Home Novel Cinta JANGAN LUPAKAN AKU
JANGAN LUPAKAN AKU
9/4/2014 12:03:48
42,764
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

SELEPAS maghrib, Elza Zaharah terus menghidupkan MacBooknya. Semua nota yang dicatat dan dirakam semasa perbincangan dengan Puan Sri Halimah, ditaip kemas-kemas dan die-mel kepada seluruh ahli kumpulannya. Satu e-mel ringkas juga dihantar pada Sylvia di New York. Dia memaklumkan bahawa kerja renovasi hiasan dalaman akan bermula dan perlukan guideline asas sebelum cadangan pertama dikeluarkan.

Tepat jam 10.00 malam, setelah selesai semua tugas pejabat dan rumah, Elza Zaharah bersiap untuk pulang ke Pagoh. Beg pakaiannya serta satu bakul beroda yang sederhana besar penuh dengan beg plastik Mydin yang berisi pelbagai barangan keperluan telah diletakkan di tepi pintu.

Tiba-tiba iPhonenya berbunyi. E-mel dari [email protected] buat Elza Zaharah mengerutkan dahi. Selama dia berhubungan dengan Sylvia, ini kali pertama dia menerima respons dari Izack sendiri. Arahannya mudah, rumah tersebut mesti dihias dengan ringkas, moden dan elit. Dua minggu lagi, dia akan pulang ke Malaysia dan dia menyatakan jangkaannya untuk melihat perubahan yang sewajarnya mesti telah dilakukan pada banglo tersebut.

Elza Zaharah termangu sebentar. Tanpa warna, tiada perubahan yang mampu dilakukannya. Dua minggu? Proposal sahaja yang mungkin sempat dibuatnya. E-melitu dibalasnya dengan satu soalan. “Any suggestion for colors?” Jawapannya juga mudah. “Please use your imagination... Thank you.”

Sepanjang memandu di lebuh raya, otak Elza Zaharah berputar ligat. Dia cuba mengenali Izack yang selama ini hanya di dalam imiginasi sahaja. Kata-kata Tan Sri Rushdi di pejabat tadi menerjah akal fikirannya. “This is him. He is always different from others.”

Dia tidak dapat meneka samada Izack sudah beristeri atau belum? Jika sudah, keperluannya tentu berbeza. Dia tidak pasti samada Izack sudah memiliki anak atau belum? Jika sudah, tentu lebih bermacam yang perlu dipertimbangkan. Menyesal pula mengenangkan betapa dia melepaskan dua peluang untuk mendapatkan maklumat, iaitu ketika bersama Tan Sri Rushdi dan kemudian bersama Puan Sri Halimah. Esok dia akan menghubungi Puan Sri Halimah untuk mendapatkan maklumat tersebut.

Tiba di Hentian Rehat Ayer Keroh, jam sudah menunjukkan pukul 12.00 tengah malam. Elza Zaharah berhenti untuk berehat seketika. Namun, otak kreatifnya bagai tidak mahu berhenti berfikir. Dia sukakan cabaran, maka dia terasa teruja dan melihat hal-hal ini seperti permainan puzzle yang perlu disiapkan.

Ah! Daripada menunggu esok, baik dia menghantar e-mel pada tuan punya badan.

Any specific room for babies/ children or maid? Specific room for your interest – movie/ music/ other hobbies.

 

Tidak sampai lima minit.

No babies/ No children/ May be maid. Movie& Music. Reading.

 

Elza Zaharah tersenyum. Dia gembira kerana ada sepanjang hujung minggu ini untuk mencerna idea.

Elza Zaharah menyambung perjalanannya. Sejam kemudian dia sampai di rumah Kiyai Ali yang dipanggilnya tok su. Sebaik pintu kereta ditutupnya, lampu luar rumah dihidupkan. Tidak lama kemudian, terjengul kepala seorang wanita tua di muka pintu.

“Zara, lambatnya. Nek su dah risau tadi.”

“Assalamualaikum, nek su,” ucap Elza Zaharah dalam keletihan.

“Waalaikumsalam… Naik cepat. Angkat beg baju sahaja. Barang lain, Luqman akan tolong angkat esok,” arah orang tua itu.

Elza Zaharah segera masuk ke dalam rumah. Sebaik masuk, dia ternampak tiga orang adiknya sedang lena tidur di ruang tamu. Mereka mengerekot kesejukan walaupun berselimut.

Elza Zaharah masuk ke dalam biliknya. Selepas meletakkan semua barangnya, dia turun ke dapur dan menyalami nek su yang sudah menunggu di dapur bersama secawan teh O panas.

“Minum. Lepas itu tidur. Esok kita ke hospital. Kena keluar jam 6.30 pagi.” Nek su mengingatkan lantas bangun untuk naik dan menyambung tidurnya.

“Nek su kejutkan Zara ya. Takut tak terjaga,” pesan Elza Zaharah pada nek su yang sudah mula memanjat tangga untuk naik ke biliknya.

Sebaik berbaring di atas katilnya, Elza Zaharah merenung gambar yang terletak di meja solek bilik itu. Gambar yang hanya mampu direnung dari jauh. Gambar pernikahannya bersama Khairul Iqbal yang berlangsung di Mekah. Mereka memakai jubah serba putih.

Tidak berani untuk dia memandang lebih lama. Mana mungkin dia melupakan perkahwinannya yang seketika, namun manisnya hingga kini masih terasa. Kerana kebaikan hati Khairul Iqbal, walau hanya melalui perhubungan atas talian, Elza Zaharah berbesar hati untuk memastikan hubungan mereka berkekalan.

Dia memastikan keperluan persekolahan adik-adik Iqbal terjaga dengan baik, bekalan perubatan datuk dan neneknya tidak putus serta makan dan pakai mereka sekeluarga tidak kekurangan. Untuk tujuan itu, dia akan mengambil cuti pada salah satu Jumaat setiap bulan untuk pulang ke Pagoh.

Khairul Iqbal! Pelajar jurusan pengajian Al-Quran tahun akhir University of Jordan. Dia bertemu jejaka itu ketika mengikut pak ngah dan mak ngahnya menjalankan ibadah umrah tiga tahun lepas. Khairul Iqbal adalah mutawif yang kerap menguruskan urusan perjalanan pak ngah dan mak ngah ketika menunaikan umrah.

Ketika membawa Elza Zaharah yang pada waktu itu masih kesedihan kerana kehilangan ibu dan bapanya, Khairul Iqbal ditakdirkan ALLAH berjaya memberi kekuatan buatnya untuk meneruskan kehidupan. Malahan, Khairul Iqbal tidak teragak-agak untuk melamar Elza Zaharah, lalu dengan nasihat pak ngah, mereka bernikah gantung di Mekah sehari sebelum Elza Zaharah pulang semula ke tanah air.

Sejak itu, Elza Zaharah bertukar wajah. Dia mula bertudung dan menutup aurat. Semuanya dengan tunjuk ajar Khairul Iqbal. Semuanya dilakukan atas talian. Melalui e-mel dan Skype.

Dua hari selepas Elza Zaharah tamat peperiksaan akhir semester terakhirnya, dia menerima berita yang Khairul Iqbal meninggal dunia akibat kemalangan. Selepas kematian ibu dan ayah, kegembiraannya bersuamikan Khairul Iqbal juga tidak berkekalan. Maka, untuk meneruskan ingatannya terhadap arwah suaminya, inilah yang dilakukannya sebagai satu komitmen seumur hidup.

Di dalam kedinginan malam di Kampung Api-Api, Pagoh, Elza Zaharah akhirnya menutupkan mata. Melepaskan sementara apa sahaja yang berat di bahunya dan berselirat di akal fikirannya.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.