“Abang
tak tepati janji. Abang tipu Azza…”
Ihsan
terpinga-pinga. Otaknya kosong. Entah apa lagi kata-kata yang perlu diungkapkan
bagi menyakinkan Azza. Matanya memandang tepat ke dalam mata perempuan yang
pernah menjadi teman hidupnya itu. Direnung wajah itu lama-lama. Wajah itu
semakin cantik walaupun semasa dia tengah naik angin. Kulit mukanya yang putih
bersih itu akan menjadi merah. Mata hitamnya yang besar itu sungguh
mengasyikkan. Setiap mata yang memandang. Hidungnya yang lacip ala-ala heroin
filem Hindustan itu sungguh menawan. Bibir merahnya mongel. Semua terhias indah
pada roman muka bujur sirih. Sungguh sempurna anugerah Yang Maha Esa.
“Kenapa
abang tak pernah jujur pada Azza?”
Ihsan
semacam seorang yang nanar. Masih bingung. Tidak faham punca kemarahan Azza
kali ini. Sepanjang usia perkahwinan mereka tidak pernah Azza berkelakuan
begini. Dia seorang isteri yang santun. Seorang menantu yang amat disayangi
mentua.
“Tapi...
apa yang telah abang buat?” soalnya yang masih terkulat-kulat. Tidak tahu
hujung pangkal tentang isu yang dipersoalkan Azza itu.
“Abang
tanyalah pada diri abang sendiri,” bentak Azza, Ihsan tergamam. Belum pernah
dia melihat Azza segarang ini. Garang mengalahkan singa betina yang beranak
kecil.
Ihsan
memejamkan mata. Benaknya cuba memutar semula kronologi kisah hidupnya bersama
Azza. Dia cuba mencari-cari punca kemarahan Azza. Bermula sewaktu dia keluar
dari CCVC sehingga ke hari ini. Dia tidak pernah lagi bersua muka dengan Azza. Bayang
Azza pun dia tidak nampak. Apatah lagi orangnya.
‘Huh!...
apa yang aku dah buat? Azza dah macam orang kena rasuk...’ bisik hati kecilnya,
setelah dia gagal mencari jawapan yang membangkitkan amarah Azza itu.
“Maafkan
Azza abang... Azza terpaksa ambik balik Iman,” suara Azza kembali kendur, namun
mampu membuatkan jantung Ihsan berdegup dengan kencang.
“Tapi...
kenapa Azza? Abang sayangkan Iman. Emak juga sayangkan Iman,” rayu Ihsan, dada
mula sebak. Nafas semakin tercungap-cungap.
“Sayang?”
soal Azza dengan nada memerli.
Ihsan
mengangguk, setuju.
“Kalau
sayang kenapa abang mungkir janji?”
“Apa
yang telah abang buat? Janji apa yang telah abang mungkir?” ulang Ihsan yang
semakin tersepit dengan pertanyaan itu. Dia semakin lemas. Semakin bingung.
“Sudahkah
abang baca surat Azza?”
Ihsan
mengangguk lagi.
“Azza
sudah bagi syarat, bukan? jika abang sia-siakan hidup Iman, Azza akan ambik
balik Iman,” jelas Azza sambil mengetap bibir.
“Tapi
abang tak sia-siakan Iman. Abang jaga dia. Abang sayang dia. Abang ajar dia
mengaji al-Quran. Abang bawa dia solat ke masjid…”
“Semua
tu tak cukup untuk buktikan sayang…” marah Azza lagi, mukanya mencuka.
“Hah!”
Mata Ihsan terbelelek. Mulut melopong, kebingungan.
“Perjalanan
hidup Iman masih jauh. Apa jaminan abang
untuk Iman teruskan perjalanannya? abang yakin umur abang panjang? dapat
mendampingi Iman sehingga dia dewasa?”
Ihsan
kelu. Dia terangguk-angguk. Esakannya jelas kedengaran. Air matanya gugur lagi.
“Kenapa
abang menangis? abang ingat dengan tangisan abang tu, dunia ni akan berubah?
hidup abang akan berubah?” tempelak Azza lagi, tanpa rasa belas.
“Apa
lagi yang Azza mahu abang lakukan?”
“Kenapa
abang tanya Azza? abang tanyalah diri abang sendiri. Azza tiada jawapannya.
Tapi abang… ya! abang ada jawapannya,” protes Azza, bebola matanya menikam ke
dalam mata hitam Ihsan. Tajam. Membuatkan Ihsan tewas.
“Ya
Allah, apa yang perlu aku lakukan?” rintih Ihsan, seolah-olah sudah berputus
asa.
“Okey,
abang fikirlah dulu. Bila abang sudah ada jawapan. Bagitau Azza,” ungkap Azza
sambil mencapai pergelangan tangan Iman. Ditariknya tangan Iman dan menonong ke
sebuah kereta yang sedang menanti di laman rumah.
“Jangan…
jangan... tolong… jangan... jangan bawa Iman pergi… tolong… kesianlah abang,
kesianlah emak. Azza!”
Azza
tidak peduli dengan rayuan Ihsan. Dia terus menggenggam kemas tangan Iman.
Pintu kereta dibuka. Azza mengangkat Iman masuk ke dalam kereta. Ihsan melompat
ke beranda. Cuba mengejar dari belakang. Namun, kereta Proton Preve merah saga
itu telah melepasi pintu pagar laman. Berderum laju. Meninggalkan Ihsan yang melambai-lambai.
Terjerit-jerit di tangga. Bagai seorang anak kecil yang menangis ditinggalkan
ibu bapa.
“Azza…
tolong pulangkan anak abang… tolong…”
“Huh!”
Hening. Kosong.
Kelopak
mata Ihsan terkuak. Suasana di dalam bilik itu kelam. Hanya kedengaran deruan
angin dari bilah-bilah kipas siling yang ligat berputar.
“Astaghfirullaha
adzim…” ucap Ihsan perlahan-lahan, berulangkali.
Tiba-tiba
dia teringatkan sesuatu. Terkocoh-kocoh dia bangkit dari katil. Berlari keluar.
Pintu bilik emaknya dikuak. Iman di bawah sehelai gebar rona biru sedang
nyenyak dibuai mimpi. Dia melurut-lurut dada, lega.
“Alhamdulillah…
aku bermimpi rupanya,” kemudian dia melilau lagi, ada lagi yang dia terlepas
pandang.
“Emak?
Ya! Mana emak? Mana emak?” soalnya sendirian dengan nada cemas. Matanya
berkalih ke muka jam yang tergantung di dinding. Dia merapatkan sedikit kelopak
mata, silauan cahaya lampu Kalimantan yang terlepas keluar dari ruang dapur itu
betul-betul menghempas ke permukaan jam.
“Baru
pukul tiga pagi,” getusnya sendirian.
“Tapi...
kat emak?”
Dia
meluru ke ruang dapur. Dilihat emaknya sedang memilin pemetik api dapur gas.
Sebuah cerek telah sedia di atas tuku dapur. Dia menyandarkan belakang
rapat-rapat ke dinding. Nafas dihela dalam-dalam. Kemudian dilepaskan. Bunyi
nafas yang tercungap-cungap itu jelas kedengaran.
Keadaan
emosinya kembali stabil. Turun naik nafas kembali teratur. Dia meninggalkan
emaknya di ruang dapur. Mengatur langkah ke kamar mandi. Di situ dia mengambil wuduk.
Dingin air di dinihari amat menyegarkan. Dia menapak. Kembali masuk ke bilik.
Dicapai sehelai sejadah yang tersidai di ampaian besi. Dibentang di atas
lantai. Sejadah itu pemberian keluarga Azza semasa mereka berkahwin dahulu. Kedudukan
sejadah berona hijau tua itu disenget ke kanan sedikit. Biar betul arah
kiblatnya. Kain sarung pelikat yang masih dipakainya itu ditukar. Dia mula
berada di dalam qiam. Terus berqiamullail.
Begitulah
rutin Ihsan mutakhir ini. Kalau dahulu dia berubah 360 darjah. Kini dia kembali berubah sebanyak yang sama.
Jiwanya terasa dekat dengan Allah. Dia masih ingat pesanan seorang ustaz semasa
dia di CCSC, jika kita takut pada harimau. Kita menjauhkan diri. Lari sejauh
mungkin. Sebaliknya, jika kita takutkan Allah. Kita semakin menghampiri-Nya.
Selepas
solat tahajud, dia masih bersimpuh di atas sejadah. Benaknya mula teringatkan
kata-kata Azza di dalam mimpi tadi. Walaupun dia tahu, itu cuma mimpi. Cuma mainan
tidur. Kadangkala, apa yang kita mimpikan itu ada peringatan untuk kita juga.
Itu pendapatnya. Cuma pendapat. Mungkin betul atau mungkin juga silap. Namun,
dia rasakan tidak salah untuknya mentakwilkan mimpi itu. Sebagaimana juga Nabi
Yusuf.
Dia
cuba mengingat kembali mimpinya tadi. Termenung sendirian di dalam kelam.
Benaknya ligat berputar. Mencari-cari jawapan.
“Apa
sebenarnya mimpi aku tadi? Kenapa Azza meradang? Apa maksud Azza?” bisik Ihsan,
menyoal diri sendiri.
Jawapan
kepada mimpinya tadi masih dicari. Dia umpama seorang detektif. Ya, seorang
detektif yang selalu dilihat di dalam filem-filem penyiasatan. Detektif yang
memerah otak dan cuba merungkai sebuah teka-teki yang ditinggalkan musuh.
“Kata
Azza, jawapan ada pada aku,” Ihsan mendengus. Kata kunci itu diulang-ulang.
Lama
betul dia bertafakur . Mencari jawapan yang masih kelam. Sekelam bilik itu
ketika ini. Tiba-tiba hatinya melonjak gembira. Jawapan kepada kemarahan Azza
di dalam mimpinya itu sudah ada. Mata hatinya mula terbuka.
‘Betul
kata emak, satu pertiga malam ni, hati kita tenang. Otak kita sihat. Boleh
berfikir dengan tenang,’cetus hati kecilnya.
Dia
mengangguk-angguk, faham. Bersetuju dengan kata hatinya. Mungkin inilah jawapan
itu.
“Oh...!
barangkali Azza mahu aku tumpu kepada satu kerja saja. Biar aku ada masa untuk
Iman. Boleh jadi Azza mahu aku lakukan satu kerja dengan bersungguh-sungguh.
Biar ada simpanan untuk pengajian Iman nanti. Azza mahu aku jadi bapa yang
bertanggungjawab,” bisik Ihsan sendirian.
“Di
mana kau sekarang Azza?” soalnya lagi. Matanya dipandang ke atas sejadah.
Gelap. Dia selesa berada di dalam suasana sebegitu ketika ini. Satu keluhan
berat dilepaskan.
“Biar
pun kita telah berpisah, namun hati ini tetap milikmu,” getusnya, kerinduan
kepada bekas isterinya itu mula bertandang.
“Abang
tak akan tenteram Azza. Ya! Hati ini tidak tenteram selagi abang tak betulkan
kepincangan yang abang lakukan dulu,” dia beremosi lagi. Perasaan sayu
membuak-buak di dalam jiwanya.
Kegelapan
di sekeliling bilik berukuran 20 kaki x 20 kaki itu tidak menghalang dia
mengimbau kenangannya. Di mata Ihsan jelas terbayang pertemuannya dengan Azza.
Dia masih ingat. Mustahil dia boleh lupa. Peristiwa itu adalah sejarah cinta di
antara dia dan Azza. Sudah terukir indah di dalam hatinya. Sampai bila-bila. Peristiwa
bagaimana pertama kali dia dan Azza berkenalan. Sungguh luar biasa. Penuh dengan
debaran di dada. Gementar seluruh jiwa. Cinta itu memang luar biasa. Hadirnya
tiada siapa yang dapat menduga. Apabila hati disapa cinta, tiada yang buruk.
Semua indah belaka.
Masih
terbayang di benak Ihsan. Tengah hari itu, seperti biasa dia akan bersolat
zuhur di masjid. Selepas solat, dia ke warung membeli sebungkus nasi gulai
kawah. Ketika motosikal yang ditunggangnya cuba melintas simpang jalan keluar
dari sebuah pasar raya, ada sebuah kereta Perodua Kancil. Terus dipandu keluar
dari situ. Ihsan tergamam. Panik dengan situasi mendadak itu. Kaki kanannya
terus menekan brek. Tayar belakang motosikalnya berhenti. Namun masih terseret
ke hadapan. Meninggalkan kesan hitam yang melekat di atas jalan berturap itu. Malang
tidak berbau. Perodua Kancil berwarna perak itu terlebih dahulu merempuh kuat tayar
depan motosikalnya. Badan Ihsan melambung ke hadapan. Macam atlet lompat tinggi
di dalam SUKMA. Terjelepok di atas jalan raya.
Seorang gadis yang memandu kereta itu keluar dalam keadaan trauma.
Badannya menggigil. Panik. Takut. Ihsan dihantar ke Unit Kecemasan di Hospital
Jeli.
Kalau
sudah berputik rasa cinta di jiwa, semua yang kupandang menyejukkan mata. Kalau
sudah melimpah rasa sayang di hati, apa yang kau beri sentiasa aku senangi.
Bila ada rindu, segeralah hadir bertamu. Ihsan benar-benar rindu saat itu. Saat
itu sungguh indah.
Di
hospital itulah tempat pertama mereka bertemu. Ihsan terbaring di atas katil di
dalam bilik kecemasan. Azza pula gelisah menunggu di ruang pelawat. Pertemuan
mereka telah tercatat di lohmahfuz. Pertemuan di luar dugaan.
“Maafkan
saya… maafkan saya bang. Saya benar-benar tak nampak motosikal abang melintas
tadi,” rayu Azza, kedua-dua telapak tangannya dirapatkan. Betul-betul di
hadapan dada.
Walaupun
di dalam kesakitan, Ihsan mampu tersenyum. Dadanya bergetar. Dia mula terpikat
dengan gadis di depannya ini. Di situlah bermula bibit-bibit percintaan mereka.
Saling rindu merindui.
Selepas
Azza menamatkan pengajiannya di Politeknik Jeli, mereka sepakat untuk hidup
sebagai suami isteri. Meskipun ibu Azza tidak bersetuju. Ibu Azza mahu anak
perempuannya itu menyambung pelajaran lagi. Namun, jiwa muda memang penuh
warna-warni. Latah wilangannya sukar dimengerti. Ibu Azza terpaksa menurut
kemahuan anaknya itu. Apa yang Ihsan dengar, ibu Azza amat kecewa dengan
keputusan anaknya itu. Dia merajuk. Hampir sebulan juga dia tidak bertegur sapa
dengan Ihsan.
“San…
ooo... San,” panggil Mak Lela sambil mengetuk-ngetuk pintu bilik Ihsan.
Ihsan
bingkas bangun. Cepat-cepat melangkah ke pintu. Pintu kayu itu dikuak, emaknya
dalam pakaian solat sudah berdiri di hadapan pintu.
“Ya,
mak.”
“Ooo…
Ihsan dah bangun. Emak ingatkan belum. Sudah nak masuk waktu subuh ni,”
beritahu Mak Lela, kemudian dia kembali ke biliknya. Menyambung membaca
al-Quran.
Ihsan melangkah keluar
dari bilik. Dicapai kunci motosikal yang tersangkut di tepi pintu itu. Menapak terus
ke pintu besar. Dia kemudian meredah dingin dinihari, mencari reda Ilahi