Home Novel Cinta Persis Akar Dani
Persis Akar Dani
Juea Abdullah
6/3/2017 10:24:42
10,846
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Part 7

Nur Maya hampir terduduk tatkala mendengarkan perkhabaran itu. Gadis bertudung labuh dengan tabir muka yang hanya menampakkan sepasang matanya sahaja cepat-cepat mengambil tempat duduk di bangku batu di halaman Baitul Rahmah, rumah penginapan warga emas milik Nuqman. Nafas ditarik perlahan-lahan agar tidak jelas perlakuannya di mata Nabil, adik lelaki Nuqman.

Nuqman! Nama itu bergema dalam dadanya yang sudah sedia ketat.

“Nur… dengar tak ni?” Nabil kaget dengan sikap Nur Maya yang tiba-tiba terdiam. Sedangkan tadi suaranya lunak bertanyakan khabar ibu dan sepasang mata yang galak dan beralis lentik yang selalu mendebarkan jiwanya itu bersinar ceria. Ya, kalau nak tahu apa yang Nur rasa, hanya boleh dilihat pada sepasang matanya yang besar dan cantik itu, yang jadi pintu ajaib untuk menerobos masuk melihat dalam dirinya.

“Ahh…? De-dengar! Nur dengar…” Dia mengangguk seraya meramas jemari sendiri. Pandangannya berlari tak tentu arah. Dia cuba tersenyum tapi tak jadi. Mindanya juga hilang fokus tiba-tiba.
Nabil ketawa kecil. Dia yang tadi berdiri di tepi kolam ikan yang dihiasi rimbunan heliconia melangkah ke bangku batu yang mengelilingi meja dan melabuhkan punggung di situ. Jarang dia melihat tingkah laku Nur Maya yang begitu pelik. Selalunya gadis ini lebih tenang dari air di tasik.

“Nur terkejut dengar Abang Man nak kahwin ya? Ibulah ni! Dia kelam-kabut bersiap nak buat kenduri sambut menantu sampai terlupa nak bagitau Nur. Itu yang ibu pun tak sempat nak ziarah Nur kat sini. Dia sibuk. Sebenarnya kami dah pergi pinangkan Kak Ika sebelum Abang Man balik Istanbul bulan lepas. Tapi ibu tak nak bising-bising, takut tak jadi. Tapi alhamdulillah, dah jodoh diaorang. Bersatu juga akhirnya.” Nabil menutup bicara sambil mencuri pandang ke sepasang anak mata Nur yang seperti mahu mengelak dari memandangnya. Kenapa, Nur? Terkejutkan? Hati lelakinya bergelojak ingin menatap seraut wajah Nur yang terselindung di balik tabir muka itu yang belum pernah dijamah oleh pandangan matanya.

Nur Maya terus tunduk memandang rumput menghijau yang melatari halaman sepanjang mendengar cerita Nabil, seakan-akan mahu mengutip serpihan hatinya yang dirasakan bertaburan jatuh saat itu. Kepalanya dianggukkan. Tapi masih tiada butir bicara yang mampu diluahkan dari bibirnya. Sebab dia sedang menahan rasa pedih, sebenarnya.

Abang Nuqman... sangkanya.... Ah! tak mungkin! Memang sudah berkali-kali dia menidakkan bisikan nalurinya. Tak mungkin Abang Nuqman bakal memilihnya sebagai teman hidup. Tapi layanan Abang Nuqman, hadiahnya yang datang mengunjungi silih berganti walaupun tuan punya badan jauh di Istanbul sana membuatkan hatinya yang berdarah jadi terubat dan sembuh. Belum lagi pesanan-pesanannya di Whatsapp yang sangat mengambil berat tentang diri ini.

"Nur jangan pandang ke belakang lagi. Abang takkan biarkan Nur. Abang nak Nur cekalkan hati raih keampunan Allah. Abang tak pernah lupa mendoakan Nur. Ingat tu!" Duhai... hati manalah yang tak menggantung harap? Setitis air jernih mengalir dalam diam. Nur tahu, lelaki sebaik Abang Nuqman bagaikan berlian antara pepasir yang banyak.

Beruntunglah Puteri. Rupanya mereka bukan sekadar 'kawan lama' yang pernah diberitahu Puteri. Layaklah mereka disatukan. Sedangkan aku ni jijik untuk sesiapa pun! Hati Nur tiba-tiba sebak. Jemarinya menekup bibir dari atas tabir demi menahan rasa hiba. Tapi aku amat perlukan pimpinan dan kasih sayangnya, ya Allah! Aku takut nak harung hidup sendirian. Keyakinan aku belum sekuat mana tanpa Abang Nuqman!

“Nur takut nak ke KL ke ni?” Telah Nabil lagi. Melihat Nur yang nampak emosi tiba-tiba buat dia jadi berbelah-bagi. Patutkah Nur dibawa bersama? Dia tahu yang Nur Maya adalah saksi yang dilindungi polis dan sedang membantu siasatan tetapi dia tak tahu tentang kes yang melibatkan Maya. Hanya Abang Nuqman dan Asistan Superintendan Polis (ASP) Rizal yang terlibat secara rahsia dan Nabil diminta membantu mereka menjadi orang perantaraan dengan Nur Maya sekiranya perlu.

“Err… hmmm…” Nur Maya angguk. Biarlah kalau itu boleh dijadikan alasan. Hakikatnya dia sudah tak kisah lagi tentang dirinya. Saat itu, dia cuma mahu meratap bagi meredakan rasa kehilangan yang tiba-tiba datang.

“Saya kan ada? Tak usah bimbang, Nur!" Gadis itu terus menundukkan kepala. Jemari putih mulus itu saling meramas di ribanya. Nabil menghela nafas panjang. Dia sanggup lakukan apa saja demi melindungi Nur tapi rasanya Nur tak pernah perasan pun.

Kalau awal dulu, memang Nabil yang banyak berperanan dalam keperluan Nur. Tapi sekarang, dia rasa terpinggir. ASP Rizal sudah menghantar ibunya ke Baitul Rahmah. Nabil tak pasti, apakah sebagai penyamaran supaya dia dapat berjumpa Nur tanpa disyaki atau sememangnya kerana mahu mendekati Nur sebenarnya. Melihatkan hubungan baik ibu ASP Rizal dengan Nur menambah rasa gusar dalam dada Nabil.

"Nur, kita pergi sekali dengan ibu hari ni ya. Ibu ajak Nur tidur di kondo Abang Nuqman." Nabil cuba memujuk. Peluang untuk dia mendekati Nur sudah ada di depan mata. Isyhh... kalau diikutkan hati, mahu saja dia menculik gadis si mata cantik ni dan bawa dia jauh dari semua orang.

Nur mendongak memandangnya namun bibirnya yang terlindung itu tak juga berbicara. Kemudian dia menoleh ke arah Baitul Rahmah seolah-olah berat hatinya hendak meninggalkan penghuninya.

Nabil yang cepat merasakan gelodak hati gadis itu terus saja beritahu tentang rancangan yang sudah diatur. "Esok Pak Su dengan Mak Su akan bawa semua yang ada kat sini termasuk Makcik Gayah ke The Turban dengan bas. Jadi Nur memang cuti sepenuhnya untuk hari ni dengan esok. Pergilah bersiap. Kejap lagi, saya datang dengan ibu ambil Nur di sini dan bertolak terus ke KL. Boleh kita jumpa Abang Man dulu sebelum majlis. Abang Man dah sampai semalam.”

Mendengarkan nama lelaki itu disebut, Nur Maya jadi teruja. Gembira hatinya tak terkata. Moga redalah rindunya yang sudah menggunung. Sepasang mata itu kembali bersinar. Dapat menatap wajah Nuqman saja sudah seperti dinaungi warna pelangi!

Nabil tersenyum. Hati gadis itu dapat dibaca dari sinar matanya. Hai lah! Bertuah Abang Man. Selalu jadi pilihan!


... bersambung.


***PAD adalah sekuel novel Makna Pada Rasa yang baru diterbitkan Januari lepas. Hayati PAD lebih dalam melalui MPR. Dapatkan secara online melalui whatsapp 011-12541676 sementara stok masih ada.

Jemput baca bab2 awal novel Makna Pada Rasa di Portal ilham.

Previous: Part 6
Next: Part 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Juea Abdullah