Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
107,583
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 9

"TERKEJUT ke? Maaflah call tak bagi salam. Saja nak bermain teka teki dengan kau," kata si pemanggil sambil memandang sekujur tubuh yang sudah mengerang kesakitan di depan mata. Glock yang berada di genggamannya masih mengeluarkan asap setelah tembakan dilepaskan. Lelaki berbaju kemeja putih berlengan panjang yang disingsing hingga ke siku dipadankan dengan tali leher berwarna biru tua hanya memandang mangsanya dengan sorotan matanya yang dingin. Jelas, tiada simpati yang terzahir di dinding hati lelaki misteri itu.

"Kau siapa?" bentak Hud tak semena-mena. Rintik-rintik peluh sudah mula mengalir di dahinya. Tangannya yang sedang memegang telefon sambil menggigil digenggam erat. Sebaik mungkin dia cuba mangawal kebimbangan yang mula mengetuk dinding hatinya. Kebimbangan itu seolah-olah menyerangnya tanpa memberikan kesempatan untuk dia bersedia. Masakan tidak, semuanya tiba-tiba sahaja!

Si pemanggil ketawa sinis dengan soalan daripada Hud. Sengaja membuatkan hati Hud jadi gundah gulana. Sekali lagi, lelaki misteri itu melepaskan tembakannya. Kali ini bertalu-talu tembakan dilepaskan sehingga membuatkan Hud tak senang duduk. Pemuda itu lantas ke hulu ke hilir dengan tangan yang sudah memeluk tubuh. Terasa kelat liur yang ditelan saat itu. Automatik ruang fikirannya mengimbas detik dia dan rakan sekerjanya diserang hendap oleh musuh kerana dia salah dalam memberikan arahan. Pengakhirannya, tiga rakan sejawatnya terkorban. Dia sendiri hampir mati akibat insiden itu.

"Aku dapat dengar denyutan jantung kau bila kau teringat pada kenangan buruk itu. Kesian kau kan. Terpaksa korbankan cita-cita kau nak jadi polis sebab trauma yang kau hadapi. Nak pegang pistol pun kau tak mampu Inspektor Hud Aidan. Ops! Silap! Kau bukan inspektor lagi melainkan tukang masak kat restoran kau di Melaka tu," ujar lelaki misteri itu. Dia hanya memandang sepi sekujur tubuh yang menggeletak menghadapi sakaratul maut setelah ditembak mati olehnya.

Hud tergamam. Langkahnya terbejat di hadapan cermin almari. Wajahnya yang pucat dipandang di sebalik biasan cermin. Bagaimana orang ini bisa tahu mengenai identiti dirinya? Tiada siapa yang tahu kenapa dia berhenti dari dunia kepolisian termasuk ibu kandungnya sendiri. Hanya Ibrahim dan beberapa orang rakan sejawat yang berada dalam unit di bahagian narkotik sahaja yang mengetahui hal itu. Saat itu, wajah Hud semakin membahang. Terasa mahu terkeluar jantungnya saat lelaki misteri itu mengetahui mengenai kelemahannya.

"Kenapa kau diam? Terkejut ke aku tahu pasal kau?"

"Kau nak apa daripada aku!"

Lelaki misteri itu ketawa lagi apabila suara Hud semakin kedengaran tegang. Glock disisip di belakang pinggangnya. Tin berjenama Heineken yang dihulurkan oleh orang suruhannya dicapai seraya dia melangkah keluar dari gudang itu. Perlahan-lahan, air syaitan itu diteguk bagi membasahkan tekaknya yang terasa kering. Langit yang kelihatan redup pagi itu menjadi tatapannya. "Cantik betul langit pagi ini. Cuba kau tengok kat luar tu. Sekurang-kurangnya, kau boleh tenang tengok keindahan alam," ujar lelaki itu lagi. Sengaja mengapi-apikan Hud.

"Aku tanya ni kau siapa? Apa yang kau nak daripada aku! Apa yang aku dah buat sampai kau nekad nak bunuh aku!" bentak Hud. Kerana terdesak, dia terlupa bahawa dia perlu menyembunyikan kelemahannya daripada musuh. Masakan tidak, ketika ini emosi sudah mengawal mindanya. Traumanya terhadap kejadian lima tahun yang lalu kembali bermain di benak fikiran. Tekanan emosinya yang membuatkan dia mengingati persitiwa traumatik itu.

"Hud Aidan, aku cuma nak kau mati. Kematian kau ni akan jadi trofi kemenangan aku! Tapi, kau jangan risaulah. Aku tak akan bunuh kau dengan sekali atau beberapa kali tembakan. Aku akan uji tahap kekuatan kau dahulu sebelum aku hapuskan riwayat kau. Apa yang kau dah buat pada aku? Soalan tu aku suka. Kau dah kacau kerja aku dan aku patut hapuskan kau sebab aku tak nak kau terus kacau hidup aku. Siapa aku? Soalan menarik. Tapi nanti sajalah aku bagi kau jawapan. Aku masih tak puas nak bermain dengan kau. Sekarang ni, kau jagalah mak kau tu baik-baik. Ada pula nanti mati mengejut bila tahu anak dia berhenti kerja sebab trauma. Kesian kau orang anak beranak ni kan. Hidup dalam penipuan yang tak berkesudahan!" kata lelaki misteri itu seraya memutuskan panggilan. Tatkala itu juga, dinding hatinya semakin marak dengan sebuah kemarahan. Langit yang cerah pagi itu tidak lagi kelihatan indah di tatapan matanya. Memikirkan kehidupan seorang Hud Aidan benar-benar mencabar kesabarannya.

Hud kaku. Dia seakan-akan terpasak di atas lantai apabila dia tidak mampu menggerakkan tubuhnya. Skrin telefon pintarnya yang gelap menjadi tatapan sebelum kepalanya tergeleng-geleng. Tidak mengerti apa yang sudah dia lakukan sehingga nyawanya menjadi pertaruhan seseorang. Semakin Hud berfikir, dia semakin tertekan. Namun, cepat-cepat dia beristighfar. Ini ujian yang Maha Esa. Dia tidak mahu mengeluh. Apa yang dia tahu saat ini dia benar-benar perlu bersedia dari sudut fizikal dan mental.

KEADAAN ruang pejabat arwah Datuk Idris kelihatan tegang apabila Encik Fuad selaku peguam keluarga arwah Datuk Idris mengagihkan wasiat yang akan dimiliki oleh tiga orang anak ahli usahawan ternama itu        

KEADAAN ruang pejabat arwah Datuk Idris kelihatan tegang apabila Encik Fuad selaku peguam keluarga arwah Datuk Idris mengagihkan wasiat yang akan dimiliki oleh tiga orang anak ahli usahawan ternama itu. Sesekali, bantahan daripada Zanif kedengaran. Seakan-akan tidak berpuas hati dengan apa yang diberikan kepada isterinya. Bahkan sesekali lelaki berambut panjang paras bahu itu ketawa sinis seakan-akan mengejek Hud dan Mirza yang mendapat lebih banyak daripada Sherina.

"Mentang-mentanglah isteri aku tu tak ada kepentingan dalam keluarga ni, jadi agihan untuk dia pun seciput ke?"

"Kau boleh diam tak Zanif? Bagi Encik Fuad habiskan dulu kata-kata dia," tegas Mirza. Dia mengeluh berat dengan ketidakpuasan Zanif itu. Dia sendiri pelik kenapa Zanif yang menggantikan Sherina. Seharusnya Sherina yang duduk di ruangan ini. Bukan suami adik tirinya yang dayus itu.

"Aku cakap benda betul bang. Isteri aku cuma dapat rumah ni? Rumah yang dah serupa rumah hantu ni? Come on, dia layak dapat lagi banyak dari ini!" bidas Zanif. Dia ketawa sinis lagi sebelum pandangannya bersatu dengan Hud yang sekadar tersenyum sinis. Seolah-olah mengejek keangkuhannya.

"Tapi ini yang sudah ditentukan oleh arwah Datuk Idris. Tandatangan telah pun dibuat sebelum arwah meninggal. Kalau Encik Zanif nak membantah pun Encik Zanif tak ada hak sebab Encik Zanif bukan darah daging datuk," tegas Encik Fuad. Bingkai kaca matanya dibetulkan sambil dia meneliti sekali lagi wasiat yang telah ditandatangani oleh arwah Datuk Idris. Takut kalau-kalau dia tersilap baca mengenai wasiat yang diamanahkan itu. Suasana semakin tegang ketika pandangannya bersatu dengan Zanif yang duduk bertentangan dengannya.

"Tapi orang tua tu dah jual anak..."

"Zanif! Kau jangan cakap macam tu pasal adik aku! Kau tu yang menumpang lepas bapa kau lepas tangan. Keluarga kau tu penipu. Gunakan adik aku hanya demi kepentingan wang semata-mata. Sebagai hubungan persahabatan konon. Kau tengok apa jadi sekarang? Bapa kau bankrap dan lari entah ke mana dan kau tu yang menumpang dekat rumah kita orang!" bentak Mirza. Bergelegak panas dinding hatinya tatkala Zanif merendah-rendahkan Sherina. Walaupun Sherina itu sekadar adik tiri namun dia tidak suka wanita yang dalam diam banyak berkorban itu direndahkan maruahnya.

Buat seketika, suasana semakin tegang. Ingin sahaja Hud melangkah keluar dari kamar itu. Pasal harta sahaja mahu berebut. Kalau ikutkan hatinya, tak ingin dia duduk di ruangan ini bersama mereka. Dia juga tidak mempunyai hak setelah ayahnya membuangnya. Semuanya hanya kerana dia tidak ingin mendengar perintah ayahnya yang juga gila kuasa dan tamak itu.

"Encik Hud ada apa-apa yang nak dikatakan?" soal Encik Fuad. Dari tadi pemuda itu hanya diam. Seolah-olah tidak berminat dengan harta yang diberikan kepadanya.

"Oklah tu aku dapat jaga restoran mewah mama dengan sebidang tanah ladang kambing seluas tiga hektar dekat kampung. Aku puas je dapat dua benda ni. Lagi pun memang aku suka masak. Nanti bolehlah aku ambil alih restoran tu. Abang Mirza pun boleh fokus sepenuhnya dengan syarikat papa. Ke abang Mirza nak keduanya sekali?" kata Hud. Dia tersengih pada Mirza yang sudah memandangnya dengan pandangan tajam. Ada kesinisan di sebalik wajah pemuda bernama Hud Aidan itu.

"Kenapa kau tanya aku pula? Kalau kau puas kira oklah tu. Tak payah nak susah-susah fikir pasal benda lain."

"Tak susah pun. Aku cuma kesian je dekat kau kalau Kak Amy tak puas hati yang restoran tu aku akan ambil alih. Yelah selama aku tak ada ni kan dia yang selalu tengok-tengokkan restoran tu. Oklah aku nak pergi tengok mama. Dah habis kan 'perdebatan' harta ni Encik Fuad?"

"Haah sampai sini saja. Saya pun dah jalankan tanggungjawab saya sebagai peguam keluarga ni. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum," kata Encik Fuad seraya berpamit pergi. Tak betah duduk di ruangan itu lama-lama. Terasa bahang bila Mirza dan Zanif seakan-akan tidak berpuas hati dengan agihan wasiat. Hud turut bangun menghantar Encik Fuad ke muka pintu.

Sepeninggalan Encik Fuad dan Hud, Mirza tersenyum sinis memandang wajah Zanif yang terkulat-kulat. Pasti masih tersentak dengan omongannya sebentar tadi. "Aku tahu apa yang kau cuba buat Zanif. Aku boleh siasat apa yang kau mahukan daripada keluarga aku. Dahlah, aku malas nak tengok muka kau ni. Tapi kau jangan sesekali tunjuk belang depan aku. Kau tak kenal lagi siapa Mirza Hasif yang sebenarnya," kata Mirza sambil menepuk bahu Zanif. Dia turut melangkah keluar dari ruangan itu meninggalkan Zanif dengan amarahnya.

SOROTAN matanya yang tajam seiringan dengan tumbukan demi tumbukan yang ditujahkan ke samsak yang tergantung di dalam dewan yang hanya diterangi dengan lampu yang malap itu        

SOROTAN matanya yang tajam seiringan dengan tumbukan demi tumbukan yang ditujahkan ke samsak yang tergantung di dalam dewan yang hanya diterangi dengan lampu yang malap itu. Suasana malam yang sunyi benar-benar memberikan peluang kepada Hud untuk melepaskan segala kekusutan yang bermain di benak fikirannya. Sesekali, dia menyepak samsak dengan tendangan yang tinggi bersama dengan nafas yang sudah tercungap-cungap. Sungguh ketika ini, Hud seakan-akan bermain dengan emosinya sendiri. Umpama samsak yang berada di depan matanya merupakan ancaman yang mahu bermain dengan nyawa seorang Hud Aidan.

Namun kala itu, Hud turut mengimbas segala kesakitan dan konflik yang tak berpenghujung dalam hidupnya. Dimulakan dengan dia menjadi anak buangan ayah kandungnya sendiri hanya disebabkan dia tidak menuruti permintaan dan suruhan ayahnya. Teringat akan hal itu, Hud tersenyum sinis seraya tumbukan yang ditujahkan semakin kuat dan tangkas.

"Susah sangat ke nak ikut perintah papa ni? Kahwin dengan Farisha dan masa depan Aidan akan lebih cerah berbanding pilihan hidup Aidan nak jadi polis tu. Lagi pun, Aidan dah ada kelulusan dalam Bachelor of International Business di University of Regina kat Kanada. Nanti, bolehlah Aidan dengan Farisha uruskan business papa dengan..."

"Papa ni kelakarlah. Papa ingat permintaan papa tu macam main kahwin-kahwin ke? Tolonglah jangan berfikiran kolot. Aidan dah ikut semua perintah papa. Aidan putuskan hubungan Aidan dengan kawan-kawan sebab papa tak nak Aidan terus bercampur dengan budak yang entah apa-apa tu. Aidan tak suka ambil kos yang papa daftarkan tanpa pengetahuan Aidan tapi demi papa Aidan teruskan apa yang papa mahukan. Sekarang, papa nak suruh Aidan kahwin dengan Farisha sebab kepentingan business papa? Gila ke apa!"

Tak semena-mena, pipi Hud terteleng ke kanan akibat tamparan kuat ayahnya. Kolar jaketnya lantas dicengkam kuat sebelum tubuhnya didorong menghadap wajah Datuk Idris yang bengis. Tatkala pandangan mereka saling bersatu, tatkala itu juga Hud ketawa sinis dengan kemarahan yang berselirat di sebalik mata ayahnya. Tak semena-mena, Datuk Idris menghayunkan lagi tumbukannya ke pipi Hud.

"Kau ni makin biadab..."

"Hud Aidan nak jadi polis. Faham? Bukan nak uruskan business papa atau kahwin dengan budak Farisha tu semata-mata kepentingan business papa! Patutlah papa beria-ia nak Aidan rapat dengan Farisha. Semuanya ada motif rupanya! Papa dengar sini, Aidan dah besar dan bukan budak mentah yang akan ikut telunjuk papa saja! Aidan ada impian Aidan sendiri dan Aidan tak akan ikut telunjuk papa lagi!" bentak Hud seraya menolak kasar tubuh Datuk Idris. Tangannya digenggam erat tatkala kemarahannya semakin membuak-buak. Darah yang mengalir di birai bibir dijilat dengan hujung lidah. Sungguhlah, Datuk Idris benar-benar mencabar kesabaran seorang Hud Aidan. Kerana ayahnya, dia kehilangan sahabat-sahabatnya. Semuanya hanya kerana dia dipaksa untuk memutuskan hubungan dengan mereka. Sekarang dia dipaksa untuk menikah dengan seorang gadis yang dia sendiri tak berkenan pula. Keterlaluan!

"Kau tak pernah hidup susah selama ni Aidan. Kau lahir-lahir je kau dah diberikan kesenangan. Tapi ni yang kau pilih! Okay! Kalau kau susah jangan pernah sesekali jejakkan kaki kat rumah ni. Kau pergi berambus dengan cita-cita kau dan jangan pernah jejakkan kaki di rumah aku lagi. Mulai hari ni, anak aku yang bernama Hud Aidan bin Idris dah mati!"

"Tak guna!" jerit Hud sekuat hati lantas menujahkan tumbukan terakhirnya ke samsak yang sudah melantun ke belakang itu. Seakan-akan segala konflik di antara dia dan ayahnya dilepaskan pada peralatan tinju yang berada di dewan yang sering menjadi tempat dia menguatkan staminanya dahulu. Setelah puas melepaskan segala amarahnya, Hud terduduk di atas gelanggang tinju seraya mencapai botol minumannya. Fikirannya mengimbas pula pada hari pengagihan wasiat keluarga. Ini lagi sebuah kenyataan yang membuatkan Hud tak mampu berkata-kata.

"Kenapa papa bagi aku harta sebanyak tu? Kalau diikutkan, aku ni bukan anak dia lagi. Dia dah buang aku. Apa sebenarnya yang berlaku?" soal Hud kepada Encik Fuad ketika dia menghantar peguam itu ke muka pintu.

"Dia menyesal dengan apa yang dia dah lakukan pada Encik Hud dan Puan Sherina. Lepas dia ditipu oleh Datuk Aziz, dia sedar apa yang dia buat dekat korang berdua ni salah! Dia terlalu tamak sampai korbankan masa depan anak-anak dia. Lebih-lebih lagi dengan keadaan Puan Sherina yang tak lagi seceria dulu lepas berkahwin dengan anak Datuk Aziz."

Jawapan yang terngiang-ngiang di gegendang telinga Hud membuatkan fikirannya semakin sesak. Memang patut ayahnya menyesal dengan apa yang sudah dilakukan. Sherina bukan lagi gadis ceria yang sering menghiburkan Hud di kala dia mengalami tekanan. Adik perempuannya itu berubah menjadi murung dan pendiam. Tapi, apalah ertinya penyesalan itu andai Sherina tidak merasakan sebuah kebahagiaan?

"Kau dah puas belasah samsak tu?"

Tiba-tiba, suara yang menyapa di hadapannya mematikan segala kemelut yang bermain di benak fikiran Hud. Dahinya berkerut memandang seorang lelaki bertopi hitam yang melangkah masuk ke dalam dewan. Hud lantas bangun dari duduknya saat wajah itu semakin mendekat. Saat pemuda itu menanggalkan topi dan menghentikan langkah di hadapan Hud, tergaris senyuman sinis di bibir Hud.

"Hidup lagi kau kan, Inspektor Hud Aidan. Oh silap! Hud Aidan," kata lelaki itu seraya meletakkan beg galasnya di atas bangku.

Terletus tawa sinis daripada Hud saat dia mendapat kata-kata sinis itu. Dia berpaling memandang si lelaki berambut dengan potongan spike. "Kau masih kasar macam dulu, kawan lama. Tak ada buah tangan untuk aku ke lepas lima tahun tak jumpa?" kata Hud dengan sisa tawanya.

Lelaki itu mencebik seraya memakai sarung tinju yang sudah dikeluarkan dari beg galasnya. Sudah terlalu lama dia tidak bertemu dengan rakan sejawatnya itu. Bermaksud sudah terlalu lama dia tidak menerima 'hadiah' daripada Hud Aidan. Lantas, dia berpaling memandang wajah Hud. Tatkala mereka saling berbalas pandangan, tatkala itu juga Hud mengerti 'buah tangan' yang mahu diberikan kepadanya.

Bersambung...

Terima kasih sudi memilih karya ini sebagai bahan bacaan korang ^_^ sesiapa ada wattpad bolehlah jenguk wattpad saya sekali ye https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa

Nota episod 9 (kali ni Syaf kongsi serba sedikit mengenai PTSD yang dihidapi oleh seorang Hud Aidan) Syaf tulis nota ni secara santai saja tau ✌

Apa itu PTSD?

PTSD atau dikenali sebagai post traumatic stress disorder boleh berlaku disebabkan kejadian yang membuatkan seseorang menjadi trauma sama ada menjadi saksi terhadap kejadian atau mengalami sendiri kejadian tersebut. Sama ada kejadian sexual harassment, accident, kehilangan (kematian seseorang yang disayangi), hadap situasi peperangan. Dalam cerita ni, Hud Aidan mengalami PTSD setelah dia dan pasukannya masuk ke dalam perangkap penjenayah ketika mereka bertugas.

Bagaimana nak tahu simptomnya pula?

Terdapat empat simptom PTSD iaitu:

1. Gangguan memori (Intrunsive memories)

- Flashback. Dalam cerita ni, bila Hud dapat panggilan dia terus rasa anxious sebab dia flashback kejadian buruk yang berlaku.

- Mimpi buruk tentang kejadian trauma

- Tekanan emosi atau reaksi fizikal terhadap sesuatu yang mengingatkan kepada peristiwa traumatik

2. Mengelak (Avoidance)

- Mengelak dari fikir dan bercakap mengenai perkara yang mengakibatkan trauma

- Mengelak dari tempat, aktiviti atau seseorang yang mengingatkan kepada kejadian trauma tersebut (Inilah ye sebab utama si Hud Aidan ni berhenti jadi polis. Kesian dia :()

3. Perubahan negatif dalam pemikiran dan mood

- Putus asa tentang masa depan

- Fikiran negatif tentang diri dan orang lain

- Kurang minat terhadap perkara yang pernah menjadi keseronokan

4. Perubahan fizikal dan emosi

- Kesukaran untuk fokus

- Sentiasa berjaga-jaga dalam bahaya

- Mudah terkejut atau ketakutan

-Rasa bersalah dan malu yang keterlaluan

Apa pula kesan terhadap penghidap PTSD?

- Gangguan terhadap pekerjaan, hubungan, kesihatan dan kehidupan seharian

- Kemurungan dan kebimbangan

Rawatan pula?

1) Psikotrerapi. Yalah, memandangkan masalah ni berkaitan mental memang memerlukan psikoterapi. Jadinya ada terapi kognitif untuk mengenali dan mengubah pola pemikiran. Kedua, terapi eksposur iaitu membantu pesakit menghadapi keadaan dan ingatan yang memicu trauma. Ketiga, EMDR (Eye movement desensitization and reprocessing) iaitu mengubah respons pesakit saat teringat kejadian trauma.

2) Ubat-ubatan.

Masalah ni boleh ditangani kalau pesakit terus berfikiran positif dan belajar mengawal trauma yang dihadapi. Pesakit juga boleh menjadikan ahli keluarga dan sahabat sebagai tempat berkongsi masalah.

sumber: alodokter.com/ptsd & mayoclinic.org/diseases-conditions/post-traumatic-stress-disorder/symptoms-causes/syc-20355967

maaf ye kalau ada silap pada fakta-fakta ni... 😖

Sedutan episod 10...

"Kelakar ke?" tegas Afrina. Tanpa sedar, suaranya naik seoktaf. Sakit pula hatinya diketawakan oleh pemuda itu.

"Jangan marah cik misi. Gula-gula tu pedas jadi kalau kau mengantuk masa kerja kau boleh makan gula-gula tu. Anggaplah sebagai ucapan terima kasih sebab jaga mama," ujar Hud. Dia tersengih lagi menampakkan gusinya. Namun, wajah tegang Afrina membuatkan wajah Hud serta merta bertukar tegang. Perlahan-lahan, Hud menarik hujung bibirnya dengan jari telunjuk dan ibu jarinya. Menunjukkan bibir yang sedang tersenyum.

"Senyum tu kan satu sedekah. Cik misi janganlah buat muka ketat sangat," usik Hud lagi. Dia kembali memberikan senyuman kepada Afrina. Namun, senyumannya dibalas dengan jelingan sebelum gadis itu keluar dari rumah agam Datin Khalida. Hud hanya memerhatikan langkah Afrina bersama dengan senyuman yang semakin melebar. Baru sahaja tadi dia lihat senyuman kecil Afrina ketika bermain bersama Dina. Sekarang, wajah itu kembali masam. Misteri sungguh misi Naurah Afrina ini.


Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa
© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham