Home Novel Cinta DIA HANYA UNTUKKU
DIA HANYA UNTUKKU
Rozita Abd. Wahab
1/3/2013 09:06:45
55,081
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

RINDU ?” Ilham menatap wajah kekasih hatinya. Alissa kelihatan lebih berisi berbanding kali terakhir dia bertemu dengan Alissa sebelum gadis itu berangkat ke Kuala Lumpur.

“Mestilah rindu.” Malu-malu Alissa menjawab.

“Dah berapa lama kita tak jumpa ?”

“Enam bulan.”

“Lis kira.”

“Mestilah, rasa macam dah enam tahun.”

Ilham tergelak, ditarik Alissa rapat ke sisinya, dia juga merindui Alissa, gadis yang sudah bertakhta di hatinya sejak di bangku sekolah lagi, sudah dikenali hati budi Alissa. Sudah masak dengan kerenah Alissa dan sebetulnya gadis itu tidak banyak kerenah.

Mereka berjalan berpimpin tangan, menyusuri tepian Tasik Titiwangsa, kemudian duduk di sebuah kerusi batu yang dibentuk seperti buatan dari kayu.

“Abah Lis sihat?” tanya Alissa. Sudah agak lama dia tidak menghubungi Alia dan bertanyakan keadaan abah. Sememangnya dia malas hendak menghubungi telefon di rumahnya, bimbang ibu atau dua orang kakaknya yang menjawab panggilannya.

Ilham mengangguk.

“Abah tahu Am datang sini jumpa Lis?”

Ilham mengangguk juga.

“Am jumpa abah Lis di masjid dua hari lepas. Am beritahu dia, Am nak datang KL jumpa Lis.”

“Apa abah cakap?” Lebar senyuman Alissa. Rindu pada abah dah gurau senda abah.

“Dia kirim salam dan berpesan supaya Lis jangan lupakan keluarga, pandai-pandai bawa diri di tempat orang.”

Allisa terdiam.

“Abah Lis nampak kurus sikit.”

“Kurus!” Ada kekejutan di dalam nada suara Alissa. Apakah abah tidak sihat?

“Banyak fikir agaknya.”

Alissa melepaskan keluhan, simpati pada abah, tapi apa dayanya, kehadirannya di kampung tidak diharapkan, dia tidak mahu menimbulkan kekecohan bila berada di sana nanti.

Wajah Ilham direnung dari sisi, Ilham sedang membuang pandang ke arah tasik yang tenang. Lelaki itu kelihatan lebih matang dan kacak, tentunya Ilham menjadi tumpuan gadis-gadis di sekelilingnya. Ramai rakan-rakan sekerja Ilham yang masih muda, mungkin sebaya mereka dan masih belum berpunya.

“Bulan depan dah puasa, lepas tu hari raya. Lis mesti balik berhari raya di kampung.” Ilham begitu mengharap.

“Tengoklah dulu, kalau ada cuti,” balas Alissa. Bukan niatnya hendak mengelakkan diri tapi dia benar-benar tidak ada hati hendak pulang ke kampung. Cukuplah apa yang dirasainya selama ini. 4 bulan lamanya dia menjadi seperti orang gaji di rumah itu. Dicerca, dihina dan entah apa-apa lagi. Dia sendiri tidak pasti di mana silapnya hingga emak dan kakak-kakaknya membencinya.

“Boleh pohon cuti kan.” Ilham merenung wajah Alissa. Masakan Alissa tidak mahu berhari raya bersama keluarnya sekali pun Alissa tidak senang dengan sikap mereka.

“Memanglah boleh, tapi tengoklah macam mana. Buat masa ni Lis tak nak fikir pasal tu. Lis rasa selesa, aman sekarang ni. Tak ada orang nak marah-marah Lis, herdik Lis, buli Lis.” Ada kemarahan yang masih berbaki yang tersimpul di dada.

“Kenapa mesti tengok dulu ?” Ilham tidak berpuas hati.

“Kerja Lis banyak, bos Lis tu kuat bekerja, ada saja kerja yang disuruhnya.” Alissa melepaskan keluhan. Itu satu kenyataan.

“Kalau boleh Lis mesti balik, Am nak suruh mak masuk meminang.” Ilham berterus-terang akan niatnya. Dia mahu menyunting Alissa sebagai pemaisuri hatinya. Biarlah apa pun tanggapan keluarga Alissa, dia tetap mahu memiliki Alissa. Ibunya juga sudah bersetuju.

Alissa tergelak, Ilham bersungguh-sungguh dengan kata-katanya.

“Kenapa ketawa ?” tanya Ilham. Ada ketidakpuasan di dalam nada suaranya.

Alissa menutup mulutnya, bimbang juga jika Ilham berkecil hati.

“Dah cukup duit hantaran ?” Alissa bertanya sekadar hendak bergurau.

“Kalau mak Lis minta sikit, cukuplah, kalau minta banyak, kenalah kerja kuat lagi.” Ilham tersengeh.

“Jangan tanya mak, kena tanya abah. Lis ni kan anak abah.” Alissa ketawa kecil tapi Ilham dapat menangkap sesuatu di sebalik kata-kata itu, Alissa masih berjauh hati.

“Jom.” Alissa sudah berdiri.

“Nak ke mana ?” tanya Ilham.

“Kita jalan-jalan.”

“Buat apa ?”

“Cuci mata, lepas tu kita pergi Masjid India.”

“Masjid India!” Berkerut dahi Ilham.

“Kat situ banyak orang jual pakaian, Lis nak belikan baju melayu dan kain pelekat untuk abah,” ujar Alissa.

“Untuk abah, mak ?” Ilham merenung wajah Alissa.

“Nantilah bila Lis ada duit lebih.”

Ilham tersenyum kelat, Alissa masih menyimpan kemarahan pada emaknya. Pak Hasyim yang meminta dia memujuk Alissa supaya pulang ke kampung tapi nampak gayanya Alissa cuba menjauhan diri dari keluarganya.

YOU tunggu sekejap, I ada kerja yang belum disiapkan,” Syarifah Haslin berlalu masuk ke biliknya, dia perlu memastikan kain-kain yang dipesan untuk butiknya sampai tepat pada waktunya. Ada pelanggan yang sudah menanti, jika dia lewat, pelanggan mungkin akan ke tempat lain.

Syed Hadif keluar dari butik milik Syarifah Haslin. Terdapat sebuah kerusi panjang di hadapan butik tersebut, dia jarang bertandang ke situ, melainkan jika hendak bertemu dengan isterinya. Mereka sudah berjanji hendak menziarah keluarganya di Bandar Utama, Syarifah Haslin sudah keluar dari rumah awal pagi tadi dengan menaiki teksi kerana Syed Hadif akan menjemputnya.

Syed Hadif terpandang sebuah gerai menjual majalah dan surat khabar di tingkat bawah, ada baiknya dia membaca sesuatu sementara menanti Syarifah Haslin menyiapkan kerjanya. Selepas membeli surat khabar, Syed Hadif kembali ke kerusi yang didudukinya tadi, masih kosong, dibuka lembaran surat khabar untuk dibaca tapi matanya menangkap sesusuk tubuh yang amat dikenalinya di hadapan butik isterinya, walaupun dia cuma melihat dari belakang, dia begitu pasti akan tuan punya diri apa lagi bila mendengar gadis itu bersurau dan ketawa, Alissa. Alissa kelihatan begitu gembira di samping seorang lelaki yang kelihatan kacak dan ringkas gayanya. Disorokkan wajahnya di sebalik surat khabar, tidak mahu Alissa menyedari kewujudannya di situ. Dia memasang telinga, cuba mendengar perbualan mereka.

“Cantik tak baju tu ?” tanya Alissa.

“Cantik, kalau Lis yang pakai lagi cantik,” jawab si lelaki.

“Mesti mahal kan.”

“Kalau nak tahu harga, masuklah tengok.”

“Tak naklah, tengok hiasan dalaman butik ni pun Lis dah gerun, belum tengok harganya lagi, mau habis duit gaji Lis.” Alissa tertawa kecil.

Lelaki itu tergelak, dicuit pipi gebu kekasih hatinya.

“Jom, pergi tempat lain.”

Pasangan itu mula melangkah, beredar dari perkarangan butik Syarifah Haslin yang diberi nama Butik Haslin. Syed Hadif masih merenung pasangan itu, Alissa begitu manja dan mesra dengan lelaki itu, mungkin kekasih hatinya. Pasangan yang secocok dan sepadan, bagai pinang dibelah dua, itulah kali pertama dia melihat Alissa berseluar jeans dan t-shirt yang agak ketat yang menyerlahkan bentuk tubuhnya.

Syed Hadif tersenyum sendiri, rupanya Alissa sudah punya kekasih hati. Gadis yang cantik dan menarik sepertinya pasti mendapat perhatian dari setiap lelaki bila terpandang wajah bujur sireh milik Alissa. Apakah dia juga sebahagian dari lelaki itu ? Syed Hadif senyum lagi, memang dia senang dengan Alissa, dia sayangkan gadis itu. Sayang sebagai pekerjanya kerana Alissa setiausaha yang cekap bekerja, tidak banyak keranah, mudah dibentuk dan boleh ditegur.

“Setakat itu saja ?” soal hatinya.

Syed Hadif mengurut dagunya, baru pagi tadi dia mencukur sedikit janggut yang mula tumbuh. Sedari dulu lagi, waktu sedang menuntut dia memang menyimpan misai dan janggut tapi dijaga rapi, cuma bila dia keresahan dan kebingungan, rupanya tidak terurus lagi, kusut dan berserabut.

“Soalan tadi belum dijawab.” Hatinya bertanya lagi.

Syed Hadif tersenyum. “Aku tak pasti.”

“Maksudnya kau juga ada perasaan terhadap dia.”

“Entah”

“Hah, jangan nak menipu diri sendiri.”

“Aku sudah berkahwin, isteriku juga tidak kurang hebat, cantik dan menarik.”

“Tapi gadis itu juga cukup menarik bukan”

Syed Hadif merengus, kenapa mesti dia memikirkan persoalan itu, buat menyemakkan kepala.

“Aku sudah beristeri.”

“Lelaki boleh berkahwin lebih dari satu.”

“Aku tak mampu.”

“Belum cuba belum tahu.”

Syed Hadif memejamkan mata, jangan persoalkan perkara yang akan menimbulkan sesuatu yang tidak sepatutnya. Perkara itu tidak perlu wujud dalam hatinya. Syed Hadif berusaha menolak jauh-jauh apa yang singgah di hatinya sebentar tadi. Dia tidak mahu wujud jurang di antara dia dan Alissa.

“Hadif, I dah siap jom.”

Syed Hadif tersentak.

“Hadif.”

Syed Hadif membuka mata seluas mungkin, siapa wanita di hadapannya, ah bukan Alissa tetapi Syarifah Haslin isterinya.

“Apa kena dengan you ?” Syarifah Hasli kehairanan.

“Tak ada apa-apa.” Syed Hadif gugup, cuba dihapuskan bayangan Alissa di matanya.

“Siang-siang hari pun mengigau, tempat public pula tu.” Syarifah Haslin tergelak.

Syed Hadif tersenyum.

“Jom kita pergi.”

Mereka beriringan melangkah ke tempat meletak kereta. Liar mata Syed Hadif memerhatikan setiap manusia di sekelilingnya. Apakah Alissa dan pasangannya ada di situ?

Previous: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.