BAB 26
MALAM itu, mereka keluar lagi. Tapi,
kali ini bertiga. Aisy Iqram turut serta. Baru cukup ahli kumpulan. Selalunya,
kalau tidak dengan Aisy Iqram, dia hanya bersama Aisy Idham. Jarang benar
mereka dapat keluar bertiga begini. Hanya sesekali saja. Jika dapat begini
selalu, tentu seronok. Bila diperlukan, abang-abangnya sentiasa ada. Tapi,
setahun dua ini tidak mungkinlah keadaan itu akan menjadi kenyataan. Aisy Idham
masih ada beberapa tahun pengajiannya di luar negara. Selepas itu, barulah
agaknya mereka dapat berkumpul selalu macam hari ini. Itu pun, jika Aisy Idham
tidak menyambung kontrak kerjanya di sana.
Hari ini, Aisy Idham yang memandu.
Sudah gian, katanya. Lama tidak memandu di negara sendiri. Jadi, sementara dia
berada di sini, dia mahu memandu dan menghabiskan masa dengan adik-beradiknya,
terutama sekali Que. Tentang kereta, tidak perlu digaduhkan. Aisy Idham memang
sudah memiliki sebuah kereta sebelum berangkat ke luar negara lagi.
Sementara dia belajar, kereta
tersebut dijaga oleh Aisy Iqram. Kiranya, Aisy Iqram akan bergilir menggunakan
keretanya sendiri dengan kereta Aisy Idham. Tidak elok juga jika kereta
dibiarkan lama tanpa bergerak seinci pun, kan? Tiap-tiap bulan dia akan
menghantar kereta-kereta tersebut untuk diselenggara. Itulah kebiasaannya.
Sebab itu, keadaan kedua-dua kereta sangat baik keadaannya.
Pernah juga Aisy Idham dan Aisy
Iqram sendiri mencadangkan agar Que yang menggunakan kereta
tersebut semasa ketiadaannya tapi, ditolak secara baik oleh Que. Alasan
yang Que berikan, dia lebih selesa bermotosikal. Lagi mudah baginya. Memang dia
sudah memiliki lesen memandu tapi dia tidak berapa suka menempuh kesesakan lalu
lintas. Kedua-dua abangnya sentiasa menerima baik alasannya walaupun mereka
kurang bersetuju.
Bagi mereka, jika Que selesa
bermotosikal, biarlah begitu. Cuma, mereka seringkali menekankan aspek-aspek
keselamatan yang perlu di titik beratkan kerana menunggang motor lebih
berbahaya. Janji termeterai bila Que sendiri bersungguh-sungguh berjanji untuk
mengutamakan ciri-ciri keselamatan.
Tempat pertama yang mereka tujui
adalah shopping complex. Mereka sudah berjanji untuk membelikan Que apa
saja yang gadis itu mahu pada hari tersebut. Jadi, Que mengambil keputusan
untuk membeli beberapa kelengkapan dirinya dan sedikit pakaian baru. Jean corduroynya
pun sudah banyak yang agak lusuh. Inilah masa untuk menukar kepada yang baru.
Jean, sudah tentu. Paling kurang pun
dia akan membeli dua pasang. Kasut baru, mesti. Beg dan jaket kulit baru, juga
dalam pertimbangan. Sudah alang-alang ada orang mahu ‘menaja’ perbelanjaan buat
dirinya, apa salahnya jika dia gunakan kesempatan itu sepenuhnya. Bukan
seorang, tapi dua orang abangnya bermurah hati untuk membayar apa saja yang dia
ingini. Seronok, bukan?
“Corduroy? Jean lain, tak
nak?” tanya Aisy Idham buat kesekian kalinya.
Di tangannya sudah ada dua pasang
jean corduroy berwarna maroon dan navy blue yang dipilih
oleh Que sebentar tadi. Warna kesukaan Que. Sengaja dia bertanya sebelum
membuat pembayaran.
Que mengangguk beberapa kali. Dari
dulu, Que amat suka pada corduroy. Jarang benar dia memakai jean dari
jenis yang lain. Kira sudah macam trademark Que itu. Que + corduroy
= serasi. Paling tidak pun, akan nampak dia memaki jean denim ‘season’
sesekali.
“Tak nak ambil jean lain ke, Que.
Sesekali pakailah jean macam ni,” usul Aisy Iqram pula sambil menunjukkan
sepasang jean Levi’s slim fit yang terbaru di pasaran.
Que belek jean itu sebentar. Sekadar
meniliknya sambil lewa.
“Tak naklah, Long. Que lebih selesa
pakai corduroy.”
Kemudian, Aisy Idham pula mengambil
jean tersebut dari tangan Que. Dia membelek sama.
“Cutting ni, sesuai dengan
Que. Uda belikan satu lagi, ya. Mana tahu nanti kalau Que nak tukar selera.
Lagipun, ni tengah ada potongan harga. Tak rugi beli sekarang.”
“Nanti kalau tak pakai, kan ke
membazir namanya tu, Da.”
“Moral of the story, Que kena
pakailah kalau tak nak jadi membazir.”
“Kena ke?”
“Kena!” jawab abang-abangnya
serentak.
Erk! Dah macam Hitler pula lagak
kedua-dua abangnya ini.
“Kalau kita frame aje tak
boleh ke Long, Da. Buat kenang-kenangan.” Sengaja dia berseloroh.
Bulat mata kedua-dua abangnya
mendengar itu. Memang nakal adik mereka ini.
“Que yang Along frame nanti.
Nak? Ada pula nak frame jean ni,” jawab Aisy Iqram juga berseloroh.
“Okey juga tu, Long. Lepas tu, Along
letak Que yang dah kena frame tu kat pejabat Along. Jadinya, Que
sentiasa dekat dengan Along.”
“Eh! Mana aci macam tu!” Celah Aisy
Idham pula. “Uda nak separuh. Nak bawa balik overseas. Kalau rindu, boleh
tengok Que yang separuh tu. Kita potong dua ya, Long?”
“Hmm... Boleh juga. Adil macam tu,
kan? Along dapat, Uda pun dapat.”
Aisy Iqram mengangguk-anggukkan
kepala sambil jarinya bermain di bawah dagu.
Que jadi geram.
“Eh! Melampau... Ingat, Que ni
kertas A4 ke boleh main kerat-kerat macam tu. Abang-abang Que ni tak sayang kan
Que agaknya.”
“Dah tu? Nak sangat kena frame,
siapa suruh? Mengada-ngada!”
“Orang main-main ajelah. Along
dengan Uda ni serius sangat, kenapa? Nak gurau pun tak boleh! Marah orang pula!
Tak jadilah nak beli jean semua ni. Nanti Que beli sendiri lain kali,” runggut
Que terus. Sudah ada bunga-bunga merajuk.
“Alahai!!! Dah merajuk pula adik
kita ni, Da.”
“Siapa merajuk? Orang tak merajuk
pun.”
“Dah tu, kalau tak merajuk kenapa cancelled
beli jean ni?” tanya Aisy Idham pula.
“Orang dah hilang mood nak shopping.”
Sehabis ayat itu, Que terus berlalu keluar meninggalkan abang-abangnya.
Terpinga-pinga kedua lelaki itu.
Sejak bila Que jadi sesensitif begini? Tadi, dia sendiri kata hendak bergurau.
Ini, baru kena tekan sedikit, dia pula yang merajuk.
“Uda kejar Que tu. Along nak pergi
bayar dulu. Karang, makin jauh dia pergi. Dia tu bukan boleh dibiarkan,
Da. Kalau dah merajuk, angin satu badan. Pergilah... Along settle jean
ni dulu. Nanti Along followUda,” arah Aisy Iqram pada adiknya.
“Okey, Long. Nanti Uda sms, kat mana
kita tunggu Along, ya.”
Dia terus berlalu menjejak Que yang
sudah agak jauh. Entah ke mana hala tujunya. Que, kalau sudah merajuk,
begitulah gayanya. Menonong saja tanpa fikir apa-apa. Tidak kiralah keadaan itu
bahaya atau sebaliknya, langsung dia tidak ambil kira. Tuntutan hati yang
sedang gerhana lebih di utamakan. Hendak merawat hatilah kononnya itu. Yalah...
Untung sabut, timbul. Untung batu, tenggelam. Untung Que, adalah orang yang
sudi memujuk dirinya sekejap lagi.
Que sendiri tidak pasti hala
tujunya. Hanya mengikut langkah kaki dan kata hati yang sedang geram. Cuma
geram, tetapi tiada perasaan marah. Emm... Adalah sikit perasaan marah kot.
Marah kerana Along dan Uda tidak memahami dirinya. Sedih tahu, diperlakukan
sebegitu. Apatah lagi oleh dua orang insan yang amat dia sayangi. Along dan Uda
memanglah! Adik perempuan seorang pun tidak mahu dijaga hatinya. Tidak
sayanglah namanya jika begitu!
Masih diayun langkah yang tiada
arah. Sebenarnya, dia masih tidak mahir
berjalan sendirian di shopping complex tersebut. Dia sudah
sedikit cuak sebenarnya. Jika Along atau Uda tidak menemui dirinya dalam jangka
masa terdekat ini, pasti dia terpingga-pingga mencari jalan keluar. Betul! Dia
sudah cuak sekarang ini. Yalah, dia bukan jenis kaki shopping. Jika bab
mencari dan menjejaki mengenai kedai alat ganti motor, tahulah dia. Itu dia terlebih mahir. Di ceruk mana pun dia
tahu. Betul!
Aisy Iqram pula, masih cuba
menjejaki Que. Melilau matanya ke serata tempat mencari kelibat adiknya. Macam
lipas kudunglah Si Que ini. Sekejap saja sudah hilang dari pandangan. Entah di
mana dia bersembunyi agaknya. Tidak kesiankah pada dua orang abangnya ini? Rasa
putus nyawa bila bayangan Que langsung tidak ditemui. Siapa tidak sayang adik?
Tambahan pula, Que seorang saja adik yang mereka ada. Perempuan pula. Sayang
sangat-sangat! Kerat jari ayamlah kalau mereka tidak sayang pada Que.
Aisy Iqram mempercepatkan ayunan langkah
bila tiba-tiba sepasang mata miliknya dapat menangkap sesusuk tubuh Que dari
arah belakang. Sedikit berlari-lari anak dia mengejar. Tidak mahu Que hilang
lagi dari pandangan. Apatah lagi, dalam keadaan orang ramai begitu. Berada di
tengah lautan manusia dan mencari sebutir ‘permata’, tentulah sukar. Begitulah
diibaratkan mencari seorang Que di dalam kelompok manusia di situ.
“Got you!” katanya girang
bila dapat mencekek pergelangan tangan Que.
Serta-merta Que menghentikan
langkah. Di renung Aisy Iqram geram sambil menjeling lengannya yang masih
berada di dalam genggaman Aisy Iqram. Tidaklah menyakitkan. Hanya cengkaman
longgar sahaja. Renungan tadi, sekadar bermaksud menghantar rasa geramnya.
“Lepaskan tangan Que!” bentaknya
kasar seraya meronta-ronta cuba meleraikan cengkaman Aisy Iqram.
Aisy Iqram hanya tersenyum buat
seketika. Que menjulingkan mata ke atas. Bosan! Tahu sudah taktik abangnya yang
suka berdrama di tengah orang ramai. Drama king betul! Tidak
pasal-pasal, orang sekeliling ingat mereka adalah pasangan kekasih. Kes naya.
Jatuhlah sahamnya. Oh! Itu tidak boleh berlaku. Tidak boleh berlaku sama
sekali. Jatuh saham! Jatuh menjunam! Gelaplah masa depannya.
“Da, lepaslah... orang tengok kita.
Malulah macam ni. Nanti, mereka ingat kita ni couple yang tengah
bergaduh pula,” rengeknya manja. Taktik!
Pergh!!! Ini sudah memang macam
pasangan kekasih saja lagaknya. Gedik-gedik manja gitu! Lagipun, Que tahu yang
abangnya hanya akan berkompromi jika dia berlembut. Itu saja senjata yang Que perlu
ada. Tidak perlu hendak membentak, sentap tidak tentu hala. Buang karen saja.
“Oh! Tahu malu? Ingatkan, buat
perangai tengah orang ramai, tak reti malu,” selar Aisy Iqram bersahaja.
Sengaja mahu provok Que sebenarnya.
“Apa Uda ni... Tentulah orang malu.
Yang Uda ni pun, sama naik dengan orang, apa hal? Siap kejar orang nak memujuk
pula,” rungut Que terus.
Makin kemas cengkaman tangan Aisy
Iqram pada pergelangan tangannya. Ingatkan, bila dia merungut begitu,
terlepaslah cengkaman tangannya. Tidak! Kan mengada namanya begitu. Saja hendak
buat orang lain fikir negetif tentang mereka. Cis tat betul Uda ini!
“Eh! Niat Uda baik, apa. Karang,
kalau Uda biarkan aje Que tak tentu arah, lagi susah. Dahlah Que tu seorang aje
adik Uda. Apa-apa jadi, Uda juga yang susah hati nanti.”
“Wah! Sayang juga Uda dekat orang,
ya?”
“Eh! Mestilah... Sayang
sangat-sangat, tahu?
Que sudah mengorak senyum lebar.
Seronok mendengar pengakuan abangnya. Alah, kalau Aisy Iqram tidak beritahu
pun, Que sudah sedia maklum. Saja mahu abangnya katakan tentang itu
berkali-kali. Seronok bila tahu diri disayangi. Aisy Iqram juga, semakin
melebar senyumannya. Senyum jenayah namanya itu! Berunsur menggoda dan diiringi
dengan jelingan yang agak manja. Cis tat ganda dua betul! Macam manalah orang
lain tidak fikir yang bukan-bukan. Siap dielus lembut belakang tangan Que lagi.
Boleh jadi penggoda kelas satu abangnya ini. Bahaya! Merinding bulu roma Que
mengingatkan itu.
Dan... Tanpa mereka sedar, segala
gerak geri serta perlakuan mereka itu berjaya memahat pandangan sepasang mata
untuk tidak beralih tumpuan pada dunia sekitar. Asyik dan tunak pandangan itu
mengikuti setiap sinambungan perilaku mereka berdua. Tentunya, sikap mereka
yang mesra dan manja merupakan aspek utama mengapa sepasang mata itu dari tadi
tidak berkalih dari memerhatikan mereka berdua. Dan, mata itu semakin galak
memerhati bila mana terlihat Aisy Iqram menarik lembut tangan Que sambil tangan
yang sebelah lagi melekapkan telefon ke telinga. Mereka berjalan beriringan dalam
keadaan yang amat mesra. Sesekali terlihat Que memeluk pinggang lelaki itu,
juga mesra.
Tertanya-tanya di sudut hati sang
pemerhati, siapakah lelaki itu kepada Que? Arghhh! Ada sedikit api amarah
memercik di kalbu bila setiap inci perlakuan Que dan lelaki itu disaksikan
sendiri di depan matanya. Ini adalah kali kedua dia saksikan kemesraan Que yang
agak melampau. Sekali lagi dia rasa tercabar. Tercabar dengan layanan mesra Que
terhadap lelaki itu. Que pandai merajuk dengan lelaki itu. Que senang bila
dipujik oleh lelaki itu. Que kelihatan amat manja dengan lelaki itu. Kenapa
lelaki itu, bukan dia? Kenapa???