Home Novel Cinta Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 38

Derapan langkah yang berderetan memenuhi ruang lantai Hospital Besar Kuala Lumpur. Perasaan cemas tergambar di wajah mereka yang membawa langkahan itu. Perkhabaran yang diterima adalah sesuatu yang amat memeranjatkan.

Destinasi dicari dengan penuh teliti. Walaupun bertindih dengan rasa cemas yang mendadak, namun dikuatkan semangat untuk menemui orang yang dicari.

“ Di sana.”

Syazwan menunjuk ke arah Nadia Asyila yang sedang melabuhkan duduknya di atas kerusi yang disediakan di luar bilik kecemasan. Perasaan yang berombak di dadanya kini lebih hebat dari segala-galanya.

Amierah berlari anak mendapatkan kawan kesayangannya. Dipeluk badan itu seerat mungkin. Bersifat matang untuk memberikan ketenangan. Dia tahu apa rasa yang menghuni hati kawannya itu kala ini.

Sememangnya dugaan ilahi maha hebat. Setengah jam tadi telefon bimbitnya menjerit minta diangkat. Dipandang skrin handphone itu yang tertera nama kawan baiknya. Disambut dengan girang tetapi kawannya membalas dengan tangisan. Sesuatu yang amat memeranjatkan.

Perkhabaran diterima bahawa kereta yang dipandu oleh Doktor Syarif terlibat dalam kemalangan. Penumpangnya pula adalah Nadia Asyila dan Iqmal Hisyam. Doa terus dipanjatkan ke hadrat ilahi apabila mengetahui duduk perkara yang sebenar.

Kenderaan yang dipandu oleh doktor muda itu gagal mengelak kenderaan yang datang di hadapannya. Akibatnya, bahagian hadapan kereta milik Nadia Asyila remuk teruk.

Dan apa yang menyebabkan kemalangan itu lebih tragis ialah doktor muda itu mengalami pendarahan yang parah di bahagian kepala sehingga mencabut nyawanya. Nafas doktor muda itu ternoktah di tempat kejadian.

Keadaan kakinya yang tersepit di tempat pemandu amat menyedihkan dan mampu menerbitkan air mata sesiapa sahaja yang melihat.

Iqmal Hisyam turut mengalami kecederaan yang agak parah di bahagian kepala dan anggota badan. Sekarang lelaki itu sedang bertarung nyawa di bilik kecemasan yang luarannya dipisahkan dengan dinding yang membawa kepada air mata Nadia Asyila. Keadaan sebenar lelaki yang dicintai oleh wanita itu masih dalam teka-teki.

Manakala Nadia Asyila pula hanya mengalami lukan ringan dan hanya dirawat sebagai pesakit luar. Dia beruntung kerana bahagian belakang kereta hanya mengalami keremukan yang sedikit. Pemandu lori yang merempuh kereta yang mereka naiki hilang selepas kejadian. Pihak polis masih menyiasat punca kejadian.

Jam di pergelangan tangan Syazwan dipandang. Jarum pendek jam tangan itu sudah membawa ke angka enam. Bermakna sudah lebih empat jam mereka berada di luar bilik kecemasan itu.

Lampu merah yang menyala di bahagian atas pintu di luar bilik itu masih tidak penat memainkan peranannya. Jenuh sudah mereka yang berada di luar bilik itu menunggu supaya lampu itu memadamkan cahayanya.

Lima belas minit berlalu, serentak dengan itu lampu yang menyala itu terpadam. Pantas Nadia Asyila bangun. Menunggu doktor yang merawat kekasih hatinya keluar dari bilik yang sejak tadi mendera hatinya. Seketika kemudian, pintu itu dibuka dari dalam. Pantas Nadia Asyila mendapatkan doktor yang masih tidak menanggalkan penutup mulut yang dipakainya.

“ Macam mana dengan keadaan dia doktor?”

“ Akibat hentakan yang kuat pada kepalanya, ada darah beku yang terkumpul pada sebelah kiri kepalanya. Kami telah berjaya keluarkan darah beku tersebut. Dan keadaannya sekarang tidak lagi kritikal tetapi masih dalam keadaan yang bahaya.”

Nadia Asyila menggeleng kepalanya berkali-kali mendengar kenyataan yang diluahkan oleh doktor yang umurnya sudah mencecah separuh abad itu. Sukar untuk mempercayai dugaan yang menimpa dirinya. Segalanya datang bertimpa-timpa tanpa diundang.

“ Sekarang pesakit masih lagi lemah dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan sebagai sokongan. Melihat daripada keadaannnya sekarang, saya sendiri tidak dapat mengagak bila pesakit akan sedar.”

“ Jadi maksud doktor, Hisyam koma?”

“ Begitulah.”

Nadia Asyila masih setia dengan air jernih yang mengalir dari kelopak matanya. Tidak kering sejak awal tadi. Sudah jelas menampakkan bengkak yang mula menghiasi tubir matanya. Badannya lembik kini. Terlalu lemah.

Pegangan tangan Amierah yang melingkari lengannya dirasakan berat. Tanpa dapat Amierah menduga, terlebih dahulu badan wanita itu jatuh menyembah lantai hospital. Keadaan menjadi kalut tanpa Nadia Asyila sedari.

Amierah cuba melakukan suapan untuk kali yang ketiga. Nasi cuba dirapatkan ke mulut kawannya. Namun, saat nasi itu menghampiri bibirnya, Nadia Asyila memalingkan wajah. Amierah mengeluh dengan keadaan temannya itu.

Sudah tiga hari selera wanita itu mati. Tidak membenarkan walau sebutir nasi pun menyinggahi perutnya. Keadaan ini amat memberi kesan kepada kawan-kawan yang menghuni banglo dua tingkat itu.

Mereka sudah mencuba untuk melakukan yang terbaik. Namun segalanya hanya sia-sia. Amierah sedar yang mungkin temannya itu merajuk dengan dirinya kerana dia berkeras untuk tidak membenarkan Nadia Asyila melawat Iqmal Hisyam di hospital.

Dia bukan bertindak kejam. Hanya untuk melakukan yang terbaik. Nadia Asyila terlalu lemah. Iqmal Hisyam pula masih tidak menunjukkan apa-apa perubahan yang positif. Masih menggunakan alat bantuan pernafasan untuk membantunya terus mendapat oksigen. Keadaan itu sungguh menyedihkan.

“ Kami mahukan yang terbaik untuk kau. Kami tahu kau terlalu terbeban dengan semua ini. Kau takkan dapat tenaga kalau keadaan berterusan macam ni. Kau takkan boleh jaga Syam pun kalau kau tak dapat nak jaga diri kau sendiri.”

“Tolonglah. Aku merayu pada kau. Makanlah sedikit. Ambik tenaga kau. Ambik kekuatan kau untuk menjadi bekalan kalau betul kau nak jaga Syam. Aku takkan halang lagi asalkan kau ada tenaga untuk buat semua tu. Aku janji.”

Amierah cuba memujuk kawnnya itu. Simpatinya menggunung. Untuk memandang wajah yang lesu di hadapannya kini seakan satu kesakitan. Menjalar perlahan-lahan menyinggahi hatinya dan teman-teman yang lain.

“ Kau tak boleh berserah macam ni Nadia. Kau kena lawan. Kami ada bersama kau. Kami takkan pernah biarkan kau bersendirian.”

“ Dengan keadaan kau yang macam ni. Kau bukan sahaja menyeksa diri kau. Tetapi juga menyeksa kami.”

Azrin menuturkan bicara itu. Mahu turut sama menyedarkan kawannya yang semakin hanyut dengan dugaan yang diberi ilahi.

“ Jangan kau hukum diri kau sebegini. Tanpa kau sedar kami juga berasa terhukum. Kau tak boleh buat kami macam ni.”

Kata-kata Aini itu mendapat anggukan dari semua.

“ Kamu tak sedar yang aku bukan sahaja terbeban dengan keadaan Syam. Tetapi aku rasa bersalah dengan apa yang berlaku kepada Doktor Syarif. Aku yang menyebabkan dia hilang nyawa.”

“ Kalau aku tak pandai-pandai untuk mencadangkan supaya membawa Syam keluar, pasti semua ini takkan berlaku. Semua ni salah aku. Salah aku. Aku yang bersalah. Kau orang tahu tak aku yang bersalah.”

Kata-kata itu dihamburkan dengan tangisan yang semakin beraja.

“ Astagfirullahhalazim. Apa yang kau cakap ni Nadia? Mengucap banyak-banyak. Ajal dan maut semuanya di tangan Tuhan. Dia dah tentukan segalanya. Kita takkan dapat mengubahnya.”

Amierah cuba memujuk kawannya yang semakin layu dan hampir tewas itu.

“ Memang. Memang segalanya telah ditentukan olehNya. Selepas ini aku tahu yang Dia akan mengambil nyawa Hisyam. Dia akan merampas segala-galanya milik aku. takdirnya selalu kejam dengan aku. Tak pernah membuat aku rasa bahagia dalam hidup ni.”

“ Mengucap Nadia. Jangan salahkan takdir. Kita tak layak untuk mempertikaikan apa yang telah disuratkan olehNya. Allah takkan pernah memberi dugaan pada hambaNya kalau Dia tahu kita tak dapat mengatasi dugaan itu.”

Nada yang dituturkan Amierah sedikit keras.

“ Ya Nadia. Sepatutnya dalam keadaan sekarang kau tak boleh menyerah macam ni. Kau tak boleh tewas. Kau perlu bangkit. Buktikan pada kami semua yang kau boleh tempuhi ujian ni. Raih kembali semangat kau. Lemparkan senyuman kau pada Syam bila dia bangun nanti. Biar kau menjadi orang pertama yang dia lihat.”

Shahrina menyentuh pipi kawan yang disayanginya itu.

“ Kau perlu bangkit Nadia. Kau perlukan kekuatan. Syam perlukan kau.”

“ Kalaulah aku dapat lakukan apa yang kamu semua cakap.”

“ Memang kau dapat lakukan kalau itu kehendak kau. Dah lama kami kenal kau. Kau bukan seseorang yang cepat mengalah. Kesabaran dan ketabahan kau jauh lebih tinggi daripada kami. Kau cuma perlu bangkit. Cari kembali diri kau yang dulu. Kami semua rindukannya.”

Nadia Asyila menyapu air jernih yang mengalir di pipinya dengan belakang tangan. Dia beristigfar perlahan-lahan. Kembali melihat lurus ke jalan ilahi. Tidak sepatutnya dia bertindak mengeluarkan ayat sebegitu seketika tadi.

“ Sebenarnya hidup aku tak pernah sunyi dengan persahabatan kamu. Aku terlalu alpa dalam dugaan ini. Aku akan bangun. Untuk kamu semua. Untuk semua orang yang menyayangi aku. Untuk diri aku dan juga untuk Syam.”

Pelukan kemas diberikan oleh teman-teman rapatnya. Dia sedar yang sebenarnya dia sentiasa beruntung walau dalam kepayahan apa sekalipun yang dia alami. Itulah yang diperolehinya sejak dulu. Dia baru menyedari hakikat itu kini.

Cuba meraih kembali akalnya untuk berfikiran dengan waras. Sudah cukup apa yang menimpa Hisyam. Dia akan cuba memperbetulkan segalanya. Dia akan lakukan yang terbaik untuk meneruskan kehidupannya.

Akan dipanjatkan doa ke hadrat ilahi untuk sesuatu sinar dalam hidupnya bersama Hisyam. Apabila sinar itu muncul, dia takkan pernah melepaskannya pergi. Walaupun hanya untuk sedetik. Takkan pernah.

Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurul jannah