Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
108,173
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 11

MIRZA ralit memerhatikan isterinya yang sedang berdandan di hadapan cermin. Buku perniagaan yang berada di tangannya langsung tidak menarik perhatiannya apabila sejak kebelakangan ini isterinya bertindak dingin terhadapnya. Sudah seminggu berlalu dia tidak dilayan dengan baik. Amelia yang menyedari dirinya diperhatikan hanya tersenyum sinis. Sakit di hatinya tak lagi beransur hilang setelah Restoran Aglio yang seharusnya memberikan keuntungan kepada peribadinya jatuh di tangan Hud Aidan.

"Where do you want to go again tonight?"

"I ada party kat rumah Mary," jawab Amelia acuh tak acuh. Dia mencapai minyak wangi berjenama Dior lalu disemburkan ke leher jinjangnya.

Tak semena-mena, wangian Amelia membuatkan Mirza jadi serba tak kena. Nalurinya bergelojak dengan kecantikan isterinya yang berkacukan Kazakhstan itu. Lantas, Mirza bangun dari katil seraya mendekati isterinya. Tangannya singgah menyentuh bahu si isteri sebelum satu kucupan lembut singgah di pipi isterinya. Amelia sekadar membiarkan.

"I nak you. Temankan I malam..."

"You should divorce me after you know what I want from your familyright?" pintas Amelia. Nada suaranya kedengaran tegas menandakan dia tidak suka dengan apa yang dimahukan oleh Mirza. Tangan Mirza ditepis kasar seraya wanita itu bangun dari duduknya. Keluhan berat dilepaskan dari bibir mungilnya. Tas tangan berjenama Hermes Birkin yang dihiasi dengan batu permata dicapai dari almari lalu dibimbit.

"But you know right that I can't divorce you because I am deeply in love with you. Only you!" tegas Mirza seraya mendekati Amelia yang bersandar di belakang almari. Apabila dia hampir memeluk tubuh Amelia, satu tamparan kuat dihayunkan ke wajahnya. Terteleng wajah Mirza akibat penangan kejutan daripada Amelia.

"StupidI said that I just wanna you to divorce me! Do you understand, Mirza that I didn't want to need you in my life again! I cuma nak harta you. Bukan you, Mirza. Oh come onlah sampai bila you nak bertindak bodoh ni? You listen here, now I tak akan layan you selagi I tak dapat Restoran seafood tu! You tahu tak I nakkan restoran mewah tu sebagai income I. Sekarang apa? Semuanya dah kena rampas oleh adik you yang tak patut hidup lagi lepas papa buang dia dari hidup kita!" bentak Amelia sekuat hati. Melepaskan amarah yang terpendam di lubuk hatinya. Wajahnya yang putih gading mula merah dengan dada yang turun naik melepaskan amarah yang mencengkam sanubarinya.

Mirza hanya memandang wajah Amelia dengan tatapan yang penuh dengan kekecewaan. Ya, dia bodoh kerana masih menginginkan wanita ini. Sudah tiga tahun dia tahu bahawa Amelia tidak pernah mencintainya. Mirza tahu isterinya curang. Tapi dia masih si dayus yang terus mempertahankan isterinya kerana butanya terhadap cinta. Malahan, dia ini hanyalah seorang lelaki bodoh yang sanggup membuat apa sahaja demi isteri tercinta. Namun, semakin hari sikap Amelia semakin mencabar seorang Mirza Hasif.

"You dah ada Spa kecantikan..."

"Tak cukup! I nak Restoran Aglio tu. You tahu kan Hud tu dah kena buang keluarga dan dia tak ada hak nak dapatkan harta warisan daripada keluarga ni lagi, faham tak!" marah Amelia lagi. Dahinya sudah berkerut tatkala Mirza seakan-akan tidak mahu menunaikan permintaannya untuk mendapatkan harta yang diberikan kepada adik iparnya.

Mirza mengeluh berat. Sikap tamak Amelia benar-benar mencabar kesabarannya sebagai seorang lelaki. Lelaki bermata galak itu kembali menghampiri Amelia sehingga tubuh mereka hanya sejengkal. Mirza menghadang tubuh Amelia dengan tangan kirinya. Tangan kanannya kembali ligat mengelus wajah Amelia sebelum dagu isterinya dicengkam kuat. Berkerut dahi Amelia dengan kekasaran Mirza itu. Buat seketika, pasangan itu saling berpandangan. Masing-masing dengan pandangan yang penuh dengan kemarahan.

"Jangan cabar I sayang. Jangan buat ketenangan I hilang sekelip mata. I tak akan ceraikan you dan I akan pastikan kita hanya akan berpisah mati. Bukan berpisah hidup. You ingat ni sampai bila-bila. You tahu kan, you tak akan boleh lari daripada I. Jadi, I nasihatkan you baik you berjaga-jaga dengan apa yang you cuba buat," bisik Mirza seraya menampar kuat wajah Amelia. Melepaskan kemarahan yang berselirat di dinding hatinya.

Amelia tergamam. Kemarahannya semakin membuak-buak dengan penangan daripada Mirza. "Lelaki tak guna! Berani you tampar I kan! You pun jangan nak cabar I sebab I boleh hancurkan keluarga you ni sekelip mata. I boleh bunuh Hud untuk dapatkan apa yang I nak!" tegas Amelia seraya menolak kasar tubuh Mirza. Dia segera mengesat darah yang mengalir di birai bibirnya bersama dengusan yang kuat. Tanpa berlengah, Amelia lantas menuruni anak-anak tangga rumah agam itu. Saat telinganya menangkap suara di ruang makan, dia segera memakai 'topeng muka'.

Kelihatan Dina sedang menjamah makan malam bersama Mak Timah dan Hud. Celoteh Dina bercerita mengenai harinya di sekolah sesekali membuatkan suasana jadi ceria di meja makan. Tatkala pandangan Amelia bersatu dengan Hud, tatkala itu juga kemarahannya semakin mencanak naik. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia merodok jantung pemuda itu agar lelaki itu terhapus dari dunia ini. Sejak Hud muncul semula, dia merasakan hidupnya jadi kacau. Sering kali sahaja dia bergaduh dengan Mirza disebabkan ketidakpuasannya dengan wasiat yang diberikan kepada pemuda itu.

"Kak Amy punya hobi memang keluar malam ke?" soal Hud. Ada kesinisan di sebalik nada suaranya. Dia tersengih apabila Amelia memandangnya dengan pandangan yang tajam.

"I keluar sebab I ada hal penting. Urusan business! Kau orang makanlah puas-puas, I nak keluar dulu," kata Amelia seraya melangkah keluar dari rumah agam itu. Namun, langkahnya terbejat tatkala pintu dirempuh dari luar. Terpampang wajah menyinga Zanif yang sedang mencengkam rambut Sherina meluru masuk ke dalam rumah. Berkali-kali, Sherina meminta ampun agar dia dilepaskan daripada kekasaran Zanif. Melihatkan itu, Amelia sekadar menjelingkan matanya ke atas. Itu urusan mereka!

TUBUH Sherina melorot di belakang almari tatkala Zanif menghempaskan tubuhnya dengan kasar. Tubuhnya sudah menggigil akibat amukan suaminya itu. Air matanya tak henti-henti mengalir akibat kesakitan yang maha hebat pada tubuhnya setelah dibantai oleh Zanif ketika dia dalam perjalanan untuk pulang ke rumah. Belum sempat dia menegakkan duduknya, Zanif terus menyepak tubuhnya bertubi-tubi seakan-akan dia itu sebiji bola di pandangan mata Zanif.

"Sial! Aku dah cakap jangan keluar dengan lelaki..."

"Tapi tu... klien aku, Zanif! Aku berurusan... dengan... dia orang... bincang pasal rekaan... rumah..."

Sherina kematian kata tatkala pintu dirempuh dari luar bilik. Kelihatan Hud sudah meluru masuk bersama dengan Mak Timah dan Dina yang sudah menangis teresak-esak melihat ibunya dipukul. Keadaan semakin tegang apabila Hud membanting tubuh Zanif ke belakang meja solek sehinggakan barangan di atas meja berderai pecah. Sherina hanya mengerekot menahan sakit sambil memandang Hud yang sudah memukul Zanif tanpa henti. Air matanya semakin deras mengalir ke pipi apabila abangnya datang untuk melindunginya. Kalau tidak, sekali lagi dia pasti akan dipukul sehingga pitam. Seperti yang sering diperlakukan jika cemburu buta Zanif kembali muncul.

Melihat Sherina dipukul separuh mati membuatkan Hud tak mampu mengawal kemarahannya. Tumbukan demi tumbukan diasak ke wajah Zanif tanpa memberikan kesempatan lelaki itu untuk melawan. Segala beban yang dipikul lantas dilepaskan ke wajah adik iparnya itu. Nafasnya sudah turun naik melepaskan amarah. Wajah Zanif yang sudah berdarah itu langsung tidak mematikan tumbukan seorang Hud Aidan.

"Hud! Berhenti!"

Laungan kuat daripada Mirza masih tidak bisa menghentikan Hud. Dia masih belum berpuas hati melepaskan beban melihat penderaan adik kandungnya. Lantas, tumbukan demi tumbukan terus dihayunkan dengan kuat sehingga pandangan Zanif semakin berbalam-balam. Penangan kuat Hud itu benar-benar membuatkan hidungnya seakan-akan dipatahkan. Darah tak henti-henti mengalir di hidung dan birai bibirnya. Mahu mengelak sahaja dia tidak bisa dek kerana kekuatan Hud bersama dengan sebuah kemarahan.

"Hud Aidan!"

"Pak cik... jangan pukul papa."

Saat suara sayu Dina menusuk halwa telinga Hud, serta merta tumbukan Hud terhenti. Nafasnya turun naik dengan sisa kemarahan yang masih berselirat di dinding hatinya. Wajah orang sekelilingnya dipandang sebelum berakhir ke wajah sayu Sherina yang sudah berada dalam pelukan Mak Timah. Sungguh, wajah Sherina yang sudah memar akibat dipukul oleh Zanif membuatkan Hud kecewa dengan dirinya sendiri. Dia tidak bisa melindungi satu-satunya adiknya. Itu sebuah kegagalan buat seorang Hud Aidan.

"Hud. Cukuplah! Aku tahu kau marah dengan apa yang dia dah buat pada Sherin. Jangan sampai tangan kau tu membunuh orang keji macam Zanif tu. Dan kau Zanif... aku dah cakap kawal baran kau! Haish! Aku streslah dengan kau orang semua ni. Kau orang dah besar bukan budak kecil lagi. Hah kau lagi, Sherin. Kau dah tahu laki kau cemburu..."

"Cukup. Kau jangan salahkan Sherin atau aku belasah kau sekali," pintas Hud sambil memandang wajah Mirza yang tegang itu. Berdesing telinganya apabila kesalahan dilontarkan kepada Sherina. Bagi Hud, di rumah agam itu Sherinalah yang paling tertekan dan menerima impak disebabkan ketamakan arwah Datuk Idris.

Mirza mengeluh berat seraya membantu Zanif yang sudah menyeringai kesakitan keluar dari bilik. Tiada kata yang mampu diujarkan tatkala Hud sudah memberikan pandangan tajam dan berselirat dengan amarah kepadanya. Jadi, lebih baik dia membawa Zanif keluar dari bilik itu agar keadaan dapat dikawal.

"Pak cik..."

Suara Dina menyapa lagi. Dengan pandangan yang kabur, Hud mengalihkan pandangannya ke wajah Dina yang sedang teresak-esak. Anak kecil itu seakan-akan takut melihat Hud yang tiba-tiba mengamuk. Lantas, Hud kembali menenangkan dirinya dengan menarik nafas dalam-dalam sebelum dihembuskan perlahan-lahan. Terapi yang sering digunakan jika dia dibakar dengan kemarahan mahupun kesesakan. Bibir lantas beristighfar sebelum dia mengusap lembut air mata Dina.

"Jangan menangis. Pak cik cuma nak ajar papa Dina supaya dia tak pukul mummy. Sekarang Dina pergi tidur. Okay? Pak cik minta maaf sebab buat Dina takut. Pak cik janji pak cik tak akan marah macam tu depan Dina lagi," pujuk Hud. Tergaris senyuman hambar di bibirnya.

"Janji?"

Hud ketawa kecil dengan tingkah Dina yang menghulurkan jari kelingkingnya. Pemuda itu mengangguk lantas menyatukan jari kelingkingnya dengan Dina. Satu kucupan lembut hinggap di dahi anak kecil itu sebelum Hud mengarahkan Mak Timah untuk membawa Dina keluar dari kamar itu. Hud memerlukan masa untuk dia menenangkan Sherina yang kelihatan kesakitan dari segi fizikal dan mentalnya.

"TOLONG jangan report polis dengan apa yang dia dah buat. Sherin tak nak dia masuk penjara."

Tangan Hud yang sedang menuam pipi Sherina dengan tuala yang berbalut dengan ais serta merta terbejat. Dahinya berkerut dengan permintaan adik bongsunya itu. Jelas, ada ketakutan di sebalik wajah Sherina tatkala menuturkan permintaannya. "Dia dah pukul adik abang macam ni, lepas tu Sherin nak pertahankan si jahanam tu lagi?"

Sherina tertunduk dengan soalan dingin Hud. Tangan Hud digenggam erat sebelum dia kembali mengangkat kepalanya. Wajah Hud ditatap dalam-dalam. Mahu ditelan mati emak diluah mati bapak. Sherina benar-benar dilema untuk menyatakan sebab dia menegah Hud daripada melaporkan ke pihak polis. Kalau diluahkan, dia tidak mahu Hud kembali mengamuk seperti tadi. Dia takut! Malahan, ada sesebuah rahsia yang tidak mampu dikongsikan bersama abangnya.

"Abang minta maaf Sherin sebab abang tak mampu nak lindung Sherin. Tapi sekarang abang balik ni sebab abang nak jaga Sherin. Nak jaga Dina dengan mama. Bagilah abang peluang untuk tebus semua kesalahan abang sebab tinggalkan dan abaikan Sherin. Tolong jangan rahsiakan apa-apa daripada abang. Abang sayang Sherin sangat-sangat," ujar Hud sambil mengusap lembut ubun-ubun Sherina. Luluh hatinya melihat wajah cantik Sherina dipenuhi dengan kesan lebam. Mata kiri adiknya sahaja sudah menunjukkan bengkak.

Sungguh, tatkala rasa sayang itu diluahkan hati Sherina jadi sebu. Tangan Hud yang digenggam erat diketatkan lagi. Dia juga menyayangi abangnya. Hanya abangnya yang layak menjadi pelindungnya. Ayahnya juga sudah menjualnya kerana harta. Ketika dia mula menerima Zanif, suaminya itu pula mendera fizikal dan mentalnya sehingga dia seolah-olah merasakan kematian ialah jalan terbaik untuk menamatkan penderitaannya.

"Sherin cuma tak nak rumitkan keadaan. Sherin..."

"Sherina. Jantan tu dah belasah adik abang depan mata abang sendiri. Sherina tengoklah diri Sherina ni. Muka bengkak sana sini. Badan pun dah lebam-lebam. Ikutkan hati abang, mati si jahanam tu abang kerjakan!" tegas Hud. Rasa bersalahnya semakin membuak-buak apabila Sherina seolah-olah mengelak untuk memberikan hukuman ke atas Zanif.

"Abang ni tak payahlah garang-garang! Tak apa. Abang dah ada dekat rumah ni, Sherin yakin dia tak akan berani pukul Sherin lagi. Abang tahu tak, Sherin bersyukur sangat sebab ALLAH makbulkan doa Sherin. ALLAH pulangkan abang Sherin semula dan Sherin rasa dilindungi bila abang ada dekat sisi Sherin. Jadi, selagi abang ada selagi tu Sherin akan rasa selamat," kata Sherina. Segaris senyuman terukir di bibirnya yang lebam sebelum dia memeluk tubuh Hud dengan erat. Matanya dipejam rapat apabila rasa sebu itu semakin mengetuk dinding hatinya.

Hud terkesima dengan omongan Sherina. Tidak menyangka bahawa sudah terlalu lama Sherina menanti kepulangannya. Lantas, pelukan semakin dieratkan. Menyalurkan kasih sayangnya buat adik perempuannya itu. Saat itu juga, setitis demi setitis air mata lelaki Hud tumpah juga. Dia lelah. Ya, Hud lelah berhadapan dengan konflik yang berlaku dalam hidupnya. Ujian ini sememangnya melelahkan seorang Hud Aidan!

Nota penulis: Terima kasih sudi memilih karya syaf sebagai bahan bacaan korang ^_^ sesiapa yang nak baca bab cepat-cepat boleh baca dalam wattpad syaf tau https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa

Previous: BAB 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa