Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
107,586
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 19

SEMERBAK aroma kopi di dalam kafe yang terletak berhampiran sebuah balai polis seakan-akan memberikan kesegaran kepada pegawai yang sedang bersarapan pada pagi hari. Bau rumput selepas hujan turut memberikan kesegaran kepada pengunjung. Celoteh DJ radio di siaran ERA FM turut kedengaran menyampaikan info pada pagi itu. Kafe itulah yang sering menjadi tempat diskusi para pegawai dan ada kalanya menjadi tempat gosip sesetengah pegawai sebagai hiburan terhangat memandangkan kafe tersebut merupakan tempat yang strategik bagi mereka untuk merehatkan diri dari berhadapan dengan pelbagai jenis jenayah.

"Aku masih tak sangkalah dengan apa yang dah jadi dalam lokap hari tu. Tak habis lagi tau kejutan yang Tuan Hud masuk lokap sebab kes gaduh. Lepas tu sekali lagi dia boleh buat hal masa dah masuk dalam. Eh, takkanlah dia tak tahu benda yang dia buat tu boleh dijatuhi hukuman?" kata Laila. Salah seorang pegawai yang berada di unit narkotik. Dahinya berkerut apabila berita mengenai bekas orang atasannya menjadi bualan hangat sejak kebelakangan ini. Laila merasakan bahawa Hud Aidan bukan lagi bekas orang atasannya yang mempunyai kredibiliti dalam melakukan tugasan.

"Kalau kau yang baru beberapa bulan saja sempat bekerja dengan Tuan Hud pun terkejut, apatah lagi aku ni hah yang dah dua tahun bekerja dengan dia. Semua orang dalam unit kita tahu yang Tuan Hud tak akan gunakan kekerasan. Aku ingat lagi masa dalam satu serbuan tu dalam keadaan dah kritikal pun dia masih boleh tenangkan anak-anak buah dia yang lain dengan usikan-usikan dia. Tapi lepas saja tragedi yang dia diperangkap tu semuanya dah berubah. Kau rasa sekarang ni... dia dah jadi samseng pula ke?" ujar Zulfan pula sebelum menghirup kopi yang masih panas berasap. Terasa segar tubuhnya setelah seharian bekerja tanpa henti tatkala aroma kopi menusuk rongga hidung bersama dengan kehangatan kopi.

"Ish, kau ni ke situ pula. Mana tahu dia terpaksa guna kekerasan sampai terjadinya kes gaduh. Sekarang ni, aku cuma boleh tumpang simpati dengan nasib dia. Tak pasal-pasal sebab kes dia masuk lokap nama dia dah tercemar. Kesianlah kat Tuan Hud. Nama dia semakin tenggelam dalam unit kita. Dahlah dia terpaksa korbankan kerjaya dia sebab rasa bersalah dengan keluarga rakan sepasukan kita yang terkorban. Aku tak dapat bayangkan kalau aku kat tempat dia. Dengan diri dia yang trauma lagi," keluh Hassan.

Tak semena-mena, terimbas di kotak memorinya saat Hud Aidan memutuskan untuk menarik diri dalam unit narkotik sekali gus melepaskan jawatannya sebagai Inspektor Hud Aidan. Baginya, Hud Aidan merupakan senior  terbaik yang pernah dia temui ketika berada di PULAPOL Segamat dahulu. Ketika dia hampir mengalah, Hud Aidanlah yang sering memberikan kata-kata semangat kepadanya untuk dia terus berjuang demi menjaga keamanan negara.

"Yelah. Kalau pun dia ada masalah, kau tak rasa pelik ke kenapa dia lebih pilih masuk dalam lokap tu berbanding bayar denda? Dia tahu kan kalau dia masuk dalam lokap nama..."

Tak semena-mena, Zulfan kematian kata tatkala pandangannya tertancap ke arah seorang pemuda berseragam lengkap berwarna navy blue terpampang di depan mata. Raut wajah tegang pemuda berambut potongan crew cut itu membuatkan suasana berubah tegang serta merta. Ketiga-tiga pegawai yang rancak berbicara mengenai Hud masing-masing tercengang dengan kejutan di hadapan mata. Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya! Manakan tidak, Inspektor Yunus yang sememangnya seorang yang tegas dan garang sudah memandang mereka bertiga silih berganti dengan tatapan yang menggerunkan.

"Tuan..."

"Aku rasa baru semalam aku bagi taklimat mengenai serbuan ke sebuah markas pemprosesan dadah di Petaling. Kau orang lupa atau buat-buat lupa? Bukan main santai lagi kau orang mengata pasal bekas ketua kau orang tu. Kenapa? Seronok ke mengata pasal dia?" pintas Yunus dengan nada suara yang dingin.  Mata helangnya seakan-akan menusuk ke kornea mata ketiga-tiga pegawai yang mula gelisah itu.

"Maaf tuan. Kami minta diri dulu," ujar Hassan seraya bangun dari duduknya. Tangannya sudah mengarahkan dua rakan sepasukannya bangun menandakan sarapan mereka telah pun selesai. Tanpa berlengah, Laila dan Zulfan menurut seraya memberikan tanda hormat kepada ketua mereka.

Yunus sekadar menggelengkan kepalanya dengan tingkah tiga orang bawahannya itu. Pagi-pagi lagi Yunus sudah dibakar dengan kemarahan apabila nama Hud Aidan disebut-sebut. Sudah lali rasanya tatkala nama Hud kembali naik kerana kes pemuda itu dimasukkan ke dalam lokap. Malahan, pelbagai andaian yang terngiang-ngiang di telinga asbab kepada Hud lebih memilih untuk menjatuhkan nama baiknya. Bukannya Yunus tidak menegah dari mereka terus mengata mengenai rakannya itu namun mulut rakan sepasukannya memang tidak boleh dikawal lagi.

"Kau garang sangat dengan dia orang tu kenapa?" 

Suara yang muncul dari belakang tiba-tiba kedengaran. Yunus kalih memandang si empunya suara. Tergaris senyuman kecil di bibirnya tatkala melihat Ibrahim yang sedang memegang secawan kopi panas di tangan sambil melangkah ke arahnya.

"Lah, kau ke? Kebetulan pula kita jumpa hari ni setelah beberapa bulan kita tak jumpa. Bila aku ke cawangan kau, kelibat kau tak ada pula. Alang-alang dah jumpa ni, jom sarapan..."

"Maaf. Aku kena cepat hari ni. Aku datang sini pun kebetulan aku ada hal dekat kawasan berhampiran. Tapi sebelum aku minta diri aku nak tanya kau sikit ni," pintas Ibrahim sebelum menghirup kopi panas di dalam cawan kertas yang bertutup.

"Tanya apa? Macam serius saja bunyinya. Kalau ya pun duduklah dulu Inspektor Ibrahim. Aku nampak muka kau penat semacam saja ni," ujar Yunus seraya melabuhkan duduknya di sebuah kerusi yang terletak berhampiran tingkap kafe. Ibrahim menurut seraya merenggangkan lehernya yang terasa lenguh. Manakan dia tidak penat apabila pekerjaannya berganda setelah kes nyawa Hud Aidan diancam bahaya. Penjenayah terlalu licik sehingga anak-anak buahnya yang lain tidak mahu bekerjasama dengan pihak polis. Terlalu setianya mereka kepada ketua sehingga kesetiaan itu dibawa masuk ke dalam penjara.

"Kau jangan terkejut pula kalau aku tanya kau soalan ni. Kau ke yang bagi tahu Hud pasal penyerang dia ada kat rumah judi tempoh hari?" soal Ibrahim tanpa mukadimah.

Yunus tersentak dengan pertanyaan Ibrahim. Kening kirinya terjongket tatkala soalan mengejut itu dilontarkan kepadanya. Perlahan-lahan, Yunus duduk bersandar di belakang kerusi sambil berpeluk tubuh. Wajah Ibrahim ditatap dengan pandangan yang begitu tajam. "Kenapa kau tiba-tiba tanya soalan macam ni?"

"Jawab sajalah. Kau ke yang bagi tahu Hud?" soal Ibrahim lagi. Dia tidak mahu berbasa basi di kala keadaan semakin kritikal. Dia bukan sahaja risau dengan keadaan Hud. Malahan kini, Afrina yang turut menjadi mangsa semakin meresahkan jiwa Ibrahim. Wajah Yunus yang tiba-tiba berubah tegang ditatap seolah-olah dia sedang menganalisis riak wajah dan emosi rakan seperjuangannya ketika berada di PULAPOL bersama dengan Hud dahulu.

Buat seketika, Yunus tertawa sinis tatkala soalan terus diasak kepadanya. Dahinya yang tidak gatal digaru bersama keluhan yang berat. Lantas, tatapan yang tajam semakin terpancar di kornea matanya. Seakan-akan dia ingin menerkam Ibrahim sahaja tatkala soalan cepumas itu ditujahkan kepadanya tanpa henti. "Aku dah pesan kat dia jangan bertindak secara melulu. Jangan biarkan diri tu terjerumus ke dalam perangkap yang diciptakan oleh musuh dia. Tapi ya, dia degil. Bukan salah aku kalau nama dia dah buruk dan bukan salah aku dia kena belasah dalam lokap."

Pengakuan yang baharu sahaja menyapa telinga membuatkan Ibrahim terkesima. Lebih-lebih lagi wajah Yunus yang bertukar riak sinis. Seakan-akan memperlekehkan nasib yang sudah menimpa sahabatnya. "Apa masalah kau dengan Hud Aidan sebenarnya?"

"Masalah apa? Tak ada..."

"Aku tahu kau dah lama nak ambil tempat dia. Masa kita kat PULAPOL dulu kau selalu iri hati dengan prestasi dia. Ada sahaja perkara buruk yang kau buat untuk buruk-burukkan Hud. Bila kau orang ditugaskan dalam unit yang sama dan rezeki Hud dinaikkan pangkat..."

"Tu zaman kita tak matang lagi! Kau syak aku dalang di sebalik kejadian buruk yang menimpa kawan aku sendiri ke? Come on, Ibrahim. Aku tak sejahat yang kau sangkakan. Aniaya rakan seperjuangan aku untuk kepentingan diri sendiri. Memang aku rasa dia tu pesaing aku dan aku tahu kau sendiri bersaing dengan dia dalam diam dulu. Kau ingat aku tak terkesan ke lepas dia letak jawatan? Unit kita orang hilang sebutir permata yang tak ternilai harganya! Dia tu selalu menenangkan kami sebelum serbuan dilakukan. Kecekapan dia menyelesaikan kes itulah juga yang menjadi punca unit narkotik kehilangan seseorang yang tak ternilai harganya bila dia letak jawatan. Kalau kau ada was-was pasal aku, teruskan. Aku tak boleh halang!" tegas Yunus. Mempertahankan dirinya yang sudah terjunam ke dalam syak wasangka Ibrahim.

Tak semena-mena juga, keadaan berubah tegang. Masing-masing dengan pandangan yang tajam dan penuh dengan ketegasan. Bagaikan dua ekor singa sedang bersiap siaga untuk memburu seekor binatang.

"Kenapa kau nak beremosi kalau kau tak salah? Aku saja uji kau sebab aku tengok kau ni pemarah dan baran orangnya. Tengoklah tadi. Kalau boleh mesti kau nak tengking dia orang. Okaylah. Aku minta diri dulu. Nanti kita jumpa lagi aku belanja kau minum. Terima kasih sebab sudi jawab soalan aku," kata Ibrahim seraya bangun dari duduknya. Dia tersenyum simpul sambil menepuk bahu Yunus bertalu-talu. Bukanlah dia mahu menuduh Yunus namun Yunus boleh menjadi suspek kepada ancaman ke atas Hud Aidan. Intuisinya mengatakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada Yunus. 

Sepeninggalan Ibrahim, Yunus mendengus kasar ketika kesabarannya tiba-tiba sahaja diuji dengan kata-kata sinis pemuda itu. Giginya dikacip menahan geram bersama dengan renungan tajam memerhatikan langkah Ibrahim melalui tingkap kaca yang berada di sebelahnya. Sungguh, Yunus seakan-akan tidak mempercayai bahawa Ibrahim meletakkan syak wasangka di atas insiden yang berlaku ke atas Hud. Bagi Yunus, dia seolah-olah dipersendakan apabila kesalahan diletakkan di atas bahunya. Hanya kerana dia memberitakan kepada Hud mengenai rumah judi, dia pula yang dijadikan suspek ke atas kejadian yang berlaku di dalam lokap tempoh hari.

WAJAH Dina yang comot sambil menikmati kemanisan kek coklat membuatkan Afrina tersenyum sendiri. Celoteh gadis kecil itu menceritakan mengenai hari persekolahannya semalam didengar dengan penuh khusyuk. Sesekali, Afrina mengesat hujung bibir Dina dengan sehelai tisu. Afrina pasti akan merindukan setiap celoteh Dina selepas ini. Keputusan sudah pun dibuat dan Afrina nekad bahawa dia tidak mahu mempunyai kaitan dalam hidup Hud lagi. Afrina memerlukan persekitaran baharu untuk bekerja. Dia risau andai dia tidak mampu bertindak secara profesional jika dia terus berhadapan dengan Hud. Bukanlah namanya seorang Naurah Afrina jika menggunakan emosi ketika bekerja.

"Kenapa pak cik Hud masuk hospital? Pak cik Hud sakit apa?" soal Dina. Persoalan yang bermain di benak fikiran gadis kecil itu lantas dilontarkan kepada Afrina.

"Pak cik Hud accident," dalih Afrina. Senyuman tak lekang di bibirnya dengan celoteh Dina.

"Kenapa kak Farisha menangis?" soal Dina lagi. Sesekali dia memandang wajah Afrina yang duduk di sebelahnya. 

"Mungkin sebab dia sedih pak cik Dina sakit kut. Kakak tu cantik kan? Lepas ni Dina bolehlah main dengan kakak tu pula," jawab Afrina. Nasi goreng kampung yang tinggal sedikit disuakan ke dalam mulutnya. 

"Tapi kak Afrina lagi cantik. Kakak, Dina sayang kakak. Dina tak nak main dengan sesiapa. Dina nak dengan kak Afrina je sampai bila-bila," kata Dina sambil mencalit sisa coklat di atas pinggan lalu dicalit di hujung lidahnya. Tatkala pandangannya saling bersatu dengan Afrina, gadis kecil itu tersengih sehingga menampakkan gusinya yang tercalit dengan sisa coklat.

Afrina tertawa kecil dengan telatah Dina. Wajah Dina yang gebu dan berkulit putih mulus sering sahaja memberikan ketenangan kepada Afrina. Kalau sahaja dia dan Umar bersatu, pasti dia juga bisa bermain bersama anaknya. Namun, semua itu hanyalah sebuah angan yang tak akan tercapai. Cinta hatinya sudah pergi buat selamanya. Bukan mudah untuk Afrina melupakan arwah Umar. Pemuda itulah yang menjadi salah seorang tunjang dia menjadi seorang Naurah Afrina yang teguh. Afrina masih ingat lagi ketika genap sebulan dia dimasukkan ke dalam kelas Seni Silat Cekak Hanafi di kampung neneknya. Umarlah yang sering memberikan kata-kata semangat kepadanya jika dia putus asa untuk belajar mempertahankan diri.

"Musuh utama kau sebenarnya adalah diri kau sendiri! Kalau kau layankan kelemahan kau tu, sampai bila-bila kau akan terus dipijak. Kau sahaja yang boleh atasi kelemahan kau dan cari kekuatan dalam diri kau sendiri!" ujar pemuda berbaju silat pencak  sambil menunduk memandang wajah Afrina yang mendung. Dia baharu sahaja menangkis tumbukan gadis itu sehingga gadis itu terduduk di atas tanah. 

"Bangun!" jerkah Umar lagi dengan wajah yang semakin menyinga. Geram melihat Afrina yang sekadar melayan kelemahan tanpa berusaha untuk membaiki diri sendiri.

Dengan nafas yang turun naik akibat mengah dengan serangan yang ditujahkan ke Umar bertubi-tubi, Afrina lantas bangun seraya meluru ke arah Umar. Tumbukan demi tumbukan terus diasak ke tubuh seniornya itu walaupun tumbukannya langsung tidak terkena pada tubuh Umar. Tak semena-mena, Umar menggunakan jurus buah jatuh untuk menangkis serangan dan menjatuhkan Afrina. Lantas, Afrina mengadu kesakitan apabila tangannya dikilas ke belakang.

"Aku dah kata. Jangan guna emosi masa berlawan! Guna ketajaman akal kau untuk berfikir. Buat apa ALLAH kurniakan akal kepada kau kalau kau letak kat lutut? Hoi budak! Bangun boleh tak! Sampai bila kau nak maruah kau dipijak..."

BUK!

Tak semena-mena, Afrina membentes kaki Umar dengan sekuat tenaga sehingga tubuhnya terlepas daripada pemuda itu. Lantas, Afrina membetulkan posisinya dengan berdiri tegak. Setitis air mata yang mengalir ke pipinya dikesat kasar. Kata-kata Umar yang lancang benar-benar membuatkan dia teringat akan kejadian maruahnya dihina oleh seniornya di sekolah dahulu. Apabila kemarahannya semakin membara, Afrina terus dalam keadaan bersiap siaga untuk menjatuhkan Umar apabila tenaganya semakin bertambah meskipun dia sudah dijatuhkan berkali-kali.

"Kau jangan cabar aku! Tak ada siapa boleh jatuhkan maruah diri aku lagi!" jerkah Afrina sekuat hati lantas menyerang Umar bertubi-tubi. Berkali-kali juga dia jatuh namun Afrina masih teguh berdiri dengan mengeluarkan jurus asas silat yang baharu sahaja dipelajari. Tatkala itu juga, kata-kata semangat tak henti-henti diberikan oleh Umar. 

Itulah yang membuatkan Afrina semakin hari semakin tertarik dengan pemuda itu. Sikap Umar yang menyenangkan dan sentiasa memberikannya semangat untuk keluar dari kepompong lama membibitkan rasa cinta dalam diri Naurah Afrina. Anehnya, Umar juga hanya akan mencabar dirinya sahaja berbanding pelajar silat yang lain. Keanehan itu juga menemui titik penamat tatkala Umar turut mengungkapkan rasa cintanya buat Afrina sehingga mereka diikat dengan tali pertunangan. Namun,  ALLAH lebih menyayangi arwah tunangnya Afrina itu.

"Kenapa kakak menangis? Kakak janganlah sedih. Dina kan ada. Dina tak pergi mana-mana pun," suara lembut Dina berserta pelukan hangat si gadis kecil membuatkan Afrina tersedar dari lamunan panjangnya. Gadis itu tertawa kecil sambil mengusap air mata yang tiba-tiba mengalir ke pipi. Kerinduan buat arwah Umar tidak pernah membuatkan Afrina sebak meskipun sudah lima tahun kejadian dia kehilangan Umar berlalu. Ubun-ubun Dina diusap lembut. Bagaimanalah dia mahu meninggalkan Dina andai rasa sayangnya sudah dicurahkan buat gadis kecil ini? Sungguh, berat hati Afrina untuk meninggalkan Dina.

Namun, senyuman Afrina serta merta menghilang tatkala pandangannya tertancap ke arah Hud Aidan yang sedang tersenyum simpul sambil melangkah ke arahnya. Dahi Afrina mula berkerut melihat Hud sudah menggantikan pakaiannya dari pakaian pesakit kepada pakaian kasual. Tiada lagi kain anduh membalut tangan pemuda yang seakan-akan sudah kembali sihat itu.

"Maaflah sebab bagi pandangan yang menyakitkan mata pagi-pagi ni. Tapi aku dengan Farisha tak ada apa-apa hubungan pun. Serius aku tak tipu!" kata Hud sebaik sahaja dia melabuhkan duduk bertentangan dengan Afrina. Wajah Dina dipandang sekilas lalu sebelum pandangannya kembali tertancap ke laman wajah masam Afrina. Baharu sahaja tadi dia melihat kemanisan di wajah gadis itu tatkala bibir Afrina tak lekang dengan senyuman. Namun, Hud mengerti. Kebencian Afrina terhadapnya membuatkan dia tak mampu melihat senyuman daripada gadis itu.

"Oh ya? Kalau pun kau ada hubungan dengan dia semuanya tak ada kaitan dengan aku. Lagi pun aku tak nak tahu pun pasal kau orang. Apa yang aku tahu, aku tak akan bekerja dengan mama kau lagi. Aku tak nak hidup aku makin terumbang-ambing bila kau terus ada dekat depan mata aku!" tegas Afrina bersama dengan jelingan maut. Melihat wajah Hud di depan mata kembali membuatkan hatinya bergelegak panas.

Tak semena-mena, Hud ketawa dengan ketegasan Afrina. Walaupun kata-kata gadis itu terlalu lancang sehingga mengguriskan sedikit hatinya namun Hud masih terhibur melihat jelingan maut Afrina. Namun, tawanya hanya seketika cuma apabila abdomennya terasa sengal. Tangan lantas melekap pada abdomen. Dek kerana tulang rusuknya masih dalam proses penyembuhan kerana itulah kesakitan itu masih berbisa ketika dia ketawa.

"Kenapa berhenti gelak? Sakit? Hah baru padan muka kau sebab tu balasan untuk orang yang selalu menyakitkan hati! Kau dengar sini baik-baik Encik Hud Aidan. Jaga Dina ni tugas terakhir aku sebelum aku berhenti dari terus berurusan dengan keluarga kau. Aku minta pada kau sangat-sangat jangan kacau hidup aku dan jangan sesekali cuba nak rapat dengan keluarga aku! Lagi satu, bagi tahu keluarga kau supaya jangan cari aku kalau sesuatu yang buruk berlaku pada kau. Aku tak nak dia orang salah faham lagi!" tambah Afrina. Raut wajahnya semakin terpancar dengan ketegasan tatkala Hud seakan tidak serius dengan omongannya.

Hud hanya terangguk-angguk dengan kata-kata Afrina. Raut wajah Afrina lebih menarik perhatiannya berbanding mendengar kata-kata lancang gadis itu. Dia tahu Afrina tekad untuk berhenti dari menjadi jururawat peribadi ibunya. Inilah momen yang harus dia ambil untuk memerhatikan raut wajah manis gadis itu. Selepas ini, Hud sendiri tidak pasti sama ada dia masih bisa berhadapan dengan Afrina ataupun tidak. Pastinya, dia akan merindui setiap ketegasan Afrina ketika merawat ibunya. Kelembutan Afrina melayan kerenah Dina.

"Kau dengar tak apa yang aku cakap!" bentak Afrina sambil menepuk meja. Kemarahan di hatinya semakin membara dengan renungan tajam Hud. Seakan-akan dia merasakan wajahnya sedang dicabuli.

"Dengar. Tapi tulah aku tak janji yang aku tak akan contact abah kau lagi ke tak. Sebab yelah, kita orang ada hobi yang sama. Kau..."

"Kenapa..."

Tak semena-mena, Afrina kematian diksi ketika tangisan Dina tiba-tiba pecah. Malahan, tangisan si gadis kecil turut menjadi perhatian beberapa orang pengunjung yang berada di kawasan kantin hospital. Manakan tidak, pertelingkahan Afrina dan Hud yang semakin tegang itu membuatkan Dina gerun. Dia teringat akan pertelingkahan di antara ibu bapanya. 

"Janganlah bergaduh. Dina takut," rintih Dina dengan bibir yang sudah muncung ke depan. Bahunya terhinggut-hinggut melepaskan tangis. Wajah Afrina dan Hud dipandang silih berganti.

Buru-buru Hud bangun dari duduknya seraya melabuhkan duduk di sebelah Dina. Air mata Dina lantas dikesat lembut sebelum tubuh Dina ditarik ke dalam pelukannya. "Pak cik minta maaf Dina. Pak cik tak sengaja nak takutkan Dina. Janganlah menangis. Lepas ni pak cik bawa Dina makan aiskrim coklat banyak-banyak. Nak?"  pujuk Hud sambil mengusap tubuh belakang gadis kecil itu.

"Janji?"

"Ya, pak cik janji. Lepas ni pak cik tak akan bergaduh dengan kak Afrina lagi," kata Hud sebelum pandangannya tertancap ke laman wajah tegang Afrina. 

"Maaf Dina. Pak cik Dina ni degil sebab tu kakak marah. Nanti Dina bagi tahu pak cik Hud supaya jangan kacau hidup kak Afrina lagi tau supaya kakak tak marah-marah," ujar Afrina bersama keluhan berat terlepas dari bibirnya. 

Kata-kata Afrina membuatkan Hud mengulum senyum lebar. Mimik muka Afrina yang sesekali tercebik itu sangat mencuit hati seorang Hud Aidan. Bagaikan dia tidak pernah mengalami fasa-fasa patah hati apabila kata-kata yang penuh dengan kebencian dilontarkan kepadanya. Afrina, sememangnya gadis itu sudah semakin mendapat tempat di hati seorang Hud Aidan. Apa sahaja perkara berkaitan dengan Afrina sering sahaja membuatkan emosi Hud bercelaru.

"ABANG dengan Afrina ni kan ikut saja kan apa yang budak tu nak? Dari pagi sampai dah nak maghrib kau orang bawa dia ke mana saja dia nak pergi. Buang masa Sherin saja teman kau orang ni. Abang tu dahlah tak sihat lagi dengan memandai keluar hospital tanpa kebenaran doktor. Kalau pun abang tak nak duduk hospital tu lagi, abang masih perlukan rehat kat rumah. Kalau ya pun, jumpalah mama dulu jelaskan pada dia keadaan abang," omel Sherina sambil berjalan beriringan dengan Hud di sebuah taman berhampiran dengan tasik. 

"Budak? Budak tu ada nama yang cantik. Medina namanya. Ni, abang nak pesanlah pada Sherin. Dina ni perlukan kasih sayang dan perhatian seorang ibu saja. Sebab tulah dia tak boleh nak berenggang dengan Afrina sebab Afrina layan Dina dengan penuh kasih sayang. Kalau abang sanggup korbankan masa rehat abang untuk turutkan kemahuan dia, Sherin pun cubalah buat benda yang sama. Dina tu anak kandung Sherin juga," pesan Hud sambil memerhatikan Afrina yang sedang berpimpin tangan dengan Dina di hadapan melangkah keluar dari taman menuju ke kotak parkir berhampiran.

Sherina sekadar mengeluh berat dengan pesanan Hud. Terasa kata-kata itu menusuk ke relung hatinya yang paling dalam. Benar. Keakraban Dina dan Afrina membuatkan Dina sukar untuk berenggang dengan gadis itu. Bukannya Sherina tak mahu memberikan tumpuan buat Dina. Tapi kadangkala memikirkan perkahwinannya dan Zanif membuatkan dia berang. Masih tidak ada kerelaan untuk dia menjadi isteri kepada lelaki dayus itu. Seketika, Sherina mendongak memandang wajah abangnya yang sedang tersenyum sambil memerhatikan Dina dan Afrina. 

"Abang suka kat Afrina kan?" soal Sherina tak semena-mena.

Lantas, Hud memandang wajah Sherina yang sedang menanti jawapan. Tawa halus terbit di bibirnya melihat riak wajah penuh persoalan adiknya itu. Hud berdeham sambil mengusap belakang tengkuknya. Soalan mengejutkan Sherina membuatkan hati Hud Aidan tiba-tiba jadi libang-libu. 

"Or you love her don't you?" tebak Sherina lagi. Bibirnya sudah mengulum sebuah senyuman tatkala Hud Aidan tiba-tiba gelisah. 

"Pandai-pandailah Sherin ni. Ada bukti ke..."

"Tak payah nak berdalihlah abang! Dari pandangan abang pada Afrina tu pun Sherin tahulah yang abang cintakan Afrina.  Nak bukti? Tu muka yang masih bengkak tu pun dah buktikan yang abang cintakan Afrina. Abang dah buat kerja gila biarkan banduan tu belasah abang sebab abang tak nak musuh abang cederakan Afrina. Rahim dah bagi tahulah semuanya pada Sherin!" kata Sherina dengan senyuman yang semakin melebar sehingga menampakkan gusinya yang tersusun cantik. 

Tak semena-mena, Hud kematian langkah tatkala omongan Sherina semakin membuatkan Hud tak senang duduk. Matanya sudah melilau memandang sekeliling apabila adiknya semakin bijak menebak isi hati yang selama ini dipendam sendirian. Wajah Sherina yang semakin penuh dengan persoalan membuatkan Hud menggelengkan kepalanya. Sherina benar-benar sedang menguji perasaannya saat ini.

Namun, belum sempat Hud membuka bicara tiba-tiba mereka didatangi dengan enam orang lelaki berpakaian serba hitam yang meluru keluar dari sebuah van putih. Riak wajah Hud dan Sherina drastik berubah cemas apabila mereka dikepung oleh orang-orang tak dikenali. Lantas, Hud mengenggam pergelangan tangan adiknya sambil berundur beberapa tapak ke belakang apabila Hud menyedari bahawa bahaya ada di depan mata. Malahan, tiga orang daripada mereka turut membawa kayu besbol sebagai senjata.

"Sherin lari!" tegas Hud lantas menolak tubuh adiknya keluar dari kepungan penyerang-penyerang itu. Tanpa berlengah, Sherina lantas menurut perintah abangnya untuk menyelamatkan diri. Afrina yang kaget dengan jerkahan Hud lantas menoleh ke belakang melihat perkara buruk yang kembali berlaku. Keadaan yang berubah gawat itu membuatkan Afrina terus mendukung tubuh Dina dan mengenggam tangan Sherina menyelamatkan diri daripada penyerang yang tiba-tiba muncul. Serta merta Afrina merasakan bahawa adrenalinnya turut berlari kencang melihat marabahaya di depan mata.

Entah nasib malang apa lagi yang menimpa Hud Aidan tatkala dia kembali diserang dalam keadaan dia beransur pulih. Dalam keadaan yang semakin gelap sememangnya tak ada bantuan yang datang melainkan hanya Hud yang harus berhadapan dengan musuh tak diundang itu. Malahan, Hud hanya mampu mengelak serangan daripada musuh-musuhnya. Dalam keadaan tulang rusuknya masih belum pulih menyukarkan Hud untuk membalas serangan. Dia merasakan kesakitan yang berbisa mula mencengkam tulang temulangnya.

"Kau akan mati hari ni juga bajingan!" jerkah seorang lelaki berkepala botak lantas menghayunkan tendangannya ke tubuh Hud. Pemuda itu tangkas mengelak dengan menyendengkan tubuhnya. Apabila dia terlepas, senyuman sinis terukir di bibirnya. Namun, hanya seketika cuma apabila pukulan yang kuat muncul dari belakang sehingga tubuhnya terdorong ke hadapan. Tak semena-mena, kolar baju Hud dicengkam oleh musuh yang berada di hadapan. Buru-buru Hud mematahkan serangan dengan menghayunkan lututnya ke rusuk penyerang sebelum tumbukan padu dihayunkan ke rahang penyerang itu pula.

Setapak demi setapak Hud berundur ke belakang. Dia sedar dia tak mampu mengelak dalam keadaan musuh semakin agresif. Maka, dengan nafas yang semakin mengah Hud kembali beraksi dengan membalas serangan musuh-musuhnya. Sesekali, dahinya berkerut menahan sengal yang semakin mencengkam sendi-sendinya. Kalau saat ini nyawanya melayang, Hud Aidan redha. Orang-orang tersayangnya harus dilindungi selagi nyawanya masih dikandung badan! 

Buk!

Sekali lagi Hud terdorong ke hadapan apabila kayu besbol dihayunkan ke belakang kepalanya. Tak semena-mena, pandangan Hud semakin berpinar-pinar dengan pukulan yang seakan-akan meragut kekuatannya sekelip mata. Bau hanyir darah mula menusuk rongga hidungnya saat cecair merah mengalir di belakang kepalanya. Hud lantas menggeleng-gelengkan kepalanya seraya mengelak dari pukulan yang muncul dari hadapan. Namun, tendangan yang datang dari sisi membuatkan Hud tersandar di belakang bonet sebuah kereta sebelum tumbukan dihayunkan ke wajahnya. Sungguh, Hud merasakan dia sudah kehabisan tenaga!

"Hud!"

Sayup-sayup kedengaran suara seseorang memanggil tatkala Hud hampir rebah. Dahinya berkerut melihat seorang gadis sedang meluru seraya menghayunkan tendangannya ke seorang lelaki berambut panjang dari belakang. Malahan, gadis itu terus menjambak rambut si penyerang lantas dihentak ke belakang bonet kereta dengan kuat. Tumbukan daripada seorang penyerang yang turut meluru ingin menyerang si gadis berjaya ditepis apabila si gadis terlebih dahulu memulas tangan si penyerang ke belakang seraya membentes kaki penyerang tersebut. Tak semena-mena, si penyerang terduduk lantas erangannya kedengaran apabila tengkuknya menerima tendangan lutut si gadis. Serangan yang berjaya dipatahkan itu membuatkan si penyerang merasakan tengkuknya dipatahkan.

Ketangkasan gadis bertudung selendang mustard itu membuatkan Hud tersenyum simpul.  Afrina sudah berubah. Bukan lagi gadis lemah yang ditindas seperti 14 tahun yang lalu. Lantas, Hud kembali beraksi dengan bantuan daripada Afrina. "Kenapa... kau datang? Aku suruh kau lari! Degil!" tegas Hud apabila Afrina berada di belakangnya. Sama-sama mereka menepis dan membalas serangan daripada musuh.

Afrina tersenyum sinis dengan kata-kata Hud Aidan. Berbekalkan seni silat yang dipelajari dia terus membalas serangan musuh berbadan tegap di hadapannya. Jurus silat yang sudah sebati dalam dirinya lantas dikeluarkan. "Jangan salah sangka Encik Hud Aidan. Aku tolong kau sebab adik kau menangis merayu-rayu supaya jangan tinggalkan kau. Lagi pun aku nak  buktikan pada kau yang aku bukan lagi Afrina yang kau dah jatuhkan maruahnya dulu!" bentak Afrina lantas menghayunkan tendangan padunya ke wajah musuh yang semakin mengganas.

"Hoi! Selangkah kau orang melawan aku tak akan teragak-agak sepaikan kepala kau orang dengan peluru ni!" Tak semena-mena, seorang lagi penyerang tiba-tiba muncul meluru ke arah Afrina dan Hud. Keadaan semakin cemas saat itu apabila mereka diacukan dengan sepucuk Glock. 

Pergerakan Afrina dan Hud terbejat serta merta dengan ugutan daripada seorang figura bertopeng putih yang hanya menampakkan sepasang matanya sahaja. Ugutan itu juga membuatkan jantung Hud semakin berdegup kencang. Kepalanya semakin terasa pusing dengan tekanan yang berada di depan mata. Sebaik mungkin Hud cuba melawan trauma yang kembali menganggu kotak fikirannya tatkala melihat Glock di tangan musuh. 

"Bravo! Tangkas juga kau orang berdua ni berlawan. Mampu jatuhkan semua konco-konco aku," kata si lelaki misteri lagi sambil mengelilingi Hud dan Afrina yang sudah tercungap-cungap. 

"Kau nak apa?" soal Hud sambil menggenggam tangannya dengan erat. Suaranya berubah dingin serta merta. Sungguh, kesabarannya dicabar lagi kali ini. Perlahan-lahan, Hud berdiri membelakangi Afrina. Melindungi gadis itu dari menjadi mangsa kekerasan lelaki misteri itu.

"Aku? Musuh kau. Kehancuran kau dan pencabut... nyawa kau Hud Aidan!" tegas si lelaki misteri seraya menghenyak rusuk Hud dengan senjata yang berada di tangannya. Tak semena-mena, Hud terduduk dan terbatuk-batuk dengan kesakitan yang maha hebat. Dahinya berkerut menahan sengal yang semakin berbisa.  Dengan pandangan yang semakin berbalam-balam, satu hentakan kuat hinggap di kepalanya sebelum Hud rebah dalam kesakitan yang seakan-akan meragut kekuatannya sekelip mata.

Melihatkan itu Afrina semakin diserang ketakutan. Lututnya semakin terasa lemah untuk menampungnya terus berdiri. Wajah Hud yang pucat dipandang silih berganti dengan lelaki misteri yang sudah bertepuk tangan seolah-olah kemenangan berpihak kepadanya. Seketika, tawa lelaki itu terletus sebelum satu tumbukan kuat dihenyak ke wajah Afrina dengan kuat. Akibatnya, kepala Afrina terteleng dengan telinga yang seakan-akan berdengung dengan tumbukan padu itu. Cecair merah sudah mengalir di hidungnya akibat kekerasan lelaki itu.

"Kita sambung permainan yang seterusnya pula," bisik lelaki itu sambil mencengkam rambut Afrina yang berbalut dengan selendang. Buat seketika, kepala Afrina terdongak memandang si lelaki misteri di depan mata. Tangannya turut mengenggam pergelangan tangan musuh apabila dia merasakan kulit kepalanya seakan-akan ditarik kuat oleh penyerang itu. Sungguh saat itu, tiada lagi ketenangan yang dirasakan oleh seorang Naurah Afrina ketika nyawa berada di hujung tanduk!

.................................................................................................................................................

Maaf korang lambat update >< terima kasih sudi membaca karya ini. Siapa yang ada wattpad bolehlah baca bab seterusnya dalam wattpad Syaf. Syaf dah upload sampai bab 22 ^_^ 

https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa


Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa