Home Novel Cinta DIA HANYA UNTUKKU
DIA HANYA UNTUKKU
Rozita Abd. Wahab
1/3/2013 09:06:45
55,089
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

ALISSA masih di dalam bilik, malas hendak turun ke bawah, dia tahu Syed Akil masih menanti, mengharapkan dia bersetuju mengikut mereka ke Port Dickson. Siti Hawa sudah merajuk, tidak mahu bercakap dengannya, sepatah ditanya, sepatah dijawab. Dibiarkan saja Siti Hawa begitu, kalau dia mengikut perlakuan Siti Hawa berlanjutan pula rajuk rakannya nanti. Kalau dipujuk, naik tocang pula.

Syed Akil menekan hon keretanya lagi, Alissa menutup telinga, rimas dengan bunyi bising dari kereta Syed Akil. Apa kata penyewa di tingkat bawah dan rumah bersebelahan. Syed Akil mengganggu ketenteraman penghuni sekitar kawasan itu.

Hon kereta berbunyi lagi, suara teguran dari rumah di bawah sudah kedengaran, dia mendengar Syed Akil memohon maaf tapi belum kedengaran enjin kereta itu mengaum dan beredar dari situ.

Alissa menjenguk melalui tingkat, Syed Akil masih tercegat di tepi kereta, matanya terarah ke bilik Alissa, mengharapkan pertimbangan dari Alissa.

Setengah jam berlalu, Alissa menjenguk sekali lagi. Syed Akil masih setia, bersandar di keretanya. Alissa masih berfikir, perlukah dia mengikut kehendak Syed Akil tanpa memikirkan perasaannya sendiri.

Surat dari Ilham baru diterima semalam, lelaki itu merinduinya, begitu juga dengan dirinya, perasaannya sentiasa teringatkan Ilham, di mana saja dia berada, bila ada waktu terluang bayangan Ilham pasti menjelma, tersenyum padanya.

Hon kereta berbunyi lagi, Alissa tersentak. Boleh tahan juga kedegilan Syed Akil, masih mengharapkan persetujuan darinya. Alissa membetulkan ikatan kain batik di pinggang, baju kurung yang tersangkut di dinding ditukarkan dengan t-shirt jarang yang membalut tubuhnya. Bimbang juga jika jiran terdekat mengamuk kerana Syed Akil masih membunyikan hon keretanya.

Alissa menuruni anak tangga, Syed Akil merenung tepat ke arahnya.

“Lis, jangan buat Akil macam ni.”

“Apa yang Lis buat.” Alissa bediri di hadapan Syed Akil sambil berpeluk tubuh.

“Dah satu jam Akil tercegat kat sini, baru sekarang Lis nak turun, dah berlambak sumpah seranah orang pada Akil,” marah Syed Akil tapi nadanya biasa-biasa sahaja.

Alissa mencebek, sendiri yang cari penyakit. “Ini pun dah bersyukur Lis nak turun tau.”

“Lis tak kesiankan Akil ?” tanya Syed Akil, mengharapkan sedikit rasa simpati dari Alissa.

“Kenapa mesti Lis kesian ?”

“Akil macam orang bodoh asyik bunyikan hon, nasib baik Akil belum buat macam cerita Selubung tu, M. Nasir pakai pembesar suara nak cakap dengan Diana Yusoff.”

Alissa tersenyum, dia masih ingat cerita itu. Ilham suka dengan babak tersebut. Dipandang sekilas wajah lelaki di hadapannya, bukan Ilham tapi Syed Akil, dia masih di dunia nyata. Ilham jauh dari mata tapi Syed Akil yang tercegat di hadapannya dengan harapan yang menggunung.

“Lis ikut sama ya.” Syed Akil masih mengharap, dia sudah menempah dua buah bilik di Glory Beach Resort untuk mereka. Amirul dan Siti Hawa sudah berangkat, pasangan itu mahu bertolak terlebih dahulu. Siti Hawa yang mendesak, dia sudah malas hendak memujuk Alissa.

“Mana Amirul dan Siti ?” tanya Alissa.

“Mereka dah pergi.”

So tak payahlah Lis pergi sebab dia orang dah ada di sana.” Alissa masih cuba mengelakkan diri.

“Lis.” Syed Akil merasa hampa, usahanya tidak berhasil. Alissa masih berdegil, tidak berganjak dari keputusannya. Lambat-lambat dia beredar ke pintu keretanya, tak guna merayu kalau Alissa masih begitu. Pintu kereta dibuka, dia masuk di tempat pemandu, enjin kereta dihidupkan. Dia sudah bersedia untuk beredar, kaki sudah diletakkan di atas pedal minyak, gear sudah digerakkan ke keaadaan drive, bersedia untuk bergerak.

Tingkap cermin keretanya diketuk, Syed akil menurunkan cermin tingkap. Alissa tercegat di situ merenungnya dengan bibir menguntum senyum.

“Okeylah Lis ikut, tapi cuma untuk kali ini.”

Syed Akil tersenyum lebar, tidak sia-sia dia memujuk merayu, menebalkan muka membunyikan hon keretanya bertalu-talu di situ hingga menjadi kemarahan jiran tetangga.

“Masuklah.”

“Hey, nak suruh Lis pergi macam ni.” Alissa terjerit kecil.

Syed Akil ketawa, baru dia tersedar, Alissa cuma berkain batik dan berbaju kurung.

“Pergilah tukar pakaian dan bawa pakaian untuk persalinan. Akil tunggu di sini., tapi jangan lama-lama,” pesan Syed Akil. Bimbang juga jika Alissa berubah fikiran nanti.

“Hai, tunggu sampai satu jam kat sini tadi boleh, nak tunggu Lis bersiap takkan tak boleh.” Alissa menyindir.

Syed Akil hanya tersenyum.

Alissa naik ke tingkat atas untuk bersiap. Walaupun hatinya berat untuk mengikut Syed Akil tapi terselit juga rasa simpati pada lelaki itu. Syed Akil memang degil dan keras hati orangnya.

KERETA yang dipandu oleh Syed Akil sudah menjejaki daerah Port Dickson. Alissa membaca setiap papan tanda yang dilihatnya. Inilah kali pertama dia ke tempat yang menjadi tumpuan penghuni Kuala Lumpur di hujung minggu. Menghabiskan masa bersantai di tepi pantai bersama keluarga.

Syed Akil membelok ke arah Golry Beach Resort, dari tadi dia cuba menghubungi telefon bimbit Amirul dan Siti Hawa tapi tidak berhasil. Entah di mana mereka berada waktu itu.

Alissa menanti di ruang lobi sementara Syed Akil menuju ke kaunter pendaftaran. Sepuluh minit berlalu barulah Syed Akil kembali mendapatkan Alissa, wajahnya sedikit gelisah, seperti ada sesuatu yang tidak kena. Alissa menyedari perubahan itu, Syed Akil tidak seceria tadi.

“Kenapa ?” tanya Alissa.

Syed Akil menghempaskan tubuhnya di sofa yang bersebelahan dengan Alissa, dikerling ke arah gadis itu, ada keresahan di wajahnya, bagaimana riaksi Alissa mendengar alasannya nanti.

“Ada yang tak kena ?” Alissa bertanya sekali lagi.

Syed Akil menggaru kepalanya, masih memikirkan bagaimana hendak menerangkan keadaan sebenar pada Alissa.

“Akil.” Alissa keresahan. Syed Akil diam membisu.

“Siti dan Amirul tak menginap di sini.” Syed Akil bersuara perlahan.

Bulat mata Alissa mendengar kata-kata Syed Akil. “Dia orang ke mana ?” Terasa dirinya tertipu. Apa rancangan mereka sebenarnya? Dia sudah berada di daerah itu bersama Syed Akil dek kerana mahu menjaga hati rakan-rakannya tapi Siti Hawa dan Amirul tidak menginap di hotel tersebut.

“Akil tak tahu, Akil dah cuba call dia orang tapi tak dapat.” Syed Akil memberi alasan.

“Kalau macam tu, kita balik saja,” cadang Alissa. Ada baiknya mereka segera pulang ke Kuala Lumpur. Dia tidak mahu mencipta masaalah.

“Dah lewat Lis, cuba tengok pukul berapa.”

Alissa menjeling jam di tangannya, hampir jam sebelas malam, bila mereka akan sampai di Kuala Lumpur kalau mereka bertolak sekarang, Syed Akil juga masih keletihan memandu dari Kuala Lumpur.

“Kita ambil dua bilik.”

“Itu satu lagi masaalah, kat sini tak ada bilik, tapi macam apartment satu bilik kecil dan satu bilik besar.”

Alissa semakin resah, masakan dia hendak duduk bersama Syed Akil, tak pasal-pasal kena tangkap basah pula.

“Kita balik saja.” Kali ini Alissa benar-benar bermaksud dengan kata-katanya. Dia tidak mahu menginap di hotel tersebut bersama Syed Akil.

Syed Akil kecewa. Alissa bersungguh-sungguh mengajak dia balik ke Kuala Lumpur dan dia tidak ada pilihan lain. Dia tidak boleh memaksa Alissa mengikut kehendaknya, Alissa ada pendirian dan dia seharusnya menghormati pendirian Alissa. Puas dia memujuk Alissa mengajak datang ke Port Dickson, tidak mungkin Alissa sanggup duduk di hotel itu dengannya.

Syed Akil mengalah, dicapai beg yang berisi pakaiannya di atas lantai. Alissa turut bangun dari sofa, terbit juga rasa bersalah di hatinya melihat wajah Syed Akil yang sugul, tapi dia perlu mengenepikan semua itu, dia perlu menjaga dirinya, macam-macam perkara boleh berlaku dalam sekelip mata, seram dia memikirkan kemungkinan yang berlaku jika mereka bersama di hotel itu.

Syed Akil memandu dengan tenang, hampa dan kecewa, entah di mana Amirul dan Siti Hawa berada. Apakah mereka berdua tidur sebilik malam ini? Dikerling ke arah Alissa di sisi, gadis itu hanya mendiamkan diri sejak tadi. Cuba diselami isi hati Alissa saat ini tapi mana mungkin dia berhasil, kalau tidak pasti Alissa sudah menjadi miliknya.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.