Home Novel Cinta Makna Pada Rasa
Makna Pada Rasa
Juea Abdullah
13/10/2015 04:58:50
86,975
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab Teaser #05

“Apa maksud kau, Fadh? Aku… tak faham. Please… talk to me. Fadh!” Lelaki yang lemah itu seolah-olah bersuara selunak yang boleh walaupun masih amat garau. Dia berusaha menolak kerusi rodanya dalam susah payah kerana mahu mendekati Fadhlan, mungkin mahu menghalangnya dari terus mengikat tubuh perempuan yang tidak dikenalinya.

Nadia menyentak dirinya sendiri dari apa yang sedang berlaku di depan mata. Realitinya dia sedang diikat dan bakal terkurung di sini bersama dengan dua orang lelaki asing yang pelik dan gila. Apa lagi, dia menjerit-jerit dan meronta sekuat hati.

“Fadhlan! Lepaskan aku! Kau dah salah orang! Apa salah aku, hah? Eh! Aku tak kenal pun siapa kau! Lepaskan!”

Pang! Satu tamparan yang amat kuat singgah ke pipinya sehingga muka dan tubuhnya terhayun ke sebelah. Mujur dia tidak terus jatuh tersembam ke lantai.

“Fadhlan!” Jerkah suara garau dan parau itu. Hilang sudah lunaknya dek kerana terlalu terkejut.

Mata Nadia terbuntang. Dia tersentak amat. Seketika kemudian dia menyeringai. Sakitnya bukan kepalang. Kepalanya terasa bengang dan dunia keliling seakan berputar seketika. Cecair hangat terasa mengalir di tepi mulutnya yang saat itu teramat perit. Nafasnya turun naik. Airmata secara tidak sedar menitis setitis demi setitis. Tidak pernah dia dikasari begini seumur hidupnya.

Sepasang kaki muncul di depan matanya dalam perspektif hampir terbalik. Perlahan Nadia memaksa diri, duduk tegak di kerusi dalam lilitan tali yang mengikat kuat memaku tubuhnya di kerusi itu. Jantungnya semakin kuat berdebar dan tubuhnya menggigil. Jangan dia diapa-apakan lagi!

“Aku tak salah orang, Syah! Dialah orangnya!” Kepala Nadia ditunjal dengan jari telunjuk hingga dia terdongak dan terngadah.

“Dialah orang yang mengubah nasib kita jadi macam ni.” Suara itu tiba-tiba bertukar lirih. Sepasang kaki itu mengundur selangkah demi selangkah sehingga dia terpacak berdiri di hadapan lelaki yang dipanggil Syah. Nadia semakin takut dalam terpinga-pinga.

“Dia yang lantang bersuara masa tu,” Fadhlan memetir sambil menunding jari ke arah Nadia.

“Kau pun tau aku macammana dulu, kan Syah? Aku… aku tak yakin sebenarnya. Aku keliru. Aku asyik rasa bersalah sebab aku libatkan kau. Aku sayang sangat dengan kau. Sampai sekarang aku sayangkan kau. Aku tak boleh hidup tanpa kau, Syah. Kalaulah aku tahu kau jadi macam ni… aku takkan sentuh kau, Syah.” Perlahan-lahan dia melutut di hadapan Syah. Menangiskah dia? Dan perlahan juga, kepalanya dipaut Syah ke ribanya, diusap lembut, memujuk. Nadia tergamam. Mereka seperti sepasang kekasih…? Isteri? Di mana isterinya? Matanya menerawang ketakutan. Apakah Syah…?

Saat itu juga Fadhlan tiba-tiba bangun mengadap Nadia dengan pandangan penuh benci. “Semuanya sebab kau! Safe sex konon! Habis-habisan kau kempen safe sex! Aku percaya cakap kau! Aku percaya…”

Fadhlan seperti orang hilang akal. Sekejap menjerit, sekejap meratap. Nadia menelan liur berkali-kali. Tak mungkin!

“Kau tahu tak, sebelum tu aku tak sentuh Syah! Aku lawan naluri aku separuh mati! Tapi sebab kau! Kau yakinkan orang… kau kata selamat! Tapi kau tengok apa yang jadi pada Syah! Kau tengok! Tengokkk!” Sekali lagi kepala Nadia dicengkam dan didongakkan ke arah Syah. Terasa hendak patah leher dibuatnya.

“Fadh!”

“Sekarang Syah tuduh aku yang tak setia! Dia sangka aku permainkan dia. Dia kata dia jadi mangsa. Semuanya sebab kau! Aku setia, Syah! Aku tak pernah tipu kau. Aku tak tau macammana kau dapat penyakit gila ni! Aku tak tau…! Sungguh…!” Fadhlan berpusing-pusing di hadapan mereka seperti orang hilang akal.


ps: Novel MAKNA PADA RASA versi cetak sudah diterbitkan. Berminat dengan novel ini? Whatsapp 011-12541676 untuk maklumat lanjut.

Terima kasih kerana sudi singgah!

Juea Abdullah

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Juea Abdullah