“Apa
maksud kau, Fadh? Aku… tak faham. Please…
talk to me. Fadh!” Lelaki yang lemah itu seolah-olah bersuara selunak yang
boleh walaupun masih amat garau. Dia berusaha menolak kerusi rodanya dalam
susah payah kerana mahu mendekati Fadhlan, mungkin mahu menghalangnya dari
terus mengikat tubuh perempuan yang tidak dikenalinya.
Nadia
menyentak dirinya sendiri dari apa yang sedang berlaku di depan mata.
Realitinya dia sedang diikat dan bakal terkurung di sini bersama dengan dua
orang lelaki asing yang pelik dan gila. Apa lagi, dia menjerit-jerit dan
meronta sekuat hati.
“Fadhlan!
Lepaskan aku! Kau dah salah orang! Apa salah aku, hah? Eh! Aku tak kenal pun
siapa kau! Lepaskan!”
Pang!
Satu tamparan yang amat kuat singgah ke pipinya sehingga muka dan tubuhnya
terhayun ke sebelah. Mujur dia tidak terus jatuh tersembam ke lantai.
“Fadhlan!”
Jerkah suara garau dan parau itu. Hilang sudah lunaknya dek kerana terlalu
terkejut.
Mata
Nadia terbuntang. Dia tersentak amat. Seketika kemudian dia menyeringai.
Sakitnya bukan kepalang. Kepalanya terasa bengang dan dunia keliling seakan
berputar seketika. Cecair hangat terasa mengalir di tepi mulutnya yang saat itu
teramat perit. Nafasnya turun naik. Airmata secara tidak sedar menitis setitis
demi setitis. Tidak pernah dia dikasari begini seumur hidupnya.
Sepasang
kaki muncul di depan matanya dalam perspektif hampir terbalik. Perlahan Nadia
memaksa diri, duduk tegak di kerusi dalam lilitan tali yang mengikat kuat
memaku tubuhnya di kerusi itu. Jantungnya semakin kuat berdebar dan tubuhnya
menggigil. Jangan dia diapa-apakan lagi!
“Aku
tak salah orang, Syah! Dialah orangnya!” Kepala Nadia ditunjal dengan jari
telunjuk hingga dia terdongak dan terngadah.
“Dialah
orang yang mengubah nasib kita jadi macam ni.” Suara itu tiba-tiba bertukar
lirih. Sepasang kaki itu mengundur selangkah demi selangkah sehingga dia
terpacak berdiri di hadapan lelaki yang dipanggil Syah. Nadia semakin takut
dalam terpinga-pinga.
“Dia
yang lantang bersuara masa tu,” Fadhlan memetir sambil menunding jari ke arah Nadia.
“Kau
pun tau aku macammana dulu, kan Syah? Aku… aku tak yakin sebenarnya. Aku
keliru. Aku asyik rasa bersalah sebab aku libatkan kau. Aku sayang sangat
dengan kau. Sampai sekarang aku sayangkan kau. Aku tak boleh hidup tanpa kau,
Syah. Kalaulah aku tahu kau jadi macam ni… aku takkan sentuh kau, Syah.”
Perlahan-lahan dia melutut di hadapan Syah. Menangiskah dia? Dan perlahan juga,
kepalanya dipaut Syah ke ribanya, diusap lembut, memujuk. Nadia tergamam.
Mereka seperti sepasang kekasih…? Isteri? Di mana isterinya? Matanya menerawang
ketakutan. Apakah Syah…?
Saat
itu juga Fadhlan tiba-tiba bangun mengadap Nadia dengan pandangan penuh benci.
“Semuanya sebab kau! Safe sex konon!
Habis-habisan kau kempen safe sex!
Aku percaya cakap kau! Aku percaya…”
Fadhlan
seperti orang hilang akal. Sekejap menjerit, sekejap meratap. Nadia menelan
liur berkali-kali. Tak mungkin!
“Kau
tahu tak, sebelum tu aku tak sentuh Syah! Aku lawan naluri aku separuh mati!
Tapi sebab kau! Kau yakinkan orang… kau kata selamat! Tapi kau tengok apa yang
jadi pada Syah! Kau tengok! Tengokkk!” Sekali lagi kepala Nadia dicengkam dan
didongakkan ke arah Syah. Terasa hendak patah leher dibuatnya.
“Fadh!”
“Sekarang Syah tuduh
aku yang tak setia! Dia sangka aku permainkan dia. Dia kata dia jadi mangsa.
Semuanya sebab kau! Aku setia, Syah! Aku tak pernah tipu kau. Aku tak tau
macammana kau dapat penyakit gila ni! Aku tak tau…! Sungguh…!” Fadhlan
berpusing-pusing di hadapan mereka seperti orang hilang akal.
ps: Novel MAKNA PADA RASA versi cetak sudah diterbitkan. Berminat dengan novel ini? Whatsapp 011-12541676 untuk maklumat lanjut.
Terima kasih kerana sudi singgah!
Juea Abdullah