Home Novel Cinta SOULMATE TUAN PROFESOR
SOULMATE TUAN PROFESOR
Batiah Hadi
29/10/2017 00:00:20
201,640
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

Agak seketika juga Izzah pengsan sehingga Puan Nora terpaksa merenjis sedikit air di wajah Izzah. Perlahan-lahan Izzah tersedar. Menyedari dapur yang terang dengan Puan Nora memandang padanya mata Izzah terbuka luas. 

 “Izzah tak apa-apa?” tanyanya. Puan Nora mengusap wajah Izzah.

 “Tak…Izzah ok,” jawab Izzah di celah tekaknya yang kering. Izzah kemudiannya bangun dan duduk memicit dahinya dan meraup rambut yang terjuntai di dahi. Kemudian dia tersedar. Ya Allah. Dia tidak memakai tudung. Alamak. Nampak sangat dia belum biasa memakai hijab. 


 “Izzah…apa Iz dah buat pada kamu? Cuba cakap. Kalau ada dia buat tak senonoh baik kamu beritahu. Jangan takut,” pinta Puan Nora. Izzah memandang Puan Nora. Semuanya berlaku terlalu cepat tadi. Dia pun masih keliru kenapa dia boleh pengsan. Tapi yang dia ingat dia sangat takut bila melihat kelibat hitam mendekatinya tadi. Dia ingatkan hantu tapi tambah terkejut bila melihat mata Prof Izmir yang terjengil marah padanya. 

“Dia…dia…” Izzah tergagap terutama bila sedar mata tajam Izmir padanya dan juga sudah menyedari dia tidak bertudung saat itu. Aduh. Bagaimana dia boleh lupa untuk pakai tudung semasa keluar dari bilik tadi? 

“Izmir, kamu harus bertanggungjawab,” ujar Puan Nora tiba-tiba bila melihatkan Izzah tergagap-gagap begitu.

“Hah?” Izmir tersentak. Matanya dihala pada Izzah. 

“ Izzah!!,… baik awak bagi tahu apa yang berlaku tadi. Cepat bagi tahu. Bagi tahu yang awak pengsan dan saya selamatkan awak!” jerkah Izmir. Matanya garang memandang Izzah seperti mahu menelan sahaja lakunya. Izzah tambah panik. Lidahnya tiba-tiba kelu kena jerkah begitu.

“Prof…prof..” kata Izzah tergagap-gagap lagi. Puan Nora mengurut dadanya yang rusuh. Apa dah jadi pada  anaknya itu?

“Jelas kamu dah buat salah Izmir. Kalau kamu betul,  kenapa Izzah nampak sangat terkejut macam ni? Nak jawab soalan kamu pun tergagap-gagap. Mesti kamu dah buat salah,” serkap jarang Encik Hakeem.

“Ya Allah…Iz dah tak tahu nak cakap macamana. Izzah, awak sengaja nak perangkap saya kan? Saya tak buat apa-apa pada awak pun. Kenapa awak cuba nak malukan saya macam ni? Kenapa? Saya tak sangka awak begini sekali Izzah!!” ujar Izmir dengan nada kecewa sambil mengangkat tangan..

“Ayah tak sangka Iz macam ni. Dia ni pembantu kamu. Kamu tak sepatutnya ada niat buruk pada dia,” tambah Encik Hakeem lagi buat Izmir terasa mahu menjerit..

“Ayah…saya dah terangkan tadi saya tak buat apa-apa. Dengar dulu cerita saya. Saya nampak dia minum di dapur tadi. Satu botol jugak air yogurt kegemaran saya dia habiskan. Siap mengeliat kekenyangan lagi. Tadi, saya hanya nak tanya dia kalau betul sukakan air tu janganlah tamak sangat sampai habiskan semua. Belum sempat saya tanya dia dah pengsan dulu. Oleh kerana saya takut dia jatuh dan cederakan diri dia jadi saya tangkaplah badan dia. Tiba-tiba ayah dan ibu sampai dan nampak saya peluk dia sedangkan Iz hanya nak selamatkan dia. Ini semua bukan disengajakan. Izz tak ada niat buruk sikit pun,” ujar Izmir cuba membela diri.

“Betul ke Izzah?” soal Puan Nora memandang penuh harap pada gadis itu. Izzah menghela nafas. Aduhai mengapa semua jadi dramatik ni? 

“Saya haus tadi. Air yogurt dalam peti ais tu nampak sedap sangat. Saya nak minum sikit je tapi dah sedap sangat saya terlajak. Saya minta maaf. Saya tak sepatutnya habiskan air tu,” ujar Izzah dengan nada penyesalan. Makin belas pula Puan Nora rasa. Izmir membulatkan matanya. Jawapan salah! Lain yang ditanya lain yang dijawabnya! Orang tanya aku ada buat salah tak? Dia cerita pasal air pulak! Saat itu Izmir rasa mahu mencekik Izzah di situ juga.

“Alah…air saja. Bila-bila Izmir boleh beli lagi. Tapi aunty nak tahu, Izmir ada buat apa-apa pada kamu tak?” soal Puan Nora. Mata Izmir tajam memandang Izzah. Takut pula Izzah bila melihat pandangan Izmir itu. Pantas dia menundukkan pandangannya.

“Saya tak pasti sebab saya pengsan tadi,” jawab Izzah terus terang. Lagipun, dia bercakap benar. Dia pengsan. Mana dia tahu kalau-kalau Izmir ada buat perkara tak senonoh. Satu lagi, melihatkan wajah Izmir yang merengsakan itu tiba-tiba dia terasa seperti mahu mengenakan lelaki itu pula.

“Arghh!! Apa tak pastinya??? Ini semua mengarut! Mestilah saya tak buat apa-apa pada awak. Awak tu masih pakai baju lagi. Elok je!” sambut Izmir marah. 

“Izmir!!” marah Encik Hakeem. Izmir terdiam.  Dia terus menghampiri Encik Hakeem dan melirik ke wajah ayahnya.

“Ayah, saya tak buat apa-apa. Percayalah. Itulah yang sebenarnya,” ujar Izmir pada Encik Hakeem. 

Kemudian dia berpaling pada Izzah pula, “ Eh Izzah!, awak tahu kan yang saya sekadar terpeluk awak saja. Kenapa awak kata awak tak tahu?. Mestilah awak tahu. Antara awak dan saya tiada apa yang berlaku!,” kat Izmir masih cuba mempertahankan dirinya. Puan Nora yang mendengar sejak tadi mengeleng-ngeleng. Dia masih lagi tidak dapat menerima apa yang dia nampak tadi bila Izmir sedang memeluk Izzah. 

“Ibu tak sangka Izmir macam ni. Izmir, masa kamu buat tu kamu tak fikirkan kami ke? Malu kami ada anak macam kamu ni. Tergamak kamu,” ujar Puan Nora dengan nada kecewa. Izmir mengangkat kedua tangan. Tak tahu apa lagi yang boleh dia lakukan untuk meyakinkan ibu dan ayahnya. Nampaknya apa yang dia katakan tidak dapat meyakinkan Puan Nora dan Encik Hakeem yang dia tidak bersalah.

“Ya Allah ibu…walaupun Iz akui Izz bukanlah baik sangat tapi Iz bukan budak mentah sampai terlupa agama. Iz tak buat apa-apa. Iz terpeluk dia tak sengaja sebab dia tiba-tiba pengsan. Tak kan ibu dengan ayah tak kenal Iz lagi,” ujar Izmir. 

“Izmir, macam ibu kamu katakan tadi, kamu kena bertanggungjawab,” ujar Encik Hakeem tiba-tiba. 

“Hah? Kenapa pulak bertanggungjawab? Saya tak buat apa-apa ayah,” protes Izmir.

“Kamu kata kamu tak buat apa-apa tapi pada pandangan kami, kamu dah malukan Izzah. Ibu tak tahu dah berapa lama kamu peluk dia dan ibu tak tahu apa lagi yang kamu dah buat padanya,” kata Puan Nora pula.

“Ye Izmir. Kamu mungkin dah ambil kesempatan dari seorang gadis yang tak berdaya. Kalau macam ni untuk maruah Izzah kamu kena kahwin dengan Izzah,” cadang Encik Hakeem.

“Apa!!!” kedua-dua Izzah dan Izmir terjerit.

“Ayah dah merepek ni,” marah Izmir. 

“Uncle, aunty, saya tak mahu kahwin dengan Prof, tolonglah,” Izzah pula bersuara. 

“Izzah… Izmir dah malukan kamu. Dia kena bertanggungjawab. Macam inilah. Hujung minggu ni kami akan datang meminang kamu untuk Izmir,” ujar Puan Nora menyebabkan Izzah dan Izmir menjerit serentak,

“Jangan!!!” kedua-dua mereka menjerit serentak.

“Kami tak kira. Kamu berdua kena kahwin juga,” Puan Nora mencadangkan pula. Izzah menghela nafas. Kepalanya rasa berdenyut. Apa yang berlaku ni? Dia tak mahu kahwin. Oh tidak, dengan Prof yang dingin kejung itu pula. Izzah mengurut dadanya supaya dia tidak menjerit kerana geram.

“Makcik. Semua ni salah faham. Prof tak buat apa-apa pada saya.  Sikit pun tidak. Percayalah,” terang Izzah satu-satu.

“Betul kata Izzah tu ibu…ayah,” sokong Izmir pula.

“Izzah, kamu jangan nak selamatkan boss kamu ni. Dia dah buat salah. Dia kena bertanggungjawab,” balas Puan Nora pula menunjuk pada Izmir. Izmir mengeleng-ngeleng. Oh tidak...bala ni!


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.