Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
108,760
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 23

Aspalela Enterprise. Terpampang menyerlah di sebuah bangunan kedai setingkat di Bandar Jeli. Papan tanda berwarna ungu tua dengan tulisan berwarna putih itu terlekat kemas di atas pintu utama. Jikalau tanah kebunnya dahulu, pokok manggis yang menjadi mercu tanda. Sekarang pun tetap sama. Ihsan masih menggunakan penanda yang sama. Cuma fizikalnya yang berbeza. Namun sama pada warna. Ungu dan putih dijadikan warna korporat Aspalela Enterprise. Biar semangat pokok manggis itu dapat dilihat daripada warnanya. Ungu itu kulitnya. Putih itu isinya. Sama-sama bermanfaat kepada manusia.

Amanah. Itu pegangan Ihsan. Baginya, semua kerja itu amanah. Wajib ditunaikan seperti yang dijanjikan. Perniagaan yang asasnya ketakwaan. Akan mengalir melaluinya nilai-nilai kejujuran. Itu yang menjadi tonggak kejayaan Aspalela Enterprise. Sebagai penggerak utama syarikat, dia sentiasa memain peranan penting. Tekun berusaha. Teliti di dalam setiap perancangan. Mahir tentang selok-belok perniagaan.

Berkat segenggam harapan. Sejulang usaha keras. Secangkir kesabaran. Selafaz doa. Dan senafas ketakwaan. Aspalela Enterprise sentiasa dipelawa kerja. Kerja-kerja dan perkhidmatan di agensi-agensi kerajaan diuruskan di atas talian. Mengendalikan transaksi di atas talian sudah menjadi kerja rutin Ihsan. Ada ketika dia akan melawati laman sesawang e-Perolehan. Mencari pelawaan sebut harga yang bersesuaian dengan kod bidang yang telah didaftarkan. Apabila dipanggil menghadiri taklimat bagi sebut harga, dia tidak pernah mengabaikan. Dia sentiasa mengambil berat atas semua perkara. Dia mahu mendengar setiap perincian yang diberikan oleh pegawai kerajaan tentang spesifikasi kerja. Biar harga yang akan ditawarkan oleh Aspalela Enterprise itu munasabah. Malah berpatutan. Mengikut nilai pasaran semasa.

Barangkali sandaran dari ketelitian. Kesabaran. Keikhlasan. Syarikat keluarganya itu telah berjaya mendapat beberapa kontrak kerajaan. Kelmarin, dia mendapat tawaran kerja lagi. Panggilan dari sebuah jabatan kerajaan di Machang. Aspalela Enterprise berjaya mendapat kontrak mencuci bangunan pejabat. Dia bersyukur sangat-sangat. Baginya, rezeki itu untuk diagih-agihkan. Di samping untuk memperbaiki ekonomi keluarga, syarikat itu jua dapat membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai. Syarikatnya juga dapat membantu menjana ekonomi negara.

Ihsan Melangkah. Keluar dari bangunan pejabat. Dia memandang ke arah Yamin. Sepupunya itu telah dilantik sebagai penolong pengurus syarikat. Beberapa kotak alat penyaman udara diangkatnya ke atas lori satu tan. Yamin diberi tanggungjawab mengendalikan kerja-kerja syarikat di luar. Keramahan dan pengalaman Yamin itu banyak membantu syarikat mendapatkan kerja-kerja baharu.

“Pagi ni... abang nak pasang air cond kat Hospital Machang ye?” Suara Ihsan yang baharu sahaja membongkok di sebelah Yamin. Kedua-dua tangan mencapai kotak dari kaki lima pejabat. Diangkat dan diletakkan ke atas lori.

“Haah, ada apa bos?” sengih Yamin. Dahinya sudah lencun dengan penuh. Kotak terakhir yang berada di hadapannya itu diangkat Madi ke atas lori.

“Nanti abang singgah kat Sekolah Rendah Pangkal Meleret. Jumpa Puan Liza. Abang tandatangan SST. Jangan lupa... bawa cap syarikat sekali,” arah Ihsan, dia menepuk-nepuk tangan. Membuang habuk-habuk yang masih melekat di telapak tangan.

“Okey... beres bos,” Yamin mengangkat tangan kanan. Dirapatkan ke pelipis. Bagai seorang tentera yang akur kepada perintah kapten.

Ihsan tersenyum dan menggeleng. Melihat telatah Yamin. Dia tahu, Yamin sudah biasa dengan singkatan SST. Surat Setuju Terima. Surat yang perlu ditandatangani oleh wakil syarikat sebelum surat perjanjian dikeluarkan.

Yamin dan Madi banyak membuat kerja-kerja di lapangan. Ihsan pula banyak membuat kerja-kerja di dalam pejabat. Tugas Ihsan banyak tertumpu kepada mengurus dokumen-dokumen dan menjawab semua panggilan telefon. Dia menguruskan segala urusniaga melalui e-Perolehan. Semua di atas talian. Token yang dibekalkan oleh Kementerian Kewangan akan diaktifkan. Kerajaan telah mewajibkan semua kontraktor yang berminat membekalkan perkhidmatan kepada agensi kerajaan mesti aktif ep-enabled.

Menjadi tanggungjawab Ihsan juga menyemak status bayaran bagi syarikat melalui e-maklum. Suatu aplikasi yang disediakan oleh kerajaan. Dia juga yang bertanggungjawab memasukkan cek-cek ke dalam bank. Semua dilakukan sendiri oleh Ihsan. Kebanyakan pekerja-pekerja am Syarikat Aspalela Enterprise diambil dari kalangan penduduk daerah berdekatan dengan tempat kerja yang berjaya dperolehi itu.

Kadangkala, terfikir juga Ihsan untuk mendapatkan seorang kerani bagi membantu kerja-kerja di pejabat. Lebih-lebih lagi peperiksaan akhir semesternya semakin hampir. Sudah hampir enam bulan Ihsan sambung belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Machang. Dia masih ingat perkara ketiga yang diberitahu oleh Abang Mat dahulu, mencari ilmu. Dia sedar. Bila berilmu dan mempunyai kelulusan, barulah keyakinan diri akan terbina. Dia ingin berjaya seperti Abang Mat. Dalam diam, dia menjadikan lelaki itu sebagai ikon.

“Okey, San… aku pergi dulu,” Yamin yang sudah berada di dalam lori itu menarik pintu. Kemas. Tangan kirinya diangkat tinggi keluar dari tingkap lori. Sementara itu, Madi yang sedang memandu membunyikan hon sekali. Ihsan membalas sambil mengangkat tangan.

Semasa Ihsan sedang melangkah untuk masuk ke pejabat, dia ternampak Saiful. Anak Pak Su Jenal. Di bawah ketiak Saiful terkepit sekeping fail plastik. Terhinggut-hinggut dia berjalan sambil menyeka peluh di dahi. Ihsan teringatkan cerita Cikgu Aman tempoh hari. Perasaan bersalah kembali bersarang di hati. Perasaan simpati kian menjengah di hati. Ihsan mematikan langkah. Menanti. Saiful masih menunduk. Tidak sedar dirinya diperhati. Pemuda itu semakin hampir dengan Ihsan.

“Epul...!” panggil Ihsan sebaik sahaja dilihatnya Saiful memusing badan ke tangga di depan restoran, petak ketiga selepas pejabatnya. Di lajur yang sama.

Saiful kelihatan sedikit terkesima. Langkahnya terhenti. Badannya dipusing menghadap Ihsan. Pandangannya dijatuhkan tepat ke muka Ihsan. Perlahan-lahan Ihsan menghampiri Saiful. Pemuda itu masih kelihatan gugup.

“Dari mana?” sapa Ihsan, mesra.

“Owh... saja… pusing-pusing bandar aje,” Saiful seakan-akan menyembunyikan sesuatu. Kelipan matanya itu jujur memberitahu. Dia sebenarnya membohongi Ihsan.

Pakaian Saiful juga menyanggah apa yang dituturkannya itu. Tidak seperti orang mahu pusing-pusing bandar. Berseluar panjang warna hitam. Baju kemeja berlengan panjang putih. Berkasut kulit hitam. Tiba-tiba, fail yang terkepit di bawah ketiaknya itu terjatuh. Bertaburan sijil-sijil. Kelam-kabut dia mengutip dengan terbongkok-bongkok. Ihsan turut membongkok, membantu.

“Epul… jom, kita minum dulu,” pelawa Ihsan, ikhlas.

“Tak apalah abang… Epul nak cepat ni,” dalih Saiful. Kaki kanannya diangkat. Mula melangkah turun tangga.

“Epul… nanti dulu. Abang ikhlas ni. Lagi pun abang ada perkara nak bincang dengan Epul. Boleh?” pujuk Ihsan. Tangan kanannya memegang bahu Saiful.

Saiful mematikan langkah. Badannya kembali dipusing. Dia memandang Ihsan. Perlahan-lahan dia mengangguk. Kemudian, mereka sama-sama masuk ke restoran yang berada beberapa langkah sahaja dari mereka.

“Makan… Epul, boleh ya?” pelawa Ihsan lagi.

“Minum aje dah cukup, bang,” Saiful masih segan-segan.

Ihsan memesan juga ‘roti canai cotek’ dua biji, satu untuk Saiful dan satu untuknya. Roti canai cotek ini dimasak dengan telur ayam dipecahkan ke atasnya. Kuning telurnya masih cair. Ada sesetengah negeri memanggil roti ini dengan ‘roti canai dangdut’ kerana kuning telurnya masih bergoyang-goyang.

“Epul cari kerja ya?” Ihsan meneka. Matanya memandang tepat ke mata Saiful. Keadaan itu membuatkan Saiful menjadi semakin meggelabah. Akhirnya, dia seperti tentera Jepun kalah perang. Mengangguk-angguk.

“Dapat?” Ihsan pula sudah seperti polis penyiasat. Terus menghujani Saiful dengan soalan.

“Dapat apa?” Saiful terpinga-pinga.

“Kerja…”

Saiful menggeleng-geleng, hampa.

“Bunyi jawatannya pegawai pemasaran… ingatkan kerja kat pejabat. Rupa-rupanya kena jelajah satu bandar. Lepas tu kena ke bandar lain pulak. Kerjanya kena cari pelanggan, jual barang.” Kekesalan terpancar di wajah Saiful.

Ihsan merenung Saiful dengan wajah simpati. Gelas teh tarik yang berada di dalam genggaman tangannya itu disuakan ke celah bibir.

“Abang rasa macam ni la... Epul kerja dengan Aspalela Enterprise…” pelawa Ihsan, tersenyum.

“Syarikat abang?”

Ihsan mengangguk-angguk, mengiakan.

“Kebetulan, abang memang nak pakai kerani. Tentang kerja tu tak apa… abang boleh ajar Epul. Lama-kelamaan nanti, Epul akan pandai. Setuju?” Ihsan mengangkat dagu ke arah Saiful.

Wajah Saiful semakin berseri-seri. Ada sinar kegembiraan. Dia mengangguk. Meskipun kelihatan tersipu-sipu.

“Bila... boleh saya mula kerja, bang?” Tanya Saiful, tidak sabar.

“Sekarang pun boleh, kalau Epul mahu,” kata Ihsan, bersungguh-sungguh.

Kepuasan jelas terasa di hati Ihsan. Ya! Memang dia merasa sangat puas apabila dapat membantu Saiful. Di dalam hatinya mula merasa keajaiban anugerah Allah. Rupa-rupanya memang ada hikmat di sebalik ujian yang melanda dirinya dahulu. Rezeki yang Allah buka untuk syarikat keluarganya itu, bukan untuk keluarganya sahaja. Ada rezeki orang lain di situ. Tugas Aspalela Enterprise untuk mengagih-agihkan sahaja.

Usai makan dan minum. Mereka beriringan masuk ke pejabat Aspalela Enterprise. Banyak kerja yang menanti sentuhan mereka. Aspalela Enterprise menerima kakitangan baru.
Previous: BAB 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan