Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
108,299
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 4

AFRINA kematian langkah di hadapan muka pintu klinik tatkala dia dikejutkan dengan kedatangan dua orang pemuda yang meluru masuk ke dalam Atma Home Nursing. Seorang lelaki yang sedang memapah rakannya yang cedera kelihatan tegang. Dahinya juga berkerut dengan mata terkial-kial seperti mencari sesuatu.

"Doktor Azizah ada?" soal Ibrahim.

"Ada dalam bilik dia. Sekejap, saya panggilkan. Encik duduk dulu," ujar Afrina seraya meluru masuk ke dalam bilik Doktor Azizah. Dia jadi cemas melihat pesakit yang datang dalam keadaan berlumuran dengan darah. Seharusnya dihantar ke hospital untuk rawatan yang lebih lanjut dan bukan di Atma Home Nursing ini!

"Doktor. Ada pesakit..."

Belum sempat Afrina menghabiskan kata-katanya, Doktor Azizah yang sedang berkemas untuk pulang segera meluru keluar dari biliknya mendapatkan dua orang pemuda. Afrina mati kutu. Dia hanya memerhatikan Doktor Azizah mengarahkan Ibrahim memapah Hud ke sebuah bilik khas yang ditempatkan untuk pesakit. Sungguh, sepanjang empat tahun dia berkhidmat sebagai jururawat peribadi tidak pernah sesekali dia menerima pesakit yang berlumuran darah seperti itu.

"Teruk sangat ni Hud. Kita pergi hospital..."

"Hud nak ubat tahan sakit. Mak su bagilah Hud ubat nanti esok-esok sembuhlah luka Hud ni," pintas Hud. Dia tersengih sambil memandang wajah Doktor Azizah yang sedang berkerut seribu. Wajah wanita itu juga tegang seolah-olah orang yang masih dalam keadaan terkejut. Masakan tidak, selama enam tahun dia tidak pernah bertemu dengan Hud lagi. Pemuda itu bagaikan hilang dan membawa diri jauh daripada keluarga. Apabila mereka bertemu semula, ini pemandangan pertama yang dilihatnya.

Doktor Azizah hanya mampu menggelengkan kepala. Bukannya dia tak tahu tahap kedegilan Hud tu boleh buat orang naik darah. Lantas, Doktor Azizah mengarahkan Hud menanggalkan jaket. T-shirt putih yang tersarung di tubuh Hud diselak buat seketika. Dia perlu melihat kecederaan pada tubuh anak buahnya yang degil itu. Jelas, terdapat luka torehan yang perlu dijahit pada abdomen pemuda itu.

"Afrina, tolong saya ambilkan jarum, kapas, benang, pinset, gunting dengan pembalut steril ya. Oh dengan lidocaine untuk tahan sakit sekali," arah Doktor Azizah sambil mencuci tangannya dengan sabun pembasmi kuman sebelum mencuci dan merawat luka Hud.

Afrina yang kaku memerhatikan suasana di dalam bilik pesakit segera mengambil peralatan perubatan yang bertujuan untuk menjahit dan membersihkan luka seperti yang diarahkan. Jam di dinding dikerling sekilas. Sudah pukul 10.40 malam. Afrina jadi serba salah kerana keluarganya sedang menanti untuk menyambut ulang tahun adiknya. Di sini pula Doktor Azizah memerlukan bantuan gadis itu. Tapi, ini juga sebahagian dari tanggungjawabnya walaupun syifnya sudah tamat pada hari itu.

"Ini alatnya doktor. Doktor nak saya tolong apa-apa lagi tak?" soal Afrina seraya meletakkan bekas yang berisi peralatan perubatan di atas meja. Buat seketika, dia saling berpandangan dengan Hud. Saat pandangan mereka saling bersatu, saat itu juga tiba-tiba kotak memori Afrina seakan-akan mengimbas sebuah kejadian yang sudah terlalu lama berlaku dalam hidupnya. Samar-samar wajah seorang remaja lelaki melintas di benak fikirannya. Saat dia teringat akan kejadian itu juga hatinya tiba-tiba jadi sesak. Hal itu seakan-akan sesuatu yang menyakitkan bila diingat semula.

"Syif kamu dah habis kan?" soalan dibalas dengan soalan. Jelas ketegangan di sebalik suara wanita berumur dalam lingkungan awal 50 an itu. Dia menekan abdomen Hud yang menunjukkan kesan ungu akibat lebam. Masih berang bila Hud tidak mahu mendapatkan rawatan di hospital.

Soalan Doktor Azizah membuatkan Afrina terus melarikan pandangannya. Gadis itu jadi bungkam. Dia hanya memerhatikan Doktor Azizah yang sedang membersihkan luka pada tubuh Hud yang terdedah. Sesekali, lelaki itu mendesis kesakitan apabila luka torehan pada abdomennya dibersihkan sebelum disapu dengan lidocraine. Afrina mula tertanya-tanya melihat kesakitan Hud saat itu. Apa yang berlaku pada pemuda itu sebenarnya? Tapi dia juga bengang. Disebabkan Hud, dia terpaksa melebihkan syif kerjanya memandangkan hanya dia pekerja di Atma Home Nursing saat ini. Namun, semuanya hanya disimpan di dalam hati.

"Kamu boleh balik lepas kita selesaikan hal patient ni. Saya minta maaflah sebab anak buah saya kacau masa kamu. Tak apa. Nanti saya bagi kamu bonus sebab tolong saya malam ni," ujar Doktor Azizah. Terselit kata-kata menyejukkan hati agar pekerjanya itu bersemangat.

Apa lagi yang harus Afrina katakan apabila majikan sudah mengarahkannya? Dia tiada hak untuk membantah. Sekali lagi, dia berpandangan dengan Hud. Jelas, ada riak wajah bersalah terpamer di wajah pemuda yang lebam itu. Sekali lagi, samar-samar sebuah memori lama singgah di benak fikiran Afrina. Semakin dia mengingat, jantungnya semakin berdetak kencang. Perasaannya berkecamuk.

"Okay! Dah siap jahit kat luka torehan ni. Afrina, tolong saya cucikan luka kat kepala budak bertuah ni. Lagi cepat kita siap, lagi cepat kita boleh balik," ujar Doktor Azizah. Afrina terus menurut dengan mencuci tangannya terlebih dahulu. Segera dia menepis semua kenangan yang seolah-olah membuatkan hatinya berkecamuk. Bukanlah namanya seorang Naurah Afrina jika terbawa-bawa emosi ketika bekerja. Dia turut membantu Doktor Azizah membersihkan darah yang berada di belakang kepala Hud.

Saat tangan Afrina ligat membersihkan sisa darah di kepalanya, saat itu juga Hud semakin ligat menganalisis wajah gadis bertudung krim itu dari biasan cermin yang berada di ruangan itu. Dari tadi dia senyap hanya disebabkan fikirannya ligat memikirkan wajah ketat Afrina. Seakan-akan gadis ini pernah masuk ke dalam hidupnya. Tapi, Hud juga lupa. Kenangan yang terlalu lama sebelum segala ujian menimpa hidupnya.

"Apa dah jadi sebenarnya ni? Teruk sangat luka kamu ni Hud," kata Doktor Azizah sambil membalut luka Hud di bahagian abdomen. Kasihan melihat anak buahnya dibelasah seperti itu. Tubuh dan wajah pemuda itu juga dipenuhi dengan kesan memar. Sudah tentunya akan ambil masa yang lama untuk sembuh.

"Hud! Dengar tak mak su cakap apa?" tegas Doktor Azizah lagi. Pandangannya dialihkan ke wajah Hud yang sedang memerhatikan Afrina. Senyuman kecil terbit di bibirnya apabila Hud seakan-akan dalam dunianya sendiri. Aneh sekali anak buahnya yang sering banyak bicara ini boleh diam seribu bahasa.

"Afrina, tak apa. Kamu boleh balik..."

"Afrina? Kenapa aku rasa aku pernah dengar nama kau dan tengok muka kau? Familiar," ujar Hud tiba-tiba. Tak semena-mena, suasana bilik pesakit jadi senyap. Tangan Afrina yang ligat membersihkan luka Hud juga terbejat. Sungguh, soalan Hud itu bagaikan halilintar yang memanahnya. Jadi benar. Kata hatinya benar mengatakan bahawa pemuda itu merupakan pemuda yang berlegar di kotak memorinya saat pandangan pertama sebentar tadi.

Doktor Azizah lantas berdeham. "Awak boleh balik Afrina. Saya rasa anak buah saya ni dah tak berapa betul lepas kena serang. Tanya soalan yang entah apa-apa. Ni pun dah nak siap dah ni," ujar Doktor Azizah seraya mencapai pinset yang mengepit kapas di tangan Afrina.

"Baik doktor," kata Afrina seraya menanggalkan sarung tangannya. Wajahnya serta merta membahang panas. Dinding hatinya juga seolah-olah dibakar dengan sebuah kemarahan apabila memori itu semakin jelas bermain di benak fikirannya. Nampaknya, prinsipnya untuk terus bersikap professional tidak menjadi malam itu. Segera dia pamit apabila dia diizinkan untuk pulang.

"Kau ni kenapa, Hud? Agaklah kalau kau syok kat misi tu. Kesian dia. Dahlah muka penat lepas tu kau boleh bagi soalan yang tak ada mukadimah langsung," ujar Ibrahim yang sedang duduk di kerusi. Dari tadi dia hanya memerhatikan mereka merawat sahabatnya.

Hud ketawa dengan tuduhan Ibrahim. Dia membetulkan pakaiannya semula apabila abdomennya sudah siap dibalut oleh Doktor Azizah. Kini hanya tinggal belakang kepalanya sahaja untuk dijahit. Nampaknya, kecederaannya malam itu terlalu banyak. Luka torehan sahaja menerima empat jahitan.

"Kau macam tak tahu aku suka tanya direct. Tak ada simpang jalan kiri kanan kalau nak bertanya. Dah memang aku rasa aku pernah kenal misi tu. Gila ke apa tuduh aku syok kat dia," jawab Hud dengan sisa tawanya. Tercuit hatinya dengan kata-kata mengarut Ibrahim. Sesekali dia mendesis sakit apabila tulang temulangnya terasa sengal. Sungguhlah sakit pada tubuhnya ini membataskan pergerakannya. Mahu ketawa sahaja tidak bisa.

"Dah! Tak payah cakap pasal pekerja mak su. Sekarang ni mak su nak penjelasan kenapa Hud boleh kena macam ni? Hud berhutang dengan ah long ke?" soal Doktor Azizah. Tak suka bila orang berbicara mengenai pekerjanya.

Hud tersenyum sinis dengan soalan daripada Doktor Azizah. Mengejek dirinya yang malang dan hampir terbunuh. "Ada orang cuba nak bunuh Hud masa dalam perjalanan nak balik rumah mama. Hud pun tak faham apa yang dia orang nak daripada Hud," ujar Hud. Tanda tanya itu berlegar di ruang fikirannya semula. Yalah, selama ini dia tidak pernah mencari pasal dengan sesiapa. Tetapi di saat dia ingin bertemu ibunya boleh pula dia diserang dan hampir dibunuh.

Doktor Azizah tersentak dengan omongan Hud. Ada kerisauan mula menerjah benak fikiran wanita itu. Dia memandang wajah pucat Hud yang tersengih. "Hud tak pernah bermusuh dengan sesiapa kan selama ni? Satu hal lagi, mak su tak rasa Hud boleh balik rumah dalam keadaan lebam-lebam macam ni. Mahunya terkejut mama Hud nanti. Hud pun tahu kan mama ada penyakit darah tinggi," ujar Doktor Azizah. Setelah siap merawat luka pada belakang kepala Hud, dia menanggalkan sarung tangan dan mencuci tangan.

"Mak su, Hud ni memang perangai tak semenggah tapi Hud tak suka jaga tepi kain orang. Lagi satu, Hud dah hilang stamina nak berlawan. Sebab tulah mak su tengok Hud ni dah rupa alas kaki. Yalah enam tahun tak hadap dunia jenayah," ujar Hud dengan tawa yang terletus di bibirnya yang lebam. Sengaja membuat loyar buruk untuk menyedapkan hati ibu saudaranya.

"Eh kamu ni boleh pula melawak. Mak su risau kalau ada apa-apa yang buruk berlaku pada kamu. Mama kamu tu dah lama tunggu kamu balik," keluh Doktor Azizah. Tidak berpuas hati dengan mimik muka Hud yang sentiasa kelihatan ceria walaupun menjadi mangsa serangan orang yang tak dikenali. Bahkan, dalam keadaan hidupnya mula terancam juga Hud boleh bereaksi seperti biasa.

"Jangan risau, doktor. Saya akan buka kes Hud ni dan cari siapa dalang yang sebenarnya. Ni dah melampau dan boleh dihukum di bawah seksyen 302  kanun keseksaaan akibat percubaan bunuh. Bukan tu je boleh juga disabit kesalahan di bawah seksyen 337 kerana menyebabkan cedera dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain," ujar Ibrahim bersama penjelasan mengenai hukuman penyerang Hud seraya bangun dari duduknya. Bahu Hud ditepuk-tepuk.

"Saya harap kamu boleh selesaikan kes Hud ni dengan secepatnya. Risau saya dibuatnya tengok budak bertuah ni macam ni. Kamu Hud, jangan buat kerja lasak sangat sampai kamu sembuh. Badan kamu tu nak guna lama dan kamu tu masih muda. Nanti kalau kamu rasa tak tahan sangat mak su mohon sangat kamu pergi hospital buat rawatan susulan," kata Doktor Azizah. Sebagai ibu saudara, dia juga gerun dengan nasib yang menimpa Hud saat ini. Bagaimana kalau musuh Hud masih mengejarnya di luar sana? Bagaimana kalau mereka mahu mencelakai Hud lagi? Memikirkan hal itu, Doktor Azizah jadi kecut perut.

"Baik doktor. Hud tak janji," kata Hud sambil tersengih kelat lagi. Begitulah dia. Sering memberikan keceriaan kepada orang sekeliling yang risau akan dirinya yang sentiasa mengabaikan keselamatan diri. 


Bersambung...

NOTA PENULIS: Terima kasih sudi memilih karya ini sebagai bahan bacaan kalian ^_^ siapa ada wattpad boleh follow karya syaf yang lain ye https://www.wattpad.com/story/232820056-kerana-aku-bukan-dia


Sedutan episod 5...

"Tak nak! Masa tu tak boleh diganti tahu. Kakak juga yang janji yang kakak akan sambut hari jadi Arisha. Tapi kakak dah mungkir janji! Kita orang tunggu kakak sampai pukul 12 pagi kot. Akhirnya apa? Memang kerja kakak tu lagi penting kan daripada adik sendiri!" rungut Arisha. Dia terus menerobos masuk ke dalam kereta MYVI berwarna putih.

Afrina mengeluh berat. Dia hanya mampu menghantar pemergian Arisha dengan pandangan. Masih terasa berat kantung matanya setelah diberikan pekerjaan mendadak semalam. Masih terasa lelah lagi rasanya pagi ini lebih-lebih lagi dia diberikan kejutan mengenai Hud. Semalaman dia tidak bisa lena kerana memori silam itu menghantuinya semula. Bahkan, dalam lenanya juga dia didatangkan dengan mimpi mengenai kejadian yang sudah menjatuhkan dirinya. Hampir hancur hidupnya kerana kejadian itu.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa
© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham