong sampah.  Kemudian Izzah mencapai gelasnya untuk dibasuh di singki. Dah habiskan sebotol yogurt kenalah basuh gelas, bisik Izzah sendiri sambil tergelak sendiri. Setelah membasuh gelas Izzah meletak gelas tersebut di para dan berpaling untuk keluar dari dapur tersebut. Sambil itu Izzah tersangap-sangap. Dia mahu kembali segera ke bilik dan tidur. Mengantuk sungguh dia rasakan. Namun baru beberapa langkah, langkahnya mati dan kantuknya hilang serta-merta.  Matanya menangkap kelibat hitam di dinding setentang dengannya. Dalam cahaya samar kelibat itu nampak sangat besar dan tinggi. Izzah menutup mulut dengan belakang tangannya. Izzah terkaku seperti kakinya dipaku. Mata Izzah makin bulat bila kelibat itu menghampirinya perlahan-lahan. Ya Allah, hantukah ini? Dia mula teringat cerita neneknya tentang hantu galah yang tinggi dan juga semua hantu-hantu yang pernah diceritakan dengan fizikal hitam dan besar. Teringat dia siang tadi. Rumah Prof itu rumah lama. Entah-entah ada hantu di rumah itu.

Izzah makin panik apabila kelibat itu kian menghampirinya. Izzah kering air liur. Mulutnya ternganga dengan matanya terbeliak takut. Tambah ketakutan bila dia terlihat siapa orang itu dengan mata terjegil padanya. Oh tidak!

“Prof?” hanya itu sahaja terkeluar lemah dari bibir Izzah. Tubuh Izzah terus melorot jatuh sebelum lelaki itu pantas mencempung Izzah. Izmir yang terkejut terus memegang tubuh gadis itu dalam rangkulannya. “Hei!” jeritnya. Matanya tunak pada wajah itu. Dalam cahaya samar dari luar tingkap dapur matanya meneroka wajah polos gadis itu. Hidung yang mancung comel terletak dan bibir penuh separuh terbuka dengan matanya yang tertutup ditabiri bulu mata yang panjang dan lentik. Matanya lekat seperti tersihir pada wajah itu. Izmir baru sahaja cuba menyapu rambut yang menutup dahi gadis itu bila tiba-tiba dapur itu terang benderang. Izmir tersentak.

“Izmir!!!” suara nyaring Puan Nora kedengaran. Izmir berpaling. Wajah Puan Nora jelas terkejut. Mata Puan Nora jatuh pada tubuh yang berada dalam rangkulan Izmir.

“Apa kamu dah buat???” marah Puan Nora. Izmir menoleh pada tubuh dalam rangkulannya itu. Dalam cahaya terang, wajah tadi makin jelas di matanya. Sangat jelas padanya yang gadis itu sedang pengsan dan tidak sedarkan diri. Nampak jelas rambutnya yang berwarna perang dan wajah kacukannya. Buat seketika matanya masih tak lepas memandang. Hati lelakinya terusik melihat kejelitaan gadis di hadapannya yang sesungguhnya sangat familiar. Seolah-olah dia pernah melihat gadis itu dengan penampilan seperti itu tanpa hijabnya. Tapi mustahil pula dia rasakan. Tak mungkin mereka pernah berjumpa.

“Izmir, apa kamu dah buat ni? Allahu akbar. Apa dah jadi,” suara nyaring Puan Nora menerjah suasana sepi pagi itu. 

“Iz, tak buat apa-apa. Dia yang tiba-tiba pengsan. Iz nak ke dapur dan nampak dia. Dia yang tiba-tiba terkejut dan jatuh pengsan,” ujar Izmir membela diri.

“Betul ke? Kamu saja ambik kesempatan kan? Izmir, ibu tak ajar kamu buat macam ni. Baringkan dia di sofa tu,” marah Puan Nora. Izmir akur lantas mengangkat Izzah dan membaringkannya di atas sofa yang memang diletakkan di satu sudut dapur kering itu.

“Ambil kesempatan? Iz bukan jenis macam tu ibu. Tak kan ibu tak percaya?” marah Izmir. Dia merenung gadis yang terbaring di sofa itu. Kelihatan masih pengsan. Entah betul entah tidak. Entah-entah gadis itu berlakon sahaja untuk memerangkapnya. Dia pun satu. Patut dia jerkah sahaja gadis itu tatkala gadis itu mengeliat. Tapi matanya degil masih juga mahu membiarkan gadis itu mengeliatkan badannya yang langsing itu. Izmir meraup wajahnya. Dia rasa sungguh geram pada Izzah dan dirinya juga. Ikut hatinya mahu sahaja dia goncang tubuh gadis itu supaya segera sedar. Tapi sudah pasti ibunya akan menghalang. Izmir mundar-mandir dengan matanya masih pada wajah Izzah. 

“Kami suruh kamu kahwin kamu tak mahu. Sekarang entah apa pulak kamu buat pada budak perempuan ni. Izmir apa dah jadi pada kamu ni?” bebel Puan Nora lagi. Izmir makin hangat.

“Eh apa bising-bising ni,” tanya Encik Hakeem yang jelas baru turun dari biliknya.

“Ayah, Izz tak buat apa-apa. Percayalah,” ujar Izmir pada ayahnya yang terjaga disebabkan oleh suara nyaring Puan Nora. “Abang…anak awak ni. Tadi saya turun sekejap nak pergi dapur saya nampak dia peluk Izzah bang,” adu Puan Nora mengunjuk pada Izzah yang terbaring di sofa. Encik Hakeem tersentak lantas beristighfar.

“Izmir, apa kamu dah buat ni?” marah Encik Hakeem pula.

“Ayah, sumpah. Izmir tak buat apa-apa pada budak perempuan tu,” ujar Izmir membela dirinya lagi. Wajahnya diraup beberapa kali. Puan Nora dan Encik Hakeem berpandangan antara satu sama lain. Teragak-agak untuk mempercayai kata-kata anak lelakinya itu selagi Izzah tidak bersuara.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.