Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
107,516
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 8

USAI solat Subuh berjemaah di bilik solat bersama dengan keluarganya, Afrina termenung lagi. Dia hanya berteleku di atas sejadah. Celoteh Arisha yang sedang bergurau bersama Encik Talib dan Puan Sofea sayup-sayup menusuk halwa telinga. Sungguh, ketika ini Afrina benar-benar buntu dengan perkara yang berselirat di dinding hatinya. Dendam dan kemarahan di lubuk hatinya ini membuatkan Afrina rasa berdosa. Sia-sia sahaja dia menunaikan kewajipannya sebagai seorang Islam jika dia masih menyimpan dendam sehingga mahukan kematian Hud. Tetapi, apa yang dilakukan oleh Hud 14 tahun yang lalu juga hampir meragut nyawa seorang Afrina. Jadi, tidak hairan jika Afrina terdetik berfikiran sedemikian rupa.

"Afrina tak kerja ke hari ni?" soal Encik Talib sambil melipat sejadah lalu diletakkan di rak almari. Serta merta, fikiran negatif terhapus di benak fikiran gadis berkulit kuning langsat itu. Dia menebarkan pandangannya di sekeliling. Arisha sudah pun melangkah keluar meninggalkan dia dan ibu bapanya.

"Malaslah, abah. Hari ni Afrina rasa nak ambil cuti. Bukan hari ni je hari-hari lain pun sama juga. Bosanlah hadap orang kaya berlagak macam Datin Khalida tu," jawab Afrina. Keluhan berat terlepas dari bibir mungilnya tanpa sengaja. Malahan, jawapannya tidak seperti apa yang dia fikirkan saat ini.

Encik Talib ketawa dengan rungutan anak gadisnya. Tercuit hati apabila semangat Afrina jatuh. Jarang sekali anak sulungnya berkeluh kesah dan tidak bersemangat. "Afrina tipu kan? Bukan sebab Datin Khalida kan? Yalah, masuk dua bulan Afrina jadi jururawat peribadi dia, tak pernah sekali pun Afrina merungut. Abah perasan minggu ni Afrina macam ada masalah. Nak pergi kerja pun lambat. Kenapa ni? Tak nak kongsi dengan abah dan mama?" soal Encik Talib seraya duduk bersila di hadapan anak gadisnya dan isterinya.

"Ya sayang. Ceritalah masalah Afrina. Kita boleh selesaikannya sama-sama. Tak baik tahu simpan seorang-seorang. Mama tak naklah masalah Afrina ni terbawa-bawa sampai ke tempat kerja," kata Puan Sofea pula.

Afrina tertunduk menekur dua bentuk cincin belah rotan yang tersarung di jari manisnya. Dia sudah 28 tahun. Sebab itulah Afrina hanya mampu memendam jika dia ada masalah. Tidak mahu ibu bapanya risau akan dirinya. Sekali sudah cukup ketika Afrina kehilangan arwah Umar. Ketika dia meratapi pemergian arwah tunangnya sehinggakan ibu bapanya risau mencari penawar untuk mengubati kedukaan di hati gadis itu.

"Tengok tu, termenung lagi. Berat sangat ke nak ceritakan masalah tu?" soal Puan Sofea lagi. Dia mengenggam erat tangan Afrina untuk menyalurkan kekuatan. Buat seketika, Afrina mengangkat kepala memandang wajah ibunya yang sedang menanti jawapan.

"Afrina penat je kut. Yalah sejak Afrina kerja dengan Doktor Azizah kadang-kadang syif Afrina terlebih. Tak ada apalah mama, abah! Afrina cuma nak bagi tahu yang..."

Afrina jeda. Dia tersenyum simpul sambil memandang wajah kedua orang tuanya. Mula sudah akalnya untuk membuatkan suasana yang dingin kembali ceria. Dia yang mendinginkan suasana jadi Afrina mahu mengembalikan mood ceria dalam keluarganya semula.

"Cuma apa?"

"Cuma Afrina nak cakap yang Afrina... sayang sangat dengan mama dan abah!" luah Afrina seraya memeluk erat tubuh ibunya. Tak semena-mena, Encik Talib ketawa lagi sambil mengusap kepala Afrina yang berbalut dengan telekung. Sungguh, Afrina bahagia. Dia bersyukur dikurniakan ibu bapa yang sentiasa ada di sisinya.

"Mama dengan abah pun sayangkan Afrina. Kalau ada apa-apa jangan pendam seorang. Ingat tu!" tegas Puan Sofea sambil mengucup lembut kepada anak gadisnya. Afrina hanya mengangguk sambil mengetatkan pelukannya. Dia tenang berada dalam pelukan ibunya. Rasa masalah seolah-olah hilang begitu sahaja.

SESEKALI, Datin Khalida memandang wajah Hud yang duduk di sisinya sambil memerhatikan Afrina yang sedang memasukkan insulin ke dalam tubuhnya. Seakan-akan, anak lelakinya itu sedang menganalisis wajah Afrina yang tegang tanpa senyuman. Kemudian, gadis itu memeriksa bed sore di tumit kakinya. Saat lukanya dibersihkan, Datin Khalida menepis kasar tangan Afrina. Wajahnya serta merta bertukar tegang.

"Kau ni bodoh sangat kenapa hah! Kau nampak tak luka aku tu besar? Sakit tahu!" bentak Datin Khalida. Dahinya sudah berkerut tatkala tumit kakinya yang luka terasa pedih setelah Afrina menyapukan ubat. Bahkan, bau ubat yang menusuk hidungnya membuatkan tekaknya berasa loya.

"Sebab saya bodohlah saya sapukan ubat ni, datin. Kebodohan saya ni boleh nampak bila saya tahu datin tak suka tapi saya buat je benda yang datin tak suka tu. Kalau datin asyik layan sakit tu sampai bila-bila luka ni tak akan sembuh. Datin juga yang cari pasal kan. Suruh Mak Timah masak makanan yang langgar pantang untuk datin. Datin tak geli ke tengok luka ni? Selesa dah ke hidup dengan luka ni semua? Datin nak kaki datin ni kudung ke kalau terkena infeksi lagi? Sekali tak cukup ke kena infeksi tu?" soal Afrina bertalu-talu sambil kembali menyapu ubat pada tumit kaki pesakitnya.

Kata-kata Afrina yang lancang membuatkan Hud tersenyum sendiri. Menarik. Gadis seperti inilah yang sesuai berhadapan dengan ibunya yang degil itu. Kalau dengan Mak Timah, wanita separa umur itu hanya menurut tanpa membantah. Berbeza dengan jururawat peribadi ibunya. Nampaknya, gadis ini seorang yang petah dalam berhujah.

"Kau ni biadab kan? Mak bapa kau tak ajar adab dengan orang tua ke? Ke dia orang pun sama tak ada adab macam kau?"

"Mama. Apa cakap..."

"Tak apa Encik Hud. Saya dah biasa kena maki, kena tengking dan kena hina dengan Datin Khalida. Encik tak payah susah-susahlah rasa bersalah. Lagi pun ini tanggungjawab saya sebagai pekerja. Tapi tulah kan kalau datin nak hina saya tolong jangan bawa masuk pasal mak ayah saya tau. Sebab mak ayah sayalah saya jadi manusia sekarang ni," tegas Afrina seraya membalut luka bed sore Datin Khalida. Ingat dia ini Afrina yang senang dibuli ke? Orang nak buli dia, dia boleh bagi lagi teruk!

Tak semena-mena, Datin Khalida jadi kelu. Tiada kata yang mampu dikeluarkan dari mulutnya tatkala kata-kata itu menusuk ke lubuk hatinya yang paling dalam. Benar. Ibu bapa Afrina berjaya membentuk anak mereka menjadi anak yang baik. Berbeza dengan dia dan suaminya yang hanya tahu menghancurkan hidup anak sendiri demi wang.

"Jangan terasa. Saya cuma tak nak datin hina mak ayah saya. Itu sahaja. Kalau datin tengok saya ni buruk ya saya akui saya memang mulut longkang. Tak beradab dengan orang yang lebih tua daripada saya. Tapi semua tu bukan hasil didikan mak ayah saya. Dia orang dah buat yang terbaik untuk besarkan saya tapi tulah dah anak dia orang ni lancang kan?" tambah Afrina lagi. Setelah siap membalut luka, dia saling berpandangan dengan Datin Khalida yang terkulat-kulat. 

"Saya minta diri dulu. Urusan saya dekat rumah datin dah selesai dan esok saya datang lagi. Oh ya sebelum tu Encik Hud, memandangkan Encik Hud saja anak Datin Khalida yang boleh diharapkan saya nak minta tolong Encik Hud boleh?"

"Sudah tentunya boleh," jawab Hud. Berkerut dahi Datin Khalida apabila nada suara Hud kedengaran ceria. Apa yang anaknya ini suka sangat pun dia tidak tahu.

"Dekat pintu peti sejuk tu saya dah lekatkan diet makanan yang sesuai diambil oleh Datin Khalida. Saya nak minta tolong encik ikut peraturan yang dah ditetapkan. Kalau encik nak tengok ibu encik ni sihat saya harap encik boleh tolong saya. Saya minta diri dulu, Assalamualaikum," ujar Afrina seraya pamit untuk pulang. Dia mengemaskan peralatan perubatan yang dibawa dari Atma Home Nursing sebelum melangkah keluar dari kamar Datin Khalida.

Sepeninggalan gadis itu, suasana bilik berubah senyap tanpa kata-kata lancang Afrina dan Datin Khalida. Melihat Hud yang masih memandang pintu biliknya sambil tersenyum membuatkan Datin Khalida berasa geram. Lantas, lengan Hud ditepuk kuat. Hud tersentak seraya mengalihkan pandangan ke wajah ibunya yang bersandar di kepala katil. "Kenapa? Suka?" soal Datin Khalida.

Tak semena-mena, terletus tawa dari bibir Hud dengan soalan ibunya. Sememangnya, naluri seorang ibu itu memang tepat. Hud memang suka melihat Afrina yang lancang berkata-kata. "Menarik perhatian Hud. Mak Timah yang dah lama kerja dengan mama pun tak berani lawan mama macam Afrina. Hud suka dia buat macam tu pada mama supaya mama ni tak adalah nak rendahkan orang sangat," ujar Hud. Dia tersengih apabila mata Datin Khalida membuntang dengan kata-katanya. Barangkali kaget dengan kata-kata yang meluncur laju dari mulut.

"Mama rehat dulu. Hud nak hantar dia ke muka pintu. Rasa macam tak beradab pula kan biar dia pergi macam tu je. Lagi pun Hud nak tanya dia sikit pasal keadaan mama ni," tambah Hud lagi seraya bangun dari duduknya. Telefon pintar di meja sisi lantas dicapai sebelum langkah diatur keluar dari bilik. Namun, dia dapat menangkap kata-kata ibunya sehingga langkahnya terbejat di muka pintu bilik.

"Jangan nak suka-suka sangat, Hud Aidan. Mama tak suka budak tu. You understand right what I am trying to say?" tegas Datin Khalida. Terselit amaran di hujung kata-katanya. Anaknya ini perlu diingatkan sebelum melakukan sesuatu yang dia tak suka.

Hud hanya tersenyum dengan omongan ibunya. Ibu jari diangkat tanda dia memahami kata-kata ibunya. Lantas, langkah diatur keluar dari kamar. Suara Mak Timah yang seakan-akan sedang berbual di ruang tamu mencuri perhatiannya. Dari tingkat atas, Hud melihat masih ada kelibat Afrina yang sedang memeriksa tekanan darah orang gaji di rumah itu. Inilah yang dinamakan kesempatan yang berada di depan mata!

"Mak Timah punya tekanan darah ni tinggi. Saya cadangkan Mak Timah buat pemeriksaan lanjut dekat hospital untuk periksa tahap kolesterol. Lagi satu, Mak Timah pun kena ikut diet pemakanan yang saya dah lekatkan tu," ujar Afrina sambil menanggalkan alat pengukur tekanan darah.

"Sebab tu ke Mak Timah selalu sakit kepala?"

"Betul tu. Boleh jadi pening kepala yang terlalu kerap bagi orang seusia Mak Timah ni pun salah satu petanda ada darah tinggi. Memandangkan umur Mak Timah pun dah mencecah 60 jadinya penyakit darah tinggi ni memang tak asing lagilah. Sebab tu saya cadangkan Mak Timah buat pemeriksaan kesihatan dekat mana-mana hospital kerajaan," jawab Afrina.

"Terima kasih..."

"Mak Timah jangan risau! Nanti Hud hantarkan Mak Timah buat pemeriksaan kesihatan. Betullah tu kata cik misi. Mak Timah memang kena buat pemeriksaan juga. Takut jadi macam mama," pintas Hud seraya melabuhkan duduk bertentangan dengan Afrina dan Mak Timah.

Kehadiran Hud tanpa diundang itu membuatkan Afrina mula rasa bengang. Masakan tidak, dia sedang melakukan pemeriksaan ke atas Mak Timah untuk membantu wanita yang kelihatan pucat itu. Tapi, boleh pula Hud tiba-tiba menyampuk. Sungguhlah, Afrina pantang bila seseorang mengganggunya ketika dia melakukan pekerjaan.

"Terima kasih Encik Hud, Cik Afrina. Nanti Mak Timah rancang bila Mak Timah nak pergi," kata Mak Timah.

"Kalau boleh secepatnya. Tak elok..."

"Betul tu Mak Timah. Kalau boleh cepat lagi baik. Mak Timah jangan risaulah nanti saya tolong hantarkan," pintas Hud lagi. Apabila pandangannya bersatu dengan Afrina, dia tersenyum manis walaupun hanya dibalas dengan wajah ketat Afrina.

Apabila Mak Timah kembali menyambung pekerjaannya, Afrina turut pamit pada Hud yang hanya memandangnya seolah-olah dia itu seorang penjenayah yang sedang menjadi suspek. Masakan tidak, dia perasan bahawa Hud asyik menganalisisnya sejak dia memeriksa keadaan Datin Khalida lagi! Tapi, Afrina buat-buat tidak tahu sahaja kerana sikap profesionalismanya yang tinggi.

"Saya minta..."

"Aku nak cakap dengan kau," pintas Hud lagi.

Afrina yang sudah menyandang beg di bahunya terus berkerut dahi tatkala kata-katanya dipintas oleh Hud. Masih ada senyuman di bibir pemuda itu. Tak berubah! Hud Aidan masih Hud Aidan yang suka mendominasi sesebuah perbicaraan. Sama seperti dulu. Tatkala itu juga entah kenapa kesabaran Afrina tercabar.

"Saya tak ada masa nak bercakap dengan Encik Hud. Kerja saya dah selesai kat rumah ni jadi saya kena balik," tegas Afrina. Dia bangun dari duduk seraya melangkah keluar.

"Tiga minit. Tak lama kan?" kata Hud. Nada suaranya yang tegas mematikan langkah Afrina. Lantas, dia kalih ke belakang memandang Hud yang masih dalam keadaan santai sambil bersandar di belakang sofa.

"Pasal mama," tambah Hud lagi. Senang hatinya apabila Afrina menunjukkan respons walaupun gadis itu hanya berdiri di belakang pintu.

"Saya rasa Encik Hud dah tahu keadaan Datin Khalida macam mana, kan? Ke encik rabun? Kalau rabun saya cadangkan encik buat pemeriksaan mata dekat mana-mana klinik atau kedai cermin mata," jawab Afrina. Lancang sahaja kata-kata yang terbit dari bibir merah jambunya. Geram pula rasanya bila Hud sengaja menahannya di rumah agam itu.

Tak semena-mena, Hud ketawa dengan kelancangan Afrina. Sungguhlah, kata-kata Afrina mencuit hati pemuda berbaju t-shirt berwarna hitam itu. Kelancangan Afrina sedikit sebanyak membuatkan hatinya terhibur. Gadis ini bukan sembarangan dalam berkata-kata. Kalau jadi wakil debat barangkali boleh menang menjadi pendebat terbaik. Namun, melihat wajah ketat Afrina membuatkan tawanya terhenti. Bibir diketap menahan tawanya dari terletus.

"Maaf, aku tak sengaja. Ya, betullah tu aku ada kat bilik mama sekali masa kau terangkan keadaan dia. Terangkan pasal makanan yang perlu dia ambil. Tapi, kalau ada apa-apa boleh kan aku hubungi kau?"

Ketika itu, Afrina hanya memandang raut wajah Hud yang selamba sahaja bangun dan menyerahkan telefon pintar berjenama iPhone kepadanya. Hud sudah berubah. Wajah pemuda itu tampak lebih maskulin berbanding 14 tahun yang lalu. Masakan tidak, kulit kuning langsat Hud berubah menjadi sawo matang seolah-olah pemuda itu bekerja di bawah terik mentari sahaja sehingga kulitnya berubah. Ada parut lama di dahi kiri pemuda yang masih dengan senyuman manisnya. Inilah lelaki yang pernah berada di hati seorang Afrina dulu. Tapi itu dulu. Saat ini, mahu melihat wajah Hud sahaja Afrina perlu mengawal dirinya dari melepaskan kemarahan.

"Maaf Encik Hud, tiga minit tu dah berakhir. Kalau encik nak tahu pasal mama encik tu... macam yang saya selalu cakap sila ke Atma Home Nursing dan kat situ semua maklumat yang encik nak encik akan dapat. Saya minta diri dulu, Encik Hud. Assalamualaikum," pamit Afrina. Keluhan berat terlepas dari bibir. Tak mengerti apa yang cuba dilakukan oleh pemuda itu.

Hud hanya menggelengkan kepalanya dengan kedinginan Afrina. Aneh sekali gadis berwajah beku itu. Seolah-olah ingin melarikan diri darinya sahaja. Mini Copper yang dipandu oleh Afrina hanya dipandang dengan sorotan matanya yang tajam bersama senyuman yang masih terkulum di bibirnya. Entah mengapa, ada sesuatu tentang Afrina yang menarik perhatian Hud. Dia rasa tercabar. Ya, Hud rasa tercabar dengan kedinginan Afrina melayaninya.

Tiba-tiba, telefon pintar Hud berdering. Berkerut dahi pemuda itu tatkala menerima panggilan yang tak dikenali. Punat hijau disentuh. Tatkala telefon dilekapkan ke telinga, beberapa das tembakan dilepaskan kedengaran. Hud kaget. Dia segera meluru masuk ke dalam kamarnya. Serta merta jantungnya berdegup kencang mendengar bunyi tembakan itu. Tangannya tiba-tiba menggeletar seiringan dengan kenangan buruk yang silih berganti melintas di kotak fikiran. Sekelip mata sahaja ketenangannya hilang disebabkan bunyi tembakan yang dilepaskan oleh si pemanggil!

Bersambung...

Nota penulis: Terima kasih korang sudi memilih karya ni sebagai bahan bacaan korang 😍😍 syaf sangat hargai setiap komen dan kalau nak kritik pun takpe daripada korang. 

Siapa ada wattpad jemputlah baca karya syaf yang lain dalam wattpad tu https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa

NOTA EPISOD 8: (untuk sesiapa yang tertanya-tanya, Syaf dah ringkaskan)

Bed sore -> Sejenis ulser atau keradangan kulit yang didapati pada pesakit yang mempunyai masalah keupayaan dan menghabiskan sebahagian besar masa mereka di katil. Kebiasaannya didapati pada tumit, pergelangan kaki, pinggang. Dalam cerita ni, Datin Khalida ni lumpuh separuh badan. Itulah sebabnya dia boleh ada bed sore. Lagi pun, dia ada diabetes dan hal itulah yang menyebabkan infeksi kalau tak jaga pemakanan.

Dirujuk daripada (webmd.com/diabetes/diabetes-sore-ulcers-care)

Insulin -> Disebabkan Datin Khalida ni mempunyai diabetes tahap 1 maka dia memerlukan suntikan insulin dan harus dipastikan ujian gula dalam darah diperiksa.

Dirujuk daripada (myhealthmylife.com.my/ms/kencing-manis/memahami-diabetes)

maaf guys kalau ada salah 🤣

Sedutan episod 9

"Aku dapat dengar denyutan jantung kau bila kau teringat pada kenangan buruk itu. Kesian kau kan. Terpaksa korbankan cita-cita kau nak jadi polis sebab trauma yang kau hadapi. Nak pegang pistol pun kau tak mampu Inspektor Hud Aidan. Ops! Silap! Kau bukan inspektor lagi melainkan tukang masak kat restoran kau di Melaka tu," ujar lelaki misteri itu. Dia hanya memandang sepi sekujur tubuh yang menggeletak menghadapi sakaratul maut setelah ditembak mati olehnya.


Previous: BAB 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa