Home Novel Cinta DIA HANYA UNTUKKU
DIA HANYA UNTUKKU
Rozita Abd. Wahab
1/3/2013 09:06:45
55,067
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

ALISSA, ini meja awak, yang itu bilik bos awak, Syed Hadif. Kami di sini panggil dia Tuan Syed. Orangnya handsome, tapi dah kahwin.” Puan Latifah ketawa di hujung ayatnya.

Alissa tersenyum, sedari tadi dia dibawa melawat sekitar kawasan syarikat itu dari tingkat 10, 11 dan pejabatnya terletak di tingkat 13. Dia diperkenalkan kepada kakitangan syarikat dan diberi sedikti taklimat tentang perjalanan syarikat. Orang terakhir yang akan ditemuinya ialah Syed Hadif. Puan Latifah sempat berpesan supaya berhati-hati dengan Syed Hadif, katanya lelaki itu sukar dijangka sifatnya, wajahnya serius, agak payah hendak melihat Syed Hadif mengukir senyuman.

Puan Latifah mengetuk pintu bilik Syed Hadif.

“Masuk.”

Daun pintu ditolak cermat. Alissa mengekori langkah Puan Latifah, debaran di dada semakin memuncak, lelaki itu masih menunduk sambil menulis sesuatu di atas meja.

“Selamat pagi Tuan Syed,” sapa Puan Latifah.

“Latifah, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Syed Hadif masih serius, dikerling sekilas ke arah gadis yang berbaju kebaya labuh di sisi Puan Latifah, pegawai dari jabatan sumber manusia di syarikat tersebut.

“Saya bawa orang yang Tuan Syed nantikan,” jawab Puan Latifah sambil menjeling ke arah Alissa di sisinya.

“Hah… bagus, banyak kerja saya tergendala, nak taip surat pun terkial-kial,” komen Syed Hadif.

“Alissa, ini bos awak, Tuan Syed.”

Syed Hadif bingkas bangun, dihulurkan tangan untuk berjabat dengan gadis itu, gayanya masih muda dan mentah. Kelihatan takut-takut saja bila berhadapan dengannya.

“Okey, saya kena pergi sekarang, so Tuan Syed dia hak you sekarang.” Puan Latifah ketawa sebaik sahaja menghabiskan ayatnya, disambut senyuman sinis di bibir Syed Hadif.

Puan Latifah meninggalkan ruang pejabat Syed Hadif untuk kembali ke pejabatnya, meneruskan tugasnya yang tergendala sebentar tadi.

Syed Hadif merenung Alissa, dari atas ke bawah, gadis itu tertunduk malu.

“Duduklah, siapa nama awak tadi ?” tanya Syed Hadif.

“Alissa,” jawab Alissa gugup.

“Okey, ini dokumen-dokumen yang perlu dimasukkan ke dalam fail. Fail-fail yang berkenaan ada di luar, kalau awak tak faham apa-apa awak boleh bertanya dengan Puan Noriah atau bertanya dengan saya.” Syed Hadif serahkan dokumen-dokumen yang bersusun di atas mejanya ke tangan Alissa.

“Tolong siapakan surat ni segera, saya perlukan lepas lunch nanti,” ujar Syed Hadif sambil meletakkan kertas yang berconteng dengan tulisan tangan di atas timbunan dokumen di tangan Alissa.

Alissa segera mengangguk. Apa lagi yang boleh dibuatnya selain mengangguk seperti burung belatuk

Syed Hadif tersenyum. Gelihati pula melihat Alissa yang pucat wajahnya. Entah apa yang Puan Latifah sampaikan tentang dirinya pada gadis tersebut. Gadis polos yang masih baru dalam dunia pekerjaan.

Alissa mengatur langkah dengan hati yang bercampur baur. Baru hari pertama bekerja dia sudah dibebankan dengan tugas yang banyak. Dokumen yang perlu dimasukkan ke dalam fail setinggi lima inci, surat yang perlu ditaip melebihi dua muka surat. Dikerling jam di tangan, hadiah hari ulang tahun dari Ilham. Walaupun jam itu tidak mahal, tapi cukup berharga buatnya. Setiap hari dia memakai jam tersebut dan setiap saat matanya pasti teralih ke arah jam itu dan setiap detik, hatinya pasti teringatkan Ilham yang disayangi, sumber ilham untuk meneruskan perjuangan hidupnya. Alissa tersenyum, mengingati Ilham membuatkan hatinya terasa cukup bahagia.

Alissa memulakan tugasnya, tinggal 2 jam sahaja lagi sebelum waktu makan tengahari. Dia perlu menyerahkan surat tersebut ke tangan Syed Hadif. Tangannya lincah menaip dengan skil yang dipelajari sewaktu di kampus dulu. Dalam masa dua puluh minit sahaja dia berjaya menyiapkan surat yang ditulis dengan tangan sehingga dua helai, dimampatkan menjadi sehelai selepas ditaip menggunakan perisisan Microsoft Word.

Alissa menekan butang print, sebuah printer sudah tersedia di sebelah mejanya. Sewaktu dibawa melawat oleh Puan Latifah sebentar tadi dia menyedari sesuatu, setiap meja setiausaha disediakan sebuah printer. Dia tersenyum lebar, kerjanya siap sebelum waktu yang diminta.

Pintu bilik Syed Hadif diketuk perlahan selepas berpuas hati dengan hasil kerjanya.

“Masuk.” Suara Syed Hadif meminta dia masuk cukup jelas kedengaran.

“Tuan Syed, saya dah siapkan surat yang Tuan Syed draft tadi.” Alissa hulurkan sekeping kertas putih yang sudah bercetak dengan ayat-ayat yang dikarang oleh Syed Hadif.

Alissa berdiri di hadapan Syed Hadif, memerhatikan lelaki itu membaca isi kandungan surat tersebut. Bulat matanya melihat Syed Hadif membulatkan beberapa perkataan di atas kertas tersebut, bukan satu atau dua perkataan tapi lebih dari sepuluh perkataan yang menjadi mangsa contengan Syed Hadif.

“Betulkan semula, check spelling sebelum print, guna recycle paper, jangan membazir.”

Dicapai kertas yang dihulurkan oleh Syed Hadif dengan hati yang berkecamuk, hasil kerja pertamanya mendapat kritikan Syed Hadif. Silap dia juga kerana tidak menyemak ejaan bahasa inggeris terlebih dahulu. Itulah akibatnya, terlalu teruja dengan kerjanya.

Alissa kembali ke mejanya, dibetulkan semula surat tersebut seperti yang dikehendaki Syed Hadif. Diteliti isi surat tersebut selepas membuat pembetulan. Siap… tapi betulkah sudah sempurna? Berdebar-debar dadanya hendak bangun dan melangkah masuk ke dalam bilik Syed Hadif. Dia teringatkan kata-kata Puan Latifah tentang sifat garang Syed Hadif.

Alissa masuk semula ke dalam bilik Syed Hadif, jam sudah mencecah ke angka 12, jika sedikit sahaja pembetulan, tentu kerjanya dapat disiapkan. Seperti tadi, Syed Hadif menanda lagi kertas tersebut, kali ini dengan pen berdakwat merah. Marahkah Syed Hadif? Kata orang penulis yang menggunaan pen berdakwat merah, tandanya orang itu sedang marah, tapi memang Syed Hadif memegang pen tersebut sewaktu dia masuk tadi.

“Betulkan semula, saya nak keluar lunch sekejap lagi, saya nak surat ni siap bila saya balik nanti,” pesan Syed Hadif tanpa memandang ke arah Alissa.

Dicapai surat yang sudah berconteng semula, perlu dibetulkan lagi, Alissa mengeluh perlahan.

“Banyak kerja bos bagi,” sapa Puan Noriah yang berdiri di hadapan mejanya.

“Kena buat surat kak,” ujar Alissa.

“Dah berapa kali kena conteng?” Tanya Puan Noriah.

Alissa mengangkat muka, soalan itu membuatkan dia terkejut, memang begitukah sifat Syed Hadif.

Puan Noriah tersenyum, dapat dibaca riak kekejutan di wajah gadis manis itu.

“Tuan Syed tu memang cerewet sikit. Dah 3 orang setiausaha dia, semua tak tahan dengan perangai dia. Alissa setiausaha yang keempat,” ujar Puan Noriah.

Alissa menelan liur, apakah akan ada setiusaha Syed Hadif yang ke lima selepasnya. Puan Noriah ketawa geli hati.

“Jangan risau, Tuan Syed tu baik sebenarnya, cuma cerewet sikit, biasalah, surat untuk client mesti sempurna kalau tidak dia yang kena dengan client bukannya kita.” Puan Noriah tertawa kecil kemudian meminta diri untuk ke tandas.

Alissa hanya tersenyum, terasa pahit di kerongkongnya, dapatkah dia bertahan dengan kerenah Syed Hadif kalau tiga setiausahanya yang sebelum ini menarik diri.

“Lis, bos ni bukan semuanya teruk, ada juga yang okey, pasal cerewet ni perkara biasa, mereka memang nak kerja kita perfect.” Pesanan Siti Hawa berlegar di ingatannya. Mungkin Syed Hadif berada dalam kategori yang dimaksudkan oleh Siti Hawa.

Alissa meneruskan tugasnya, terukir senyuman di bibirnya sebaik sahaja surat yang diminta itu disiapkan. Syed Hadif masih berada di dalam biliknya. Alissa menahan debar, kali ketiga dia masuk kebilik itu membawa surat yang sama, yang sudah dibetulkan sebanyak dua kali.

“Tuan Syed.” Alissa hulurkan surat yang dicetak menggunakan kertas terpakai ke tangan Syed Hadif.

Lelaki itu segera menyambut helaian kertas tersebut kemudian diletakkan di atas mejanya.

“Okey, siapkan surat ni sebelum balik.” Dua helai kertas bertulis tangan di serahkan pada Alissa. Gadis itu hanya mengangguk sambil mencapai kertas di tangan Syed Hadif, diatur langkah keluar dari bilik Syed Hadif dengan hati yang lega. Namun kelegaannya cuma seketika apabila namanya dipanggil sekali lagi.

“Alissa.”

Alissa segera berpaling, digagahi bibirnya mengukir senyuman walaupun dalam hatinya tuhan saja yang tahu. Apa lagi yang tidak kena dengan surat tersebut.

“Yang ini tak betul, turunkan skit lagi,” ujar Syed Hadif sambil menconteng kertas di atas mejanya.

“Betulkan yang ini, turunkan sedikit, surat rasmi mesti mengikut format yang betul, kita berurusan dengan syarikat luar, saya tak mahu kerja setiausaha saya diperlekehkan,” sambung Syed Hadif.

“Tak apa Tuan Syed, saya boleh betulkan,” dicapai kertas di tangan Syed Hadif, terubat juga hatinya mendengar kata-kata Syed Hadif, alasan itu boleh diterima akal. Alissa melangkah keluar dari bilik Syed Hadif, tiga kali dia membetulkan surat yang sama.

Print atas kertas baru, lipat masuk dalam sampul. Sekejap lagi saya keluar saya nak surat tu,” pesan Syed Hadif ketika Alissa sudah menyentuh combol pintu.

“Baik Tuan Syed.”

Alissa segera keluar dari bilik Syed Hadif. Seperti yang diminta atau sebenarnya arahan Syed Hadif, Alissa membetulkan surat tersebut dan mencetak menggunakan kertas yang bersih. Mujur juga sampul surat yang dicarinya sudah berada di atas mejanya, tidak perlu dia tercari-cari lagi.

Daun pintu bilik Syed Hadif ditarik ke dalam, lelaki itu hanya berkemeja tanpa mengenakan tai, overcoatnya juga sudah ditanggalkan.

“Alissa, surat tadi dah siap?” tanya Syed Hadif.

“Sudah.” Alissa hulurkan sampul surat tersebut ke tangan Syed Hadif.

Thanks. Ini kunci bilik saya, kalau ada call cakap saya keluar makan,” pesan Syed Hadif.

Alissa mengangguk, dicapai kunci yang dihulurkan oleh Syed Hadif.

“Awak tak keluar makan ?” tanya Syed Hadif.

“Sekejap lagi Tuan Syed,” jawab Alissa sambil tersenyum.

“Okey.” Syed Hadif berlalu.

Alissa hanya memandang langkah lelaki itu, lega hatinya. Surat Syed Hadif sudah disiapkan, tapi surat yang kedua perlu disiapkan sebelum balik.

“Alissa, jom kita makan.” Puan Noriah tercegat di hadapan Alissa.

“Kak Noriah makan di mana ?” tanya Alissa. Bimbang juga dia jika Puan Noriah menjamu selera di tempat yang mahal harganya.

“Gerai mamak depan tu saja.”

Alissa mengeluarkan dompet dari dalam beg tangannya. Beg tangan itu kepunyaan Siti Hawa, sahabatnya yang menyuruh dia menggunakan beg tersebut sebelum dia mampu membeli beg sendiri.

Suhaila dan Yuhanis juga mengikut mereka makan tengahari di gerai mamak. Alissa berasa lega kerana harga makanan yang diambilnya berpatutan, dia perlu berjimat kerana wang yang ada padanya tidak seberapa. Abah menghulurkan duit belanja, ALia juga turut memberi. Ilham kekasih hatinya sempat menghulurkan sedikit duit untuk belanja. Duit deposit dan sewa rumah sudah dibayar, kasut dan pakaian juga perlu dibeli selepas mendengar nasihat Siti Hawa.

“Kesian awak, baru masuk kerja dah kena buli dengan Tuan Syed.” Suhaila menghulurkan simpati. Dia melihat Alissa masuk dan keluar dari bilik Syed Hadif beberapa kali.

“Tuan Syed memang macam tu, sebab tu setiausahanya semua tak tahan, cabut lari.” Suhaila dan Yuhanis ketawa serentak. Puan Noriah menjeling, kurang senang dengan kata-kata rakan sekerjanya.

Alissa hanya tersenyum, dia akan lakukan apa sahaja untuk menyenangkan hati Syed Hadif. Dia datang ke Kuala Lumpur dengan rasa syukur yang teramat, diberikan rezeki oleh yang maha esa, pekerjaan itu sangat dinanti setelah empat bulan lamanya dia menganggur. Masakan dia harus lari hanya kerana Syed Hadif. Dia harus kuat, walau bagaimana sekalipun sifat Syed Hadif.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.