Home Novel Cinta MEETING YOU IS FUN
1-Bab 1

KUALA LUMPUR, sebuah metropolis yang penuh dengan peluang. Peluang pekerjaan. Peluang mencari jodoh. Peluang belajar. Selagi ada rezeki, dan jika nak dibandingkan dengan bandar-bandar lain, Kuala Lumpur ialah sebuah pilihan tepat untuk menukar nasib selagi tahu macammana nak hidup dan menghadap cabaran di sini. The heart of economy for the nation, bak kata TV.

Ayen menghela nafas panjang, melihat KLCC dari jauh dari sebuah taman perumahan yang tidak dikenali. Tubuhnya yang pendek dan agak gendut dikenakan kebaya hijau sampai dah jadi macam sarung nangka. Untuk elak nampak hodoh, dia mengenakan pula blazer. Barulah segak sikit.

Pagi tadi dia ada temuduga kerja. Itu selesai. Dan sekarang, dia ada temuduga jodoh pula kerana emaknya memasangkan dia dengan seorang lelaki yang dah beristeri tetapi nak tambah satu lagi. Si isteri pula bersetuju.

Haram jadah. Kenapa tak cukup dengan seorang?! Tak faham aku!

Alah, dua bukannya banyak sangat.

Tengok konteks la Yen. Kalau dua ringgit, memang tak banyak. Kalau dua isteri, lagi rela hadap kiamat!

Drama nau...

Muka diraup, sebal kerana bergaduh dengan diri sendiri. Pandangan ditebar pada dua khemah besar yang didirikan di hadapan sebuah rumah – sebuah kenduri kahwin. Lelaki yang sepatutnya ditemuinya itu ialah abang kepada pengantin. Ayen belum memaklumkan yang dia dah tiba, dan rasanya dia nak makan dulu bagi mengisi kekuatan sebelum menghadap dugaan hidup selepas ini.

Pinggan diisi penuh dengan lauk pauk, air sirap bandung menemani seleranya pada tengah harii tu, dan dia memilih meja di hujung sekali. Mujur tak ramai orang. Pinggan dan cawan diletakkan di atas meja. Bagi menemani makan, Youtube dijadikan peneman. Sempat menangkap notifikasi WhatsApp dari isteri lelaki itu.

Suhaila namanya. Kategori solehah sampai sudi membantu suaminya mencari jodoh kedua sekaligus membantu anak dara macam dia yang masih belum menemui jodoh selepas usia 34 tahun.

Suhaila: < Kalau dah sampai, bagitau akak 😊>

"Anggap la aku tak baca..." desisnya, sambil terbalikkan Oppo ke atas meja. Kemudian daging hitam direnung, terasa hilang selera.

Dah berumur 34 tetapi belum berkahwin. Tiada pekerjaan tetap, tiada rumah, tiada calon hidup, dan menumpang rumah emaknya. Mujur masih ada masa dan tenaga untuk dihabiskan dengan membuat pelbagai jenis manual labor sampai mampu membeli Axia second hand. Simpanan pun cukup untuk maintenance, duit minyak dan tol, serta shopping 6 bulan sekali. Rezeki menjaga ibu yang hidup itu memang tidak terkata nikmatnya, tapi jika dibandingkan dengan kejayaan hidup rakan-rakannya yang lain, sekali sekala Ayen terasa nak bunuh diri kerana prestasi hidup yang merudum begini.

Tubuh badan dilihat. Tidak cantik.

Pipi kanan disentuh. Ada parut bergaris yang cukup visible di situ.

Kecantikan wajah? Tolerable. Tak terlalu cantik, dan tidak terlalu hodoh sampai dijadikan bahan buli. Sekadar cukup bagi golongan sederhana.

Hati diteliti. Bukannya dia tidak mencuba nak mencari lelaki, dan ada juga yang sudi menghulur tangan kerana mereka tak semuanya jahat bangang... tetapi akhirnya Ayen sendiri yang menolak tawaran sampai emaknya marah. Dia tak pasti kenapa dia menolak. Memang dia nak kahwin tapi dia malas nak hadap perangai lelaki.

Entahlah... mungkin sebenarnya dia perlukan terapi berbanding hubungan peribadi.

Atau mungkin sebab dia belum berjumpa dengan seseorang yang betul-betul boleh menarik hatinya sebagai seorang perempuan.

Nafas ditarik sedalam-dalamnya, sebal lagi dengan diri sendiri. Kalau dia bersetuju menikahi pasangan Amer dan Suhaila ini, mungkin dia akan ada ruang untuk diri sendiri dan tak perlu melayan lelaki itu 24 jam sehari. Kebebasan masih ada untuknya.

Itulah juga satu-satunya alasan kenapa dia sudi mempertimbangkan usaha emaknya kali ini.

"NURUL AIN!!"

"Oh mak datuk!"

Lantangnya suara garau itu macam halilintar di tengah-tengah cuaca cerah pada tengah hari ini. Semua tetamu terkejut beruk. Mereka semua mencerlang ke tengah khemah, pada seorang lelaki tinggi berkemeja hitam dan jeans. Ah, mat saleh. Kulit mukanya nampak merah dan hidung juga kembang kempis mengapung nafas.

Lelaki itu menoleh-noleh macam tengah kusut mencari seseorang. Cari orang bernama Nurul Ain, kah?

Nama sebenar Ayen ialah Nurul Ain, tetapi dia tak kenal mat saleh itu.

"Sesiapa yang bernama Nurul Ain, saya perlu bercakap dengan awak!"

Good command of Malay, well done. Tapi aikk??

Dua tiga saat, masih tiada respon yang memberansangkan. Disaat lelaki itu hampir-hampir putus asa, Ayen perlahan-lahan mengangkat tangan.

"Saya Nurul Ain."

Mereka bertentangan pandang. Dan saat melihat sepasang mata biru kilat itu, Ayen menyumpah dalam hati.

Dia kenal si penipu ini....


EGANN masih mengapung nafas. Antara cuba menenangkan kelibut atau menghadam dan mengecam wajah bulat di hadapannya.

"Kau ialah..." ujar Egann bersama nafas tertahan. Ingatannya sedikit kabur, tetapi parut di pipi kanan itu cukup untuk mengesahkan apa yang dilihatnya sekarang ini.. Perempuan ini ialah Nurul Ain yang cuba menipu duitnya dahulu.... Dan dialah 'Nurul Ain' yang digunakan sebagai bahan menipu bila ahli keluarganya bertanya siapa teman wanitanya! Ye la, masa tu dia tengah bergaduh dengan perempuan ini di dalam telefon. Dan bila keluarganya bertanya, dia terus mengaku girlfriend tanpa memikirkan kesan yang jauh dan panjang.

Masa berjalan, pelbagai kejadian berlaku, hinggalah dia mengalami masalah besar dan dia perlu membuktikan 'Nurul Ain' betul-betul ada dan wujud untuk dibentangkan pada ahli keluarganya. Paling tak boleh blah sekarang ni, 'Nurul Ain' itu betul-betul ada di depan matanya pada masa yang tepat!! Pintu langit tengah terbuka ke apa? Tapi Allah masih sudi dengar dan tunaikan doa dari lelaki macam dia, kah?

Bertalu-talu soalan keluar dalam kepala. Terlalu mukjizat rasanya sampai dia benar-benar meragui apa yang dilihatnya ketika ini.

Wanita berkebaya hijau macam guni membalut cempedak itu menjungkit sebelah kening. Berbanding si lelaki, Ayen sememangnya mengecam Egann kerana muka kacak berjambang kemas itu mudah diingati.

"Right. Sorry. Saya pekak sikit hari ini. Awak salah orang." Tangan diawang-awang, isyarat menghalau.

Suaranya juga sama! Tanpa membuang masa, Egann meloncat ke kerusi di sebelah si perempuan bersama sinaran mata seterang mentari. Di matanya ketika ini, Ayen dah macam lampu lighthouse yang menjadi penunjuk arah semasa dia tengah dilambung arus laut serta hilang arah tuju bahana radar rosak.

"Kau Nurul Ain the mortician, right?! Ingat aku tak?!" Rakus bertanya. Kerana dia dah tak cukup masa!

"Muka penipu macam kau? Tak ingat," cemik Ayen sambil mencapai Oppo. Sekadar refleks sebab nak konon-konon tunjuk busy. Nasi dah sekadar tinggal hiasan di atas meja.

Itu jawapan sakit hati yang tulen. Sengih meleret terus. "It's really you. Thank God." Lega. Kerusi ditarik hingga mereka benar-benar rapat, cukup rapat hingga lututnya bertemu dengan paha yang melimpah ke tepi kerusi itu. Ayen mengensot sedikit ke tepi. "Jimat masa aku nak buat sesi perkenalan panjang-panjang. Look, I need your help. Right here. Right now. No question asked."

"Mak saya pesan, jangan bercakap dengan stranger. Tambah-tambah nak tolong orang yang tak kenal. Entah-entah penipu tahik kucing telur busuk bangkai reput."

"Kau marah apa ni?"

Melopong dibuatnya. "Engkau tipu aku!" Mata dicerlangkan.

"Kau yang cuba nak tipu aku dulu." Masih dengan senyum suka.

"Sebab aku memang perlukan duit! Kalau kau tahu sangat pasal background family aku lepas kau sesuka hati siasat aku macamlah aku anak Najib, the least you can do ialah bagi upah aku properly sebab aku risikokan integriti aku semata nak cari duit lebih support family aku! Aku bukan buat kerja tu sebab aku suka!"

"Support family, hahah! Kau anak dara tua yang duduk dengan mak kau, je pun. Mana ada orang lain dalam hidup kau."

Ayen mencerlangkan mata seluasnya, berhasil mematikan ketawa si lelaki.

Kedua belah tangan diangkat ke paras bahu siap dengan muka bersalah. "Aku minta maaf kalau kau sentap, tapi apa yang aku cakap tu betul. Satu lagi, bullshit kau tak suka kerja kau. Takda siapa buat kerja mortician pakai alasan 'terpaksa' sedangkan ada je kerja lain yang lebih bersih dan wangi dan boleh duduk dalam aircond dan boleh dapat gaji bulanan serta medical benefit berbanding dapat upah yang murah yang hanya datang bila disuruh datang."

Itu betul. Celaka, pandai pula lelaki ni menjawab, dengus Ayen dalam hati. "Kau cari aku lagi, kenapa?" soalnya kemudian. Berniat mahu menghabiskan perbualan itu lekas.

Egann mendiam seketika, merenung seluruh wajah berparut di depannya. Pipi yang tembam, mata bulat serta kening tebal yang hitam walau tidak setebal Elfira Loy. Tetapi secara keseluruhan, perempuan ini masih memiliki rias yang comel – sememangnya cukup untuk meyakinkan Saiful dan yang lain.

"Aku perlukan girlfriend."

Berkerut terus dahi Ayen. "So?"

"Aku perlukan girlfriend palsu... yang bernama Nurul Ain," tambah Egann lagi, menekan perkataan palsu. Perhatian teralih bila terpandang pergerakan di muka pintu. Alamak, Saif dah keluar rumah! Dia dah kesuntukan masa nak memberi penjelasan penuh! Lalu muka Ayen ditarik supaya menentang mukanya. Penjelasan diberi sepadat dan seringkas yang boleh.

"Aku akan bagi kau upah kalau kau nak tapi adik aku nak jumpa girlfriend aku yang bernama Nurul Ain dan aku dah cakap kat dia awek aku bisu orangnya jadi tolong aku untuk hari ni je and please please please be cool with it – hey Saif..." Egann melakar senyuman luas bila Saiful tiba di hadapan meja mereka.

"Lepak sini rupanya... dia siapa?" Pada si wanita berkebaya hijau, soalan dilontar.

"Dialah girlfriend abang..." Masih dengan senyum pada muka serta dada yang berdebar kencang, lengan direhatkan di belakang kerusi Ayen. "Awek bisu yang abang cerita dekat kau sejak minggu lepas... the one and truly, Nurul Ain..." Gadis tembam yang merenungnya dengan muka ketat itu diberi senyum serta mata yang dibulatkan.

Tolong aku!! Hatinya menjerit.

Ah, sengal la dia ni... desis Ayen dalam hati sebelum menoleh pada pemuda berkaca mata yang baru sampai itu. Bibir ditarik ke kiri, memaksa leretan senyum. Masih kurang yakin dengan peranan girlfriend ad-hoc yang dia perlu mainkan sekarang.

Si adik melabuh duduk di hadapan wanita berkebaya hijau itu. "Huh. So you're Nurul Ain? Macammana boleh kenal abang?"

Tak sempat Ayen menyahut, Egann memotong lekas. "Dia bisu, Saif... jadi dia tak boleh nak jawab soalan kau. Jadi kau boleh tanya abang je heheh." Ayen yang mengerling dengan renungan tajam dipandang sekali lagi, menghantar isyarat meminta wanita itu menangkap karakter lakonan yang perlu dibuat.

"Oh yeke. Takpa. Saif tahu sign language."

"You what?" Termati terus senyuman Egann. Saif yang dah mula menarikan tangan di udara demi berbahasa dengan teman wanita palsu bisu di sebelahnya, dipandang dengan muka pucat. "A-Ain tak prefer buat sign language. Dia ada jari gemuk macam sosej. Dia segan nak tunjuk tangan dia dekat orang."

Buk! Percuma dapat siku di rusuk. Sambil menahan sakit, dia terkejut lagi bila melihat Ayen membalas salam perkenalan Saif, juga menggunakan sign language. Seketika, Egann melopong. Terlalu terkejut hingga kelu lidahnya.

"Ka-kau pun boleh..." Kata-kata lekas dimatikan, mengelak kantoi. Saif dikerling sekilas sebelum mengembalikan perhatian penuh pada perempuan yang mengejutkannya ini. "You tak segan nak tunjuk tangan gemuk you depan adik I eh..."

Kali ini pinggangnya pula dicubit. Si lelaki hanya mampu menahan sakit dalam pasrah.

Seterusnya, Ayen dan Saif terus berbual menggunakan sign language. Sebuah perbualan bersifat privasi terutama bagi individu yang langsung tidak faham dan hanya mampu melihat. Ketika ini, Egann terfikir, mudahnya hidup kalau ada yang cipta aplikasi yang boleh menangkap gerak tubuh sign language menggunakan handset, dan terus di-translate kepada bentuk kata-kata. Revolusi dunia linguistik gitu.

Saif dan Ayen tiba-tiba tergelak, memanggil Egann untuk bertanya.

"Korang gelak apa?"

"Pasal abang," sahut Saif dalam tawa.

Hidung si abang terjungkit. "Sure..." Kurang asam umpat orang depan-depan. Mentang-mentang aku tak faham.

"Oh, nak gerak dah? Okay bye."

Teguran Saif memecahkan lamunan Egann. Di ekor mata, Ayen sedang menolak kerusi untuk bangun. Refleks lengan yang empuk dengan lemak tepu itu digenggam. Tingkah si wanita terhenti. Egann merenung wajah itu, mengharap sesuatu dari bisu si perempuan.

"You helped me... right?"

Bisikan pengesahan yang berisi sedikit rasa takut kerana benar-benar meminta dibantu.

Nada itu berjaya dikesan, seperti tajamnya hidung anjing polis G19. Ayen menguntum senyum lagi, lebih ikhlas dan lembut sekali. Tanpa membalas apa, dia melangkah menjauh.

Kedua-dua beradik bermata biru kilat itu memandang lenggok punggung Ayen meninggalkan mereka demi mendekati Puan Rina, jiran mereka yang mengadakan kenduri kahwin pada hari ini. Jiran mereka itu menyapa Ayen bersama senyum. Mereka saling berkata hai, berpelukan, dan kemudian berbual berkenaan apa entah.

Berbual.

Egann mengurut dahi bersama senyum ironi. Hari ini memang bukan hari dia. Tanpa melepas renung pada wanita berkebaya hijau itu, Egann memanjangkan leher pada adik lelakinya.

"So, tell me... abang kantoi bila?"

"Her first sentence. Dia bagitau Saif yang abang mintak dia menipu."

Cis.

"Semua benda yang jadi hari ini takda dalam plan abang, Saif..." keluhnya dengan bahu terjatuh seperti ditarik graviti.

"Kenapa sanggup menipu segigih itu? Sampai main petik mana-mana perempuan yang kebetulan lalu dalam hidup abang?"

"Kalau boleh yakinkan kau yang abang mampu mencintai seorang perempuan macam lelaki normal, abang akan tipu kau sampai kiamat."

Kening Saif terangkat. "Sampai macam tu sekali?"

Egann menoleh serius. "Will you stop hating me if I still like men?"

"No."

"Then, why're we having this conversation?"

Saif mengeluh pendek. Betullah tu. Perhatian kembali dijatuhkan pada Ayen yang menerima sampul dari Puan Rina. "Bila dia cakap dia tak tahu kenapa abang minta dia menipu sebagai girlfriend abang, Saif explain kat dia yang abang sebenarnya lelaki gay yang cari pelakon perempuan untuk berlakon depan masyarakat, termasuklah family kita."

"Of course you did..." Kepala jatuh. Betul-betul kantoi dari A sampai Z. Patutlah muka Ayen macam geli bila melihat dia tadi.

"Hahaha. Saif cuma taknak abang gunakan dia sebagai mangsa mainan abang macam semua ladies sebelum ni. She deserve to know. Saif siap tuduh dia terima upah dari abang."

"Aha... dia cakap apa?"

Saif menjeling. "Dia suruh Saif belajar percayakan abang sendiri berbanding tuduh melulu."

Mata Egann membulat. Saif dipandang dengan muka tak percaya.

Si adik pula menolak cermin mata bingkai hitam ke pangkal hidung. "Its either dia baru terima duit ribu riban dari abang... atau you just found yourself a keeper. Either way, I liked her," komennya.

Egann mengemam bibir. "So kau okay? Kau tak marah abang tipu?"

Saif memberi jeling malas. "Saif terlalu penat nak ambik peduli perangai abang sekarang ni. Aunty Yana yang nak sangat tengok girlfriend abang yang abang dah canang dekat Eli. Padan muka. Saif taknak tolong." Dia bangkit. "Jom sambung kerja. Awan collapse. Eli hilang entah ke mana. Kita punya workforce tinggal abang dengan Saif je hari ni nak siapkan semua benda."

"Aduh la hai..." Kepala ditolak ke belakang bersama keluh.

Nak dijadikan cerita, Puan Rina meminta servis katering dari Puan Diyana. Walaupun sebenarnya mereka dah tidak meneruskan bisnes itu, tetapi demi menunaikan request dari jirannya sendiri, Puan Diyana memanggil anak-anak angkatnya, Egann dan Saif untuk membantu. Sebagai anak yang menumpang kasih sejak kecil, dua beradik keturunan Barat itu akur macam anak taat.

Benda sepatutnya mudah, tetapi bahana anak-anak kandung Puan Diyana bergaduh sesama sendiri kerana berebutkan Saif sampai dua-dua tak boleh bekerja, sumber manusia tinggal separuh. Dari malam tadi dia bekerja tak berhenti nak siapkan nasi dan enam lauk untuk majlis hari ini, sampai sekarang kena balun. Kerja dia sepatutnya duduk sedap-sedap dalam bilik berhawa dingin, bukan kerja yang memerlukan tenaga kasar macam ni...

Ilham tiba-tiba turun dari langit. Egann menoleh lipat maut pada si adik lelaki. "Abang tau someone yang boleh bantu kita!" sengihnya bersama mata yang bersinar. Belum sempat Saif nak bertanya siapa, si abang terlebih dahulu meloncat dari kerusi hingga kerusi itu terjatuh ke tepi. Dia memecut mengejar langkah Ayen yang dah pun berjalan jauh meninggalkan kanopi.

Next: 1-Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.