Home Novel Cinta DIA HANYA UNTUKKU
DIA HANYA UNTUKKU
Rozita Abd. Wahab
1/3/2013 09:06:45
55,088
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

SITI HAWA duduk mengadap skrin televisyen, tidak dipedulikan Yani yang menjeritkan namanya dari ruang dapur.

“Kau ni pekak ke ?” Yani bercekak pinggang di hadapan Siti Hawa.

Sorry, kau panggil aku ke ?” Siti Hawa tersengeh.

Suhaila menjengilkan matanya. “Aku nak tanya, kau ada nampak jeans aku kat belakang tak ?”

Siti Hawa menjungkit bahu. “Dah dua hari aku tak cuci baju.”

Yani merengus kasar, entah siapa pula yang mencuri seluarnya, masakan Diana yang membuat kerja itu. Hatinya belum puas selagi tidak tahu di mana seluar itu. Lokman teman lelakinya akan menjemputnya bila-bila masa sahaja.

Pintu hadapan dibuka dan ditutup semula, tentu Alissa baru pulang dari pejabat, mungkin dia boleh bertanya pada Alissa. Bukannya dia hendak menuduh Alissa, dia tahu gadis itu gadis yang baik, yang boleh diharap.

“Lis, ada nampak jeans Yani kat ampaian luar tak ?” tanya Yani.

Jeans hitam tu ke ?”

“Ya, Yani sidai petang semalam.”

“Pagi tadi waktu Lis nak sidai baju, ada jeans tu. Lis pegang belum kering lagi,” ujar Alissa.

“Dah tak ada jeans tu,” rungut Yani. Berkerut-kerut wajahnya. Itulah jeans kesayangannya. Jeans yang kerap dipakainya.

Alissa kehairanan, baru pagi tadi dia melihat jeans yang dimaksudkan oleh Yani. Alissa meletakkan beg tangannya di sisi Siti Hawa, rakannya itu hanya mendiamkan diri, tidak ambil kisah tentang perkara yang sedang dikecohkan oleh Yani.

Alissa menolak daun pintu dapur yang tidak berkunci, hanya pakaiannya yang ada di situ, seluar jeans yang pagi tadi masih bersidai di situ sudah lesap.

“Pagi tadi ada.” Alissa menggigit jari.

“Hesy, siapa pula yang ambil ni.” Yani merungut geram. Belum pernah terjadi di rumah itu dia kehilangan pakaiaannya.

Alissa masuk ke ruang tamu, Yani membuntutinya dengan hati yang radang, geramnya siapa pula yang buat kerja tak senonoh ni.

“Aku rasa kawasan rumah kita ni tak selamat.”

Yani dan Alissa memandang tepat ke wajah Siti Hawa. Agak hairan dengan kata-kata tersebut. Apa maksud Siti Hawa? Masing-masing kurang mengerti.

“Hari tu aku berborak dengan Kak Yati, rumah kat bawah tu, baju dalam dia hilang.”

Bulat mata Alissa dan Yani mendengar kata-kata Siti Hawa, terkejut. Berderau darah Alissa, selalunya orang yang membuat kerja tersebut berniat jahat, banyak yang menggunakan pakaian dalam wanita untuk mengenakan ilmu hitam ke atas pemilik pakaian tersebut.

“Betul ke ?” Yani bertanya, kurang yakin.

“Buat apa aku nak tipu, kalau kau tak percaya, kau tanya dengan Kak Yati sendiri.”

Yani menelan liur, terasa pahit di kerongkongnya. Sebenarnya dia juga pernah kehilangan pakaian dalam, tapi didiamkan saja kerana menyangka mungkin dia tersilap, mungkin pakaiannya terselit di dalam almari.

“Aku pun pernah hilang.” Yani bersuara perlahan.

Kali ini giliran Siti Hawa pula membulatkan matanya, tepat menjilat seluruh wajah Yani. Kenapa selama ini Yani berdiam diri, perkara seperti itu tidak boleh disorokkan, mereka tidak tahu niat sebenar manusia yang membuat kerja tersebut.

Alissa hanya menggeleng, takut dan gementar perasaannya, bahaya kalau manusia itu berniat jahat.

“Kenapa selama ni kau diam ?” Siti Hawa tidak berpuas hati.

“Aku tak yakin benda tu hilang, tapi dah lama aku cari sampai sekarang tak jumpa.” Yani bersandar di dinding.

“Tak apalah, kita berdoa saja minta dijauhkan dari perkara yang tak elok, mulai hari ini kita kena berhati-hati. Jangan perkara macam ni berulang lagi,” ujar Alissa.

Alissa mencapai beg tangannya kemudian melangkah masuk ke bilik, Tubuhnya terasa letih, banyak kerja yang disiapkan. Dia perlu menaip dokumen yang hendak diserahkan pada pelanggan setebal 40 muka surat. Syed Hadif menyediakan bahan-bahannya dan memberi tunjuk ajar bagaimana hendak mengatur setiap perenggan.

Tubuhnya di hempaskan di atas katil bujang Siti Hawa, malas hendak memanjat ke atas katilnya. Mata dipejamkan, dia cuma mahu berehat untuk seketika.

“Penat sangat ke ?” Siti Hawa melabuhkan tubuhnya di birai katil.

“Banyak kerja.” Alissa memejamkan mata. Dia sudah mengerjakan solat asar di surau pejabat sebelum pulang. Dokumen yang sudah siap disimpan dan dihantar melalui email kepada Syed Hadif. Syed Hadif akan menyemak terlebih dahulu dan membetulkan yang mana perlu, esok dia akan memastikan dokumen itu siap dicetak dan Syed Hadif akan menyerahkannya kepada Syarikat Saujana.

“Kau ada apa-apa rancangan hari ahad nanti ?” tanya Siti Hawa.

“Kenapa ?” Alissa membuka matanya. Wajah Siti Hawa menjadi sasaran.

“Aku tanya kau ada rancangan tak ?” Sekali lagi Siti Hawa bertanyakan soalan yang sama.

“Setakat ni tak ada,” jawab Alissa.

“Amirul dan Akil ajak kita berdua pergi Port Dickson hari ahad nanti,” ujar Siti Hawa.

Alissa hanya mendiamkan diri, tidak berminat dengan ajakan tersebut, dia lebih suka duduk di rumah dan seboleh mungkin ingin menjauhkan diri dari Syed Akil. Dia tidak mahu lelaki itu terus mengharap. Di hatinya cuma ada Ilham. Tidak ada ruang yang istimewa untuk Syed Akil. Tidak mungkin dia berpaling tadah dan menyerahkan hatinya pada lelaki lain.

“Lis, kau dengar tak ?” Suara Siti Hawa sedikit meninggi. Tidak suka dengan riaksi dari Alissa atau sebenarnya Alissa tidak beriaksi. Alissa mendiamkan diri seolah-olah tidak mendengar apa yang dikatakannya.

“Aku rasa malas,” balas Alissa.

“Janganlah macam tu, kalau kau tak pergi dia orang semua tak nak pergi.” Siti Hawa cuba memujuk.

“Pergi sajalah, suruh Akil ajak orang lain.” Alissa masih menolak ajakan tersebut. Dia mahu berehat, itu saja yang timbul di fikirannya ketika itu.

“Senang saja kau cakap, kau sendiri beritahu Akil, dia yang suruh aku ajak kau.” Siti Hawa bingkas bangun. Malas hendak melayan kedegilan Alissa, memang sahabatnya itu sukar diajak berjalan, yang dia tahu hanya pergi dan balik kerja. Ada kalanya hari minggu dia membuat kerja-kerja pejabat, dia sendiri tidak faham apa jawatan Alissa sebenarnya bila dia melihat Alissa menyediakan kertas kerja untuk syarikatnya.

Alissa hanya memandang Siti Hawa berlalu, cakaplah apa saja, dia memang malas hendak ke mana-mana. Hari minggu hari untuk berehat, kalau dia kepenatan, bagaimana dia hendak membuat kerja dengan baik pada hari isnin berikutnya. Rajuk Siti Hawa tidak lama dan marah Syed Akil juga tidak akan berpanjangan.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.