Home Novel Cinta Persis Akar Dani
Persis Akar Dani
Juea Abdullah
6/3/2017 10:24:42
10,816
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Part 6

Seorang lelaki berbadan sasa dengan ketinggian enam kaki melangkah tenang menuruni anak tangga selepas kapal terbang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tepat pada jam 6.35 pagi waktu tempatan. Penerbangan selama dua puluh dua jam dengan All Nippon Airways (ANA) dari Los Angeles dan singgah untuk pertukaran penerbangan di Haneda, Tokyo cukup merimaskannya walaupun dalam keadaan selesa. Hatinya yang rimas bukan jasadnya!

Maya!

Nama itu bergema dalam dadanya hingga membuatkan dia terdongak mengitari binaan dalaman KLIA yang berkonsepkan lapangan terbang dalam hutan dan hutan dalam lapangan terbang sebagai pengenalan awal bagi yang baru tiba ke negara ini. Suasana hening dan sunyi. Tiada sesiapa yang menanti kepulangannya. Dan tentu saja tiada Maya!

Sejauh Los Angeles dia bawa diri demi mencari bidadari di negeri asing yang mendapat jolokan ‘City of Angels’ itu untuk menggantikan tempat Maya di hatinya namun tetap hampa. Kekosongan yang ditinggalkan Maya bukan saja sukar dicari namun menghimpit dirinya. Ya, dia dihimpit dengan rasa sunyi dan kehilangan yang amat. Maya! Hatinya bertasbih nama gadis itu.

Remy Iskandar, berambut lurus dengan kulit rona sawo matang, berwajah tampan namun raut mukanya keras dan liar. Darah wanita Thailand yang melahirkannya membuatkan wajah itu unik dengan sepasang mata helangnya, hidung tinggi lurus dan bibirnya nipis dan berlekuk dipagari kumis nipis. Wajah yang pernah mencairkan hati seorang gadis bernama Maya.

Pertama kali melihat gadis itu tertawa ketika sedang minum petang di Melting Pot, Hotel Concorde, Remy tak mampu mengalihkan pandangan. Bidadarikah dia? Soalan itu berlegar dalam kepalanya. Marahnya kepada Alvin Lim, rakan niaganya yang tak kunjung datang berdesup hilang hilang serta-merta. Kejelitaan dan senyum tawa gadis yang duduk di meja di tepi dinding kaca restoran itu memukau hati dan mindanya. Laju dia memanggil pelayan lalu memesan strawberi dan coklat untuk tiga orang. Tidak lama kemudian, dia mendekati mereka dengan menu pemanis mulut di tangan.

Gadis dan coklat, mana boleh dipisahkan. Dan dia pula Remy. Remy nak, dia dapat! Sejak petang itu, Maya dan temannya, Zetty menemani Remy berhibur hampir setiap malam. Mengapa keduanya? Kerana Maya hanya mahu keluar bersama jika ada Zetty. Dan bagi Remy, itu tak pernah menjadi masalah.

Hampir setiap malam, Remy akan menjadi pemandu teksi. Aneh bukan? Tapi demi bidadarinya, dia sanggup lakukan apa saja. Maya takut untuk dihantar pulang oleh mana-mana lelaki. Ibu dan ayahnya agak ortodoks, kata Maya. Kerja mudah bagi Remy yang siap mencari si pemandu teksi yang sanggup meminjamkan kereta sewaannya bila masa saja yang Remy perlukan.

Mulanya hanya untuk menghantar Maya pulang. Tapi hanya untuk sekali dua. Selepas itu, Remy bawa Maya menjelajah satu demi satu lokasi yang indah di Kuala Lumpur sebelum menghantarnya pulang ke rumah. Dan setiap detik bersendirian bersama Maya amat mengasyikkan. Maya? Tentu saja teruja dengan kesanggupan lelaki itu tanpa sedar yang dia sudah berada dalam perangkap cinta Remy.

Ya, perangkap sebenarnya. Remy tersandar lelah di tempat duduk belakang teksi yang kini meluncur laju meninggalkan KLIA menuju ke kondo miliknya. Kondo di mana dia menikmati Maya. Detik itulah yang tak pernah padam dari ingatannya. Mengingatinya saja cukup membuatkan tubuhnya hangat terawang. Sungguh! Maya lain dari yang lain. Dia polos, mulus dan suci saat pertama kali dirinya disentuh. Seterusnya saat-saat bersama Maya jadi momen terindah dalam hidupnya.

Namun Remy mana pernah puas. Maya memecah rekod teman wanita yang paling lama berada di sisinya. Selepas itu, Maya dia tinggalkan sepertimana dia meninggalkan teman-teman wanitanya sebelum ini – dijual kepada Alvin Lim yang sentiasa mahukan muka baru.

Ya. Dia jual Maya! Dia perdagangkan Mayanya kerana desakan nafsu sendiri yang tak pernah menolak bila ditawarkan wang berkepuk. Alvin tahu betapa hebatnya Maya. Dia dan lelaki Cina yang sangat berpengaruh dalam dunia hitam di Kuala Lumpur itu tak pernah berahsia tentang apa pun. Namun kerana hatinya berat mahu melepaskan Maya, untuk pertama kalinya dia hanya meminjamkan saja teman wanitanya kepada Alvin untuk tiga bulan saja.

Hari ini adalah hari yang dijanjikan. Dia mahu Mayanya semula. Rasa kehilangan ini sudah tak tertanggung. Rengekan dan bisikan manja Maya semakin memburu malamnya hingga dia tak mahu lagi menyentuh mana-mana perempuan walaupun bidadari dari Los Angeles. Hah… manakan sama! Maya menyentuhnya dengan penuh kasih. Belaian Maya mengulitnya terus dari hati. Seluruh cinta Maya hanya tertumpah untuk dirinya saja. Hanya dia yang buta terhadap Mayanya.

Remy melangkah masuk ke kondo yang sudah seminggu dia tinggalkan. Sejak Maya diserahkan ke tangan Alvin, kondo ini belum pernah dijejaki mana-mana perempuan. Seakan dia mahu haruman Maya kekal di situ. Pakaian Maya, alat solek Maya dan segala milik Maya masih kekal di kondo itu tak berusik. Semua itu selalu dipandang dan disentuh penuh rindu. Dia nanar sungguh dengan belaian Maya namun janjinya dengan Alvin tak semudah itu untuk diingkari. Apatah lagi penglibatannya dalam Triple 3 bukan main-main. Perjanjian yang termatri dengan darah itu menuntut ketaatan kepada ketua mereka, tak lain dan tak bukan, Alvin Lim sendiri.

Segala kegiatan gelapnya yang selama ini terlindung dari penglihatan Maya terbongkar akhirnya. Remy yang sedang menatap potret Maya yang setinggi dirinya di dinding di ruang tamu rumahnya dengan aksi paling panas yang dipersembahkan oleh Maya khusus untuknya ketawa besar sambil mengangkat gelas minuman ke arah Mayanya.

“Kita akan bertemu lagi, Maya. Tunggu kejutan malam nanti, sayang!” Remy meneguk air kuning itu sampai habis diiringi senyuman di bibirnya yang basah.

Tapi mahukah Maya menerimanya lagi?

“Apa semua ni, Remy? Ke-kenapa bawa Maya ke sini?” Lengannya dipaut Maya, erat mencengkam. Benar. Maya belum pernah dibawa ke situ, penthouse milik Alin Lim. Melihat ramai ahli Triple 3 di situ bersama gadis-gadis yang sedang diurusniaga, Maya yang tadinya teruja dibawa ke hotel mewah ini berubah cemas.

Di bilik Alvin, lelaki itu sudah siap menunggu. Sebaik saja pintu kamar itu ditutup, Maya memeluk erat lengan Remy seakan tak mahu melepaskannya lagi.

“Dia milik kau sekarang, Alvin. Macam yang dijanjikan. Tapi ingat, jaga dia baik-baik.” Suara Remy waktu itu hambar tanpa nada. Alvin yang segak dengan jaket hitamnya ketawa besar sambil meratah sekujur diri Maya tanpa berselindung lagi.

“A-apa ni? Apa ni, Remy? Jangan bergurau macam ni. Maya tak suka! Jom, Remy! Kita balik sekarang…”

“Maya! Maya! Maya!” Namanya diseru oleh lelaki cina berwajah liar itu. Remy tunduk. Memaku pandangan ke lantai. Maya sudah menyembunyikan diri di belakangnya. Dan untuk pertama kalinya, dia tak sanggup hendak memandang wajah perempuan yang bakal dia tinggalkan.

“Mari sini, sayang. Aku akan layan kau sepuluh kali baik dari Remy. Aku akan pastikan kau takkan ingat lagi siapa Remy lepas ni,” Alvin ketawa terbahak-bahak. Entah kenapa,darah Remy membuak bila mendengarnya. Sedangkan selalunya dia ikut ketawa dengan jenaka Alvin yang dia sangat faham apa maksudnya.

Remy tak mahu ingat lagi kejadian malam itu. Pertama kali Maya menggeletar, menangis dan merayu hingga dia tersungkur memeluk kakinya. Remy sudah lali dengan semua itu. Namun kata-kata Maya sebelum tangan Alvin menekup hidungnya dengan sapu tangan yang sudah dipersiapkan memburu ke mana pun dia pergi.

“Remy yang Maya sayang takkan buat Maya macam ni…”

Remy yang kau sayang ini hakikatnya binatang, Maya! Memori bagaimana Maya terkulai tak sedarkan diri di pangkuan Alvin selalu membuatkan marahnya melahar. Dan saat itu, tak ada manusia yang lebih dia benci melainkan dirinya sendiri.

“Serahkan Maya aku, Alvin!” Dia memekik dalam ruang kondo yang sunyi disambut dengan bunyi kaca pecah berderai bila gelas ditangannya tiba-tiba dibanting ke dinding yang dilatari lukisan Maya yang sedang merenung manja ke arahnya.


... bersambung

*** Bagi yang belum pernah mengikuti PAD, novel ini adalah sequel Makna Pada Rasa (MPR). Jika nak dapatkan versi cetak MPR, sila pm atau whatsapp 011-12541676. jemput juga baca bab2 awal di portal Ilham karangkraf.

Previous: part 5
Next: Part 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Juea Abdullah