Home Novel Cinta Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 46

“ Selamat kembali Syam.”

Nadia Asyila melebarkan senyumannya. Wajah Iqmal Hisyam menyambutnya dengan pandangan wajah yang seakan kosong. Sengaja. Tetapi hanya untuk seketika. Sesaat kemudian dia melemparkan senyuman yang paling manis. Paling bermakna. Seakan menjanjikan sinar baru akan menghiasi kehidupan mereka nanti.

“ Tak panas ke pakai baju ni?”

Usikan itu membuatkan Nadia Asyila tergelak.

“Jom kahwin”.

Kata-kata yang terucap di bibir Nadia Asyila itu membuatkan Iqmal Hisyam tersedak. Mereka rindukan kebebasan gelak ketawa selama ini yang seakan turut terpenjara. Sekarang mereka bebas dengan segalanya. Untuk seketika, pasangan itu saling meramas mesra jemari yang sejak tadi bertaut.

Menghampiri jarak lima puluh meter, di sebalik sebatang pokok yang berdiri gagah, Fazar Azameer meraup muka sambil memejam matanya. Seakan terseksa dengan apa yang dilihatnya.

Memang dia yakin dan amat pasti kini yang cinta Nadia Asyila sudah terkubur untuk dirinya. Walaupun kenyataannya yang dia perlu sedar hakikat itu sejak lama dahulu. Sekarang, akalnya memberitahu hati yang perasaan gadis terhadapnya memang telah lama terkubur.

Sekarang dia yakin yang realiti itu wujud untuk selamanya. Akalnya juga sedar yang sememangnya dia tidak layak untuk gadis itu. Bukan sahaja untuk masa sekarang tetapi untuk masa-masa yang lalu juga.

Kebodohannya telah meragut segala-galanya. Apa yang dikejarinya selama ini adalah kepalsuan yang menyakitkan. Betapa suci hati gadis yang selama ini dipermainkannya.

Matanya memandang sekali lagi aksi yang nyata terakam di matanya. Kemesraan kedua-dua pencinta yang jauh di hadapannya menyentak hebat jantungnya.

“ Kau selayaknya mendapat kebahagiaan daripada orang yang kau cintai. Aku tahu yang Hisyam akan bahagiakan kau. Dan aku yakin yang dia takkan pernah sekali-kali mengecewakan kau.”

“ Bukan sahaja aku, malah dunia juga tahu. Semoga kau akan mendapat apa yang kau impikan selama ini. Aku sebetulnya manusia yang tidak layak mendapat insan sebaikmu. Maafkan aku Nadia.”

Dengan monolog yang diterbitkan khas dari lubuk hatinya, Fazar Azameer memanjangkan langkahannya untuk menjauh dari tempat itu. Dia mempunyai destinasi yang baru. Dia akan mengekalkan dirinya di satu tempat yang selama ini dijadikan sebagai tempat dia menyembunyikan dirinya.

Telah lima tahun dia menghilangkan diri dan bertapuk di tempat yang tidak diketahui oleh sesiapa yang rapat dengannya. Untuk kali ini, dia akan kembali lagi ke tempat itu. Tempat yang sama yang telah dijadikan satu destinasi yang paling tepat untuk dia menyibukkan dirinya. Untuk memudahkan dia melupakan rasa cintanya kepada wanita itu.

Dia yakin yang segala kekejaman yang dilakukannya terhadap Nadia Asyila selama ini sudah terbalas dengan penolakan cinta daripada wanita itu. Dia tahu bahawa Yang Maha Esa takkan berlaku kejam dengan hambanya.

Pasti ada takdir yang terindah yang terselit di dalam diari hidupnya. Dia cuma perlu menyusuri jalannya untuk mengisi ruang takdir itu.

Previous: Bab 45
Next: Bab 47

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurul jannah