BAB 10
QUE masuk semula ke pejabat ketika
jam sudah hampir ke angka 6. Sangkut dalam kesesakan jalan, tadi. Waktu puncak.
Semua orang berebut mahu balik. Sudah tidak sabar mahu meninggalkan kesesakan
minda di tempat kerja agaknya. Itu yang tidak menyempat-nyempat. Semua mahu
cepat. Macamlah rumah boleh beralih kedudukan jika lewat seminit. Atau, tempat
yang dituju akan berubah jadi lain, jika sampai lambat. Langsung tidak fikir
keselamatan diri. Hmm...
Walaupun dia menunggang motor, kena
juga berhati-hati. Bukan tidak boleh untuk ‘cilok-mencilok’. Biasa saja dia
buat begitu. Tapi, keselamatan diri tetap nombor satu. Itu penting. Tidak
apalah dia mengalah. Tidak rugi apa pun. Orang lain mahu berebut siapa sampai
rumah dulu, biarlah. Dia, masih ada misi yang belum diselesaikan di pejabat.
Balik awal pun bukan ada suami yang menunggu. Hmm... Balik-balik mengadap Mai
dan Rin saja. Lambat balik pun tidak apa. Mereka akan faham.
Kepalanya ditolehkan ke arah
beberapa staf di bahagian akaun yang masih ada. Buat kerja lebih masa. Kan ke
ini sudah dekat akhir bulan. Tenaga mereka amat diperlukan untuk kepentingan
pekerja lain. Sibuk buat kira-kira pastinya. Hari gaji hampir tiba. Dia hanya
tersengih memandang mereka. Nama saja kerja lebih masa. Tapi, bukan buat kerja
sangat pun. Lebih kepada kerja berborak saja.
Ini, kalau bos nampak, harus kena
sembur. Menghabiskan duit syarikat saja. Kalau kerja betul-betul, tidak apalah
juga. Kufur nikmat betullah mereka ini. Sudah diberi peluang untuk cari duit
lebih, rezeki lebih, buat hal pula. Kerjalah betul-betul. Nanti kalau kerja lebih masakena sekat
terus, tahu pula marahkan syarikat, marahkan bos. Kata syarikat tidak adillah,
tidak berhati perutlah. Apa punya oranglah. Que ketawa sendiri. Dia pula yang
lebih-lebih. Macamlah ini syarikat dia. Bos tidak kata apa, dia yang sentap
tidak tentu hala. Bos, sedap-sedap sudah sampai rumah, terbongkang agaknya.
Lantas, dia menyimpan beg messengernya
di dalam lacimeja kerjanya.
Slip tandatangan penerimaan surat-surat yang dihantar, sudah diletakkan di atas
in tray Akma untuk tindakan selanjutnya. Dia berpatah semula ke bilik
pejabat El. Janjinya tadi, dia akan mengemas mana yang patut. Setakat yang dia
larat. Yang tidak larat, esok saja akan disambungnya. Yang pasti, Jess akan
diheret sama. Mana boleh dia buat tugas itu sendirian. Kena juga ada kawan.
Jess, calon yang paling sesuai.
Pintu yang sedia terbuka,
dilintasinya. Ditangannya sudah ada penyapu dan penyodok sampah. Diambil dari
bilik stor berdekatan pantry. Juga plastik hitam untuk mengumpul sampah
dan membuang apa yang tidak perlu. Langkahnya dilencongkan ke sudut kiri, di
mana serpihan-serpihan kaca masih betaburan. Berbahaya. Jadi, kena bersihkan
dulu. Yang lain, akan di buat mengikut giliran dan kepentingan. Kerja biar ada perancangan. Baru tidak kelam kabut.
Tidak ikut sama serabut macam bilik ini. Hmm...
Que mula mengutip serpihan-serpihan
kaca yang besar. Sesekali kepalanya digelengkan. Macam tidak percaya yang El
boleh mengamuk tahap seperti itu di pejabat. Apalah halnya sampai tidak mampu
hendak kawal nafsu amarah? Dibiarkan syaitan bermaharajalela. Masya-Allah...
Tidak senonoh betul! Tengok, siapa yang susah? Que juga. Siapa yang kena kemas?
Que juga. Siapa yang kena buat kerja percuma,
tanpa gaji? Bukan O, P, R atau S. Tapi, Que juga.
“Dia ni berlatih karate ke, apa?
Sampai bersepai pintu kabinet ni dikerjakannya? Isy! Isy! Isy! Kalau hebat sangat, tumbuklah dinding tu.
Buat apa kaca ni yang jadi mangsa. Baru tahu hebattak hebat.
Mahu bengkak seminggu tak susut-susut tangan tu,” bebel Que perlahan.
Bukan apa, saja nak hilangkan bosan.
Jadi, cakap sendirianlah. Cakap dengan penyapu, penyodok sampah, dinding, juga
dengan kaca yang pecah bersepai itu.
“Amboi! Sedap aje awak mengata saya,
ya? Siapa bagi mandat kat awak, kata macam tu kat saya?”
“Hei! Aduh!”
Tidak habis-habis dengan ‘mandat’
dia! Apa? Dia anak raja, ke? Cis tart lemau betul! Terkejut dibuatnya. Que
lipat maut menoleh untuk melihat siapa yang berada di belakangnya sambil tangan
kiri memegang jari telunjuk sebelah kanan yang terkena kaca. Terasa ngilu.
Ngilu benar.
“Aisey bos... Apa hal sergah orang
macam tu??? Nak gugur jantung sayalah, bos ni!” bebel Que.
“Eh! Maaf, Que. Saya tak bermaksud nak buat awak terperanjat.”
Mata El sudah tertancap pada jari Que yang luka. “Let me see your wound,”
kata El separuh kesal.
Kelam kabut jadinya dia bila melihat
jari Que sudah berdarah. Habislah dia! Anak dara orang itu. Mana dia sangka
kalau tegurannya itu bakal memeranjatkan Que. Ingatkan Que sedar dia ada di
situ.
“Tak apa! Tak apa! Sikit je ni,”
elak Que. Terkocoh-kocoh dia cuba menjarakkan diri dari El yang sudah mendekat
benar. Hendak tunjuk prihatinlah kot. “Saya ingat bos dah balik. Tadi, masa
saya masuk, tak nampak pun,” sambungnya lagi.
“Saya terlelap tadi... Berdarah tu.
Bagi saya tengok.”
Janganlah...
“Tak apa. Hal kecil aje. Tak sakit pun,” Que berikan alasan.
Janganlah macam ni, Mr. El.
“Let me see it. Cuba jangan
degil,” suaranya berbaur arahan tetapi lembut nadanya.
'Saya memang degil. Tak pernah
jangan-jangan.' Hati Que sudah gedebak-gedebuk.
“Janganlah...”
Que cuba menepis tangan El yang cuba
memegang tangannya. Janganlah terlalu baik dengannya. Dia risau. Nanti orang
lain salah anggap. Dia lebih risau, kalau dia yang salah anggap. Lagi haru-biru
nanti. Ditimpa perasaan sendiri. Sakit! Lagi sakit dari terluka di jari macam
ini. Betul!
“Que...” lembut El mengalun namanya.
Aduh! Ini yang lemah lutut. Boleh
pitam dia, kalau selalu macam ini. Boleh jatuh tangga. Ops! Salah... Jatuh
cinta!
“Janganlah, bos.”
“Kenapa?”
El sudah berdiri santai. Kedua
tangannya diselukkan ke poket.
“Nanti saya ‘cair’.”
Alamak!!! Terlepas pula! Itu, bukan
minda yang mengarah, tapi kuasa hati. Gila!
“Hah? You what? Awak ingat
saya ada kuasa voltan tinggi, ke? Pegang orang terus orang boleh jadi cair.”
Mungkin....
El sudah pecah tawanya. Galak.
‘Gelaklah. Gelak...’
Fuh! Selamat... Nasib baik dia tidak
faham. Kalau tidak... Alamat hari-hari dia kena pakai topenglah jawabnya. Que
turut sengih terpaksa. Mahu tutup kekalutan diri.
“Dah. Meh saya rawat luka tu,” putus
El akhirnya.
Kena juga, ke? Tidak mahu? Rawatlah
luka di hati ini.
“Que...”
Aduh! Dia buat lagi!
Namun, Que tiada reaksi. Hanya
berdiam. Melihat itu, El terus saja berlalu ke mejanya semula. Semakin lega Que
rasa. Selamat. Tapi, tidak sampai sesaat rasa lega itu sempat singgah.
Sangkanya, El mahu meneruskan kerja atau setidak-tidaknya lelaki itu mungkin
sudah mahu pulang. Tidak berkedip mata Que melihat langkah El yang mara ke
arahnya. Ditangannya sudah ada kotak first aid. Aisey! Mimpi ke, betul
ini? Ke, mata ini sudah tidak betul sebab jari terluka? Hmm... Mengong! Tiada
kaitan langsung.
“Duduk,” arah El serius.
Duduk?
“Duduk mana?”
El merenungnya tajam. Hinggakan
matanya mengecil. Tajamnya pandangan dia! Macam kaca ini juga. Boleh ‘luka’
jiwa dan raga. Betul! Mata dia lawa.
“Atas riba saya,” ucapnya selamba.
Mak!!! Tidak mahu! Que geleng
kepala. Muka Que sudah pucat. Kerja gila kalau dia bersetuju. Nanti mak marah,
kalau mak tahu.
“Sit down!” arah El lagi.
Agak keras.
Que memandangnya dengan wajah minta
simpati. Dia buat muka seposen. Que geleng kepala lagi, tanda enggan.
Mata dikuyukan tanda mohon pengertian. Comelnya dia buat macam itu! El
sudah mencarik segaris senyum. ‘Cair’lah tu! Itu baru sikit. Kalau Que buat
lebih-lebih, pasti terus jatuh tangga. Eh! Jatuh cinta.
“Here,” katanya lagi sambil
menepuk lantai mozek berwarna coklat muda itu. Ketika itu dia sudah pun duduk
bersila.
Que pandang El tidak berkelip mata.
Dia tunjuk mana? Sini ke, situ? Lantai ke, atas riba dia? Betullah mata ini
memang sudah tidak betul. Hendak rabun agaknya.
“Que, I said sit here, in front
of me not on my lap. Depan I, okey. Baru gurau macam tu dah pucat. Come,
sit here. Darah dah banyak keluar tu.”
Mahu tidak pucat. Cakap merapu macam
itu, siapa tidak cuak. Que tarik nafas dalam. Lepas itu, lepas sungguh-sungguh.
Sudah tidak sesak dada lagi. Rasa bertambah lega. Lantas, dia pun duduk bersila
di depan El, seperti yang diarahkan. Bos yang bagi arahan, kenalah patuh, kan?
Kira arahan yang tidak memudaratkan, tidak apa. Masih ampun lagi.
Tanpa banyak bicara, El memulakan
tugasnya. Merawat luka yang terpendam. Opss! Salah lagi. Merawat luka di jari
Que. Que hanya berdiam. Seperti biasa, dia akan tunduk sahaja, memerhati
jarinya yang sedang dirawat. Sedikit pun dia tidak memanggung kepala. Segan
sebenarnya. El pula, macam biasalah. Suka benar mencuri pandang pada Que yang
selalu bersembunyi di balik baseball capnya. Sungguh comel!
Pada mulanya memang El buat dengan
lembut dan cermat saja, ketika merawat luka Que. Sangat berhati-hati. Tapi,
bila melihat Que tiada reaksi dan hanya membisu sambil merenung jarinya saja,
El sengaja berlaku agak kasar. Kasar-kasar pun tetap berhati-hati juga. Sengaja
mahu lihat reaksi Que.
Namun, gadis itu hanya berkerut
wajahnya. Ada pun reaksinya, dia hanya menarik tangannya dari pegangan El. Tapi,
langsung tidak pandang ke wajah El. El pula yang pantas mencari wajahnya. Hampa
lagi. Untuk mendengar dia mengaduh atau memprotes, jangan haraplah. Tidak ada
punya. El mengeluh dalam hati. Sudahnya, dia cepat-cepat selesaikan kerja rawat
merawat itu. Kesian pula lihat Que yang berkerut wajahnya. Mungkin menahan
sakit. Mungkin sebab lain. Itu dia tidak pasti. Tapi, dia geram bila gadis itu
buat tidak faham saja. Haru betul!
“Done!”
Dipandang wajah Que yang sudah duduk
menegak. Tapi, Que tetap pandang jarinya yang sudah berplaster. Cantik
sangat ke plaster itu sampai sayang hendak buang pandang ke tempat lain?
Hampeh betullah minah seorang ini! Geram betul! Rasa mahu cuit dagunya, agar
Que pandang dia saat itu.
“Thanks, boss.”
Itu saja? Ingatkan panjanglah sikit
dia bercakap. Aduhai!
“Kata tak sakit, tapi muka tu
berkerut-kerut.”
Sengaja dia memanjangkan bicara.
Belum puas sebenarnya menatap wajah itu.
“Bos buat kasar sangat,” balas Que
bersahaja sambil membetulkan plaster yang bertindih di hujungnya. Bagi
lebih kemas.
“Karang kalau saya buat
lembut-lembut, awak ‘cair’ pula,” duganya lagi.
El menjeling ke arahnya dan senyum
meleret.
Hah??? Dia fahamlah. Malunya!!! Mana
besen? Hendak masukkan muka dalam besen. Aduh! Mak... Malunya!
“Saya bergurau aje tadi tu, bos.
Janganlah ambil serius.”
“Tapi, saya memang anggap ia
serius.”
Erk!!! Bala ini! Patutlah dia buat
kasar-kasar. Itu mesti tidak mahu Que ‘cair’ atau dalam bahasa yang lebih mudah,
jatuh hati pada dia. Sah! Mesti sudah ada awek. Kalau tidak, takkanlah dengan
Zira pun dia tolak. Kes setia tahap gabanlah dia ini. Bagus! Untung awek dia,
kan? Tidak payah risau-risau sebab boyfriend setia. Gigit jarilah
sesiapa yang ada menaruh hati padanya. Simpan sajalah hati itu. Kalau tidak,
makan hati nanti.