Malam
itu, hujan turun mencurah-curah. Tujahan titisan hujan yang jatuh ke atas zink
rumah jelas kedengaran. Sekali-sekala berderai gelak ketawa Ihsan melayan filem
Seniman Bujang Lapok yang entah kali keberapa ditontonnya. Dia teringatkan
arwah ayahnya lagi. Cerita-cerita arahan Tan Sri P. Ramlee menjadi kegemaran
arwah ayahnya. Ada sindiran di dalam komedi, kata arwah ayahnya. Bila masa
arwah ayahnya belajar pasal kritikan filem, dia tidak pasti.
Di
dalam kebingitan hujan dan gema suara televisyen itu, kuping Ihsan seolah-olah
menangkap bunyi ketukan di pintu. Diiringi dengan sapaan orang memberi salam.
Ihsan
merendahkan bunyi televisyen. Dia bangkit dan melangkah ke pintu.
“Assalamualaikum!”
ulang suara itu selepas bunyi ketukan di pintu.
Ihsan
menaik daun pintu selepas menjawab salam. Dia kenal tuan punya suara yang
menunggu di hadapan pintu itu.
“Masuk...
masuk abang…” jemput Ihsan sebaik pintu dikuak. Yamin dan isterinya
tersengih-sengih sambil menghulurkan kaki ke dalam rumah.
“Emak…
emak... Kak Imah datang ni!” laung Ihsan. Tangan kanannya masih menggenggam
erat tangan Yamin. Menarik ke dalam rumah.
“Ya
lah... jemput dia masuk dulu, nanti emak keluar,” sahut emaknya dari bilik.
“Emak
tengah teman Iman la tu,” beritahu Ihsan, punggungnya dijatuhkan ke sofa.
“Macam
mana projek kau?” tanya Yamin, badan yang bersaiz XXL itu dihenyakkan ke sofa
di hadapan Ihsan.
Sepupunya
ini anak sulung adik emaknya. Maksu
Zila. Usianya dua tahun lebih tua daripada Ihsan. Dia lepasan institut
kemahiran belia dengan sijil pertukangan pendawaian elektrik. Apa yang Ihsan
tahu, dahulu sepupunya itu bekerja dengan sebuah syarikat kejuruteraan elektrik
milik seorang lelaki berbangsa Cina di Kuala Lumpur. Sudah hampir empat tahun
sepupunya itu pulang bekerja di kampung. Dia mengambil upah memasang pendawaian
elektrik. Kerja-kerjanya selalunya diupah oleh orang-orang di sekitar Kampung
Ayer Lanas, Ayer Canal, Gemang, Lakota dan Jeli. Kadangkala sepupunya itu
mendapat kerja-kerja yang diberikan oleh beberapa kenalannya. Khususnya dari
kalangan kontraktor yang berlesen. Kerja-kerja yang entah beberapa kali telah
di sub. Ihsan tersenyum sendirian apabila teringatkan cerita Yamin dahulu
tentang kerja yang baru diperolehinya.
“Kerja
ni aku baru dapat dari kawan aku, kontraktor kelas G1dari Tanah Merah. Dia sub
kat aku. Dia pun ada kontraktor lain yang sub. Dua tiga kali sub, sub... sub...
sueh,” gurauan Yamin itu masih terngiang-ngiang di kupingnya.
Kekehan
kecil terbabas juga dari bibir Ihsan. Yamin yang berada di sebelah kanannya itu
cepat-cepat mencondongkan bahu ke
sebelah kiri. Kedua-dua bola matanya dibelalakkan.
“Hai,
lain macam aje ni. Tiba-tiba gelak sorang-sorang... biar betul San,” tegur
Yamin, kurang senang.
Ihsan
menyiku Yamin sambil mengekeh-ngekeh. Yamin mengekeh sama.
“Kebun
kau macam mana San?” ulang Yamin setelah kekehannya reda.
“Habis
kena sondol bang…” sahut Ihsan sambil melepaskan sedikit keluhan.
“Kena
sondol? Kau tak bayar hasil ke?” gurau Yamin, separuh ketawa.
Ihsan
tergelak. Kak Imah ikut gelak sama. Begitulah Yamin. Selalu sahaja dengan leluconnya.
Bercakap tidak pernah serius. Ada sahaja kerenahnya yang mencuitkan hati.
“Ada-ada
aje abang kau ni...” sela Kak Imah, tangannya
cuba mencubit paha Yamin. Namun, pantas ditangkap oleh suaminya. Dan
digeletek di telapak tangan. Kak Imah menarik cepat-cepat tangan dari
pegangan Yamin.
“Macam
tu la San, berkebun di tengah-tengah hutan ni. Kau dah buat pagar? Macam kita jugak… pagar mesti ada, mesti
penuh,” tutur Yamin masih bersahaja.
“Tapi...
kalau kau nak, biar aku pasang dawai rintangan rendah... kau nak?” soal Yamin
separuh bergurau. Bibirnya tidak kering dengan lelucon.
“Banyak
sangatlah dawai rintangan rendah abang tu,” balas Ihsan tersengih-sengih. Jauh
di sudut hatinya mengiakan juga saranan Yamin itu. Dalam gurauan itu ada juga
logiknya. Cuma masa belum tiba lagi.
“Huh!
setengah hari... hari ni, memang duk tengah
baiki pagar pun. Agak aku la bang, pagar tu... habis-habis cepat pun akan ambik
masa dalam... tiga ke empat minggu jugak,” cerita Ihsan, bersungguh-sungguh.
“Kayu
pagar macam mana pulak?” Soal Kak Imah, ingin tahu. Pembantu tadbir di Sekolah
Rendah Ayer Canal itu telah dua tahun berkahwin. Mungkin rezekinya untuk
menimbang cahaya mata belum tiba. Wanita yang berseluar yangki, blaus dengan
baju nipis hitam di dalam itu melemparkan pandangan ke muka Ihsan. Tangan kanannya
membetul-betulkan kerongsang putih yang tersemat di bawah dagu. Kerongsang itu
disemat bagi mengecilkan sedikit lubang muka pada tudung kepala. Tudung berona
biji kundang dan berenda-renda.
“Pakai
kayu-kayu di hutan tu aje Kak Imah. Tadi... Haji Rokiman bagi dawai mata punai,
bolehlah tambah buat pagar,” cerita Ihsan lagi.
“Kalau
ada duit nanti, kau beli jala aje San. Boleh tarik keliling kebun kau
tu,”beritahu Yamin sambil menyeka air hujan yang menitis dari hujung rambut ke
hidung.
Ihsan
terangguk-angguk.
“Haji
Rokiman tu memang baik, sejak dia jadi pengerusi masjid di kampung kita ni,
macam-macam benda dia buat,” kata Yamin bersungguh-sungguh. Kedua-dua belah
tangannya diangkat-angkat macam orang sedang berpidato.
“Ada
Rakan Masjid, Rakan Belia Masjid… lepas tu, macam-macam aktiviti dia buat,
sampai masjid kita tu dapat macam-macam anugerah. Anugerah Imarah Masjid,
Anugerah Masjid Contoh Peringkat Zon,” cerita Yamin lagi. Isterinya yang duduk
di sebelah kanannya itu bungkam dan ralit memandang ke skrin televisyen.
“Bagus
juga kau rapat dengan Haji Rokiman, kau boleh belajar dari pengalaman dia,
orang berpegalaman tu...” cadang Yamin, dagu diangkat sedikit.
“Aik!
aku aje? abang tak nak belajar juga ke?” seloroh Ihsan sambil membongkok.
Menghulur tangan. Menepuk paha Yamin yang banyak lemak itu.
Yamin
tersengih. Kak Imah juga ikut tersengih.
Dari
dapur kelihatan Mak Lela keluar dengan menatang sekeping dulang plastik hitam.
Tiga biji cawan yang beralas piring diatur ke atas meja kecil di tengah-tengah
lingkungan set sofa. Ruang tamu rumah kayu itu tidaklah luas sangat. Sekadar
dapat menampung sofa 3+2+1, set kerusi meja makan dari kayu dan sedikit ruang
untuk bersila.
Mak
Lela menolak cawan yang berisi air itu ke hadapan Yamin, Kak Imah dan Ihsan. Bergulung-gulung
asap keluar dari cawan kopi O panas itu.
“Jemput
minum, Yamin… Imah!” pelawa Mak Lela sambil menyimpan dulang ke bawah meja.
“Ya
lah, nampak sedap ubi kayu ni,” tegur Yamin, tangan kanannya menjangkau ke
dalam mangkuk yang penuh dengan ubi kayu sebesar tiga jari itu. Melompat-lompat
seketul ubi di tapak tangannya.
“Hati-hati…
masih panas lagi tu,” pesan Mak Lela, senyuman meleret di bibir. Apabila
dilihat Yamin macam badut sarkis yang sedang menimbang bola di tangan dalam
suatu pertunjukan.
Ubi
kayu di tangan, dicecahkan Yamin ke dalam kelapa parut yang sudah digaul dengan
sedikit garam. Dimamah lumat-lumat sebelum ditelan.
“Hmm…
memang lemak... berkrim pulak tu. Betul mak ngah,” ulas Yamin selepas ditelan
ubi yang telah hancur itu. Ibu jari diangkat ke paras dada. Digoyang-goyang. Mak
Lela hanya tersenyum dan turut bertenggek di sebelah Kak Imah.
“Mak
ngah tak minum sama?” tegur Kak Imah sambil mengangkat cawan kopi.
“Kau
minumlah Imah, aku dah kenyang. Baru lepas makan…”
“Dah
tidur Iman, mak?” tanya Ihsan.
“Mmm…”
“Besok,
kau ada nak ke mana San?” Yamin berkalih, memandang ke muka Ihsan yang baru
mula meneguk kopi panas.
“Ke
mana lagi, ke kebun tu aje. Nak siapkan pagar dulu, kenapa?”
“Aku
ingat, minggu ni nak ajak kau ke Kuala Krai, nak siapkan kerja-kerja pendawaian
elektrik di dewan sekolah,” beritahu Yamin yang berdesit-desit membuang
sisa-sisa ubi kayu di celah-celah gigi.
“Eh...
eh! boleh sangatlah. Kebun tu petang-petang sempat lagi jengguk,” setuju Ihsan
tergelak-gelak.
“Kalau
sempat…” celah Yamin dengan membulatkan kedua-dua biji mata.
“Kalau
tak sempat... bersemak pulak la tanah kebun tu,” keluh Ihsan.
“Emak
pun dah tak larat nak ke kebun tu, tak dapat nak bantu Ihsan,” sela Mak Lela
sedih. Dia kasihan Ihsan. Sehari suntuk berjemur panas. Kulit pun sudah
bertambah gelap. Hangus dibakar bahang mentari.
“Emak
dah jaga Iman pun… Ihsan rasa syukur sangat-sangat. Insya-Allah, mesti ada
jalannya tu,” ujar Ihsan, berharap.
Yamin
mengangguk-angguk. Mulutnya masih laju memamah ubi kayu yang lembut itu.
“Aku
ni bukan apa bang, kalau boleh nak sungguh-sungguh kerjakan tanah tinggalan
arwah ayah tu,” beritahu Ihsan sambil berpaling, memandang ke muka Yamin.
“Tapi,
aku juga minat kerja-kerja letrik ni. Dah bidang ni bidang aku. Selain dapat
tampung belanja dapur… boleh juga belajar benda-benda baru,” sambung Ihsan,
serius.
“Bagus
la kalau macam tu San, aku bangga dengan kau. Kau memang dah banyak berubah,”
tambah Yamin sambil mengerling ke arah Mak Lela.
“Terima
kasih banyak-banyak Yamin, kau dah banyak tolong kami,” sela Mak Lela.
“Kita
ni anak-beranak, kalau saya susah pun… tentu mak ngah pun buat benda yang
sama,” ujar Yamin sambil menggosok-gosok kedua-dua tapak tangan.
“Ya
lah mak ngah,” sampuk Kak Imah.
“Kalau
boleh, Min ni nak sangat jadi kontraktor berlesen, mak ngah. Taklah perlu
bergantung pada projek-projek sakit yang orang selalu beri,” beritahu Yamin
dengan nada berbaur kesal.
“Susahkah
nak dapatkan lesen tu?” tanya Mak Lela dengan membongkokkan badan.
“Entah
la... taklah susah sangat kalau cukup syaratnya kot… cuma Min rasa la, nak
cukupkan syaratnya tu yang payah,” terang Yamin, teragak-agak. Punggung lemak
berkrimnya dikalih ke kiri sedikit.
Mak
Lela menggaru-garu kepala.
“Tak
tahu aku pasal kontrak-kontrak ni,” omelnya, tersengih. Menampakkan gigi yang
sudah jarang itu.
*****
Semenjak
Ihsan membantu kerja-kerja Yamin, banyak perkara yang telah dipelajarinya. Dia
semakin bertambah mahir. Kesibukan itu seolah-olah membuatkan dia lupa akan
kisah silamnya. Dia menjadi semakin yakin dalam hidup.
Cuma.
Ya, kadangkala dia seakan orang yang dalam kepompongan. Tidak tahu mana satu
yang ingin diberi tumpuan. Jika terlalu lama dia mengikut Yamin, kebunnya akan
ditenggelami semak-samun. Dia sayangkan kebun itu. Banyak nostalgia hidup
keluarganya di situ. Namun, jika tidak ikut Yamin bekerja. Macam mana pula
hendak mendapatkan wang. Dapur perlu berasap. Emaknya dan Iman juga memerlukan
pakaian. Sakit pening mereka anak beranak juga memerlukan wang untuk membeli
ubat. Simpanan wang juga diperlukan. Sebagai langkah berjaga-jaga ketika amat
diperlukan. Bil air, bil elektrik perlu dibayar. Semuanya memerlukan wang.